Wednesday, May 6, 2015

BOLEHKAH SEMBAHYANG JAMA‘ SEBELUM MEMULAKAN PELAYARAN?


 BOLEHKAH SEMBAHYANG JAMA‘ SEBELUM MEMULAKAN PELAYARAN?


بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه

Keistimewaan yang disebut sebagai rukhshah yang dikurniakan bagi orang yang membuat pelayaran ialah keharusan menjama‘ atau menghimpunkan dua waktu sembahyang dan dikerjakan dalam satu waktu.

Sebahagian dalil yang disandarkan bagi menjelaskan ketetapan hukum harus menjama‘ sembahyang ketika dalam pelayaran, diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

(( كَانَ النَّبِيُّ  إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أَنْ تَزِيغَ الشَّمْسُ أَخَّرَ الظُّهْرَ إِلَى وَقْتِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَجْمَعُ بَيْنَهُمَا، وَإِذَا زَاغَتْ صَلَّى الظُّهْرَ، ثُمَّ رَكِبَ ))
(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya: “Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apabila Baginda membuat perjalanan sebelum matahari tergelincir Baginda akan melewatkan sembahyang Zuhur kepada waktu ‘Asar, kemudian menjama‘ (menghimpunkan) kedua-dua sembahyang tersebut. Dan jika matahari sudah tergelincir Baginda akan menunaikan sembahyang Zuhur terlebih dahulu, kemudian Baginda memulakan perjalanan.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Melalui riwayat Anas juga, beliau berkata:

(( كَانَ النَّبِيُّ e إِذَا أَرَادَ أَنْ يَجْمَعَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ فِي السَّفَرِ أَخَّرَ الظُّهْرَ حَتَّى يَدْخُلَ أَوَّلُ وَقْتِ الْعَصْرِ ثُمَّ يَجْمَعُ بَيْنَهُمَا ))
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apabila Baginda hendak menghimpunkan dua sembahyang ketika dalam pelayaran Baginda akan mengakhirkan sembahyang Zuhur sehinggalah masuk awal waktu sembayang ‘Asar, kemudian Baginda menjama‘ (menghimpunkan) kedua-dua sembahyang tersebut.”
(Hadits riwayat Muslim)

Bagaimana cara yang lebih utama dalam menjama‘ sembahyang?

Kebanyakan para ulama termasuk para ulama mazhab Syafi‘e mengatakan bahawa harus menjama‘ atau menghimpunkan sembahyang fardhu Zuhur dengan ‘Asar, dan dikerjakan di dalam salah satu waktu sembahyang tersebut, sebagaimana juga harus menjama‘ sembahyang fardhu Maghrib dengan ‘Isya, dan dikerjakan di dalam salah satu waktu sembahyang tersebut ketika seseorang itu dalam pelayaran yang jauh.

Sembahyang jama‘ itu terdapat dua cara iaitu jama‘ taqdim dan jama‘ ta’khir. Jika sembahyang fardhu Zuhur dan ‘Asar yang dijama‘ itu dikerjakan di dalam waktu Zuhur ataupun sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ yang dijama‘ itu dikerjakan dalam waktu Maghrib maka itu dinamakan jama‘ taqdim. Jika sembahyang fardhu Zuhur dan ‘Asar yang dijama‘ itu dikerjakan di dalam waktu ‘Asar ataupun sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ yang dijama‘ itu dikerjakan dalam waktu ‘Isya’ maka itu dinamakan jama‘ ta’khir.

Persoalannya, bagaimana cara yang lebih elok dikerjakan, adakah dengan cara jama‘ taqdim atau jama‘ ta’khir?

Para ulama menggariskan bahawa seseorang yang dalam pelayaran itu jika dia singgah atau berehat di suatu tempat, dan pada ketika itu waktu sembahyang Zuhur atau sembahyang Maghrib sudah masuk, maka adalah lebih utama baginya menunaikan sembahyang dengan jama‘ taqdim, iaitu menghimpunkan sembahyang ‘Asar ke dalam waktu Zuhur atau menghimpunkan sembahyang ‘Isya ke dalam waktu Maghrib.

Sebaliknya, jika waktu sembahyang Zuhur atau sembahyang Maghrib telah masuk dan dia pada masa itu dalam perjalanan maka adalah lebih utama baginya menunaikan sembahyang dengan jama‘ ta’khir, iaitu menghimpunkan sembahyang Zuhur ke dalam waktu ‘Asar atau menghimpunkan sembahyang Maghrib ke dalam waktu ‘Isya’.

Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

(( أَلاَ أُخْبِرُكُمْ عَنْ صَلاَةِ رَسُولِ اللهِ e ؟ إِذَا زَالَتْ االشَّمْسُ وَهُوَ فِي الْمَنْزِلِ قَدَّمَ الْعَصْرَ إِلَى الظُّهْرِ، وَيَجْمَعُ بَيْنَهُمَا فِي الزَّوَالِ،

وَإِذَا سَافَرَ قَبْلَ الزَّوَالِ أَخَّرَ الظُّهْرَ إِلَى وَقْتِ الْعَصْرِ، ثُمَّ جَمَعَ بَيْنَهُمَا فِي وَقْتِ الْعَصْرِ ))
(رواه البيهقي بإسناد جيد)

Maksudnya: “Tidakkah aku khabarkan kepada kamu tentang sembahyang Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam? Apabila matahari tergelincir dan pada ketika itu Baginda berada di rumah (tempat Baginda menginap ketika dalam pelayaran), maka Baginda akan menyegerakan sembahyang fardhu ‘Asar ke dalam waktu Zuhur, lalu menjama‘ (menghimpunkan) keduanya (sembahyang Zuhur dan ‘Asar) pada waktu tergelincir matahari (waktu Zuhur).

Apabila Baginda membuat pelayaran sebelum tergelincir matahari, maka Baginda akan mengakhirkan sembahyang Zuhur ke dalam waktu ‘Asar, lalu menjama‘(menghimpunkan) keduanya (sembahyang Zuhur dan ‘Asar) pada waktu ‘Asar.”
(Hadits riwayat Al-Baihaqi dengan sanad yang baik)

Bolehkah sembahyang jama‘ kerana rukhshah pelayaran itu dikerjakan di rumah sebelum membuat pelayaran?

Persoalan ini ditimbulkan kerana terdapat dakwaan bahawa sembahyang jama‘ kerana pelayaran itu boleh dilakukan dari rumah iaitu sejak dari rumah lagi iaitu sebelum memulakan pelayaran (safar).
 Dakwaan ini berdasarkan riwayat daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:

(( أَنَّ النَّبِيَّ  كَانَ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أَنْ تَزيْعَ الشَّمْسُ أَخَّرَ الظُّهْرَ إِلَى وَقْتِ الْعَصْرِ، ثُمَّ نَزَلَ فَجَمَعَ بَيْنَهُمَا،

فَإِنْ زاَغَتِ الشَّمْسُ قَبْلَ أَنْ يَرْتَحِلَ صَلَّى الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ، ثُمَّ يَرْكَبُ ))
(رواه الشيخان)

Maksudnya (sebagaimana yang diterjemahkan oleh pendokong pendapat di atas): “Bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apabila hendak belayar (musafir) sebelum tergelincir matahari Baginda mengakhirkan sembahyang Zuhur kepada waktu ‘Asar, kemudian Baginda pun turun (memulakan perjalanan). Maka Baginda menghimpunkan di antara kedua sembahyang itu (sembahyang Zuhur dan ‘Asar).

Jika tergelincir matahari sebelum Baginda belayar (musafir) Baginda mengerjakan sembahyang Zuhur dan ‘Asar, kemudian Baginda pun menunggang (memulakan perjalanan).”
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Apa yang dapat difahami bahawa pendapat ini ternyata kurang tepat dan tersasar dari pemahaman yang betul terhadap dalil yang dibawakan.





Alasan yang dapat dikemukakan untuk menolak pendapat di atas:

1.  Apabila kita petik sebahagian sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam di atas, iaitu:

(( فَـإِنْ زاَغَتِ الشَّمْسُ قَبْلَ أَنْ يَرْتَحِلَ صَلَّى الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ، ثُمَّ يَرْكَبُ ))

Maksudnya: “Jika tergelincir matahari sebelum Baginda membuat perjalanan Baginda mengerjakan sembahyang Zuhur dan ‘Asar, kemudian Baginda pun menunggang (memulakan perjalanan).”

Tidak dinafikan sungguhpun pada zahirnya hadits di atas memberi maksud Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menjama‘ sembahyang Zuhur dan ‘Asar dengan  cara jama‘ taqdim semasa Baginda berada di rumah sebelum membuat perjalanan, akan tetapi perlu difahami bahawa perkara ini berlaku ketika Baginda sedang dalam pelayaran, ketika Baginda singgah di suatu tempat untuk menunaikan sembahyang secara jama‘ sebelum meneruskan perjalanan seterusnya.

Perkara ini disokong oleh beberapa riwayat yang lain seperti hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:

((كَانَ النَّبِيُّ e إِذَا كَانَ فِي سَفَرٍ فَزَالَتْ الشَّمْسُ صَلَّى الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيْعًا ثُمَّ ارْتَحَلَ ))[i]
(أخرجه البيهقي والإسماعيلي وصححه ابن حجر)

Maksudnya: “Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apabila Baginda dalam pelayaran, lalu matahari tergelincir, Baginda pun menunaikan sembahyang Zuhur dan ‘Asar secara jama‘, kemudian barulah Baginda meneruskan perjalanan.”
(Dikeluarkan oleh Al-Baihaqi dan Al-Ismaili, dan dikatakan shahih oleh Ibnu Hajr)

Hadits ini lebih jelas menyatakan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjama‘ sembahyang sebelum memulakan perjalanan adalah ketika Baginda sedang dalam pelayaran.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

(( أَلاَ أُخْبِرُكُمْ عَنْ صَلاَةِ رَسُولِ اللهِ  ؟ إِذَا زَالَتْ االشَّمْسُ وَهُوَ فِي الْمَنْزِلِ قَدَّمَ الْعَصْرَ إِلَى الظُّهْرِ، وَيَجْمَعُ بَيْنَهُمَا فِي الزَّوَالِ ))
(رواه البيهقي بإسناد جيد)

Maksudnya: “Tidakkah aku khabarkan kepada kamu tentang sembahyang Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam? Apabila matahari tergelincir dan pada ketika itu Baginda berada di rumah (tempat Baginda menginap ketika dalam pelayaran), maka Baginda akan menyegerakan sembahyang fardhu ‘Asar ke dalam waktu Zuhur, lalu menjama‘ (menghimpunkan) keduanya (sembahyang Zuhur dan ‘Asar) pada waktu tergelincir matahari (waktu Zuhur).
(Hadits riwayat Al-Baihaqi dengan sanad yang baik)

Dijelaskan di dalam Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah, terbitan Kementerian Waqaf Dan Hal Ehwal Islam, Kuwait bahawa maksud perkataan “وهو في المَنْزِلِ(pada ketika itu Baginda berada di rumah) di dalam hadits di atas adalah bermaksud “مكان النـزول في السفر(tempat Baginda menginap ketika dalam pelayaran). (Jld. 15, m.s. 287)

Di dalam riwayat yang lain lagi daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

(( أَنَّهُ كَانَ إِذَا نَزَلَ مَنْزِلاً فِي السَّفَرِ فَأَعْجَبَهُ الْمَنْزِلُ أَقَامَ فِيْهِ حَتَّى يَجْمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، ثُمَّ يَرْتَحِلُ،

فَإِذَا لَمْ يَتَهَيَّأْ لَهُ الْمَنْزِلُ مَدَّ فِي السَّفَرِ فَسَارَ فَأَخَّرَ الظُّهْرَ، حَتَّى يَأْتِيَ الْمَنْزِلَ الَّذِيْ يُرِيدُ أَنْ يَجْمَعَ فِيْهِ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ ))
(أخرجه البيهقي ورجاله ثقات)

Maksudnya: “Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apabila Baginda berhenti di sebuah rumah ketika dalam pelayaran dan Baginda berkenan (suka) kepada rumah tersebut, maka Baginda menempatinya sehinggalah Baginda menjama‘ sembahyang Zuhur dengan ‘Asar, kemudia Baginda meneruskan perjalanan.

Jika rumah tidak tersedia untuk Baginda, Baginda akan meneruskan pelayaran, maka Baginda pun berjalan dan mengakhirkan sembahyang Zuhur sehinggalah Baginda datang ke sebuah rumah, di mana di rumah itu Baginda hendak menjama‘ sembahyang Zuhur dengan ‘Asar.”
(Hadits dikeluarkan oleh Al-Baihaqi dan periwayat-periwayatnya adalah dipercayai yakni thiqah)

Berdasarkan riwayat-riwayat yang dikemukakan di atas, jelas menerangkan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam melakukan sembahyang jama‘ adalah ketika Baginda singgah di suatu tempat atau di sebuah rumah ketika dalam pelayaran, bukannya sebelum memulakan pelayaran. Atau dengan lain perkataan, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menjama‘ sembahyang ketika Baginda sudah dalam keadaan musafir, bukannya dalam keadaan bermukim.

2.  Seorang itu hanya dikatakan musafir sebaik-baik sahaja dia  melewati (keluar) daripada sempadan perkampungan atau kota atau bandar di mana dia tinggal. Jadi, bagaimana boleh seorang itu diharuskan menjama‘ sembahyang ketika dia masih berada di rumahnya sebelum keluar belayar kerana rukhshah pelayaran, sedangkan ketika itu dia belum lagi di katakan sebagai musafir?

Jawatankuasa Tetap Penyelidikan Ilmiah Dan Fatwa, Arab Saudi yang diketuai oleh Bekas Mufti Arab Saudi, Abdul Aziz bin Baz Rahimahullahu Ta‘ala pernah dihadapkan persoalan mengenai dengan seorang yang hendak membuat pelayaran, adakah diharuskan baginya menjama‘ tanpa mengqashar sembahyang fardhu Zuhur dengan ‘Asar sedang pada ketika itu dia masih lagi di rumah (belum lagi keluar rumah untuk memulakan pelayaran)?

Jawatankuasa tersebut menjawab: “Tidak harus bagi sesiapa yang berniat untuk membuat pelayaran menjama‘ sembahyang ‘Asar dengan Zuhur atau menjama‘ sembahyang ‘Isya’ dengan Maghrib selama mana dia masih lagi berada di rumah dan belum lagi memulakan pelayaran, kerana tidak terdapat sebab yang mengharuskan dia menjama‘ sembahyang iaitu pelayaran. Bahkan rukhshah atau kelonggaran mengqashar dan menjama‘ itu adalah bermula apabila dia meninggalkan kediaman negerinya.”

Penutup


Berdasarkan perbincangan yang lalu, jelas bahawa orang yang hendak membuat pelayaran dan bercadang untuk menjama‘ sembahyang kerana rukhshah pelayaran, tidak boleh menjama‘ sembahyangnya ketika dia masih lagi belum memulakan pelayaran atau ketika dia masih lagi berada di rumah kediamannya, kerana pelayarannya hanya dikira apabila dia keluar atau lepas daripada sempadan tempat tinggalnya.






















































No comments:

Post a Comment