(Dengan nama Allah, Segala puji bagi
Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Salam di luar sembahyang ialah ucapan penghormatan yang
diucapkan sesama orang-orang Islam. Hukum mengucapkan salam itu adalah sunat mu’akkadah.
Ia merupakan sunnah Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wasallam
dan amalan para as-salaf ash-shaleh yang sangat-sangat digalakkan,
sebagaimana hadits daripada ‘Abdullah
bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أيُّ اْلإِسْلاَمِ خَيْرٌ؟
قَالَ: تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ
السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ.
(رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki bertanya kepada
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah pekerti Islam yang terbaik?
Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam menjawab: “Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang
kau kenal dan yang tidak kau kenal.”
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadits ini merupakan suatu anjuran supaya mengucapkan
salam kepada siapa saja yang ditemui, tidak terbatas kepada orang Islam yang dikenali
malah juga yang tidak dikenali.
Adapun menjawab salam yang diucapkan oleh saudara
Islam itu pula adalah wajib. Ini jelas berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
V¢XM
Wè ØS~QY~TS
xàQW~YWY N
éQS~TWWTÊ
WÝW©`VKY :Wä`ÞYÚ
`èVK
%:WåèQS S¤
QWÜMX
JðW/@
WÜVÒ uøVÕWÆ
QXÔRÒ ]òpøW®
[~Y©W (86)
(سورة النساء: 86)
Tafsirnya: “Dan apabila
kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam),
maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah
dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap
sesuatu.”
(Surah an-Nisaa:
86)
Sementara salam dalam sembahyang pula ialah ucapan
salam yang merupakan rukun qauli (bacaan) yang wajib dilafazkan sebagai
penutup bagi ibadah sembahyang.
Apakah ia
lafaz-lafaz salam di luar sembahyang itu? Bagaimanakah lafaz salam yang
sebaik-baiknya untuk diucapkan apabila bertemu dengan seseorang dan bagaimanakah
pula orang yang diucapkan salam itu menjawabnya? Bagaimanakah lafaz salam yang dituntut
dalam sembahyang itu?
Lafaz Salam Di Luar
Sembahyang
(1)
Lafaz salam apabila bertemu seseorang dan lafaz menjawabnya
Lafaz memberi salam
Imam an-Nawawi Rahimahullah
menjelaskan bahawa lafaz salam yang afdhal dan sempurna ialah dengan
mengatakan: “ السَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وبَرَكَاتُهُ ” (Selamat sejahtera, rahmat Allah serta keberkatanNya ke atas
kamu). Menggunakan dhamir jama‘ (kata ganti nama diri kedua bagi
bilangan melebihi dua orang) pada perkataan “ عَلَيْكُمْ ” adalah afdhal meskipun orang yang diberi salam itu seorang
sahaja.
Sudah
menjadi kebiasaan kita apabila bertemu dengan saudara kita mengucapkan salam
itu dengan mengatakan: “ السَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ ” atau “ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ”
atau “ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ
وبَرَكَاتُهُ ”.
Menurut
ajaran Islam, setiap ucapan salam itu mempunyai nilai pahala yang berbeza-beza
sesuai dengan lafaz salam yang diucapkan, sepertimana yang diriwayatkan oleh
‘Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ،
فَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلاَمَ ثُمَّ جَلَسَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَشْرٌ.
ثُمَّ جَاءَ آخَرُ
فَقَالَ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ، فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ،
فَقَالَ: عِشْرُونَ.
ثُمَّ جَاءَ آخَرُ
فَقَالَ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، فَرَدَّ
عَلَيْهِ فَجَلَسَ، فَقَالَ: ثَلاَثُونَ.
(رواه أبو داود)
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu memberinya salam dengan mengucapkan: “
السَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ ”, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam menjawab salam itu. Kemudian orang itu duduk lalu Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam pun bersabda: “(Baginya) sepuluh hasanah (kebaikan).
Kemudian datang lagi seorang yang
lain seraya mengucapkan: “ السَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ ”, lalu Baginda menjawabnya. Kemudian orang
tersebut duduk lalu Baginda pun bersabda: “(Baginya) dua puluh hasanah
(kebaikan).
Kemudian datang pula seorang yang
lain, lalu dia mengucapkan: “ السَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ ”,
Baginda pun menjawabnya, lalu orang tersebut duduk. Baginda
bersabda: “(Baginya) tiga puluh hasanah (kebaikan).”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Mengucapkan
salam dengan lafaz: “Assalamu‘alaikum” ( السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
) sudah dikira memadai. Demikian juga jika diucapkan dengan lafaz: “Assalamu‘alaika”
( السَّلاَمُ
عَلَيْكَ ) atau “salamun ‘alaika” ( سَلاَمٌ عَلَيْكَ ), maka itu juga memadai
dan dikira memberi salam.
Lafaz
menjawab salam
Bagi orang yang menjawab salam, cara
yang afdhal menjawabnya ialah dengan mengucapkan: “ وَعَلَيْكُمُ
السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ ”, dengan tambahan huruf (واو ) pada perkataan “ وَعَلَيْكُمْ” yang bererti (dan
atas kamu juga).
Adapun cara menjawab salam yang
sekurang-kurangnya ialah dengan mengucapkan: “Wa‘alaikassalam” ( وَعَلَيْكَ
السَّلاَمُ )
atau “wa‘alaikumussalam” ( وَعَلَيْكُمُ السَّلاَمُ ). Jika diucapkan atau
dijawab (
عَلَيْكُمُ السَّلاَمُ )
tanpa menyebut “Wa” iaitu huruf ( واو ), maka
itu
pun sudah mencukupi
atau memadai sebagai jawapan salam.
Abu Yahya Zakaria al-Anshari Rahimahullah
menjelaskan bahawa mengucap dan menjawab salam dengan perkataan “ سلام ” itu dalam bentukمعرفة (dibubuh huruf alif dan
lam) menjadi “ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ ” dan “ وَعَلَيْكُمُ
السَّلاَمُ
” adalah
afdhal daripada mengucapkannya dalam bentukنكرة (tidak ada huruf alif dan
lam), iaitu “ سَلاَمٌ
عَلَيْكُمْ ”
dan “ وَعَلَيْكُمْ
سَلاَمٌ
”. Namun begitu, ia tetap juga memadai sebagai ucapan
dan jawapan salam yang diniatkan.
(2)
Lafaz salam
apabila menziarahi maqam Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sahabat
Baginda
Apabila seseorang masuk Masjid Nabawi, kerjakanlah
sembahyang sunat Tahiyyatulmasjid, kemudian pergilah menziarahi maqam Nabi
Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menghadap ke arah Baginda
dan membelakangi kiblat dalam jarak empat hasta daripada dinding maqam Baginda.
Kemudian ucaplah salam ke atas Baginda dengan suara yang perlahan.
Sekurang-kurang salam ke atas Baginda itu ialah dengan mengucapkan: “ السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْكَ وَسَلَّمَ ” (Selamat
sejahtera ke atas Tuan, wahai Rasulullah, Allah memberikan selawat dan salam ke
atas Tuan).
Ataupun dengan salam yang panjang seperti:
السَّلاَمُ عَلَيْكَ
يَا رَسُولَ اللَّهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خِيرَةَ اللَّهِ مِنْ خَلْقِهِ، السَّلاَمُ
عَلَيْكَ يَا حَبِيبَ اللَّهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا سَيِّدَ الْمُرْسَلِينَ
وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ وَعَلَى آلِكَ وَأَصْحَابِكَ
وَأَهْلِ بَيْتِكَ وَعَلَى النَّبِيِّينَ وَسَائِرِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ
أَنَّكَ بَلَّغْتَ الرِّسَالَةَ، وَأَدَّيْتَ اْلأَمَانَةَ، وَنَصَحْتَ اْلأُمَّةَ،
فَجَزَاكَ اللَّهُ عَنَّا أَفْضَلَ مَا جَزَى رَسُولاً عَنْ أُمَّتِهِ.
Maksudnya: “Selamat
sejahtera ke atas Tuan wahai Rasulullah, selamat sejahtera ke atas Tuan wahai
makhluk pilihan Allah, selamat sejahtera ke atas Tuan wahai kekasih Allah,
selamat sejahtera ke atas Tuan wahai penghulu para rasul dan penutup para nabi,
selamat sejahtera ke atas Tuan, keluarga Tuan, sahabat-sahabat Tuan, ahli rumah
Tuan, para nabi dan sekalian orang-orang yang shaleh. Aku bersaksi bahawa Tuan
telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah dan telah memberi nasihat kepada
umat maka semoga Allah akan memberi ganjaran daripada kami dengan sebaik-baik ganjaran
yang diberikan kepada seorang rasul daripada umatnya.”
Adapun lafaz salam bagi menyampaikan salam orang lain
kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah dengan menambah nama
orang yang berpesan itu seperti mengucapkan: “ السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ اللهِ مِنْ فُلاَنِ ابْنِ فُلاَنٍ ” (Selamat sejahtera ke atas Tuan wahai
Rasulullah daripada Polan bin Polan) atau mengucapkan: “ فُلاَنُ ابْنُ فُلاَنٍ يُسَلِّمُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ
اللَّهِ ” (Si Polan bin Polan mengucapkan
selamat sejahtera ke atas Tuan wahai Rasulullah).
Kemudian beralih ke kanan dalam jarak sehasta untuk
mengucapkan salam ke atas Saiyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu dengan
mengucapkan:
السَّلاَمُ عَلَيْكَ
يَا أَبَا بَكْرٍ صَفِيَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَثَانِيَهُ
فِي الْغَارِ. جَزَاكَ اللَّهُ عَنْ أُمَّةِ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرًا.
Maksudnya: “Selamat
sejahtera ke atasmu wahai Abu Bakar sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam dan orang yang menemaninya di gua (tsur). Semoga Allah memberi
ganjaran dengan ganjaran yang sebaiknya kepadamu daripada umat Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
Kemudian beralih lagi ke kanan dalam jarak sehasta
untuk mengucapkan salam ke atas Saiyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu dengan
mengucapkan:
السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا عُمَرُ الَّذِي
أَعَزَّ اللَّهُ بِهِ اْلإِسْلاَمَ. جَزَاكَ اللَّهُ عَنْ أُمَّةِ نَبِيِّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرًا.
Maksudnya: “Selamat sejahtera ke atasmu wahai ‘Umar orang yang dengannya Allah telah
menguatkan Islam. Semoga Allah memberikan ganjaran dengan ganjaran yang sebaiknya
kepadamu daripada umat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
(3)
Lafaz salam
apabila menziarahi ahli kubur orang Islam
Sunat
memberi salam kepada ahli kubur orang Islam dengan menghadap ke arah muka ahli
kubur tersebut, sebagaimana salam yang diajarkan
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits riwayat Imam Muslim
Rahimahullah, iaitu:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ
اللَّهُ لَلاَحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ.
Maksudnya:
“Selamat sejahtera kepada kamu sekalian, wahai penghuni kampung-kampung dari
kalangan mukminin dan muslimin, dan sesungguhnya kami, Insya Allah, akan
bertemu kamu, saya memohon kepada Allah ‘afiat untuk kami dan untuk kamu
sekalian.”
(4)
Lafaz salam
apabila memasuki rumah yang tidak berpenghuni
Sunat mengucapkan salam ketika hendak masuk rumah,
bukan sahaja ketika hendak masuk ke rumah orang lain bahkan juga ketika hendak
masuk ke rumah sendiri sekalipun rumah tersebut tidak berpenghuni dengan mengucapkan:
السَّلاَمُ
عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ، السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ
الْبَيْتِ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Maksudnya: “Selamat sejahtera
ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang shaleh, selamat sejahtera rahmat Allah serta
keberkatanNya ke atas kamu wahai ahli rumah.”
Lafaz Salam Dalam Sembahyang
Memberi salam di akhir sembahyang iaitu setelah
selesai membaca tasyahhud akhir adalah termasuk dalam rukun sembahyang.
Sekurang-kurang lafaz salam itu ialah dengan membaca ( السَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ ) dan diucapkan sekali.
Sementara lafaz salam yang afdhal dan sempurna ialah
dengan membaca ( السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ ) sebanyak dua kali, sekali pada salam
pertama di sebelah kanan dan sekali pada salam kedua di sebelah kiri, sebagaimana
hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu:
أَنَّهُ كَانَ
يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ يَسَارِهِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ،
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ.
(رواه الترمذي)
Maksudnya: “Sesungguhnya
(Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) memberi salam di sebelah kanannya dan
kirinya (dengan membaca)السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
وَرَحْمَةُ اللَّهِ .”
(Hadits
riwayat at-Tirmidzi)
Adapun menambah di
akhir lafaz salam itu dengan perkataan ( وَبَرَكَاتُهُ ) adalah
tidak disunatkan.
Kesimpulan
Memberi salam itu merupakan sebahagian daripada etika
orang Islam ketika bertemu dan berjumpa saudaranya. Dengan salam akan eratlah
lagi jalinan ukhuwwah Islamiah sesama Islam, kerana anjuran memberi salam itu
bukan terbatas kepada orang yang dikenali ataupun yang dekat dengan kita
sahaja.
Memberi salam juga disunatkan apabila menziarahi kubur
orang-orang Islam termasuk makam Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan
sahabat Baginda. Dengan memberi salam kepada ahli kubur, kita telah mendoakan
mereka dengan kesejahteraan dan keselamatan mereka.
Di dalam sembahyang pun kita juga dituntut memberi
salam sebagai salah satu rukun sembahyang.
Maka lafaz salam ini sangat mulia dan dituntut dalam
Islam, kerana ia menambahkan pahala, mengeratkan hubungan sesama Islam, doa
kesejahteraan kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita, bahkan ia juga memberi
kesan kepada sahnya ibadah sembahyang.
assalamualaikum..
ReplyDeleteterima kasih atas perkongsian ilmu ini...
cuma saya ingin bertanya tentang UCAPAN SALAM DI AKHIR SOLAT YANG BETUL..
boleh kah sekadar diucapkan SALAAMUALAIKUM.. tanpa disebutkan AS.. pada permulaan salam tersebut?
terima kasih