MEMOHON
KEBAIKAN DUNIA DAN AKHIRAT MELALUI
SEMBAHYANG ISTIKHARAH
بِسْمِ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللهِ، وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ وَوَالاَهُ
Untuk membuat pilihan yang terbaik dalam
satu-satu perkara adakalanya membebankan fikiran dan merupakan satu tugas yang
amat berat lebih-lebih lagi jika seseorang itu menghendaki benar-benar apa yang
akan dilakukannya itu mestilah membawa kebaikan untuk dunia dan akhiratnya.
Di dalam Islam ada disyariatkan satu jenis
sembahyang yang dinamakan sembahyang Istikharah. Sembahyang Istikharah ialah
sembahyang memohon kebaikan pada perkara yang hendak dilakukan.
Sandaran hukum sembahyang Istikharah ini
bersumber daripada sabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang
diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah Radiallahu ‘anhuma berkata:
كَانَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا اْلاِسْتِخَارَةَ
فِي اْلأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ يَقُولُ
إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِاْلأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ
الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ
وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ
تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ
اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي
وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي - أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ
فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ
أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ
قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ
وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي قَالَ وَيُسَمِّي
حَاجَتَهُ
(رواه
البخاري)
Maksudnya: “Adalah Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepada kami Istikharah dalam segala
perkara sebagaimana Baginda mengajarkan surah daripada Al-Qur’an dengan
bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu hendak melakukan suatu perkara,
maka dirikanlah sembahyang dua rakaat selain sembahyang fardhu, kemudian
hendaklah dia mengucapkan (berdoa selepas itu): “Ya Allah sesungguhnya aku
memohon daripadaMu pilihan (kebaikan) dengan pengetahuanMu dan aku memohon agar
Engkau menjadikan aku mampu (untuk melaksanakan urusan) dengan kekuasaanMu yang
agung. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau
Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau Maha Mengetahui segala
yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini baik bagiku di
dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku (atau Baginda bersabda)
kesegeraan urusanku dan kelambatannya maka jadikanlah aku mampu untuk
melaksanakannya dan mudahkanlah ia bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya.
Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku di dalam agamaku,
kehidupanku, kesudahan urusanku (atau Baginda bersabda), kesegeraan urusanku
dan kelambatannya, maka palingkanlah ia daripadaku dan palingkanlah aku
daripadanya dan jadikanlah kebaikan itu bagiku di mana-manapun, kemudian
jadikanlah aku reda terhadapanya. Baginda bersabda: “Dan disebutlah akan
hajatnya.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Telah ittifâq (bersepakat) imam mazhab
yang empat bahawa sembahyang Istikharah itu dilakukan di dalam perkara-perkara
yang tidak diketahui kebaikan atau keburukannya. Adapun perkara-perkara yang
diperintahkan oleh syara‘ sama ada ianya berbentuk wajib atau sunat dan
perkara-perkara yang dilarang oleh syara‘ sama ada haram atau makruh tidaklah
dilakukan padanya Istikharah kerana memang diketahui dengan jelas apa yang baik
dan buruknya di dalam perkara tersebut melalui pandangan syara‘.
Justeru itu Istikharah hanya dilakukan pada
perkara-perkara yang mubah iaitu perkara yang tiada diperintahkan melakukannya
atau diperintahkan meninggalkannya seperti hendak membuat keputusan dalam
sesuatu perkara perniagaan, hendak belayar kerana sesuatu maslahat kehidupan,
hendak memilih kerjaya atau memilih calon isteri dan calon suami dan lain-lain
sebagainya. Walaupun begitu kadang-kadang dalam perkara yang sunat boleh juga
dilakukan Istikharah iaitu apabila bertembung dua pekerjaan yang sunat dan
tidak diketahui yang mana satukah hendak didahulukan atau dikemudiankan.
Sembahyang Istikharah jika dilakukan dengan
penuh keikhlasan dan berserah diri kepada ilmu dan kudrat Allah nescaya akan
mendapat petunjuk daripada Allah yang membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat
kerana Istikharah itu adalah salah satu cara bagi memohon dibukakan pintu
petunjuk Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan tiada cara yang lebih dekat bagi
mencapai sedemikian itu kecuali dengan melakukan sembahyang dan berdoa. Allah
berfirman di dalam surah Al‑Baqarah, ayat 45:
وَاستَعِينُواْ بِالصَّبرِ وَالصَّلَوةِ
(سورة
البقرة : 45)
Tafsirnya: “Dan kamu mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.”
FirmanNya lagi di dalam surah Al-Mu’min, ayat
60:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادعُونِى أَستَجِب لَكُم
(سورة
المؤمن : 60)
Tafsirnya: “Dan Tuhan kamu
berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan
kamu.”
Oleh itu adalah disunatkan sebelum mengambil
keputusan untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan atau membuat pilihan, lebih-lebih
lagi dalam perkara yang melibatkan kepentingan umum agar dilakukan Istikharah
kepada Allah, mudah-mudahan dengan keberkatan dan petunjuk daripada Istikharah
itu akan menjauhkan keazaman dan kecenderungan yang didorong oleh perasaan atau
hawa nafsu yang mementingkan keduniaan semata-mata. Walaupun pada zahirnya
perkara atau pekerjaan itu harus, kadang-kadang di sebalik keharusannya itu
tersembunyi akibat yang tidak diduga sedang perkara itu tiada yang lebih
mengetahuinya melainkan Allah Subhanahu wa ta‘ala saja.
Yang penting bagi orang yang beristikharah
ialah berserah diri dengan sebenar-benarnya kepada kudrat dan ilmu Allah,
kerana memang tidak dinafikan adanya azam dan kecenderungan akan mempengaruhi
sedikit sebanyak Istikharah seseorang, tetapi dengan keberkatan dan petunjuk
sembahyang dan doa Istikharah, ia akan memberi kesan yang lebih di dalam
pekerjaan seseorang atau ketika membuat keputusan.
Adalah lebih baik lagi bahkan disunatkan
sebelum mengerjakan Istikharah agar dilakukan mesyuarat atau meminta nasihat
daripada mereka yang boleh dipercayai agamanya, keahliannya dan ilmunya.
Apabila telah bermesyuarat dan ada keazaman, maka lakukanlah sembahyang
Istikharah dan seterusnya bertawakkal kepada Allah. Firman Allah Ta‘ala di
dalam surah آli ‘Imran, ayat 159:
وَشَاوِرْهُم
فِى الأَمرِ فَإِذَا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ
الـمُتَوَكِّلِيـنَ
(سورة
آل عمران : 159)
Tafsirnya: “Dan juga
bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan)
itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat
sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang
yang bertawakkal kepadaNya.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda akan kelebihan orang yang beristikharah dan bermesyuarat sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu:
مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ وَلاَ نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ
وَلاَ عَالَ مَنِ اقْتـَصَدَ
(رواه
الطبراني فى الأوسط)
Maksudnya: “Tidak akan kecewa
sesiapa yang melakukan Istikharah dan tidak akan menyesal sesiapa yang
bermesyuarat dan tidak akan berkurangan sesiapa yang berjimat cermat.”
(Hadis riwayat Thabarani di dalam Al-Awsath)
Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan
daripada Sa’d bin Abu Waqqas, Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
مِنْ
سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ اسْتِخَارَتُهُ اللَّهَ ، وَمِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ
رِضَاهُ بِمَا قَضَى اللَّهُ ، وَمِنْ شِقْوَةِ ابْنِ آدَمَ تَرْكُهُ اسْتِخَارَةَ
اللَّهِ ، وَمِنْ شِقْوَةِ ابْنِ آدَمَ سَخَطُهُ بِمَا قَضَى اللَّهُ لَهُ
(رواه
أحمد)
Maksudnya: “Di antara kebahagiaan anak
Adam itu beristikharah kepada Allah dan di antara kebahagiaan anak Adam itu
(juga) reda dengan apa yang Allah tentukan. Dan daripada kecelakaan anak Adam
itu meninggalkan istikharah kepada Allah dan di antara kecelakaan anak Adam itu
marah dengan apa yang Allah tentukan baginya.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Cara Melakukan Istikharah
Istikharah boleh dilakukan dengan tiga cara:
1. Doa Istikharah sahaja tanpa melakukan apa-apa
sembahyang.
2. Doa Istikharah selepas melakukan apa saja
jenis sembahyang sunat dengan diniatkan bersama niat Istikharah atau pun tidak
diniatkan. Jika diniatkan Istikharah, hendaklah niat sembahyang sunat itu
ditambah bersama dengan niat sembahyang Istikharah untuk mendapatkan pahala
sunat Istikharah. Umpamanya seseorang hendak bersembahyang sunat sebelum Shubuh
bersama Istikharah, maka contoh niatnya :
أُصَلِّي سُنَّةَ الصُّبـْحِ مَعَ الإِسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيـْنِ لِلّهِ تَعَالَى
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Shubuh bersama Istikharah dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
3. Sembahyang Istikharah dua rakaat kemudian
berdoa Istikharah selepasnya. Ini adalah cara yang lebih sempurna dan
disepakati oleh imam mazhab yang empat.
Niat sembahyang Istikharah itu adalah seperti
berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ اْلاِسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
Disunatkan membaca surah Al-Kâfirûn selepas
membaca Al‑Fâtihah pada rakaat pertama dan membaca surah Al-Ikhlâsh pada
rakaat yang kedua. Sebahagian ulama salaf menambah bahawa adalah lebih
elok dan sempurna lagi jika dibaca selepas Al-Fâtihah sebelum surah
Al-Kâfirûn, membaca surah Al‑Qashash, ayat 68-70 iaitu:
وَرَبُّكَ
يَخلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَختَارُ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ سُبحَـنَ اللَّهِ
وَتَعَالَى عَمَّا يُشرِكُونَ ¡ وَرَبُّكَ يَعلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُم وَمَا يُعلِنُونَ ¡
وَهُوَ اللَّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ لَهُ الْحَمْدُ فِى الأُولَى وَالاخِرَةِ
وَلَهُ الـحُكمُ وَإِلَيـهِ تُرجَعُونَ ¡
(سورة
القصص : 68-70)
Tafsirnya: “Dan Tuhanmu menciptakan
apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu- satu
daripada makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah
layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada pilihan
Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya daripada apa yang mereka
sekutukan denganNya. Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati
mereka dan apa yang mereka zahirkan. Dan Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan
Dia. Segala puji tertentu bagiNya, di dunia dan akhirat dan hanyalah Dia yang
berkuasa menghukum, serta kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”
Manakala pada rakaat kedua selepas membaca
surah Al‑Fâtihah sebelum membaca surah Al-Ikhlâsh, dibaca surah Al-Ahzâb,
ayat 36 iaitu:
وَمَا
كَانَ لِمُؤمِنٍ وَلاَ مُؤمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمرًا أَن يَكُونَ
لَهُمُ الـخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم وَمَن يَعصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَد ضَلَّ
ضَلَـلاً مُّبِينًا
(سورة
الأحزاب : 36)
Tafsirnya: “Dan tidaklah harus bagi
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya
menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai
hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak
taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan
kesesatan yang jelas nyata.”
Setelah selesai mengerjakan sembahyang sunat
Istikharah, dibaca doanya seperti berikut:
اللَّهُمَّ
إِنِّي أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ
مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلا
أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلامُ الْغُيُوبِ. اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ
هَذَا الأَمْرَ (دسبوتكن اتو دنيتكن حاجتث دسيني) خَيْرٌ لِي فِي
دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي وَعَاجِلهِ وَآجِلِهِ ، فَاقْدُرْهُ لِي
وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا
الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي وَعَاجِلِهِ وَآجِلِهِ
، فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ
، ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ.
Ertinya: “Ya Allah sesungguhnya
aku memohon daripadaMu pilihan (kebaikan) dengan pengetahuanMu dan aku memohon
agar Engkau menjadikan aku mampu (untuk melaksanakan urusan) dengan kekuasaanMu
yang Agung. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan
Engkau Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau Maha Mengetahui
segala yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (disebutkan
atau diniatkan hajatnya di sini) baik bagiku di dalam agamaku, kehidupanku,
kesudahan urusanku, segeranya dan kelambatannya, maka jadikanlah aku mampu
untuk melaksanakannya dan mudahkanlah ia bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya.
Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku di dalam agamaku,
kehidupanku, kesudahan urusanku, segeranya dan kelambatannya, maka palingkanlah
ia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya dan jadikanlah kebaikan itu
bagiku di mana-mana pun, kemudian jadikanlah aku redha terhadapnya.”
Adalah disunatkan juga memulakan membaca doa tersebut dan mengakhirinya
dengan bacaan hamdalah (الحمد لله), selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam.
Kemudian setelah berdoa, dengan bertawakal
kepada Allah, laksanakanlah perkara yang diistikharahkan bersandarkan kepada
rasa lapang dada, ketenangan dan kemantapan hati sama ada hendak melakukan atau
meninggalkannya.
Jika hati tidak memperolehi ketenangan untuk
melakukan sesuatu atau perkara yang dihajati itu, boleh diulang sembahyang
Istikharah serta doanya atau dengan berdoa Istikharah sahaja sehingga hati
menjadi lapang, tenang dan mantap untuk melakukan sesuatu itu.
Jika diandaikan selepas melakukan ulangan
sembahyang Istikharah dan doanya, belum juga mendapat ketenangan atau
kemantapan hati untuk melakukan sesuatu maka ditangguhkan perkara yang
diistikharahkan itu seberapa yang boleh. Jika tidak dapat ditangguhkan
hendaklah bertawakal kepada Allah dan lakukanlah yang mana satu mudah baginya
untuk melaksanakannya. Dengan izin Allah kebaikan akan berada di pihaknya
dengan berkat Istikharah.
Semua
ini adalah dikaitkan
daripada sebuah riwayat daripada Anas bin Malik daripada Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam sabdanya:
يَا
أَنَسُ إِذَا هَمَمْتَ بِأَمْرٍ فَاسْتَخِرْ رَبَّكَ فِيْهِ سَبْعَ مَرَّاتٍ ،
ثُمَّ انْظُرْ إِلَى الَّذِي يَسْبِقُ إِلَى قَلْبِكَ فَإِنَّ الْخَيْرَ فِيْهِ
(رواه
ابن السني والديلمي)
Maksudnya: “Wahai Anas, apabila engkau
hendak melakukan sesuatu perkara, maka pohonkan kepada Tuhanmu (untuk membuat
pilihan yang terbaik) dalam perkara itu sebanyak tujuh kali, kemudian engkau
lihatlah (tunggu) apa yang datang di dalam hatimu, sesungguhnya kebaikan ada
dalam istikharah itu.”
(Hadis riwayat Ibnu Al-Sinni dan Al-Dailami)
Sembahyang sunat Istikharah boleh dilakukan
pada bila-bila masa kecuali pada waktu yang dimakruhkan padanya mengerjakan
sembahyang iaitu:
i. Waktu terbit matahari sehingga matahari
naik segalah kadar tujuh hasta (satu hasta itu kira-kira 18 inci).
ii. Waktu istiwâ’ yakni matahari berada
di tengah-tengah langit sehingga matahari tergelincir atau condong ke barat
kecuali pada hari Jumaat.
iii. Waktu kekuning-kuningan matahari sehingga
tenggelam segala bulatan matahari di ufuk.
iv. Selepas sembahyang Shubuh bagi orang yang
telah bersembahyang Shubuh sehingga matahari terbit.
v. Selepas sembahyang ‘Ashar bagi orang yang
telah bersembahyang ‘Ashar sehingga tenggelam matahari.
Adalah haram dan tidak sah jika sembahyang
sunat mutlak dan sembahyang sunat yang mempunyai sebab yang terkemudian seperti
sembahyang sunat Istikharah dan sunat ihram dilakukan pada waktu tersebut
kecuali di Tanah Haram Makkah.
Dalam membuat suatu keputusan lebih-lebih
lagi jika keputusan itu mempunyai kepentingan umat, berfikir, bermesyuarat dan
meminta nasihat kepada ahlinya adalah sangat diperlukan untuk mendapatkan
keputusan yang terbaik. Walaupun begitu seorang muslim harus sedar bahawa
keberkatan petunjuk Istikharah seharusnya tidak dilupakan yang mana intisarinya
adalah merupakan memohon pertolongan daripada Allah melalui sembahyang dan doa.
Adakah haram jika saya menunaikan solat istikharah ini setelah selesai menunaikan solat fardhu subuh tepat waktu? Mohon beri penjelasan.
ReplyDeleteKlau blh kita baca dlu sebanyak mungkin dan kita fahami. Selepas itu baru kita tanya lagi klau masih tidak faham
DeleteAssalamualaikum . Sy wani ingin menanyakan satu soalan . Bolehkah sy solat istikharah selepas solat isyak ?
ReplyDeleteWaalaikumsalam,cuba kita baca lagi bila di kwsn haramnya dan makruhnya utk menunaikan solat sunat istikharah ini.Klau kita msih tdk fhm boleh bertanya lagi
Deleteboleh
DeleteAssalamualaikum maaf sye masih kurang paham adekah boleh melakukan solat istikarah selepas mengerjakan solat isyak
ReplyDeleteBoleh
DeleteBoleh ke solat 1 hari je
ReplyDeleteMaksud?
DeleteBacaan doa dalam sujud akhir..bolehkah kalau.ianya tidak dibaca terus baca tahiyat akhir dan memberi salam
ReplyDeleteSaya juga mempunyai soalan yg sama, minta pencerahan....
DeleteKu pun jua. Hmm
Deleteboleh, Inda menjadi masalah. Ganya rugi saja sebab di dalam hadith Qudsi mafhumnya: (Waktu yg paling dekat Aku dengan hambaKu adalah pada waktu sujud) maka banyak2 berdoa pada waktu sujud atu
DeleteKalau lupa kira singan mna singan mna sudh cmna tu? 🙄
ReplyDeleteapatu maksud kita?
DeleteAssalamu'alaikum, maaf saya nak tanya, boleh ke buat solat Istikharah tanpa buat istisyarah (meminta nasihat orang lain berkenaan masalah)?
ReplyDelete