Thursday, May 14, 2015

WAS-WAS, MASALAH KULIT LUKA

Sembahyang orang yang terkena luka. Sembahyang was-was bilangan rakaatnya. Bacaan berlindung kepada Allah Ta‘ala


Soalan:

1.   Seseorang menghidap penyakit kulit atau luka dan terpaksa di plastar. Bila plastar dibuka darah atau nanahnya masih berair dan terpaksa ditutup dengan plastar, berkenaan dengan sembahyang tidak ada uzur, tiap-tiap sembahyang berkehendakkan wudhu, macamana mengambil wudhu untuk sembahyang?

2.   Dalam sembahyang fardhu maghrib ketika berdiri dalam rakaat yang keempat baru teringat akan sembahyang itu ialah fardhu maghrib. Adakah sah sembahyang itu. Apa hukumnya?

Jawapan:

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد رسول رب العالمين، وعلى اله وصحبه الذين كانوا علة النهج المبين

1.   Orang yang memakai plastar di atas umpama kudis atau luka, dan dia tiada dapat membuka atau menanggalkan plastar itu dari atas lukanya atau kudis umpamanya umpama sebab takut lambat sembuh atau bisa atau cacat yang nyata pada anggota yang nyata seperti lengan. Bila ia hendak mengambil wudhu, maka hendaklah ia mengambil wudhu bagaimana biasa, dan ia sapukan air di atas plastar itu ketika membasuh anggota itu, umpamanya plastar itu ada di lengan maka lepas ia membasuh muka, maka ia basuh tangan atau lengan dan ia sapu di atas plastar yang ada di lengan itu dengan air, kemudian ia tayammum dengan debu tanah dengan meletakkan dua tapak tangan kering di atas debu dan niat tayammum serta menyapu mukanya, kemudian ia letakkan dua tapak tangan di atas debu kerana menyapu dengannya akan dua tapak tangan serta dua lengan serta dua siku luar dan dalam atau atas dan bawah lengan itu, dan boleh lepas ia membasuh muka maka ia tayammum kerana lengan yang ada plastar itu dan hendaklah tangan itu kering, kemudian ia basuh tangan yang tiada plastar itu yakni yang sihat. Kemudian ia sapu kepala dan kemudian basuh dua  kaki serta dua buku lali, maka tamatlah wudhunya itu.

Akan tetapi oleh kekurangan pada wudhu, sebab tiada membasuh tangan dengan sepenuhnya, kerana ada plastar di atasnya dan kerana tayammum pun kurang iaitu tiada dapat menyapu debu di atas tangan dengan sepenuhnya, kerana ada plastar, maka ertinya pengganti itu kurang yakni tayammum, dan yang kena ganti itu kurang juga yakni wudhu, maka mestilah bagi yang memakai plastar dengan keadaan begitu rupa, mengulang semula semua sembahyangnya selama ia memakai plastar itu.

Itulah hukum di atas orang memakai plastar atau balut atau semen di atas anggota wudhu dan di atas anggota tayammum dan anggota tayammum ialah muka dan dua tangan dalam mazhab al-Imam as-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu.

Adapun pada mazhab al-Imam Malik Radhiallahu ‘anhu maka orang yang memakai plastar atau ubat atau balut atau simen di atas anggota wudhu dan tiada dapat ia buka atau tanggalkan plastar atau ubat itu, maka ia balut ubat itu dengan kain umpamanya kalau sakit kena air, kemudian ia sapu air di atas balut ubat itu, dan jika plastar atau simen atau balut maka ia berwudhu bagaimana biasa, dan bila sampai waktu membasuh tangan, dan dilengannya ada plastar umpamanya maka ia basuh tangan yang sihat itu dan ia sapu dengan air akan semua plastar atau semua balut itu dan ia teruskan wudhunya bagaimana biasa, dan ia sembahyang bagaimana biasa, dan tiadalah ia mengulangi sembahyangnya itu, selama ia memakai balut atau plastar itu dengan sebab takut mudharat menanggalkan plastar atau balut itu.

Bagi orang yang memakai plastar di lengannya dan ia hendak mengikut mazhab al-Imam Malik, maka hendaklah ia berwudhu dengan niat bagaimana biasa, dan ia basuh muka semuanya bagaimana biasa, kemudian ia basuh dua tangan mana-mana yang sihat itu dan ia sapukan di atas semua plastar atau balut yang ada di atas lengannya dengan air, kemudian ia sapu semua kepala termasuk lubang tengkuk dan kulit di atas dan belakang dua telinga dan rambut dua pelipis ini mengikut mazhab al-Imam Malik, kemudian ia basuh dua kakinya bagaimana biasa, dan mestilah basuh dan sapu anggota-anggota itu dilakukan berturut-turut, dengan tiada berlengah-lengah, dan mestilah digosok segala anggota wudhu itu dengan tangan iaitu segala muka da rambut dan segala tangan, lengan, dan jari-jari dan kaki dan jari-jarinya, kerana dalam mazhab al-Imam Malik erti basuh itu bukan melakukan air sahaja, bahkan hendaklah dilakukan air di atas anggota serta digosok dan disental dengan menggunakan tapak tangan.

Ringkasnya: Fardhu wudhu dalam mazhab al-Imam Malik ada tujuh perkara:

 (1)                   Niat
 (2)                   Membasuh muka
 (3)                   Membasuh dua tangan serta dua siku
 (4)                   Menyapu semua kepala termasuk lubang tengkuk dan kulit di atas dan di belakang dua telinga dan rambut dua pelipis
 (5)                   Membasuh dua kaki serta dua buku lali
 (6)                   Berturut-turut dengan tiada berlengah-lengah pada melakukan wudhu
 (7)                   Menggosok dan menyental dengan tapak tangan akan anggota-anggota wudhu yang dibasuh

Ingatan:
Boleh seseorang yang terpaksa memakai plastar dimana-mana anggota wudhunya itu bertaklid wudhu dalam mazhab al-Imam Malik dengan syarat mengikut betul-betul cara wudhu mazhab al-Imam Malik itu bagaimana di atas.

2.   Dalam sembahyang maghrib ketika berdiri dalam rakaat yang keempat baharu ia teringat akan ia sembahyang maghrib, maka ia turun duduk dengan segera, kemudian ia membaca tahiyyat akhir, kemudian ia sujud sahwi dua kali, kemudian memberi salam, dengan perbuatan begitu maka tamat sembahyang maghribnya dan sah sembahyang maghrib itu.

والله المعين الموفق والله اعلم


[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam


Pejabat Mufti, Brunei
Mufti Kerajaan Brunei

2 comments:

  1. Kalau sapu ubat gatal di celah kelangkang sahkah solat org iti?

    ReplyDelete
  2. Kalau plaster nya pada bahagian bukan anggota wuduk? contohnya lutut. Sudah separuh solat baru teringat tidak menukar plaster terlebih dahulu. Bagaimana pula dengan situasi ini?

    ReplyDelete