(Dengan nama Allah,
Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Sembahyang sunat Rawatib ialah sembahyang sunat yang mengiringi
sembahyang fardhu lima
waktu, apabila dikerjakan sebelum mendirikan sembahyang fardhu disebut sebagai qabliyyah,
apabila dikerjakan selepasnya disebut ba‘diyyah.
Sembahyang sunat ini tergolong daripada jenis sembahyang-sembahyang sunat
yang tidak disunatkan berjemaah. Sungguhpun demikian, bukanlah bererti tidak
boleh mengerjakannya secara berjemaah, bahkan tidak makruh mengerjakannya secara
berjemaah, akan tetapi adalah awla (lebih baik) untuk tidak berjemaah.
Sembahyang sunat Rawatib juga sunat dikerjakan
sama ada ketika sedang bermukim mahupun ketika dalam pelayaran, sekalipun sembahyang
fardhu yang dikerjakan itu secara qashar.
1. Sembahyang Sunat Rawatib Subuh
Sunat sembahyang dua rakaat sebelum menunaikan sembahyang fardhu
Subuh. Sembahyang ini dikenali juga dengan nama sembahyang sunat Fajar. Menurut
ulama, sembahyang sunat Subuh ataupun Fajar ini tergolong dalam sembahyang
sunat yang sangat dituntut (sunnah mu’akkadah).
Sembahyang sunat Subuh ini sunat dikerjakan secara ringan (tidak
dipanjangkan), dan disunatkan untuk membaca pada rakaat pertama ayat ke 136
daripada surah al-Baqarah, dan pada rakaat kedua sunat dibaca ayat ke 64
daripada surah Ali ‘Imran.
Selain dua ayat ini, disunatkan juga untuk membaca surah
al-Kaafirun pada rakaat pertama, dan surah al-Ikhlas pada rakaat kedua, ataupun
membaca surah al-Insyiraah pada rakaat pertama dan surah al-Fiil pada rakaat
kedua.
Disunatkan juga selepas mengerjakan sembahyang sunat Subuh ini untuk
berbaring, dan adalah awla (lebih utama) untuk berbaring secara mengiring di
bahu kanan, dengan menghadapkan muka dan bahagian depan badan ke arah qiblat
sepertimana keadaannya di dalam kubur, kerana ini akan lebih mengingatkan
seseorang itu kepada kematian, lalu dia akan berusaha melakukan amalan-amalan saleh
dan bersiap-sedia untuk menghadapi kematian.
Ini berdasarkan hadits
yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau telah berkata:
كَانَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ اضْطَجَعَ
عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ.
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Bahwasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai
mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh), Baginda berbaring
(mengiring) di atas bahu kanan Baginda.”
(Hadits riwayat
Imam al- Bukhari)
Sebelum berbaring, iaitu setelah selesai sahaja mengerjakan
sembahyang sunat Subuh, sebahagian ulama menganjurkan untuk membaca doa berikut
sebanyak tiga kali:
اَللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ وَإِسْرَافِيلَ
وَمِيكَائِيلَ وَمُحَمَّدٍ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ أَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ.
Ertinya: “Ya
Allah! Tuhan Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku berlindung dengan-Mu
daripada api neraka.”
Dalam kitab Fath al-‘Allam turut disebutkan bahawa adalah baik
untuk diamalkan doa berikut bagi meneguhkan iman sebanyak empat puluh kali
dalam waktu di antara sunat Subuh dan sembahyang fardhunya (selepas sembahyang
sunat Subuh):
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ.
Ertinya: “Wahai Tuhan yang Maha
Hidup, wahai Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri. Tiada Tuhan yang berhak disembah
melainkan Engkau.”
At-Tirmidzi al-Hakim pula mengajarkan amalan doa berikut supaya
tidak kehilangan iman dan dibaca empat puluh satu kali selepas sembahyang sunat
Subuh, iaitu:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ يَا بَدِيعَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ يَا
ذَالْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ ، يَا اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْأَلُكَ أَنْ تُحْيِيَ قَلْبِي بِنُورِ مَعْرِفَتِكَ يَا
اللهُ يَا اللهُ يَا اللهُ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
Ertinya: “Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan
yang Maha Berdiri Sendiri, wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi, wahai Tuhan
yang memiliki segala kebesaran dan kemuliaan. Ya Allah, tiada Tuhan selain
Engkau, aku memohon kepada-Mu supaya menghidupkan hatiku dengan cahaya
makrifat-Mu. Ya Allah, ya Allah, ya Allah, wahai Tuhan Yang
Maha Mengasihani daripada Yang Mengasihani.”
Jika sembahyang sunat Subuh itu dikerjakan selepas sembahyang
fardhu Subuh kerana sembahyang fardhu Subuh sudahpun didirikan oleh imam,
ataupun takut tidak sempat bertakbiratul ihram bersama-sama imam jika
mengerjakannya terlebih dahulu
(sembahyang sunat Subuh), maka menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab
asy-Syafi‘e, adalah disunatkan juga berbaring selepas sembahyang sunat Subuh
itu.
Dalam hal ini, sungguhpun sembahyang sunat Subuh yang sepatutnya
dikerjakan sebelum sembahyang fardhu Subuh itu dikerjakan selepasnya
(sembahyang fardhu Subuh), ia masih lagi dikira tunai kerana ianya masih lagi
dilakukan dalam waktu Subuh. Begitu juga halnya bagi sembahyang-sembahyang
sunat Rawatib Qabliyyah yang lain.
Bagaimanapun, sembahyang sunat Rawatib Ba‘diyyah tidak
boleh sekali-kali didahulukan daripada sembahyang fardhu kerana waktunya
(Rawatib Ba‘diyyah) belum lagi masuk sekalipun sembahyang fardhu yang dilakukan itu adalah sembahyang qadha. Ini kerana menurut ulama-ulama mazhab
asy-Syafi‘e, waktu bagi Rawatib Ba‘diyyah itu bermula setelah selesai
sahaja mengerjakan sembahyang fardhu, dengan syarat orang tersebut mestilah
yakin bahawa sembahyang fardhunya itu tadi adalah sah, dan
waktunya berkekalan sehinggalah habis waktu sembahyang fardhu tersebut,
sedangkan waktu Rawatib Qabliyyah itu bermula dengan masuknya waktu
sembahyang fardhu, dan waktunya berkekalan sehinggalah habis waktu sembahyang
fardhu tersebut, kerana itulah sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah itu sungguhpun
dikerjakan selepas sembahyang fardhu, ianya masih lagi dikira tunai selagimana
ianya dikerjakan dalam waktunya.
Jika berbaring ini sukar dilakukan, maka bolehlah sembahyang sunat
Subuh itu dipisahkan dengan sembahyang fardhu Subuh dengan cara bercakap, sama
ada dengan membaca zikir, doa ukhrawi (hal-hal akhirat) ataupun dengan membaca
al-Qur’an. Jika tidak mampu juga, maka memadailah dengan beralih tempat untuk
memisahkan di antara kedua sembahyang sunat Subuh dengan sembahyang fardhunya.
Fadhilatnya
Telah sabit dikhabarkan
bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat Fajar (Subuh)
ini sama ada ketika Baginda sedang bermukim mahupun ketika Baginda dalam
perjalanan (musafir). ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah
berkata:
لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ
مَنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ تَعَاهُدًا مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ.
(رواه البخاري)
Maksudnya:
“Tiada suatu sembahyang sunat pun yang
dijaga oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melebihi dari penjagaannya terhadap
sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh).”
(Hadits riwayat
Imam al-Bukhari)
Dalam sebuah lagi hadits
hasan shahih, Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah
meriwayatkan bahwasanya Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam telah bersabda:
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا
فِيهَا.
(رواه مسلم والترمذي)
Maksudnya: “Dua rakaat sembahyang sunat Fajar (Subuh)
itu lebih baik daripada dunia serta segala isinya.”
(Hadits riwayat
Imam Muslim dan at-Tirmidzi)
Niat Sembahyang Sunat Subuh/ Fajar
أُصَلِّي سُنَّةَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ
تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Subuh dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
2. Sembahyang Sunat Rawatib Qabliyyah Dan Ba‘diyyah
Zuhur
Sunat sembahyang empat rakaat (Qabliyyah Zuhur) sebelum
mengerjakan sembahyang fardhu Zuhur, dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah,
dan dua rakaat tambahannya lagi adalah sunnah ghairi mu’akkadah (sunat
yang tidak dituntut). Begitu juga disunatkan sembahyang sunat empat rakaat (Ba‘diyyah
Zuhur) selepas mengerjakan sembahyang fardhu Zuhur, dengan dua rakaat
daripadanya adalah sunnah mu’akkadah, dan dua rakaat tambahannya pula adalah
sunnah ghairi mu’akkadah.
Apabila mengerjakan sembahyang sunat empat rakaat Qabliyyah
mahupun Ba‘diyyah Zuhur ini, adalah disunatkan untuk mengerjakannya
secara dua-dua rakaat, dengan memberi salam selepas setiap dua rakaat. Ini
berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali Karramallahu
Wajhah, beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي قَبْلَ
الْعَصْرِ أَرْبعَ رَكَعَاتٍ يُفَصِّلُ بَيْنَهُنَّ بِالتَّسْلِيمِ.
(رواه الترمذي)
Maksudnya: “Bahwasanya
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersembahyang sunat sebelum sembahyang fardhu Asar sebanyak empat rakaat dengan
memisahkan setiap dua rakaat dengan memberi salam (setiap dua rakaat).”
(Hadits
riwayat Imam at-Tirmidzi)
Dalam
sebuah lagi hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dan
dihukumkan sebagai hadits shahih oleh Imam Ibnu Hibban, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
صَلاَةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مَثْنَى مَثْنَى.
(رواه أبو داود والترمذي وإبن ماجه وإبن حبان)
Maksudnya: “Sembahyang (sunat) waktu malam dan siang itu
dua-dua rakaat.”
(Hadits riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Selain mengerjakannya secara dua-dua rakaat, menurut Imam
an-Nawawi boleh juga ia dikerjakan empat rakaat sekaligus dengan satu salam,
sama ada bertasyahhud dua kali, iaitu selepas dua rakaat dan empat
rakaat (tasyahhud awal dan akhir) ataupun hanya bertasyahhud
selepas empat rakaat (tasyahhud akhir).
Fadhilatnya
Dalam
sebuah hadits shahih Sunan at-Tirmidzi, Ummu Habibah Radhiallahu
‘anha meriwayatkan bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah
bersabda:
مَنْ
حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكََعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ
وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللهُ عَلَى النَّارِ.
(رواه الترمذي)
Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara (mengamalkan) sembahyang
sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Zuhur dan empat rakaat selepasnya
nescaya Allah akan mengharamkan untuknya api neraka.”
(Hadits riwayat Imam at-Tirmidzi)
أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَدَعُ أَرْبَعًا
قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ.
(رواه البخاري)
Maksudnya:
“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan
sembahyang sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Zuhur dan dua rakaat
sebelum sembahyang fardhu Subuh.”
(Hadits
riwayat Imam al-Bukhari)
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ
قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Qabliyyah Zuhur dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat
Sembahyang Sunat Qabliyyah Zuhur Empat
Rakaat
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ
رَكَعَاتٍ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Qabliyyah Zuhur empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Sembahyang Sunat Ba‘diyyah Zuhur Dua Rakaat
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ
بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Ba‘diyyah Zuhur dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Sembahyang Sunat Ba‘diyyah Zuhur Empat Rakaat
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ
بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Ba‘diyyah Zuhur empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
3. Sembahyang Sunat Rawatib Asar
Sunat melakukan sembahyang empat rakaat sebelum mengerjakan
sembahyang fardhu Asar, dan lebih afdhal dikerjakan dua-dua rakaat, dengan
memberi salam selepas setiap dua rakaat, dan boleh juga dikerjakan empat rakaat
sekaligus dengan satu salam sama ada bertasyahhud dua kali, iaitu
selepas dua rakaat dan empat rakaat (tasyahhud awal dan akhir) ataupun
hanya bertasyahhud selepas empat rakaat (tasyahhud akhir)
sepertimana halnya sembahyang sunat Rawatib Zuhur.
Fadhilatnya
Sungguhpun sembahyang
Rawatib Asar ini adalah sunnah ghairi mu’akkadah, akan tetapi adalah
perlu ianya dikerjakan dengan harapan akan termasuk dalam golongan orang-orang
yang didoakan oleh Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:
رَحِمَ اللهُ امْرَءًا صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ
أَرْبَعًا .
(رواه أبو داود والترمذي وأحمد وإبن خزيمة)
Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah akan merahmati orang yang
mengerjakan sembahyang sunat sebelum sembahyang fardhu Asar sebanyak empat
rakaat.”
(Hadits riwayat Imam Abu Daud, At-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)
Niat Sembahyang Sunat Asar Dua Rakaat
أُصَلِّي سُنَّةَ الْعَصْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ
تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Asar dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Sembahyang Sunat Asar Empat Rakaat
أُصَلِّي سُنَّةَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ
لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Asar empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
4. Sembahyang Sunat Rawatib Qabliyyah Dan Ba‘diyyah Maghrib
Sunat melakukan sembahyang dua rakaat secara ringan (tidak
dipanjangkan) sebelum mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. Hukum sembahyang Qabliyyah
Maghrib ini adalah sunnah ghairi mu’akkadah.
Ini berdalilkan daripada
hadits yang diriwayatkan
daripada Abdullah bin Mughaffil al-Muzani Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
صَلُّوا قَبْلَ الْمَغْرِبِ.
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Bersembahyanglah kamu sebelum fardhu Maghrib.”
(Hadits riwayat
Imam al-Bukhari)
Telah sabit juga
diriwayatkan bahawa para sahabat Radhiallahu
‘anhum bergegas menuju tiang-tiang
(untuk bersembahyang sunat Qabliyyah Maghrib) apabila azan Maghrib
berkumandang sehinggakan orang-orang yang baru masuk ke masjid menyangka bahawa
sembahyang fardhu Maghrib telahpun didirikan.
Adapun
jika sekiranya azan Maghrib baru saja selesai berkumandang, imam lalu bergegas
untuk mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib, sepertimana kebiasaan yang
diamalkan dikebanyakan masjid, maka dalam hal ini sebagai mengambil fadhilat
bertakbiratul ihram bersama imam, maka bolehlah sembahyang sunat Qabliyyah
Maghrib ini dikerjakan selepas mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib tanpa
menghilangkan fadhilatnya kerana terdapat keuzuran.
Akan
tetapi jika orang tersebut mengetahui bahawa akan ada jemaah sembahyang fardhu
Maghrib yang kedua, dan dia yakin bahawa dia akan sempat bertakbiratul ihram
bersama imam jemaah yang kedua itu selepas mengerjakan sembahyang sunat Qabliyyah
Maghrib, maka dalam hal ini sunat baginya mendahulukan untuk mengerjakan sembahyang
sunat Qabliyyah Maghrib dan meninggalkan jemaah yang pertama, selagimana
tidak terdapat kelebihan pada jemaah pertama itu tadi daripada jemaah kedua
tersebut, seperti jemaah yang lebih banyak ataupun imam yang lebih berilmu dan
sebagainya. Begitulah juga halnya dengan sembahyang-sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah
yang lain.
Perlu
diambil ingatan bahawa kebiasaan yang diamalkan di sesetengah masjid yang mana
imamnya bergegas mengerjakan sembahyang fardhu khususnya sembahyang fardhu
Maghrib sehinggakan para jemaah tiada kesempatan untuk mengerjakan sembahyang
sunat Rawatib Qabliyyah adalah suatu amalan yang tidak patut, bahkan
hukumnya adalah makruh.
Selain
sembahyang sunat Qabliyyah Maghrib, disunatkan juga (sunnah mu’akkadah)
melakukan sembahyang sunat dua rakaat selepas sembahyang fardhu Maghrib (Ba’dhiyyah
Maghrib), dan sunat hukumnya memanjangkannya di samping dianjurkan supaya
menyegerakannya, iaitu dengan mengerjakannya sejurus sahaja selesai sembahyang
fardhu Maghrib memandangkan waktu Maghrib yang tidak panjang. Bagaimanapun,
tidaklah hilang fadhilat menyegerakan Ba‘diyyah Maghrib itu dengan
membaca zikir mahupun wirid selepas mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib
sepertimana yang disebutkan dalam kitab Fath al-Mu‘in.
Pada
rakaat pertama sembahyang sunat Ba‘diyyah Maghrib ini, sunat membaca
surah al-Kaafirun, sementara sunat membaca surah al-Ikhlas pada rakaat kedua. Menurut
pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan juga untuk membaca kedua-dua
surah ini pada sembahyang-sembahyang sunat Rawatib yang lain yang tidak
dikhususkan bacaannya.
Bagi
melaksanakan sunnah yang menganjurkan memanjangkan sembahyang sunat Ba‘diyyah
Maghrib ini, menurut ulama adalah lebih baik menambahnya dengan surah-surah
lain mengikut susunan mushaf selepas membaca surah al-Kaafirun pada rakaat pertama
dan selepas membaca surah al-Ikhlas pada rakaat kedua. Misalnya selepas membaca
surah al-Kaafirun, dibaca surah an-Nasr dan kemudian surah al-Masad pada rakaat
pertama. Kemudian pada rakaat kedua pula selepas membaca surah al-Ikhlas dibaca
surah al-Falaaq dan kemudian surah an-Naas. Jika tidak mampu melakukan sedemikian kerana
tidak hafal, ataupun tidak tahu susunan surah-surah selepas surah al-Kaafirun
dan surah al-Ikhlas ini, maka bolehlah menambahkannya tanpa perlu mengikut
susunan mushaf.
Niat Sembahyang Sunat Qabliyyah Maghrib
أُصَلِّي سُنَّةَ الْمَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ
قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Qabliyyah Maghrib
dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Sembahyang Sunat Ba‘diyyah Maghrib
أُصَلِّي سُنَّةَ الْمَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ
بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Ba‘diyyah Maghrib dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
5. Sembahyang Sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah ‘Isya’
Sunat melakukan
sembahyang dua rakaat sebelum sembahyang fardhu ‘Isya’ (Qabliyyah ‘Isya’),
berdasarkan umum hadits Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam:
بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ.
(رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Antara azan
dan iqamah itu ada sembahyang.”
(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Disunatkan juga
sembahyang sunat Ba‘diyyah sebanyak dua rakaat selepas sembahyang fardhu
‘Isya’, dan ianya tergolong daripada sunnah mu’akkadah. Manakala Qabliyyah
‘Isya’ pula sebaliknya iaitu sunnah ghairi mu’akkadah.
Niat Sembahyang Sunat Qabliyyah ‘Isya’
أُصَلِّي سُنَّةَ الْعِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ
قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Qabliyyah ‘Isya’ dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Sembahyang Sunat Ba‘diyyah ‘Isya’
أُصَلِّي سُنَّةَ الْعِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ
بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Ba‘diyyah ‘Isya’ dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
6. Sembahyang Sunat
Rawatib Qabliyyah Dan Ba‘diyyah Jumaat
Sembahyang sunat Rawatib
Qabliyyah dan Ba‘diyyah bagi sembahyang fardhu Jumaat pula adalah
sama kedudukannya dengan sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah
Zuhur, iaitu empat rakaat bagi sembahyang sunat Qabliyyah dengan dua
rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah, dan empat rakaat bagi
sembahyang sunat Ba‘diyyah dengan dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah.
Dalil-dalil yang
disandarkan oleh ulama selain menqiyaskannya kepada sembahyang fardhu Zuhur,
ialah beberapa buah hadits Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam, antaranya umum
hadits Baginda:
بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ.
(رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Antara azan
dan iqamah itu ada sembahyang.”
(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Ibnu ‘Umar Radhiallahu
‘anhuma pula meriwayatkan katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بَعْدَ
الْجُمُعَةِ رَكْعَتَيْنِ فِي بَيْتِهِ.
(رواه الإمام مسلم
أبو داود وأحمد)
Maksudnya:
“Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang selepas sembahyang fardhu Jumaat dua
rakaat Ba‘diyyah di rumahnya.”
(Hadits riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu pula berkata, bahwasanya Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam telah bersabda:
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ الْجُمُعَةَ
فَلْيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعًا.
(رواه الإمام مسلم)
Maksudnya: “Apabila bersembahyang seseorang daripada kamu sembahyang fardhu Jumaat,
maka sembahyanglah (Ba‘diyyah Jumaat) selepasnya sebanyak empat rakaat.”
(Hadits riwayat Imam Muslim)
Dikhabarkan
juga oleh Imam at-Tirmidzi bahawa Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu bersembahyang
sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Jumaat dan empat rakaat lagi
selepasnya.
Niat Sembahyang Sunat Qabliyyah Jumaat Dua Rakaat
أُصَلِّي سُنَّةَ الْجُمْعَةِ رَكْعَتَيْنِ
قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat
dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Sembahyang Sunat Qabliyyah Jumaat Empat Rakaat
أُصَلِّي سُنَّةَ الْجُمْعَةِ أَرْبَعَ
رَكَعَاتٍ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Qabliyyah Jumaat empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Sembahyang Sunat Ba‘diyyah Jumaat Dua Rakaat
أُصَلِّي سُنَّةَ الْجُمْعَةِ رَكْعَتَيْنِ
بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Ba‘diyyah Jumaat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Sembahyang Sunat Ba‘diyyah Jumaat Empat Rakaat
أُصَلِّي سُنَّةَ الْجُمْعَةِ أَرْبَعَ
رَكَعَاتٍ بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat
Ba‘diyyah Jumaat empat rakaat kerana
Allah Ta‘ala.”
Beberapa Permasalahan Mengenai Niat Sembahyang Rawatib
1.
Jika sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah
dikerjakan selepas sembahyang fardhu, sebahagian ulama berpendapat bahawa boleh
dikerjakan sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah itu
dengan satu salam sama ada bertasyahhud di setiap dua rakaat atau di
setiap empat rakaat. Sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah
yang dikerjakan dengan satu salam ini boleh dikerjakan sama ada dua rakaat Qabliyyah
dan dua rakaat Ba‘diyyah (jumlahnya empat rakaat), empat rakaat Qabliyyah
dan dua rakaat Ba‘diyyah (jumlahnya enam rakaat), dua rakaat Qabliyyah
dan empat rakaat Ba‘diyyah (jumlahnya enam rakaat) ataupun empat rakaat Qabliyyah
dan empat rakaat Ba‘diyyah (jumlahnya lapan rakaat).
Misal lafaz niat bagi
sembahyang sunat Rawatib Zuhur adalah seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ الْظُهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ
قَبْلِيَّةً وَبَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Qabliyyah dan Ba‘diyyah Zuhur empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
(Niat ini bagi yang
mengerjakan dua rakaat Qabliyyah bersama dua rakaat Ba‘diyyah)
أُصَلِّي
سُنَّةَ الْظُهْرِ سِتَّ رَكَعَاتٍ قَبْلِيَّةً وَبَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Qabliyyah dan Ba‘diyyah Zuhur enam rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
(Niat ini bagi yang
mengerjakan empat rakaat Qabliyyah bersama dua rakaat Ba‘diyyah atau dua rakaat
Qabliyyah bersama empat rakaat Ba‘diyyah)
أُصَلِّي
سُنَّةَ الْظُهْرِ ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ قَبْلِيَّةً وَبَعْدِيَّةً لِلَّهِ
تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Qabliyyah dan Ba‘diyyah Zuhur
lapan rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
(Niat ini bagi yang mengerjakan empat
rakaat Qabliyyah bersama empat rakaat Ba‘diyyah)
Bagaimanapun, pendapat
ini tidak disepakati oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab Al-Fatawa
al-Kubra al-Feqhiyyah, yang mana beliau berpendapat bahawa tidak boleh
sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah itu dikerjakan secara berkumpul dengan Ba‘diyyah dalam
satu niat dan satu salam (mestilah
diasingkan) kerana ketiadaan iqtiran (tiada pertautan dan pertalian)
pada niat Ba‘dhiyah dengan perbuatannya. Pendapat Imam Ibnu Hajar ini
adalah pendapat yang lebih layak
diterima menurut pengarang kitab Fath al-‘Allam.
2.
Tidak disyaratkan membezakan niat sembahyang
sunat Rawatib antara yang sunnah mu’akkadah dengan sunnah ghairi
mu’akkadah.
Dalam sembahyang sunat
Qabliyyah Zuhur misalnya yang asalnya terdiri daripada empat
rakaat dengan dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah dan yang
dua rakaat lagi adalah sunnah ghairi mu’akkadah, jika berniat untuk
mengerjakannya sebanyak dua rakaat sahaja, maka secara langsung sembahyang
sunat Qabliyyah Zuhur yang dikerjakannya sebanyak dua rakaat itu adalah
dikirakan sebagai sunnah mu’akkadah sungguhpun ianya tidak diniatkan
sedemikian.
3.
Sembahyang sunat Rawatib Subuh dan Asar tidak
disebutkan Qabliyyah ketika berniat kerana tiada sembahyang sunat
Rawatib Ba‘diyyah padanya.
4.
Jika tidak disebutkan bilangan rakaat ketika
berniat untuk mengerjakan sembahyang sunat Rawatib yang bilangannya adalah
empat rakaat, sebagai misal sembahyang sunat Qabliyyah Zuhur, maka
dibolehkan untuk memilih antara mengerjakannya sebanyak dua rakaat ataupun
empat rakaat.
Akan tetapi jika
ianya telah ditentukan, misalnya empat rakaat, maka mestilah ianya dikerjakan
sebagaimana yang telah diniatkannya iaitu empat rakaat dan tidak boleh ianya
dikerjakan sebanyak dua rakaat. Begitu juga halnya jika ianya diniatkan
sebanyak dua rakaat, maka tidak boleh mengerjakannya sebanyak empat rakaat.
Kesimpulan
Dapatlah diambil kesimpulan bahawa sembahyang sunat Rawatib itu terbahagi
kepada dua, iaitu sunnah mu’akkadah dan sunnah ghairi mu’akkadah.
Rawatib sunnah mu’akkadah
ada sepuluh, iaitu:
1) Dua
rakaat sembahyang sunat Subuh (sembahyang sunat Fajar)
2) Dua
rakaat sembahyang sunat Qabliyyah Zuhur ataupun Jumaat.
3) Dua
rakaat sembahyang sunat Ba‘diyyah Zuhur ataupun Jumaat.
4) Dua
rakaat sembahyang sunat Ba‘diyyah Maghrib.
5) Dua
rakaat sembahyang sunat Ba‘diyyah ‘Isya’.
Manakala Rawatib sunnah
ghairi mu’akkadah pula ada dua belas, iaitu:
1)
Dua rakaat (tambahan) sembahyang sunat Qabliyyah
Zuhur ataupun Jumaat.
2)
Dua rakaat (tambahan) sembahyang sunat Ba‘diyyah
Zuhur ataupun Jumaat.
3)
Empat rakaat sembahyang sunat Asar.
4)
Dua rakaat sembahyang sunat Qabliyyah
Maghrib.
5)
Dua rakaat sembahyang sunat Qabliyyah
‘Isya’.
Sungguhpun ada sebilangan
sembahyang sunat Rawatib ini tidak disebutkan fadhilat amalannya secara khusus
misalnya sembahyang sunat Rawatib Maghrib dan Isya’, akan tetapi kelebihannya
tidak dapat dipertikaikan lagi dengan merenung hadits-hadits yang menyebutkan
tentang kelebihan sembahyang sunat secara umum, di samping muadzabhah
(amalan secara berterusan) Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam serta para sahabatnya Radhiallahu ‘anhum terhadap sembahyang sunat Rawatib ini khasnya dan sembahyang-sembahyang
sunat yang lain amnya.
Imam Muslim meriwayatkan daripada An-Nu‘man bin Salim Radhiallahu
'anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah
bersabda:
مَنْ
صَلَّىٰ فِي يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ سَجْدَةً تَطَوُّعاً، بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ
فِي الْجَنَّةِ.
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Barangsiapa yang bersembahyang dua belas
rakaat dalam sehari secara tathawwu‘ (sembahyang sunat Rawatib), dibuatkan
untuknya sebuah rumah dalam syurga.”
(Hadits riwayat Imam Muslim)
Rabi‘ah bin Ka‘ab al-Aslami Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan dalam Shahih Muslim bahwasanya Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam telah bersabda kepadanya:
سَلْ ، فَقُلْتُ : أَسْأَلُكَ مُرَافَقَتَكَ فِي الْجَنَّةِ . فَقَالَ
: أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ . فَقُلْتُ: هُوَ ذَاكَ . قَالَ : فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ
بِكَثْرَةِ السُّجُودِ.
(رواه
الإمام مسلم)
Maksudnya: “Pohonlah
sesuatu (kepadaku). Lalu aku (Rabi‘ah) berkata: Aku memohon kepada Tuan untuk
menemani Tuan di syurga. Lalu Baginda bersabda: Ada lagi? Lalu aku (Rabi‘ah) menjawab: Itu
sahaja. Baginda bersabda: Bantulah aku (untuk memperbaiki) dirimu dengan
memperbanyakkan sujud (sembahyang sunat).”
(Hadits riwayat Imam Muslim)
Pandangan Para Ulama Terhadap Orang Yang Biasa Meninggalkan
Sembahyang Sunat Rawatib
Orang yang biasa meninggalkan sembahyang sunat Rawatib tidak diterima
syahadahnya (tidak diterima sebagai saksi) menurut ulama-ulama besar
seperti Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam asy-Syarwani, Imam an-Nawawi dan ramai
lagi. Sikap sebegini menurut mereka, menunjukkan seseorang itu mengambil mudah
serta tidak mengambil peduli terhadap suruhan-suruhan ugama, bahkan Imam
asy-Syarwani mengkategorikannya sebagai suatu perbuatan yang boleh menjejaskan
maruah sungguhpun perbuatan membiasakan untuk meninggalkan sembahyang Rawatib
itu tidak haram.
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata dalam kitab Fath al-Bari: Barangsiapa
yang membiasakan dirinya untuk meninggalkan perkara-perkara sunat adalah
merupakan satu kekurangan dalam ugamanya. Jika dia melakukannya kerana
mengambil mudah terhadapnya ataupun kerana tidak menyukainya maka jadilah ia
orang fasiq.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
فَمَنْ رَغِبَ
عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي.
(رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Maka barangsiapa yang tidak suka akan
sunnahku, maka dia bukanlah daripada golonganku.”
(Hadits riwayat
Imam al-Bukhari dan Muslim)
Hukum Menqadha Sembahyang Sunat Rawatib
Sembahyang sunat Rawatib
ialah sejenis sembahyang sunat yang ada ditentukan masa untuk mengerjakannya
oleh syara’ (An-Naflu al-Mu’aqqat). Imam Al-Khatib As-Syarbini, seorang
ulama mazhab Syafi‘e berpendapat, bahawa adalah sunat hukumnya menqadha
sembahyang sunat yang ada ditentukan masa untuk mengerjakannya oleh syara’,
sama ada sembahyang sunat tersebut diharuskan untuk berjemaah seperti
sembahyang sunat Hari Raya ataupun tidak, seperti sembahyang sunat Rawatib dan Dhuha.
Sembahyang-sembahyang sunat ini sunat untuk diqadha meskipun ketika sedang
bermusafir.
Dalam sebuah hadits yang
diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari Kuraib Radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya oleh seorang perempuan yang diutus kepada Baginda
oleh Kuraib Radhiallahu ‘anhu mengenai sembahyang yang dikerjakan oleh
Baginda selepas fardhu Asar, lalu Baginda pun bersabda:
يَا بِنْتَ أَبِي أُمَيَّةَ ، سَأَلْتِ عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ بَعْدَ
الْعَصْرِ وَإِنَّهُ أَتَانِي نَاسٌ مِنْ عَبْدِ الْقَيْسِ فَشَغَلُونِي عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ
اللَّتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ فَهُمَا هَاتَانِ.
(رواه البخاري)
Maksudnya:
“Wahai puteri Abu Umayyah, kamu menanyakan tentang dua rakaat (yang aku kerjakan) sesudah fardhu Asar.
Sesungguhnya orang-orang dari Abdul Qais datang kepadaku, lalu mereka
menyibukkan aku (sehingga aku tertinggal) dari mengerjakan dua rakaat Ba‘diyyah
Zuhur. Itulah dua rakaat yang telah aku kerjakan (selepas Asar itu).”
(Hadits riwayat
Imam al-Bukhari)
Hadits di atas ini juga
menjadi dalil bagi ulama-ulama mazhab Syafi‘e, bahawa adalah sunat
hukumnya menqadha sembahyang-sembahyang sunat sekalipun pada waktu-waktu yang ditegah untuk bersembahyang
seperti selepas sembahyang fardhu Asar dan Subuh. Ini kerana dalam hadits tersebut
dinyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam telah
menqadha sembahyang sunat Ba‘diyyah Zuhur di waktu yang ditegah untuk
menunaikan sembahyang sunat iaitu selepas sembahyang fardhu Asar.
Maka manfaatkanlah peluang ini kerana sembahyang sunat Rawatib mahupun
sembahyang-sembahyang sunat yang lainnya amat besar fadhilatnya di mana selain
dari mengharapkan rahmat serta maghfirah (keampunan Allah), ia juga
sebagai cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mudawamah (amalan
secara berterusan) terhadap sembahyang sunat ini juga menunjukkan sifat
ketaatan serta ‘ubudiyyah (kehambaan) seorang insan itu terhadap
Tuhannya. Selain itu ianya juga dapat menambal mana-mana kekurangan yang
mungkin tidak disedari terdapat dalam sembahyang-sembahyang fardhu, sebagaimana
riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, bahwasanya
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا
يُحَاسَبُ بِهِ النَّاسُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنَ الصَّلاَةِ . قَالَ رَبُّنَاَ
لِلْمَلاَئِكَةِ ، وَهُوَ أَعْلَمُ : اُنْظُرُواْ
فِى صَلاَةِ عَبْدِي أَتَمَّهَا أَمْ نَقَصَهَا ؟ فَإِنْ كَانَتْ تَامَّةًكُتِبَتْ
لَهُ تَامَّةً ،
وَإِنْ كَانَ انْتَقَصَ مِنْهَا شَيْئًا قَالَ : اُنْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ
تَطَوُّعٍ ؟ فَإِنْ كَانَ لَهُ تَطَوُّعٌ . قَالَ : أَتِمُّواْ لِعَبْدِي فَرِيْضَتَهُ مِنْ
تَطَوُّعِهِ ، ثُمَّ تُؤْخَذُ الأَعْمَالُ
عَلَى ذَلِكُم.
(رواه الإمام أحمد)
Maksudnya
: “Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan
manusia pada hari qiamat ialah tentang sembahyangnya. Allah berfirman kepada
Malaikat-Nya, sedang Dia Lebih
Mengetahui: Periksalah sembahyang hamba-Ku,
apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang
fardhu mereka), maka Allah berfirman lagi: Periksalah adakah hamba-Ku ini
mempunyai amalan (sembahyang) sunat? Jika ternyata terdapat amalan sembahyang
sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu
hamba-Ku itu dengan amalan sembahyang sunatnya. Kemudian diperhitungankanlah
amal perbuatannya itu menurut cara sedemikian.”
(Hadits riwayat Imam Ahmad)
terima kasih atas perkongsian ilmu ini ye
ReplyDelete