WAS-WAS DALAM SEMBAHYANG
Bagaimana mengatasinya?
|
(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah,
selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga,
sahabat dan para pengikut Baginda)
Memperolehi kesempurnaan dalam sembahyang
merupakan impian setiap muslim. Mereka cuba sedaya upaya untuk menghadirkan
hati agar khusyuk dalam sembahyang, di samping melaksanakan perkara rukun dan
sunat sembahyang dengan sempurna. Untuk khusyuk dalam sembahyang pula bukanlah
suatu yang mudah, tetapi ia juga bukan suatu yang mustahil untuk dicapai.
Khusyuk dalam sembahyang boleh terganggu dengan
adanya perasaan waswas yang wujud di dalam hati, seperti waswas ketika
mengangkat takbiratul ihram, waswas pada bacaan dalam sembahyang dan
yang seumpamanya.
Dari manakah punca perasaan waswas ini dan bagaimanakah
pula cara mengatasi? Irsyad Hukum kali ini akan menjelaskan serba sedikit
mengenai perkara ini.
Apa
Dia Waswas?
Waswas
menurut Kamus Dewan bererti perasaan sangsi, curiga dan khuatir. Dari istilah Bahasa Arab pula bererti
sangkaan buruk yang merunsingkan hati atau fikiran dan godaan batin.
Dalam
kitab Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah pula, waswas bermaksud kesibukan
fikiran dengan pemikiran yang mengganggu dirinya, dan ini menggalakkannya untuk
melakukan perkara-perkara yang bodoh.
Menurut
Imam al-Qurthubi Rahimahullah, al-Waswasah (الوسوسة) adalah bisikan
hati (dalam diri).
Waswas
merupakan salah satu daripada perbuatan syaitan (bertujuan untuk menganggu
manusia). Oleh yang demikian, seorang muslim itu hendaklah tidak patuh pada (bisikan
atau hasutan) syaitan yang menganggu dirinya dengan perasaan waswas. Bahkan
hendaklah dia mengambil langkah berhati-hati yang menghalangnya dari
berperasaan waswas itu.
Waswas Semasa Sembahyang Dan
Dalam Sembahyang
Menurut
al-Allamah Sayyid al-Bakri Rahimahullah, sembahyang tidak batal jika
waswas timbul kerana ia adalah fikiran yang datang tanpa pilihan (ia hanyalah
mainan fikiran).
Walau
bagaimanapun adalah menjadi tanggungjawab individu mencari jalan atau cara untuk
mengatasinya agar sembahyang dapat dilakukan dengan penuh khusyuk.
Antara waswas yang sering
terjadi pada sesetengah individu ketika bersembahyang ialah:
1) Waswas Pada Niat
Sembahyang Dan Takbiratul ihram
Seseorang yang seringkali
dilanda waswas ketika mengangkat takbiratul ihram akan menyangka bahawa
niat yang dilakukan ketika takbiratul ihram itu tidak sempurna atau
iringan antara niat dan takbir itu salah dan yang seumpamanya. Waswasnya itu
menyebabkan dia terpaksa mengulang niat dan takbiratul ihram itu kerana
takut sembahyang yang dilakukannya itu tidak sempurna atau batal disebabkan
niat dan takbiratul ihram yang tidak sempurna atau salah itu.
Menurut al-Allamah asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullah, waswas yang
datang ketika takbiratul ihram adalah permainan syaitan dan itu menunjukkan lemahnya akal fikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama.
Mengetahui niat
sembahyang dengan jelas, cara melafazkannya samada sebelum atau seiring dengan takbiratul
ihram, sebenarnya membantu mengelak dari timbulnya waswas ketika
berniat dan mengangkat takbiratul ihram.
Lafaz Niat dan Cara Takbiratul
Ihram
Niat dari segi syarak
bererti kemahuan untuk melaksanakan sesuatu perkara sambil terus melakukan
perkara tersebut.
Seseorang yang hendak
melakukan sembahyang fardhu wajib menghadirkan di dalam hatinya tiga perkara, iaitu:
a. Qashad (tujuan hendak
sembahyang)
b. Ta‘yin (menentukan sembahyang Zhuhur
dan sebagainya)
c. Ta‘arrudh al-fardhiah (pernyataan fardhu).
Maka dari ketiga perkara
tersebut, inilah contoh niat yang wajib bagi sembahyang fardhu:
أُصَلِّى
فَرْضَ الظُّهْرِ
Ertinya: “Aku
sembahyang fardhu Zhuhur.”
Begitu juga wajib pernyataan qashar bagi
musafir, dan pernyataan “imam” dan “ma’mum” bagi yang sembahyang berjemaah.
Manakala niat dengan
lafaz-lafaz sunat sebagaimana berikut:
a. Ta‘arrudh li ada’i aw
qadha’i (pernyataan untuk sembahyang tunai atau qadha)
b. Ta‘arrudh ‘adadi raka‘ati
(pernyataan
bilangan raka‘at)
c. Idhafah ‘ila Allah Ta‘ala
(disandarkan
kepada Allah Ta‘ala)
Contoh niat yang wajib
disertakan dengan lafaz yang sunat pula ialah:
أُصَلِّى
فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اَدَاءً لِلّهِ تَعَالىَ
Ertinya: “Aku
sembahyang fardhu Zhuhur empat raka‘at tunai kerana Allah Ta‘ala.”
Seseorang
yang hendak sembahyang fardhu Zhuhur, hendaklah menghadirkan dalam hatinya
tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur, dan sunat menyebut lafaz niatnya dengan
lidah, seperti: أُصَلِّى
فَرْضَ الظُّهْرِ (ertinya: “Aku sembahyang
fardhu Zhuhur”) lalu terus mengangkat
takbiratul ihram dengan ucapan: اللهُ أَكْبَرُ
(ertinya: “Allah Maha Besar”) sambil di hatinya masih menghadirkan
atau masih ada niat untuk sembahyang fardhu Zhuhur sehingga selesai mengucap
takbir itu.
Sunat
melafazkan niat sebelum mengangkat takbiratul ihram agar lidah
dan hati saling bantu membantu untuk menghadirkan niat, dan mengelak waswas.
Menurut
al-‘Allamah al-Bujairimi Rahimahullah,
pendapat yang muktamad adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbiratul
ihram menurut ‘urf (kebiasaan); iaitu menghadirkan niat pada
mana-mana bahagian ucapan takbiratul ihram. Sebagai contoh, tujuan untuk
sembahyang fardhu Zhuhur dihadirkan pada mana-mana bahagian ucapan takbiratul
ihram.
Menurut
Imam al-Ghazali Rahimahullah,
adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbiratul ihram
mengikut ‘urf (kebiasaan) bagi orang biasa, kerana melaksanakan yang sedemikian
itu dianggap sudah menghadirkan niat untuk sembahyang. Berlainan bagi orang-orang tertentu (seperti
sahabat-sahabat Nabi Radhiallahu ‘anhum), mereka mampu menghadirkan niat
beriringan dengan takbiratul ihram dengan cara yang hakiki; iaitu
menghadirkan niat yang beriringan dengan keseluruhan ucapan takbiratul ihram
Menurut sebahagian ulama,
berhati-hatilah jika syaitan menyerang dengan keburukan waswas (ketika takbiratul
ihram). Jika terjadi sedemikian atau terjadi di luar kemampuan, maka
lakukanlah seperti apa yang telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah sebagaimana
di atas, bagi tujuan memudahkan (untuk menghadirkan niat).
2) Waswas
Pada Bacaan Dalam Sembahyang
Terdapat juga sebahagian orang ramai yang berasa
waswas pada bacaannya dalam sembahyang sehingga menimbulkan sikap yang
keterlaluan dalam pengucapan huruf, lantas kurang perhatian untuk memahami apa
yang dibaca.
Menurut Ibnu
al-Jauzi Rahimahullah: Antara
tipu daya Iblis
terhadap
orang yang sembahyang ialah mendatangkan waswas pada makhraj huruf. Ada
yang membaca ‘al-hamdu… al-hamdu…’ berulang kali sehingga menyebabkannya
terkeluar dari adab sembahyang.
Adakalanya Iblis mendatangkan kepadanya waswas ketika membunyikan tasydid
(huruf bersabdu), dan adakalanya ketika membunyikan huruf dhad pada
kalimah al-maghdhub dalam surah al-Fatihah sehinggakan terkeluar air
ludahnya kerana terlalu kuat tekanannya pada tasydid (huruf bersabdu)
tersebut.
Penyebutan huruf secara keterlaluan
dan melampui batas adalah waswas yang didatangkan oleh iblis untuk menyibukkan
orang mu’min pada sebutan makhraj sehingga perhatian untuk memahami bacaan
berkurangan.
Adapun yang dikehendaki pada bacaan
itu adalah menyebut makhraj huruf dengan betul, bukanlah keterlaluan menyebutnya
sehingga memberatkan diri sendiri.
Punca
Timbulnya Perasaan Waswas Dan Cara Mengatasinya Ketika Bersembahyang
Waswas timbul kerana lemahnya akal
fikiran dan kurangnya ilmu agama.
Oleh
yang demikian, bagi mengatasi masalah waswas ketika sembahyang, seorang muslim
itu hendaklah mengambil langkah-langkah sebagaimana berikut:
1)
Mendalami
Ilmu Agama
Mempelajari
ilmu mengenai ibadat secara mendalam, dari sudut kebersihan, kaifiat (cara) memasang
niat untuk sembahyang, mengangkat takbiratul ihram, bacaan-bacaan yang
betul dalam sembahyang dan sebagainya adalah antara perkara yang boleh membantu
menjauhi perasaan waswas yang ditimbulkan oleh syaitan.
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu
‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
فَقِيهٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ
(رواه الترمذى)
Maksudnya: “Seorang faqih (ahli ilmu agama)
lebih susah bagi syaitan (mendatangkan waswas di hatinya) daripada seribu orang
ahli ibadat (yang jahil).”
(Hadis riwayat
at-Tirmidzî)
Menurut Ibnu al-Jauzi Rahimahullah, kejahilan
merupakan jalan utama iblis masuk pada diri manusia, iaitu iblis masuk
(menghasut dan membisik-bisik waswas pada) orang-orang yang jahil dengan cara
aman (mudah). Manakala pada orang yang berilmu, dia mencuri-curi (lantaran susah
untuk dia menghasut atau membisik-bisik waswas).
2)
Menghadirkan Hati Untuk Khusyuk Ketika Sembahyang
Salah satu cara yang boleh membantu
menghilangkan rasa waswas adalah menghadirkan hati ketika menunaikan
sembahyang.
Apabila hati tidak dapat hadir di
dalam sembahyang (tidak dapat menjiwai perkataan dan perbuatan sembahyang),
maka ia tidak akan kosong, bahkan berputar memikirkan perkara-perkara dunia. Oleh
kerana itulah, terdapat antara kita yang zahirnya sembahyang, namun hati dan
fikiran melayang di tempat lain.
Menurut
Imam al-Ghazali Rahimahullah, antara cara menghadirkan hati ketika
sembahyang adalah dengan mengosongkan hati dari segala perkara yang mengganggu
fikiran. Perkara-perkara yang mengganggu
fikiran itu dapat dicegah dengan menolak penyebabnya.
Apakah
penyebab yang menganggu fikiran sehingga kita tidak mampu menghadirkan hati
ketika bersembahyang?
a.
Persekitaran
Penyebab
persekitaran adalah apa-apa yang terdengar oleh telinga atau
ternampak oleh mata.
Seseorang
yang kuat niat dan azamnya untuk sembahyang tidak akan terganggu dengan apa
yang didengar atau dilihatnya.
Namun,
orang yang lemah niat dan azamnya akan bercelaru fikirannya. Maka cara untuk mengatasinya
adalah dengan menundukkan pandangan ke tempat sujud, atau sembahyang di tempat
gelap, atau membuang benda yang boleh mengganggu fikiran, atau bersembahyang
dekat dinding bagi membataskan pandangan dan mengelak dari bersembahyang di
tempat laluan atau atas tikar yang berukir.
b.
Diri
sendiri
Penyebab dari diri sendiri juga menghalang dari
menghadirkan hati ketika bersembahyang, umpamanya sembahyang sambil leka atau
hanya untuk menunaikan kewajipan semata-mata. Mengatasi penyebab ini adalah
lebih ditekankan.
Antara cara untuk mengatasi penyebab dari dalam diri adalah
dengan berusaha mengosongkan fikiran dari hal-hal keduniaan sebelum mengangkat takbiratul
ihram dan menumpukan perhatian pada memahami apa yang dibaca dalam
sembahyang.
Seseorang
yang hendak sembahyang perlu mengingat akan dahsyatnya suasana akhirat ketika
dia akan berdiri di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kelak.
Zikir-zikir
Yang Boleh Diamalkan Untuk Mengelak Waswas
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah
memerintahkan
kita untuk memohon perlindunganNya daripada kejahatan syaitan yang sentiasa
mengintai peluang untuk mendatangkan waswas (hasutan) kepada manusia. Dalam
surah an-Naas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Katakanlah
(Wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada
(Allah) Pemelihara sekalian manusia, Yang menguasai sekalian manusia, Tuhan
yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut
yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati
manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
(Surah an-Naas:1-6)
Terdapat beberapa pendapat mengenai
maksud al-Khannas (¨$¨Ysù:$#),
antaranya:
i.
Syaitan atau anak iblis
ii.
Sifat syaitan yang selalu tersembunyi dan tidak
kelihatan.
iii.
Sifat syaitan yang berundur lari jika seseorang hamba itu
ingat kepada Allah.
Berikut beberapa amalan yang
diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
1)
Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ
قَالَ حِينَ يُصْبِحُ أَعُوذُ بِاللهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ
الرَّجِيمِ، أُجِيرَ مِنَ الشَّيْطَانِ حَتَّى يُمْسِيَ
(أخرجه ابن السني)
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca pada waktu pagi:
أَعُوذُ بِاللهِ
السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم (ertinya: Aku berlindung kepada Allah yang Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam), maka dipelihara
dia daripada (gangguan) syaitan sehingga petang.”
(Hadis dikeluarkan oleh Ibnu
as-Sunni)
2)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga
mengajarkan cara menghindarkan perasaan waswas sebagaimana dalam hadis riwayat
Muslim:
أَنَّ
عُثْمَانَ بْنَ أَبِي الْعَاصِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ! إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ حَالَ بَيْنِي
وَبَيْنَ صَلاَتِي وَقِرَاءَتِي.
يَلْبِسُهَا عَلَيَّ.
فَقَالَ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ: خِنْزِبٌ. فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ
بِاللهِ مِنْهُ. وَاتْفِلْ عَلَى
يَسَارِكَ ثَلاَثًا.
قَالَ: فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَأَذْهَبَهُ اللهُ عَنِّي
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Sesungguhnya
‘Utsman bin Abu al-‘Ash Radhiallahu ‘anhu menghadap Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam. Lalu dia berkata: Wahai
Rasulullah! Sesungguhnya
syaitan telah menghalangi sembahyangku dengan bacaanku. Dia menimbulkan keraguan kepadaku.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
menjawab: “Itulah syaitan yang dipanggil
Khinzib. Jika engkau merasakannya, mohonlah perlindungan Allah
daripadanya. Kemudian meludahlah ke
sebelah kiri sebanyak tiga kali.”
(‘Utsman berkata:) Aku pun melakukan
seperti apa yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan
Allah pun melenyapkannya dariku.”
(Hadis
Riwayat Muslim)
Terdapat
juga amalan yang diajarkan para ulama, antaranya:
1)
Jarir bin
‘Ubaidah al-‘Adawi mengatakan yang ertinya:
“Aku mengadu kepada al-‘Ala ’
bin Ziyad: “Aku dapati waswas pada
dadaku.” Dia pun berkata: “Itu seperti rumah yang diawasi oleh pencuri,
jika didapatinya ada sesuatu (lalai) dalam rumah itu, maka dia bersegera
kepadanya. Jika tidak, dia pergi
meninggalkannya.” Maknanya, jika hati
disibukkan dengan zikir (mengingati) Allah, tiada peluang bagi syaitan untuk
mengganggu. Tetapi syaitan mengambil
peluang untuk mendatangkan waswas apabila lalai dari zikir (mengingati) Allah.
2)
As-Sayyid al-Jalil
Ahmad bin Abi al-Hawari berkata: “Aku mengadu kepada Abu Sulaiman ad-Darani Radhiallahu
‘anhu tentang waswas yang
menimpaku. Beliau menjawab: “Jika engkau
ingin menghilangkannya, maka apabila saja engkau merasainya, bergembiralah,
kerana jika engkau bergembira, waswas itu akan terputus daripadamu. Tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh
syaitan daripada kegembiraan orang yang beriman. Jika engkau bersedih hati tentulah waswas itu
akan bertambah-tambah lagi menyerang dirimu.”
3) Al-Ustaz Abu al-Hasan
asy-Syazali Rahimahullah pernah mengajarkan
sahabat-sahabatnya amalan yang boleh menghindarkan waswas dan lintasan fikiran
yang tidak baik. Beliau mengatakan
kepada mereka: “Barangsiapa yang merasa
sedemikian rupa, hendaklah dia meletakkan tangan kanannya di atas dadanya,
sambil membaca sebanyak tujuh kali sebelum mengangkat takbiratul ihram:
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْسِ الْخَلاَّقِ الْفَعَّالِ
Ertinya: “Maha Suci
Allah yang Maha Berkuasa, yang Maha Suci (dari kekurangan), yang Maha
Menciptakan (sekalian makhluk) dan yang Maha Melakukan (apa yang
dikehendakiNya).”
Kemudian membaca Surah Ibrahim, ayat
19-20:
Tafsirnya: “Jika Dia
kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan
didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu. Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi
Allah melakukannya.”
4)
Menurut
sebahagian ulama, digalakkan bagi orang yang berperasaan waswas ketika
berwudhu’, sembahyang dan lain-lain untuk membaca لا
إله الا الله sebab syaitan berundur apabila
mendengar kalimat zikir. Lebih-lebih
lagi, kalimat tersebut
adalah induk segala zikir.
Banyak
lagi bacaan yang boleh diamalkan untuk melindungi diri kita dari gangguan dan
hasutan syaitan. Sentiasa membaca al-Qur’an di waktu pagi dan petang juga adalah
salah satu amalan pelindung diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Perlu
kita sedar, bahawa perasaan waswas yang wujud dalam hati ketika kita
melaksanakan sembahyang, hanya gangguan syaitan semata-mata. Walau bagaimanapun
jika waswas dibiarkan di hati, maka keinginan untuk memperolehi kekhusyukan di
dalam sembahyang tidak akan dapat
dicapai.
Oleh itu, berusahalah sedaya upaya untuk menghilangkan
perasaan waswas ini dengan memantapkan ilmu agama, agar tidak mudah diri kita
dijahilkan oleh syaitan yang berusaha memalingkan manusia dari beribadah kepada
Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Bolehkah saya niat dalam keadaan mata tertutup sebab nak khusyuk. Kadang-kala saya susah nak fokus dan menyebabkan saya menjadi was-was. Namun, saya hanya mention Maya ketika hendak berniat dalam solat dan bukannya saya terus menutup mata sepanjang saya menunaikan solat. Moon pencerahan yang jelas.
ReplyDeleteAssalamualaikum,
ReplyDeleteSaya nak mintak permintaan untuk 'Copy' ayat di dalam perenggan di atas untuk di'paste' dalam nota dalam phone saya untuk menghafalnya. Bolehkah tuan/puan memeberikan kebenaran untuk saya lakukan seperti yang demikian?
Assalamualaikum.. saya pun nk copy paste jgk minta izin bole..
ReplyDelete