بسم
الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
Duduk antara dua sujud merupakan salah satu rukun fi‘li
(perbuatan) yang pendek. Menurut jumhur ulama duduk antara dua sujud adalah
wajib dan tidak sah sembahyang jika ditinggalkan dengan sengaja. (Al-Majmuk: 3/367)
Menurut ashhab mazhab Syafi‘e dan jumhur ulama
wajib thuma’ninah ketika ruku‘, sujud, i‘tidal (bangkit daripada
ruku‘) dan duduk antara dua sujud, berdasarkan hadis Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam:
قَالَ إِذَا قُمْتَ اِلَى الصَّلاةِ
فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ
حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى
تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا ثُمَّ اسْجُدْ
حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِى صَلاَتِكَ كُلِّهَا
(رواه البخارى)
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk menunaikan sembahyang hendaklah
bertakbir, kemudian bacalah yang mudah olehmu daripada ayat Al-Quran. Kemudian
ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian bangkit sehingga berdiri tegak (i‘tidal),
kemudian sujud dengan tuma’ninah, kemudian bangkitlah daripadanya dengan
thuma’ninah, dan lakukanlah yang sedemikian itu dalam setiap sembahyangmu”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Maka ruangan irsyad hukum pada keluarannya kali ini akan
menjelaskan kaifiyat atau cara duduk antara dua sujud.
Imam An-Nawawi (Al-Majmuk:3/397-403) menjelaskan kaifiyat
atau cara duduk antara dua sujud itu ada
tiga cara:
1. Punggung
didudukkan di atas tapak kaki kiri, sementara itu didirikan tapak kaki kanan
dengan melipatkan anak-anak jari kaki kanan menghala ke kiblat. Inilah kaifiyat
duduk antara dua sujud yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Humaid As-Sa‘idiy:
قَالَ أَبُو
حُمَيْدٍ السَّاعِدِيُّ أَنَا كُنْتُ أَحْفَظَكُمْ لِصَلاَةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَيْتُهُ إِذَا كَبَّرَ جَعَلَ يَدَيْهِ حِذَاءَ
مَنْكِبَيْهِ وَإِذَا رَكَعَ أَمْكَنَ يَدَيْهِ مِنْ رُكْبَتَيْهِ ثُمَّ هَصَرَ
ظَهْرَهُ فَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ اسْتَوَى حَتَّى يَعُودَ كُلُّ فَقَارٍ
مَكَانَهُ فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَ يَدَيْهِ غَيْرَ مُفْتَرِشٍ وَلا قَابِضِهِمَا
وَاسْتَقْبَلَ بِأَطْرَافِ أَصَابِعِ رِجْلَيْهِ الْقِبْلَةَ فَإِذَا جَلَسَ فِي
الرَّكْعَتَيْنِ جَلَسَ عَلَى رِجْلِهِ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْيُمْنَى وَإِذَا
جَلَسَ فِي الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ قَدَّمَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الأُخْرَى
وَقَعَدَ عَلَى مَقْعَدَتِهِ [ii]
(رواه البخارى)
Maksudnya: “Telah
berkata Abu Humaid As-Sa‘idiy: “Aku adalah orang yang paling hafal (mengetahui)
akan shalatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Aku melihat ketika
Baginda bertakbir, Baginda mengangkatkan tangan Baginda sejajar dengan dua
bahunya. Apabila ruku‘, Baginda letakkan kedua tangannya pada kedua lutut.
Kemudian Baginda membungkukkan punggung. Apabila Baginda mengangkat kepala
(dari ruku‘) Baginda tegak sehingga setiap tulang belakangnya kembali ke
tempatnya. Apabila sujud Baginda letakkan kedua tangan Baginda dengan tidak
mencengkam dan tidak pula menggenggam, dan Baginda hadapkan hujung jari-jari
Baginda ke arah kiblat. Apabila Baginda duduk pada raka‘at ke dua, Baginda
duduk di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Apabila Baginda duduk pada
raka‘at akhir maka Baginda julurkan kaki kiri dan ditegakkannya kaki kanan dan
Baginda duduk di atas tempat duduk Baginda (tikarnya)”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
2. Cara
yang kedua yang juga diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
ialah duduk iq‘a iaitu dengan punggung didudukkan di atas kedua-dua
tapak kaki dan tumit, sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu
‘anhuma:
أَخْبَرَنِي أَبُو
الزُّبَيْرِ أَنَّهُ سَمِعَ طَاوُسًا يَقُولُ قُلْنَا لابْنِ عَبَّاسٍ فِي
الإِقْعَاءِ عَلَى الْقَدَمَيْنِ فَقَالَ هِيَ السُّنَّةُ فَقُلْنَا لَهُ إِنَّا
لَنَرَاهُ جَفَاءً بِالرَّجُلِ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ بَلْ هِيَ سُنَّةُ
نَبِيِّكَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [iii]
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Abu
Zubair mendengar daripada Thawus mengatakan: “Kami bertanya kepada Ibnu ‘Abbas
mengenai duduk (dengan cara iq‘a) di atas dua kaki. Ibnu ‘Abbas menjawab: “Itu
adalah sunat”. Lalu kami berkata kepadanya: “Kami melihat (cara duduk
sedemikian) menyusahkan orang tersebut”. Ibnu abbas menjawab: “Itulah sunnah
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam”.
(Hadis riwayat Muslim)
3. Cara
ketiga menurut riwayat daripada Ibnu ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu
‘anhum ialah dengan duduk di atas dua tumit dan jari kaki, adalah juga
termasuk duduk antara dua sujud. (Al-Majmuk: 3/399) Perkara ini disebutkan dalam satu riwayat
daripada Az-Zubair:
أَنَّهُ رَأَى عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ إِذَا
سَجَدَ حِيْنَ رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ السَّجْدَةِ الأُوْلَى يَقْعُدُ عَلَى
أَطْرَافِ أَصَابِعِهِ، وَيَقُوْلُ إِنَّهُ مِنَ السُّنَّةِ [iv]
(رواه البيهقى)
Maksudnya: “Sesungguhnya
dia (Az-Zubair) melihat ‘Abdullah bin ‘Umar apabila sujud, kemudian beliau
mengangkat kepalanya daripada sujud yang pertama (lalu) duduk di atas jari-jari
kakinya dan beliau berkata: “Sesungguhnya (duduk seperti ini) adalah sunnah”.
(Riwayat Al-Baihaqi)
Al-Baihaqi dalam kitab Sunan Al-Kubra (2/464)
menjelaskan bahawa duduk iq‘a seumpama ini adalah disunatkan sebagaimana
yang diriwayatkan kepada kami daripada Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar Radiallahu
‘anhum. Beliau seterusnya menjelaskan cara duduk tersebut iaitu:
وَهُوَ أَنْ يَضَعَ أَطْرَافَ أَصَابِعِ
رِجْلَيْهِ عَلَى الأَرْضِ، وَيَضَعَ أَلْيَتَيْهِ عَلَى عَقِبَيْهِ، وَيَضَعَ
رُكْبَتَيْهِ بِالأَرْضِ
Maksudnya: “(Cara duduk itu) ialah meletakkan
jari-jari kaki di atas bumi dan meletakkan punggung di atas dua tumit serta
meletakkan lutut di atas bumi”
Menurut An-Nawawi, ulama‘ berselisih pendapat pada hukum
duduk dan kaifiyat dalam duduk al-iq‘a. Sebenarnya cara duduk iq‘a
itu dua macam:
1.
Meletakkan kedua punggungnya di bumi, menegakkan
kedua kakinya dan meletakkan kedua tangannya di atas bumi seperti duduknya
seekor anjing. Inilah cara duduk yang dimakruhkan sebagaimana yang dimaksudkan
dalam larangan hadis.
2.
Menjadikan kedua
punggungnya atas tumitnya ketika melakukan duduk di antara dua sujud. Inilah
cara duduk yang disunatkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Dalam perkara 2 di atas, Imam As-Syafi‘e menyatakan
adalah sunat melakukan duduk Iq‘a ketika duduk antara dua sujud
sebagaimana disebutkan dalam kitabnya Al-Buwaithi dan Al-Imla’. Walau
bagaimanapun dalam nash (kitab) yang lain, beliau menyatakan duduk yang
masyhur dan disunatkan ialah duduk iftirash. Oleh yang demikian, duduk
yang afdhal menurut mazhab Syafi‘e ialah dengan cara duduk iftirash sama
ada ketika melakukan duduk tasyahhud awwal, duduk antara dua sujud
mahupun ketika duduk istirahah (duduk sebelum bangkit bagi raka‘at
seterusnya). Manakala duduk ketika tasyahhud akhir sunat dilakukan
dengan duduk tawarruk (sebagaimana duduk yang biasa kita buat pada
raka‘at terakhir sebelum salam). (Shahih Muslim Syarh An-Nawawi:
2/169-170)
Berdasarkan penjelasan di atas, menurut Imam Syafi‘e
sunat duduk iftirash pada kebanyakkan duduk dalam sembahyang, kecuali
bagi duduk yang diikuti dengan salam. Menurut beliau juga, duduk di dalam
sembahyang itu ada empat iaitu duduk antara dua sujud, duduk tasyahhud awwal,
duduk istirahah (duduk sebelum bangkit/berdiri bagi raka‘at seterusnya),
dan duduk tasyahhud akhir. Kesemua duduk yang disebutkan tadi sunat
dilakukan dengan duduk iftirash kecuali duduk tasyahhud akhir. Begitu
juga bagi orang yang masbuq, sunat duduk dengan iftirash. Menurut
Imam An-Nawawi, jika dilakukan kesemua duduk dalam sembahyang dan menjadikan
kaki-kakinya itu dengan cara duduk iftirash, iq‘a atau tawarruk tidak
akan membatalkan sembahyang sekalipun duduk itu berbeza-beza.[v] (Shahih
Muslim Syarh An-Nawawi: 2/133-134)
Disunatkan dalam duduk antara dua sujud itu,
meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dan tangan kiri di atas paha kiri
dengan jari-jari diletakkan sejajar di atas kepala lutut sambil menghadap
kiblat. Maka tidaklah mengapa jika jari-jari tersebut melimpasi lutut
berkenaan. (Al-Majmu‘:
3/398)
Doa
Ketika Duduk Antara Dua Sujud
Perbuatan duduk antara
dua sujud ini adalah satu waktu yang sangat singkat iaitu sekadar thuma‘ninah
(berhenti sekejap) sebelum berpindah kepada sujud yang kedua. Rukun ini
melambangkan bahawa hidup seorang mukmin itu sentiasa berdisiplin, tenang dan
tidak gopoh di dalam menghadapi sebarang ujian dan cabaran hidup di dunia yang
berbagai-bagai corak rupa yang boleh melalaikan seorang hamba itu daripada
Tuhannya.
Ketika melakukan duduk antara dua sujud
itu, disunatkan membaca doa:
رَبِّ
اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي
وَعَافِنِي
Maksudnya: “Ya Tuhan! Ampunilah aku,
rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, angkatlah kedudukanku, kurniakanlah
kepadaku rezeki, dan berilah aku petunjuk serta berilah kepadaku kesihatan.”
Doa seumpama ini diriwayatkan dalam beberapa hadis
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ بَيْنَ
السَّجْدَتَيْنِ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَاهْدِنِي
وَارْزُقْنِي [vi]،
وفى رواية ابن ماجة "وارفعني" [vii]
(رواه
الترمذى)
Maksudnya: “Daripada
Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca doa ketika duduk antara dua sujud: “Ya
Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, berilah aku
petunjuk dan kurniakanlah aku rezeki.” Manakala di dalam riwayat Ibnu Majah
(ditambah): “Angkatkanlah kedudukanku.”
(Hadis
riwayat At-Tirmidzi)
Dalam hadis yang lain:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ بَيْنَ
السَّجْدَتَيْنِ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَاهْدِنِي
وَارْزُقْنِي [viii]
(رواه أبو
داود)
Maksudnya: “Daripada
Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ketika duduk
antara dua sujud: “Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, ‘afiatkanlah
aku, dan berilah petunjuk serta rezki kepadaku.”
(Hadis riwayat Abu Dawud)
Doa yang pendek dan ringkas ini merupakan hasrat suci
dan rangkuman pengharapan seorang hamba terhadap Penciptanya serta rasa bimbang
terhadap dosa-dosa yang telah lalu. Apa yang kita pohonkan dalam doa ini agar
Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
·
Menjadikan kita
seorang manusia yang mencintai jalan kebenaran dan jika kita tersesat atau
menyimpang daripada jalan-Nya yang lurus, kita memohon petunjuk agar
dikembalikan ke jalan yang benar.
·
Mengurniakan
rahmat-Nya yang melimpah ruah kepada kita, iaitu rahmat yang berupa iman yang
teguh, ilmu yang bermanfaat, sihat dan sejahtera, kehidupan yang baik dan
diredhai-Nya.
·
Menutup serta
menggantikan segala kekurangan atau cacat cela diri kita dengan kebaikan.
·
Menjauhkan diri
dan keluarga daripada segala mala petaka hidup di dunia dan azab sengsara di
Akhirat.
·
Menetapkan hidup
di atas jalan agama-Nya yang lurus dan sentiasa membimbing segala tindak-tanduk
kita dengan taufik dan hidayat-Nya.
·
Memohon keampunan
atas segala kesalahan dan dosa serta berharap kepada-Nya agar tidak membiarkan
kita terus bergelumang dengan dosa dan kemahuan nafsu yang jahat.
Apa yang kita ucapkan dalam doa ini bukan sekadar
permintaan semata, tetapi merupakan pengisytiharan yang dinyatakan di hadapan
Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa itulah matlamat yang hendak kita cari.
Ia mesti diikuti dengan usaha-usaha yang gigih, sabar, tekun, yakin, redha dan
penuh harapan kepada pertolongan Allah. Dengan cara demikian, barulah Allah
akan kabulkan permohonan atau doa itu.
Penutup
Duduk antara dua sujud
itu boleh dilakukan sama ada dengan cara duduk iftirash atau iq‘a,
malahan tidak membatalkan sembahyang jika dilakukan semua duduk dalam
sembahyang sama ada dengan duduk iftirash, tawarruk, atau iq‘a
sekalipun berbeza-beza. Walau bagaimanapun duduk iftirash adalah afdhal
bagi duduk yang tidak disudahi dengan salam. Manakala duduk tawarruk afdhal
dilakukan bagi duduk yang disudahi dengan salam (ketika tahiyyat akhir).
Hendaklah diingat, doa
yang pendek ketika duduk antara dua sujud itu selain merupakan isi ibadah, ia
juga sebagai pembekal yang melahirkan tenaga penggerak untuk bertindak mengikut
lunas-lunas syariat. Ia melahirkan keazaman serta penyerahan yang tulin pada
jiwa seorang hamba untuk mencapai apa yang diharapkannya daripada doa itu. Oleh
kerana itu hayatilah setiap gerak geri ucapan (doa) dalam sembahyang itu supaya
memberi kesan yang baik kepada kemantapan iman.
[viii] كتاب الصلاة، باب
الدعاء بين السجدتين
Terima kasih atas penjelasan yg mudah difahami. Moga mndpt limpahan rahmat Allah swt buat anda kluarga n seluruh umat Islam di dunia aamiin ya Rabb..
ReplyDeleteJika ragu-ragu terlupa bacaan doanya bagaimana hukumnya?
ReplyDeletekan sunat doa tu
Deleteasalkan ada tumakninah je
Terima kasih
ReplyDeleteadakah doa duduk antara dua sujud itu dibaca d dalam hati atau lafaz?
ReplyDeleteSalam...saya boleh sujud...tapi saya tak boleh duduk antara 2 sujud kerna badan saya yg besar...soalan nya...boleh kah saya menggunakan kerusi utk sujud dan suduk antara 2 sujud?
ReplyDeleteKalau terlupa duduk antara 2 sujud kiranya solat masih sahkan
ReplyDeleteDisebabkan duduk antara dua sujud termasuk dalam rukun solat maka perlu duduk antara dua sjud yang tertinggal tadi dengan cara mengulang rakaat yang duduk antara dua sujud tadi ditinggalkan secara keseluruhannya (kerana rakaat tadi tidak dikira sempurna). Sebelum mengakhiri solat, barulah kita melakukan sujud sahwi.
ReplyDeleteNampak Bangladesh duduk antara dua sujud tak thomaninah . Sy tnya dia knp ? Dia kata antara dua sujud mazhab dia bukan rukun dalam solat betul ke
ReplyDeleteAlhamdulillah....t.kasih tuan atas pencerahan ini....akhir2 ini ramai penceramah muda berishtihad ...kena duduk mcm ni bukan mcm ni....ni tak ikut sunnah lah mcm2 lah....kerna kurang ilmu org awam jadi keliru was2 ketika solat...belum bab saidina lah talkin lah tahlil lah...sedang kan tahlil tu hanya lah lailahaillah yg lain2 tu kan bagus nya kita mengajak org2 kampung baca quran yakni surah yasin dan surah berkaitan kan bagus tu....waallahua'lam....
ReplyDelete