(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat
dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat
dan para pengikut Baginda)
Hukum Qunut Dalam Sembahyang
Qunut adalah salah satu daripada
sunat-sunat ab‘adh dalam sembahyang yang tuntutannya termasuk dalam
kategori sunnah mu‘akkadah (yang sangat dituntut). Jika tertinggal atau
senghaja ditinggalkan qunut ini, sungguhpun ia tidak membatalkan sembahyang,
akan tetapi ia merupakan suatu kekurangan dan kerugian. Dari itu, bagi menambal
kekurangan tersebut, disunatkan bagi orang yang tertinggal atau senghaja
meninggalkan qunut untuk mengerjakan sujud sahwi bagi menambal kekurangan
tersebut.
Jika dia syak atau ragu-ragu sama
ada dia telah mengerjakan qunut atau tidak, maka dalam hal ini dia disunatkan
untuk mengerjakan sujud sahwi kerana pada dasarnya dia dikirakan belum
mengerjakannya.
Walau bagaimanapun, hanya qunut
sembahyang fardhu Subuh serta qunut sembahyang sunat Witir pada separuh kedua
bulan Ramadhan sahaja yang jika tertinggal ataupun ditinggalkan maka
disyariatkan sujud sahwi. Adapun bagi qunut nazilah pula, jika ia tertinggal
atau ditinggalkan, maka tidak disyariatkan sujud sahwi.
Bagi orang yang tidak pandai membaca
qunut pula, disunatkan ke atasnya untuk berdiri dalam kadar bacaan qunut.
Sekiranya dia meninggalkan pensyariatan
berdiri dalam kadar bacaan qunut ini, sama ada kerana tertinggal ataupun
disenghajakan, maka disunatkan juga sujud sahwi ke atasnya.
Perkara tertinggal atau meninggalkan
qunut ini sering sahaja menimbulkan kekeliruan serta persoalan terutama sekali
ketika sembahyang berjemaah. Adakah seorang imam atau munfarid (orang
yang sembahyang bersendirian) itu boleh berdiri semula untuk mengerjakan qunut
yang tertinggal atau ditinggalkannya? Bagi seorang makmum pula, bolehkah dia
berdiri semula untuk mengerjakan qunut yang tertinggal atau ditinggalkannya
sedangkan imam mengerjakan qunut? Apakah pula yang perlu dilakukan oleh makmum
jika imamnya tidak mengerjakan qunut?
Hukum Imam Atau Munfarid
Berdiri Kembali Setelah Meninggalkan Qunut
1. Imam
Atau Munfarid Berdiri Kembali Setelah Sempurna Mengerjakan Sujud
Seorang imam
atau munfarid yang tertinggal qunut kerana terlalai atau terlupa
kemudian dia tersedar atau teringat kembali bahawa dia telah tertinggal qunut
sedangkan dia sudahpun sempurna mengerjakan sujud dengan meletakkan
ketujuh-tujuh anggota sujudnya, iaitu dahi, dua tangan, dua lutut serta jari-jari dari
dua telapak kaki, maka dia tidak boleh lagi berdiri kembali untuk
mengerjakan qunut kerana dia sudahpun dikira masuk mengerjakan suatu perbuatan
fardhu yang lain dalam sembahyang. Jika dia kembali juga untuk berdiri
mengerjakan qunut sedangkan dia sudahpun sempurna mengerjakan sujud, maka
batallah sembahyangnya sekiranya dia tahu akan keharamannya. Menurut ulama,
dalam hal ini, apabila seseorang itu telahpun meletakkan ketujuh-tujuh anggota
sujudnya, maka dia tidak boleh lagi berdiri kembali untuk mengerjakan qunut walaupun
dia belum sempat thuma‘ninah dalam sujudnya itu.
Bagaimanapun,
jika kembalinya untuk berdiri mengerjakan qunut setelah sempurna mengerjakan
sujud itu kerana terlupa atau jahil akan hukumnya, maka tidaklah batal
sembahyangnya, akan tetapi wajib ke atasnya mengerjakan sujud semula serta
merta setelah teringat atau tahu akan hukumnya. Jika hal ini berlaku, maka
sunat atasnya mengerjakan sujud sahwi kerana perbuatan tersebut dikirakan
sebagai menambah atau menukar susunan perbuatan dalam sembahyang secara tidak
senghaja. Ini kerana tempat qunut itu ialah sebelum sujud, jadi ia dikira luput
apabila seseorang itu mengerjakan sujud.
2. Imam
Atau Munfarid Berdiri Kembali Sebelum Sempurna Mengerjakan Sujud
Berbeza pula
halnya jika seorang imam atau munfarid itu tertinggal qunut kerana
terlalai atau terlupa kemudian dia tersedar atau teringat kembali yang dia
telah tertinggal qunut sebelum dia sempurna meletakkan ketujuh-tujuh anggota
sujudnya, kerana dalam hal ini harus baginya untuk berdiri kembali mengerjakan
qunut dan bukannya haram seperti permasalahan sebelum ini. Ini kerana dalam hal
ini, dia belum dikira masuk mengerjakan suatu perbuatan fardhu yang lain dalam
sembahyang.
Dalam hal
ini disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam
sekiranya turunnya meninggalkan qunut sebelum itu sampai kepada had
sekurang-kurang ruku‘, iaitu dalam had kira-kira dua tapak tangannya (bukan
anak jari) dapat mencapai lututnya. Ini kerana, jika dia telah sampai kepada
had tersebut, maka dia dikirakan sudah menambah satu ruku‘ secara tidak
senghaja. Adapun jika turunnya itu belum sampai kepada had tersebut, maka
tidaklah disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan sujud sahwi.
Berbeza pula
halnya dengan imam atau munfarid yang senghaja meninggalkan qunut. Ini
kerana jika imam atau munfarid itu senghaja turun daripada qiyam
(berdiri betul) dengan niat untuk meninggalkan qunut, lalu turunnya itu telah
sampai kepada had sekurang-kurang ruku‘, sekiranya dia dengan senghaja bangkit
semula selepas itu sedangkan dia tahu akan keharamannya, maka batallah sembahyangnya.
Kedudukan Makmum Apabila Imam
Tertinggal Atau Meninggalkan Qunut
Apabila seorang imam meninggalkan
qunut sama ada kerana sengaja ataupun tidak, maka makmum hendaklah mengikut
imamnya meninggalkan qunut itu. Bagaimanapun, harus bagi makmum untuk
mengerjakan qunut yang ditinggalkan oleh imamnya itu secara bersendirian dengan
syarat dia masih sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam.
Jika makmum tersebut khuatir dia
tidak akan sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam sekiranya
dia mengerjakan qunut yang ditinggalkan oleh imamnya itu, maka dalam hal ini
makmum itu tidak diharuskan untuk mengerjakan qunut tersebut. Jika
dikerjakannya juga, maka sembahyang makmum itu belum dikira batal kecuali
setelah dia ketinggalan dua rukun fi‘li daripada imam, iaitu dengan
turunnya imam untuk mengerjakan sujud yang kedua sedangkan makmum masih mengerjakan
qunut.
Kedudukan Makmum Apabila Imam
Bangkit Semula Untuk Mengerjakan Qunut Setelah Dia Sempurna Mengerjakan Sujud
Sekiranya imam itu berdiri kembali
untuk mengerjakan qunut setelah imam tersebut sempurna meletakkan
anggota-anggota sujudnya, maka makmum haram mengikut imamnya untuk berdiri
kembali mengerjakan qunut. Bahkan sembahyang makmum itu menjadi batal jika dia
senghaja mengerjakannya sedangkan dia mengetahui akan keharamannya.
Sebaliknya, hendaklah makmum itu
berniat mufaraqah (berpisah daripada imam) ataupun menunggu imam itu
dalam sujudnya. Bagaimanapun, berniat mufaraqah dalam hal seumpama ini
adalah lebih baik. Ini kerana dalam situasi imam bangkit semula untuk
mengerjakan qunut setelah dia sempurna mengerjakan sujud itu, ia berlaku kerana
salah satu daripada dua kemungkinan berikut:
1.
Imam itu melakukannya dengan
senghaja sedangkan dia tahu akan keharamannya. Maka dalam hal ini batallah
sembahyang imamnya itu sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.
2.
Imam melakukannya kerana
terlupa ataupun jahil akan keharamannya. Maka dalam hal ini sungguhpun
sembahyang imam itu tidak batal, akan tetapi tidak harus bagi makmum untuk
mengikut perbuatan imam tersebut.
Atas dasar dua kemungkinan ini, maka
para ulama berpendapat bahawa dalam hal ini berniat mufaraqah itu adalah
lebih baik bagi makmum.
Kedudukan Makmum Yang Tertinggal
Atau Meninggalkan Qunut
Sekiranya seorang makmum
meninggalkan qunut, lalu dia mengerjakan sujud, sedangkan imam mengerjakan
qunut, maka dalam hal ini diperhatikan dua keadaan berikut:
1.
Jika makmum meninggalkan
qunut kerana terlalai atau terlupa, maka sujud yang dikerjakannya itu tidak
dikira, bahkan wajib atasnya berdiri kembali mengikut imam mengerjakan qunut
kerana mengikut imam itu hukumnya wajib. Jika makmum itu dengan senghaja tidak
bangkit semula mengikut imam mengerjakan qunut sedangkan dia tahu akan
hukumnya, maka batallah sembahyangnya.
2.
Jika makmum itu meninggalkan
qunut dengan senghaja, maka sujud yang dikerjakannya itu dikira. Ini kerana dia
melakukan perbuatannya itu dengan tujuan yang sahih untuk berpindah daripada
satu perbuatan yang wajib ke satu perbuatan wajib yang lain. Oleh kerana itu, maka
tidaklah wajib atasnya untuk bangkit semula untuk berdiri mengikut imam
mengerjakan qunut, bahkan hanyalah sunat sahaja.
Walau
bagaimanapun, harus diingat bahawa hukum makmum
mendahului perbuatan imam dengan senghaja adalah haram. Ini berdasarkan hadits
yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
أَمَا يَخْشَى الَّذِي يَرْفَعُ
رَأْسَهُ قَبْلَ اْلإِمَامِ أَنْ يُحَوِّلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ.
(رواه
مسلم)
Maksudnya: “Apakah
tidak takut makmum yang mengangkat kepalanya sebelum imam, Allah Subhanahu wa
Ta‘ala akan menukarkan kepalanya dengan kepala keldai?”
(Hadits riwayat Imam Muslim)
Makmum Bermazhab Syafi‘e Mengerjakan
Sembahyang Subuh Berimamkan Imam Bermazhab Hanafi Atau Hanbali
Menurut ulama, seorang yang
bermazhab Syafi‘e, jika dia mengerjakan sembahyang fardhu Subuh di belakang
imam yang berpegang dengan mazhab yang berpendapat bahawa tidak disyariatkan
qunut dalam sembahyang fardhu Subuh, maka jika makmum bermazhab Syafi‘e itu ada
kesempatan untuk mengerjakan qunut, maka dia dibolehkan untuk mengerjakannya
secara bersendirian jika dia yakin bahawa dia sempat mengerjakan sujud yang
pertama bersama-sama imam.
Sepertimana permasalahan makmum yang
mengerjakan qunut secara bersendirian kerana imamnya meninggalkan atau
tertinggal qunut, sembahyang makmum itu belum dikira batal walaupun dia tidak
sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam. Bahkan sembahyang
makmum itu hanya terbatal setelah dia ketinggalan dua rukun fi‘li
daripada imam, iaitu dengan turunnya imam untuk mengerjakan sujud yang kedua
sedangkan makmum masih mengerjakan qunut.
Selepas imam memberi salam, makmum
tersebut dituntut untuk mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam, tidak
kira sama ada makmum tersebut sempat mengerjakan qunut ataupun tidak. Ini
kerana terdapat kekurangan dalam
sembahyang imamnya, iaitu tidak mengerjakan qunut.
Makmum Mengerjakan Sembahyang Fardhu
Subuh Berimamkan Imam Yang Mengerjakan Sembahyang Lain
Sekiranya seorang makmum yang
mengerjakan sembahyang fardhu Subuh bersembahyang di belakang imam yang
mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya misalnya, dan makmum itu sudahpun berada
pada rakaat kedua, maka jika dia berkesempatan untuk mengerjakan qunut
kira-kira dia masih sempat untuk mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama
imam, maka sunat ke atasnya untuk mengerjakan qunut dengan syarat yang
disebutkan tadi iaitu dia masih sempat untuk mengerjakan sujud yang pertama
bersama-sama imam.
Sekiranya makmum tersebut yakin
bahawa dia tidak akan sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam jika
dia mengerjakan qunut, maka dalam hal ini sunat pula baginya untuk meninggalkannya.
Walau bagaimanapun, harus diingat di sini bahawa makmum yang takhalluf (tertinggal)
daripada imam untuk mengerjakan qunut lalu dia tidak sempat mengerjakan sujud
yang pertama bersama-sama imam, ini tidaklah haram atau membatalkan
sembahyangnya bahkan hanyalah makruh sahaja. Ini kerana sembahyang makmum itu
belum dikira batal kecuali setelah dia tertinggal dua rukun fi‘li
daripada imam, iaitu dengan turunnya imam untuk mengerjakan sujud yang kedua
sedangkan makmum masih mengerjakan qunut sepertimana yang telah disebutkan
sebelum ini.
Dalam hal ini, sekiranya makmum yang
mengerjakan sembahyang fardhu Subuh itu tidak berkesempatan untuk mengerjakan
qunut, maka dia tidak perlu mengerjakan sujud sahwi. Ini kerana qunut yang
dituntut daripada makmum yang mengerjakan sembahyang fardhu Subuh itu pada
asalnya memang tidak ada dalam sembahyang fardhu ‘Isya yang dikerjakan oleh
imam, jadi tidak ada apa-apa kekurangan dalam sembahyang imam tersebut. Oleh
itu, dengan sendirinya kekurangan pada sembahyang makmum itu, iaitu tidak
mengerjakan qunut, ditanggung oleh imam.
Dalam perkara sempat atau tidak
mengerjakan qunut ketika bersembahyang di belakang imam yang mengerjakan
sembahyang yang lain ini, makmum yang khuatir tidak sempat mengerjakan qunut
dibolehkan untuk mufaraqah daripada imam untuk membolehkannya
mengerjakan qunut. Bagaimanapun dalam hal ini, mengikut imam dengan
meninggalkan qunut itu adalah lebih afdhal daripada mufaraqah.
Setelah makmum tersebut sudah
sempurna mengerjakan dua rakaat, sedangkan imam yang mengerjakan sembahyang fardhu
‘Isya itu baru hendak memasuki rakaat yang ketiga, maka apabila imam bangkit
untuk mengerjakan rakaat yang seterusnya, makmum itu dalam hal ini mempunyai
dua pilihan; iaitu sama ada berniat mufaraqah lalu memberi salam, atau
menunggu dalam duduk tasyahhudnya sehingga imam menyempurnakan
sembahyangnya untuk memberi salam bersama-sama imam.
Dalam hal ini, makmum yang mufaraqah
selepas sempurna mengerjakan dua rakaat itu tetap akan memperolehi kelebihan
sembahyang berjemaah. Walau bagaimanapun, menunggu imam menyempurnakan
sembahyangnya untuk memberi salam bersama-sama imam itu adalah lebih afdhal.
Ketika makmum duduk menunggu dalam tasyahhudnya
itu, setelah selesai membaca tasyahhud, sunat bagi makmum tersebut
membaca doa dalam tasyahhudnya sementara menunggu imam menghabiskan
sembahyangnya. Jika dia tidak hafal kecuali doa yang pendek, maka
diulang-ulangnya doa itu. Menurut ulama, makmum itu sebaiknya tidak mengulang
bacaan tasyahhudnya sebagai langkah berjaga-jaga kerana terdapat
pendapat yang mengatakan bahawa mengulang rukun qauli itu membatalkan
sembahyang.
Demikian beberapa penerangan
mengenai permasalahan tertinggal atau meninggalkan qunut bagi imam, makmum dan munfarid.
Sebagai seorang muslim, segala maklumat serta ilmu mengenai ibadat sembahyang
tidak boleh diabaikan atau dipandang ringan. Mendalami, mempelajari dan
memahami teori serta menghalusi amalinya bukan tanggungjawab para ulama sahaja,
akan tetapi ia adalah kewajiban setiap individu muslim. Mudah-mudahan
penjelasan ini meningkatkan lagi kesempurnaan serta kefahaman kita mengenai
ibadat paling utama dan paling awal dihisab kelak iaitu ibadat sembahyang.
No comments:
Post a Comment