Saturday, May 9, 2015

SEMBAHYANG ISTIKHARAH



MEMOHON KEBAIKAN DUNIA DAN AKHIRAT MELALUI SEMBAHYANG ISTIKHARAH



بِسْمِ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللهِ، وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ وَوَالاَهُ


Untuk membuat pilihan yang terbaik dalam satu-satu perkara adakalanya membebankan fikiran dan merupakan satu tugas yang amat berat lebih-lebih lagi jika seseorang itu menghendaki benar-benar apa yang akan dilakukannya itu mestilah membawa kebaikan untuk dunia dan akhiratnya.

Di dalam Islam ada disyariatkan satu jenis sembahyang yang dinamakan sembahyang Istikharah. Sembahyang Istikharah ialah sembahyang memohon kebaikan pada perkara yang hendak dilakukan.

Sandaran hukum sembahyang Istikharah ini bersumber daripada sabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah Radiallahu ‘anhuma berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا اْلاِسْتِخَارَةَ فِي اْلأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ يَقُولُ إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِاْلأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي - أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي قَالَ وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepada kami Istikharah dalam segala perkara sebagaimana Baginda mengajarkan surah daripada Al-Qur’an dengan bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu hendak melakukan suatu perkara, maka dirikanlah sembahyang dua rakaat selain sembahyang fardhu, kemudian hendaklah dia mengucapkan (berdoa selepas itu): “Ya Allah sesungguhnya aku memohon daripadaMu pilihan (kebaikan) dengan pengetahuanMu dan aku memohon agar Engkau menjadikan aku mampu (untuk melaksanakan urusan) dengan kekuasaanMu yang agung. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini baik bagiku di dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku (atau Baginda bersabda) kesegeraan urusanku dan kelambatannya maka jadikanlah aku mampu untuk melaksanakannya dan mudahkanlah ia bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku di dalam agamaku, kehidupanku, kesudahan urusanku (atau Baginda bersabda), kesegeraan urusanku dan kelambatannya, maka palingkanlah ia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya dan jadikanlah kebaikan itu bagiku di mana-manapun, kemudian jadikanlah aku reda terhadapanya. Baginda bersabda: “Dan disebutlah akan hajatnya.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Telah ittifâq (bersepakat) imam mazhab yang empat bahawa sembahyang Istikharah itu dilakukan di dalam perkara-perkara yang tidak diketahui kebaikan atau keburukannya. Adapun perkara-perkara yang diperintahkan oleh syara‘ sama ada ianya berbentuk wajib atau sunat dan perkara-perkara yang dilarang oleh syara‘ sama ada haram atau makruh tidaklah dilakukan padanya Istikharah kerana memang diketahui dengan jelas apa yang baik dan buruknya di dalam perkara tersebut melalui pandangan syara‘.

Justeru itu Istikharah hanya dilakukan pada perkara-perkara yang mubah iaitu perkara yang tiada diperintahkan melakukannya atau diperintahkan meninggalkannya seperti hendak membuat keputusan dalam sesuatu perkara perniagaan, hendak belayar kerana sesuatu maslahat kehidupan, hendak memilih kerjaya atau memilih calon isteri dan calon suami dan lain-lain sebagainya. Walaupun begitu kadang-kadang dalam perkara yang sunat boleh juga dilakukan Istikharah iaitu apabila bertembung dua pekerjaan yang sunat dan tidak diketahui yang mana satukah hendak didahulukan atau dikemudiankan.

Sembahyang Istikharah jika dilakukan dengan penuh keikhlasan dan berserah diri kepada ilmu dan kudrat Allah nescaya akan mendapat petunjuk daripada Allah yang membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat kerana Istikharah itu adalah salah satu cara bagi memohon dibukakan pintu petunjuk Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan tiada cara yang lebih dekat bagi mencapai sedemikian itu kecuali dengan melakukan sembahyang dan berdoa. Allah berfirman di dalam surah Al‑Baqarah, ayat 45:

وَاستَعِينُواْ بِالصَّبرِ وَالصَّلَوةِ
(سورة البقرة : 45)

Tafsirnya: “Dan kamu mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.”

FirmanNya lagi di dalam surah Al-Mu’min, ayat 60:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادعُونِى أَستَجِب لَكُم
(سورة المؤمن : 60)

Tafsirnya:Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Oleh itu adalah disunatkan sebelum mengambil keputusan untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan atau membuat pilihan, lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan kepentingan umum agar dilakukan Istikharah kepada Allah, mudah-mudahan dengan keberkatan dan petunjuk daripada Istikharah itu akan menjauhkan keazaman dan kecenderungan yang didorong oleh perasaan atau hawa nafsu yang mementingkan keduniaan semata-mata. Walaupun pada zahirnya perkara atau pekerjaan itu harus, kadang-kadang di sebalik keharusannya itu tersembunyi akibat yang tidak diduga sedang perkara itu tiada yang lebih mengetahuinya melainkan Allah Subhanahu wa ta‘ala saja.

Yang penting bagi orang yang beristikharah ialah berserah diri dengan sebenar-benarnya kepada kudrat dan ilmu Allah, kerana memang tidak dinafikan adanya azam dan kecenderungan akan mempengaruhi sedikit sebanyak Istikharah seseorang, tetapi dengan keberkatan dan petunjuk sembahyang dan doa Istikharah, ia akan memberi kesan yang lebih di dalam pekerjaan seseorang atau ketika membuat keputusan.

Adalah lebih baik lagi bahkan disunatkan sebelum mengerjakan Istikharah agar dilakukan mesyuarat atau meminta nasihat daripada mereka yang boleh dipercayai agamanya, keahliannya dan ilmunya. Apabila telah bermesyuarat dan ada keazaman, maka lakukanlah sembahyang Istikharah dan seterusnya bertawakkal kepada Allah. Firman Allah Ta‘ala di dalam surah آli ‘Imran, ayat 159:

وَشَاوِرْهُم فِى الأَمرِ فَإِذَا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الـمُتَوَكِّلِيـنَ
(سورة آل عمران : 159)

Tafsirnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakkal kepadaNya.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda akan kelebihan orang yang beristikharah dan bermesyuarat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu:

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ وَلاَ نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ وَلاَ عَالَ مَنِ اقْتـَصَدَ
(رواه الطبراني فى الأوسط)

Maksudnya: “Tidak akan kecewa sesiapa yang melakukan Istikharah dan tidak akan menyesal sesiapa yang bermesyuarat dan tidak akan berkurangan sesiapa yang berjimat cermat.”
(Hadis riwayat Thabarani di dalam Al-Awsath)

Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan daripada Sa’d bin Abu Waqqas, Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ اسْتِخَارَتُهُ اللَّهَ ، وَمِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ رِضَاهُ بِمَا قَضَى اللَّهُ ، وَمِنْ شِقْوَةِ ابْنِ آدَمَ تَرْكُهُ اسْتِخَارَةَ اللَّهِ ، وَمِنْ شِقْوَةِ ابْنِ آدَمَ سَخَطُهُ بِمَا قَضَى اللَّهُ لَهُ
(رواه أحمد)

Maksudnya: “Di antara kebahagiaan anak Adam itu beristikharah kepada Allah dan di antara kebahagiaan anak Adam itu (juga) reda dengan apa yang Allah tentukan. Dan daripada kecelakaan anak Adam itu meninggalkan istikharah kepada Allah dan di antara kecelakaan anak Adam itu marah dengan apa yang Allah tentukan baginya.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Cara Melakukan Istikharah

Istikharah boleh dilakukan dengan tiga cara:

1.   Doa Istikharah sahaja tanpa melakukan apa-apa sembahyang.
2.   Doa Istikharah selepas melakukan apa saja jenis sembahyang sunat dengan diniatkan bersama niat Istikharah atau pun tidak diniatkan. Jika diniatkan Istikharah, hendaklah niat sembahyang sunat itu ditambah bersama dengan niat sembahyang Istikharah untuk mendapatkan pahala sunat Istikharah. Umpamanya seseorang hendak bersembahyang sunat sebelum Shubuh bersama Istikharah, maka contoh niatnya :

أُصَلِّي سُنَّةَ الصُّبـْحِ مَعَ الإِسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيـْنِ لِلّهِ تَعَالَى


Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Shubuh bersama Istikharah dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

3.   Sembahyang Istikharah dua rakaat kemudian berdoa Istikharah selepasnya. Ini adalah cara yang lebih sempurna dan disepakati oleh imam mazhab yang empat.

Niat sembahyang Istikharah itu adalah seperti berikut:

أُصَلِّي سُنَّةَ اْلاِسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى


Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Disunatkan membaca surah Al-Kâfirûn selepas membaca Al‑Fâtihah pada rakaat pertama dan membaca surah Al-Ikhlâsh pada rakaat yang kedua. Sebahagian ulama salaf menambah bahawa adalah lebih elok dan sempurna lagi jika dibaca selepas Al-Fâtihah sebelum surah Al-Kâfirûn, membaca surah Al‑Qashash, ayat 68-70 iaitu:

وَرَبُّكَ يَخلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَختَارُ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ سُبحَـنَ اللَّهِ وَتَعَالَى عَمَّا يُشرِكُونَ ¡ وَرَبُّكَ يَعلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُم وَمَا يُعلِنُونَ ¡ وَهُوَ اللَّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ لَهُ الْحَمْدُ فِى الأُولَى وَالاخِرَةِ وَلَهُ الـحُكمُ وَإِلَيـهِ تُرجَعُونَ ¡
(سورة القصص : 68-70)

Tafsirnya: “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu- satu daripada makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya daripada apa yang mereka sekutukan denganNya. Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan. Dan Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Segala puji tertentu bagiNya, di dunia dan akhirat dan hanyalah Dia yang berkuasa menghukum, serta kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

Manakala pada rakaat kedua selepas membaca surah Al‑Fâtihah sebelum membaca surah Al-Ikhlâsh, dibaca surah Al-Ahzâb, ayat 36 iaitu:

وَمَا كَانَ لِمُؤمِنٍ وَلاَ مُؤمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الـخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم وَمَن يَعصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلَـلاً مُّبِينًا
(سورة الأحزاب : 36)

Tafsirnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Setelah selesai mengerjakan sembahyang sunat Istikharah, dibaca doanya seperti berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلامُ الْغُيُوبِ. اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ (دسبوتكن اتو دنيتكن حاجتث دسيني) خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي وَعَاجِلهِ وَآجِلِهِ ، فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي وَعَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ.

Ertinya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon daripadaMu pilihan (kebaikan) dengan pengetahuanMu dan aku memohon agar Engkau menjadikan aku mampu (untuk melaksanakan urusan) dengan kekuasaanMu yang Agung. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (disebutkan atau diniatkan hajatnya di sini) baik bagiku di dalam agamaku, kehidupanku, kesudahan urusanku, segeranya dan kelambatannya, maka jadikanlah aku mampu untuk melaksanakannya dan mudahkanlah ia bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku di dalam agamaku, kehidupanku, kesudahan urusanku, segeranya dan kelambatannya, maka palingkanlah ia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya dan jadikanlah kebaikan itu bagiku di mana-mana pun, kemudian jadikanlah aku redha terhadapnya.”

Adalah disunatkan juga memulakan membaca doa tersebut dan mengakhirinya dengan bacaan hamdalah (الحمد لله), selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Kemudian setelah berdoa, dengan bertawakal kepada Allah, laksanakanlah perkara yang diistikharahkan bersandarkan kepada rasa lapang dada, ketenangan dan kemantapan hati sama ada hendak melakukan atau meninggalkannya.

Jika hati tidak memperolehi ketenangan untuk melakukan sesuatu atau perkara yang dihajati itu, boleh diulang sembahyang Istikharah serta doanya atau dengan berdoa Istikharah sahaja sehingga hati menjadi lapang, tenang dan mantap untuk melakukan sesuatu itu.

Jika diandaikan selepas melakukan ulangan sembahyang Istikharah dan doanya, belum juga mendapat ketenangan atau kemantapan hati untuk melakukan sesuatu maka ditangguhkan perkara yang diistikharahkan itu seberapa yang boleh. Jika tidak dapat ditangguhkan hendaklah bertawakal kepada Allah dan lakukanlah yang mana satu mudah baginya untuk melaksanakannya. Dengan izin Allah kebaikan akan berada di pihaknya dengan berkat Istikharah.

Semua  ini  adalah  dikaitkan  daripada sebuah riwayat daripada Anas bin Malik daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya:

يَا أَنَسُ إِذَا هَمَمْتَ بِأَمْرٍ فَاسْتَخِرْ رَبَّكَ فِيْهِ سَبْعَ مَرَّاتٍ ، ثُمَّ انْظُرْ إِلَى الَّذِي يَسْبِقُ إِلَى قَلْبِكَ فَإِنَّ الْخَيْرَ فِيْهِ
(رواه ابن السني والديلمي)

Maksudnya: “Wahai Anas, apabila engkau hendak melakukan sesuatu perkara, maka pohonkan kepada Tuhanmu (untuk membuat pilihan yang terbaik) dalam perkara itu sebanyak tujuh kali, kemudian engkau lihatlah (tunggu) apa yang datang di dalam hatimu, sesungguhnya kebaikan ada dalam istikharah itu.”
(Hadis riwayat Ibnu Al-Sinni dan Al-Dailami)

Sembahyang sunat Istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada waktu yang dimakruhkan padanya mengerjakan sembahyang iaitu:

i.      Waktu terbit matahari sehingga matahari naik segalah kadar tujuh hasta (satu hasta itu kira-kira 18 inci).

ii.     Waktu istiwâ’ yakni matahari berada di tengah-tengah langit sehingga matahari tergelincir atau condong ke barat kecuali pada hari Jumaat.

iii.    Waktu kekuning-kuningan matahari sehingga tenggelam segala bulatan matahari di ufuk.

iv.    Selepas sembahyang Shubuh bagi orang yang telah bersembahyang Shubuh sehingga matahari terbit.

v.     Selepas sembahyang ‘Ashar bagi orang yang telah bersembahyang ‘Ashar sehingga tenggelam matahari.

Adalah haram dan tidak sah jika sembahyang sunat mutlak dan sembahyang sunat yang mempunyai sebab yang terkemudian seperti sembahyang sunat Istikharah dan sunat ihram dilakukan pada waktu tersebut kecuali di Tanah Haram Makkah.

Dalam membuat suatu keputusan lebih-lebih lagi jika keputusan itu mempunyai kepentingan umat, berfikir, bermesyuarat dan meminta nasihat kepada ahlinya adalah sangat diperlukan untuk mendapatkan keputusan yang terbaik. Walaupun begitu seorang muslim harus sedar bahawa keberkatan petunjuk Istikharah seharusnya tidak dilupakan yang mana intisarinya adalah merupakan memohon pertolongan daripada Allah melalui sembahyang dan doa.



16 comments:

  1. Adakah haram jika saya menunaikan solat istikharah ini setelah selesai menunaikan solat fardhu subuh tepat waktu? Mohon beri penjelasan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Klau blh kita baca dlu sebanyak mungkin dan kita fahami. Selepas itu baru kita tanya lagi klau masih tidak faham

      Delete
  2. Assalamualaikum . Sy wani ingin menanyakan satu soalan . Bolehkah sy solat istikharah selepas solat isyak ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam,cuba kita baca lagi bila di kwsn haramnya dan makruhnya utk menunaikan solat sunat istikharah ini.Klau kita msih tdk fhm boleh bertanya lagi

      Delete
  3. Assalamualaikum maaf sye masih kurang paham adekah boleh melakukan solat istikarah selepas mengerjakan solat isyak

    ReplyDelete
  4. Bacaan doa dalam sujud akhir..bolehkah kalau.ianya tidak dibaca terus baca tahiyat akhir dan memberi salam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya juga mempunyai soalan yg sama, minta pencerahan....

      Delete
    2. Ku pun jua. Hmm

      Delete
    3. boleh, Inda menjadi masalah. Ganya rugi saja sebab di dalam hadith Qudsi mafhumnya: (Waktu yg paling dekat Aku dengan hambaKu adalah pada waktu sujud) maka banyak2 berdoa pada waktu sujud atu

      Delete
  5. Kalau lupa kira singan mna singan mna sudh cmna tu? 🙄

    ReplyDelete
  6. Assalamu'alaikum, maaf saya nak tanya, boleh ke buat solat Istikharah tanpa buat istisyarah (meminta nasihat orang lain berkenaan masalah)?

    ReplyDelete