(Dengan nama Allah, Segala puji bagi
Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Manusia mempunyai
berbagai-bagai sifat kelemahan lagi serba kekurangan. Sifat lupa, silap, ragu-ragu
dan sebagainya merupakan antara sifat-sifat kekurangan yang sering melanda
manusia dalam apa sahaja perkara serta urusan, tidak terkecuali juga ketika
melakukan ibadat seperti sembahyang dan puasa.
Namun demikian, syara‘
tidak terlepas pandang akan kelemahan dan kekurangan manusia ini. Kerana itu,
dalam mengerjakan ibadat sembahyang misalnya, syara‘ telah memberikan bimbingan
serta hukum-hukum tertentu sekiranya dalam ibadat sembahyang seseorang itu
terdapat kekurangan atau kecacatan akibat dari sifat-sifat kelemahan ini. Khusus
mengenai ibadat sembahyang, antara perkara yang sering melanda manusia ketika
mengerjakannya ialah ragu-ragu dalam bilangan rakaat.
Syara‘ telah menyediakan
beberapa panduan serta kaedah tertentu bagi menghadapi masalah ragu-ragu dalam
bilangan rakaat ini:
1. Kaedah asas apabila ragu-ragu dalam bilangan rakaat
ialah meninggalkan yang syak dan mengambil yang yakin.
Apabila
seseorang itu mengerjakan ibadat sembahyang, lalu dia ragu-ragu bahawa adakah
bilangan rakaat sembahyangnya sudah cukup ataupun masih kurang, sebagai contoh,
ketika menunaikan sembahyang fardhu Zuhur, dia ragu-ragu mengenai rakaat yang
sedang dikerjakannya pada ketika itu adakah rakaat ketiga ataupun rakaat
keempat, maka dalam situasi ini, orang itu wajib mengetepikan keraguannya dan
mengambil bilangan yang yakin, iaitu mengirakan bahawa bilangan rakaatnya masih
kurang. Ini dengan mengirakan bahawa rakaat yang dikerjakannya itu ialah rakaat
ketiga, kemudian hendaklah dia menambah satu rakaat lagi (rakaat keempat) selepas
rakaat ketiga itu bagi menghilangkan keraguan yang ada tadi dan sebagai langkah
ihthiyath (berhati-hati). Ini kerana menurut asalnya, dia dikirakan
belum mengerjakan rakaat keempat.
Kemudian
setelah selesai rakaat keempat, sunat dia mengerjakan sujud sahwi selepas
tahiyyat akhir, iaitu sebelum memberi salam. Perkara ini dilakukan adalah bagi
menambal kecederaan atau kecacatan yang terdapat dalam sembahyangnya kerana dia
telah meneruskan rakaat yang dikerjakannya selepas rakaat ketiga itu secara
ragu-ragu akan bilangannya yang sebenar, di samping terdapat kemungkinan bahawa
rakaat yang dikerjakannya secara ragu-ragu itu boleh jadi rakaat keempat dan
boleh jadi juga rakaat yang kelima.
Menurut
pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e, sujud sahwi itu tetap
sunat dikerjakan walaupun sebelum memberi salam dia teringat dan yakin bahawa
rakaat yang terakhir dikerjakannya itu adalah benar-benar rakaat yang keempat.
2. Dalam perkara ragu-ragu dalam bilangan rakaat ini, seseorang itu tidak
boleh bersandar kepada sangkaannya semata-mata. Begitu juga dia tidak boleh
berpegang kepada kata-kata mahupun perbuatan orang lain sebagai sandaran bagi memastikan
bilangan sebenar rakaat sembahyangnya. Ini kerana perkara ini berkait dengan
urusan sembahyangnya sendiri dan tidak ada kena mengena dengan orang lain, jadi
tidak dibolehkan baginya berpegang atau berpandukan kepada kata-kata mahupun
perbuatan orang lain tentang urusan sembahyangnya sendiri.
Bagaimanapun, menurut Imam az-Zarkashi Rahimahullah,
jika bilangan orang ramai itu mencapai bilangan mutawatir, yang menurut
kebiasaannya, perkhabaran dari orang ramai dalam bilangan seumpama itu dapat diyakini
dan dapat dipastikan kesahihannya, maka dalam hal ini hendaklah orang itu
berpegang kepada kata-kata ataupun perbuatan orang-orang tersebut. Bahkan
menurut Imam asy-Syibramalissi Rahimahullah, wajib atasnya mengikut
kata-kata ataupun perbuatan orang ramai yang mencapai bilangan mutawatir itu.
Sekiranya seseorang itu mengerjakan sembahyang dalam jemaah
yang bilangannya mencapai bilangan mutawatir. Sekiranya dia ragu-ragu dalam bilangan rakaat sembahyangnya, maka memadailah dia berpandu kepada perbuatan ahli jemaah sembahyang tersebut dan
mengikut mereka.
Menyentuh tentang jumlah bilangan mutawatir ini, Imam
asy-Syibramalissi dan Imam asy-Syarwani Rahimahumullah menukilkan dalam
kitab mereka bahawa sebahagian pendapat ada menyebutkan bahawa bilangan yang
dikirakan sebagai mutawatir itu ialah sekurang-kurangnya hendaklah
melebihi bilangan empat orang.
3. Sekiranya sewaktu mengerjakan suatu
rakaat itu dia ragu-ragu akan bilangannya, lalu dia mengerjakan
rakaat yang seterusnya dalam keadaan ragunya itu masih ada, maka disunatkan dia
sujud sahwi.
Sebagai
contoh, dalam sembahyang empat rakaat seperti sembahyang fardhu Zuhur misalnya,
ketika berada dalam rakaat ketiga, dia ragu-ragu mengenai rakaat yang sedang
dikerjakannya itu adakah benar-benar rakaat ketiga ataupun sudah rakaat
keempat, kemudian selepas dia meneruskan rakaat yang berikutnya (keempat), baru
dia teringat kembali bahawa rakaat yang dikerjakannya tadi (rakaat ketiga) itu adalah sememangnya
betul rakaat yang ketiga manakala rakaat yang sedang dikerjakannya ketika itu
pula adalah sememangnya betul rakaat keempat. Maka dalam hal ini, sunat baginya
mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi
salam kerana dia bangkit mengerjakan rakaat keempat itu dalam keadaan syak atau
ragu-ragu bahawa kemungkinan rakaat keempat itu sebenarnya adalah rakaat
tambahan yakni rakaat yang kelima.
Bagaimanapun,
jika dia teringat kembali dalam rakaat ketiga itu juga, iaitu sebelum dia
mengerjakan rakaat seterusnya (keempat), bahawa rakaat yang sedang
dikerjakannya itu adalah rakaat yang ketiga, maka dalam hal ini tidak
disunatkan dia sujud sahwi.
4.
Apabila
seseorang itu tersedar bahawa dia telah terlebih rakaat, sebagai misal, ketika
mengerjakan sembahyang fardhu Zuhur, dia teringat bahawa rakaat yang
disangkakannya rakaat keempat yang sedang dikerjakannya ketika itu sebenarnya
adalah rakaat yang kelima, maka dalam hal ini, wajib dia turun serta merta
meninggalkan rakaat tambahan (yang kelima) itu bagi mengerjakan tahiyyat akhir,
sekiranya sebelum dia bangkit mengerjakan rakaat tambahan itu dia belum
mengerjakan tahiyyat akhir, kemudian sunat dia mengerjakan sujud sahwi sebelum
memberi salam.
Akan
tetapi, jika sebelum itu dia sudah selesai mengerjakan tahiyyat akhir, lalu dia
bangkit mengerjakan rakaat yang kelima kerana terlupa, tersilap ataupun
terkeliru, maka dalam hal ini dia tidak perlu lagi mengulangi tahiyyat akhir,
memadai dia turun serta merta dan mengerjakan sujud sahwi sahaja dan kemudian
memberi salam.
Demikian beberapa
penjelasan serta panduan mengenai permasalahan ragu-ragu dalam bilangan rakaat.
Mudah-mudahan dengan penjelasan ini, ilmu kita tentang ibadat sembahyang
semakin bertambah serta sembahyang yang kita kerjakan menjadi lebih sempurna.
Salamun 'alaikum. Adakah benar bahawa rakaat ini datangnya dari hadis-hadis dan bukan dari Al quran.
ReplyDeleteMohon pencerahan. Terima kasih.
Assalamualaikum.. Kalau rasa yakin yg dah ckup rakaat tapi was² x cukup mcm mana.. Perlu ke tmbah rakaat?
ReplyDelete