Wednesday, May 6, 2015

PERKARA-PERKARA BERKAITAN SEMBAHYANG


PERKARA-PERKARA BERKAITAN SEMBAHYANG:
Perbezaan Perempuan Dengan Lelaki



(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sembahyang fardhu lima waktu adalah tuntutan syara‘ yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang mukallaf. Tidak ada perbezaan antara lelaki mahupun perempuan, baik dari segi tuntutan sembahyang itu mahupun dari segi syarat-syaratnya, rukun-rukunnya dan cara menunaikannya.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan sembahyang ini dikhususkan untuk perempuan yang telah digariskan oleh syara‘ yang membezakannya dengan lelaki. Perkara-perkara tersebut, antaranya:

       i.            Azan Dan Iqamah

Disunatkan bagi orang yang hendak mengerjakan sembahyang melakukan azan dan iqamah. Azan bagi orang yang sembahyang secara bersendirian hukumnya adalah sunat ‘ain. Manakala azan bagi mereka yang bersembahyang secara berjemaah hukumnya adalah sunat kifayah.

Walau bagaimanapun, perempuan adalah tidak disunatkan azan samada bagi sembahyang secara bersendirian atau secara berjemaah di kalangan jemaah perempuan dan sekalipun azan itu dilakukan dengan suara yang perlahan. Tidak sah azan seorang perempuan bagi jemaah lelaki dan khuntsa, bahkan berdosa kerana lelaki dan khuntsa haram memandangnya. Dengan perbuatannya melaungkan azan itu menyebabkan pandangan mereka tertumpu kepadanya.

Haram perempuan meninggikan suaranya untuk azan di hadapan lelaki asing (ajnabi) yang bukan mahramnya, sekalipun ketika itu dia bersama mahramnya, begitu juga jika dia meninggikan suaranya untuk azan di hadapan jemaah perempuan dengan adanya lelaki asing (ajnabi).

Walau bagaimanapun tidak makruh jika perempuan azan di hadapan jemaah perempuan dengan suara rendah iaitu dengan kadar yang hanya dapat didengar oleh mereka.

Manakala iqamah adalah disunatkan bagi perempuan ketika sembahyang sendirian mahupun jemaah yang didirikan sesama perempuan sahaja dengan suara yang rendah iaitu dengan kadar suara yang hanya dapat didengar oleh mereka.

     ii.            Aurat Dalam Sembahyang

Menutup aurat termasuk salah satu daripada syarat-syarat sah sembahyang walaupun seseorang itu bersembahyang di dalam gelap. Aurat perempuan yang wajib ditutup di dalam sembahyang adalah berbeza dengan aurat lelaki.

Dalam mazhab Syafi‘e aurat perempuan di dalam sembahyang ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Di dalam kitab I‘anah ath-Thalibin, al-‘Allamah as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah ada menyebutkan bahawa aurat bagi perempuan itu ada empat:

a)    Ketika bersama lelaki asing (ajnabi), auratnya ialah keseluruhan badan.

b)   Ketika bersama mahram atau bersendirian, auratnya ialah antara pusat dengan lutut.

c)    Ketika bersama perempuan kafir, auratnya ialah seluruh tubuh badan kecuali apa yang zahir daripada anggota tubuhnya ketika melakukan pekerjaan.

d)   Ketika sembahyang, auratnya ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Apa yang dimaksudkan dengan kedua tapak tangan itu termasuklah yang zhahir (belakang tapak tangan) dan yang bathin (perut tapak tangan) dari hujung jari sehinggalah pergelangan tangan.

Manakala maksud kawasan muka, batasnya secara memanjang ialah dari permulaan permukaan dahi hingga bahagian bawah dagu dan batasnya secara melintang ialah kawasan di antara dua cuping telinga.

Kebanyakan ulama Syafi‘e mensyaratkan hendaklah pakaian itu menutupi seluruh anggota aurat. Adapun syarat pakaian yang dipakai untuk menutup aurat tersebut hendaklah pakaian yang boleh menghalang daripada terlihat warna kulit. Tidak memadai menutup aurat dengan pakaian yang nipis dan jarang iaitulah pakaian yang menampakkan kulit dan bayang susuk tubuh badan.

Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah, adalah disunatkan bagi perempuan untuk bersembahyang dengan memakai pakaian yang terdiri daripada penutup kepala dan leher dari kain yang tebal, memakai baju yang labuh atau jubah yang menutup seluruh badan hingga hujung kaki serta kain tebal yang menutup pakaian tersebut.

Dalam sebuah atsar yang disebutkan di dalam Sunan Abi Daud, Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha pernah ditanyakan tentang pakaian perempuan ketika sembahyang lalu beliau menjawab:

تُصَلِّي في الْخِمَارِ وَالدِّرْعِ السَّابِغِ الذي يُغَيِّبُ ظُهُورَ قَدَمَيْهَا

Maksudnya: “Seorang perempuan bersembahyang dengan memakai kain tutup kepala dan pakaian panjang yang dapat menutup kedua tapak kakinya.”

Disunatkan juga bagi perempuan untuk menebalkan baju atau jubah yang dipakainya sehingga tidak menampakkan anggota-anggotanya dan merenggangkan kain tebal yang dipakainya di sebelah luarnya daripada badannya ketika ruku‘ dan sujud sehingga tidak menampakkan pakaiannya di sebelah dalam.

Berdasarkan keterangan di atas, maka wajib bagi seseorang itu bersembahyang dengan memakai pakaian yang benar-benar menepati apa yang telah digariskan oleh syara‘, iaitu tidak menampakkan warna kulit dan bayang susuk tubuh badan. Sebaiknya pakailah telekung yang labuh dan tebal ataupun memakai pakaian tebal di sebelah dalam jika telekung yang digunakan itu nipis atau jarang.

  iii.            Saf Sembahyang

Jumhur ulama berpendapat bahawa disunatkan bagi makmum meluruskan saf-saf mereka ketika sembahyang berjemaah, bagi mengisi kekosongan yang terdapat di dalam saf dan menyamaratakannya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلاَةِ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang”.

(Hadis riwayat Muslim)

Disunatkan para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama dahulu kemudian barulah diikuti dengan saf kedua dan seterusnya. Saf yang pertama dimaksudkan di sini ialah saf yang pertama di belakang imam.

Bagi golongan perempuan, jika sembahyang dalam jemaah yang hanya terdiri daripada imam dan jemaah perempuan sahaja, maka disunatkan untuk memenuhi saf yang pertama kemudian diikuti dengan saf-saf seterusnya.

Adapun jika mereka sembahyang dengan jemaah yang terdiri daripada orang lelaki dan perempuan tanpa ada pembatas antara jemaah lelaki dan perempuan, maka saf yang lebih afdhal bagi perempuan adalah saf yang akhir.

Untuk lebih jelas mengenai dengan saf perempuan ketika bejemaah, diterangkan susunan saf-saf di dalam sembahyang seperti berikut:-

a)    Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada golongan lelaki yang baligh, kanak-kanak lelaki, khuntsa (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan golongan perempuan, maka didahulukan golongan lelaki yang baligh kemudian kanak-kanak lelaki kemudian khuntsa dan barulah diikuti oleh golongan perempuan.

b)   Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada golongan lelaki yang baligh, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka didahulukan golongan lelaki, kemudian khuntsa tersebut berdiri seorang diri di belakang golongan lelaki dan kemudian diikuti oleh perempuan tersebut berdiri seorang diri di belakang khuntsa tersebut.

c)    Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka kanak-kanak tersebut berdiri di sebelah kanan imam, kemudian diikuti oleh khuntsa di belakang keduanya dan barulah perempuan tersebut di belakangnya.

d)   Apabila jemaah yang hadir terdiri daripada golongan perempuan, maka disunatkan bagi imamah (imam perempuan) berdiri di tengah-tengah saf bersama jemaah perempuan, akan tetapi ke hadapan sedikit untuk membezakan dirinya dengan para makmum.

Apabila yang hadir berjemaah hanya seorang perempuan disunatkan baginya berada di sebelah kanan imamah (imam perempuan), tetapi hendaklah ke belakang sedikit daripada imamah.

  iv.            Cara Mengangkat Tangan Ketika Takbirah al-Ihram Dan Takbir al-intiqalat
    
Takbirah al-ihram ialah mengucapkan “الله أكبر” pada permulaan sembahyang dan merupakan salah satu daripada rukun sembahyang. Ia dilakukan beriringan dengan niat sembahyang.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إذا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ
(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya: “Apabila engkau berdiri untuk sembahyang, maka bertakbirlah.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Takbir al-intiqalat pula ialah mengucapkan “الله أكبر” pada setiap kali hendak melakukan ruku‘ dan sujud, dan ketika hendak bangkit daripada sujud dan tasyahhud awwal.

Mengangkat kedua tangan ketika takbirah al-ihram, ketika hendak ruku‘ dan ketika bangun daripadanya serta ketika bangkit dari tasyahhud awwal adalah disunatkan. Perbuatan sedemikian adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah Ta‘ala, mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan memohon ganjaran pahala daripada Allah Ta‘ala. Inilah jawapan Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah ketika beliau ditanyakan tentang perbuatannya mengangkat kedua tangan ketika hendak ruku‘ dan sujud.

Cara mengangkat kedua tangan yang disunatkan pula ialah dengan mengangkat kedua tangan separas bahu iaitu sekira-kira hujung jari sejajar dengan atas telinga dan kedua ibu jari pula sejajar dengan bawah telinga serta kedua telapak tangan dihadapkan ke kiblat dan jari-jari dipisah-pisahkan dengan jarak yang sederhana.

Menurut ulama mazhab Syafi‘e, tidak ada perbezaan cara mengangkat kedua tangan yang disunatkan ketika takbirah al-ihram dan takbir al-intiqalat antara lelaki dan perempuan.

Walau bagaimanapun, Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah mengatakan bahawa adalah lebih disukainya bagi seorang perempuan itu ketika sujud untuk merapatkan sebahagian anggotanya dengan anggota yang lain dan merapatkan perut dengan kedua belah paha. Perbuatan seperti inilah yang disukai pada seorang perempuan ketika ruku‘, duduk dan pada keseluruhan sembahyang.

Berdasarkan pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah itu, maka lebih disukai bagi seorang perempuan ketika bersembahyang merapatkan sebahagian daripada anggotanya seperti merapatkan kedua belah siku dengan rusuk ketika ruku‘ dan sujud, malahan dalam keseluruhan sembahyangnya.

Begitu juga ketika mengangkat kedua tangan pada takbirah al-ihram dan takbir al-intiqalat iaitu dengan merapatkan kedua belah siku pada rusuk kerana dengan cara sedemikian akan lebih melindunginya.

     v.            Suara Ketika Sembahyang Jahriyyah Dan Sirriyah

Sunat menjaharkan suara pada tempat-tempat yang disunatkan meninggikan suara iaitu pada sembahyang jahriyyah (yang disunatkan meninggikan suara) dan mengisrarkan suara pada tempat-tempat yang disunatkan memperlahankan suara iaitu pada sembahyang sirriyah (yang disunatkan merendahkan suara).

Menurut ulama Syafi‘eyah perempuan yang sembahyang berseorangan, atau dengan kehadiran perempuan lain atau dengan kehadiran mahramnya sama ada sembahyang berjemaah dengan perempuan-perempuan lain atau bersendirian adalah dibolehkan dia menjaharkan bacaannya (iaitu dalam sembahyang jahriyyah). Sebaliknya jika ada lelaki asing (yang bukan mahramnya) di tempat dia bersembahyang itu, maka hendaklah perempuan itu mengisrarkan bacaannya.

Walau bagaimanapun, jika perempuan itu menjaharkan bacaannya dalam sembahyang jahriyyah dengan kehadiran lelaki asing di tempat dia bersembahyang itu, tidaklah membatalkan sembahyangnya kerana menurut pendapat yang ashah bahawa suara perempuan itu bukanlah aurat.

Kadar bacaan jahr bagi perempuan itu perlahan sedikit daripada bacaan jahr bagi lelaki. Menurut al-Bandaniji Rahimahullah bahawa hendaklah bacaan jahr bagi perempuan itu lebih ringan atau perlahan daripada bacaan jahar bagi lelaki.

Adapun bagi khuntsa, hukumnya adalah sama seperti perempuan iaitu hendaklah mengisrarkan bacaan sembahyang dengan kehadiran perempuan bersama lelaki asing dan membaca dengan jahar jika sembahyang berseorangan atau bersama mahramnya.

  vi.            Menepuk Tangan Apabila Terjadi Kepadanya Sesuatu Perkara Di Dalam Sembahyangnya

Apabila terjadi kepadanya sesuatu perkara di dalam sembahyang seperti ketika mengingatkan imam yang terlupa bacaan, memberi keizinan kepada orang yang meminta izin masuk, memberi peringatan kepada orang buta yang ditakuti tertimpa perkara buruk jika tidak diberi amaran, maka disunatkan bertasbih bagi lelaki dengan menyebut ucapan سُبْحَانَ الله dengan tujuan zikir atau dengan tujuan zikir serta pemberitahuan.

Manakala bagi perempuan pula, disunatkan menepuk tangan iaitu dengan menepuk perut tapak tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri apabila terjadinya sesuatu perkara di dalam sembahyang atau sebaliknya iaitu memukul perut tapak tangan kiri ke atas belakang tapak tangan kanan atau menepuk belakang tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri atau sebaliknya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

التَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Bertasbih adalah untuk lelaki dan menepuk tangan adalah untuk perempuan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah, jika dia menepuk perut tapak tangan kanan ke atas perut tapak tangan kiri atau sebaliknya dengan tujuan bermain-main, maka batal sembahyangnya.

Adapun bagi khuntsa, caranya adalah serupa dengan perempuan iaitu menepuk tangan sebagaimana yang diterangkan di atas apabila terjadi ke atsanya sesuatu perkara di dalam sembahyang.

Begitulah serba sedikit penerangan tentang beberapa perkara mengenai dengan perempuan ketika bersembahyang. Semoga ia dapat memberi pengetahuan khususnya kepada golongan perempuan tentang perkara-perkara yang perlu diambil perhatian ketika melaksanakan ibadah sembahyang.



No comments:

Post a Comment