Thursday, May 14, 2015

SEMBAHYANG JUMAAT SELEPAS SEMBAHYANG RAYA

WAJIB SEMBAHYANG JUM’AT SESUDAH
SEMBAHYANG RAYA PADA PAGI HARI JUMA’AT.



Soalan:

Kami di Kampong Laba selepas berpuasa dalam bulan Ramadhan genap 30 Ramadhan (1 Syawal) dan di siang harinya kami sembahyang Hari Raya ‘Aidil Fitri ada kalanya sembahyang Hari Raya tersebut dan bersamaan hari Juma’at.  Dan pertanyaan saya, dan sesudah mengerjakan sembahyang Hari Raya ‘Aidil Fitri itu, adakah wajib didirikan lagi sembahyang fardhu Jum’at pada ketika itu (waktu) atau sembahyang fardhu Dzuhur sahaja, dan apakah hukumnya.  Dan tolong berikan fatwa kepada kami.

Jawapan:

الحمد لله رب العالمين والعاقبة للمتقين ولا عدوان الا على الظالمين والصلاة والسلام على أثرف المرسلين سيدنا محمد واله وصحبه أجمعين

Hendaklah diketahui bahawa dalam mazhab Syafi’i yang dianut oleh umat Islam di sebelah sini, bahawa sembahyang Raya Puasa dan sembahyang Raya Haji itu adalah sembahyang sunat yang sangat dituntut dikerjakan oleh umat Islam, dan telah maklum bahawa sembahyang sunat boleh dibuat dan boleh ditinggalkan dan telah maklum diketahui oleh umat Islam bahawa sembahyang Jum’at fardhu ‘ain di atas batang tubuh orang mukallaf laki-laki yang merdaheka dan sihat dan tiada belayar.

Dan telah diketahui oleh umat Islam bahawa sembahyang sunat seperti sembahyang Raya tiada dapat mengambil tempat sembahyang Jum’at ertinya bila orang mukallaf telah sembahyang Raya pada hari Juma’at maka wajib ia sembahyang fardhu Jum’at pada hari yang ia telah sembahyang Raya itu.  Ini menurut asal hukumnya.

Adapun orang-orang kampong yang telah sembahyang Raya di masjid dalam negeri atau bandar dan hari raya itu jatuh pada hari Juma’at, maka orang-orang kampong itu dibenarkan mereka meninggalkan sembahyang Jum’at pada hari itu dan orang-orang negeri dan bandar, wajib di atas mereka mendirikan sembahyang Jum’at menurut mazhab kita As‑Syafi’i radhiallahu 'anhu.

Maka dari itu wajiblah di atas orang negeri atau bandar, apabila mereka telah sembahyang raya dan Hari Raya itu jatuh pada hari Juma’at mendirikan sembahyang Jum’at bagaimana biasa dan orang-orang kampong yang jauh dari masjid itu dibenarkan oleh syara’ menurut mazhab Al-Imam As-Syafi’i radhiallahu 'anhu meninggalkan sembahyang Jum’at dan wajib di atas mereka menunaikan sembahyang Dzuhur bagaimana tersebut dalam Syarhu Al-Mahzab dan lain-lain kitab.

Demikianlah bahawa orang-orang kampong yang jauh dari masjid apabila mereka telah sembahyang Raya dan Hari Raya itu jatuh pada hari Juma’at, maka mereka harus meninggalkan sembahyang Jum’at dan wajib sembahyang Dzuhur dan orangorang yang dekat masjid wajib diatas mereka mendirikan sembahyang Jum’at setelah mereka menunaikan sembahyang Raya di masjid itu pada pagi raya yang kena pada hari Juma’at itu.

والله أعلم


[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam
         

Pejabat Mufti, Brunei

Mufti Kerajaan Brunei


No comments:

Post a Comment