بسم
الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
Sembahyang an-nafl ialah amalan sunat yang lebih afdhal daripada
sunat-sunat lainnya. Menurut dalam kitab Tuhfah karangan Ibnu Hajar, bahawa
sembahyang-sembahyang sunat mengikut tertib keafdhalannya bermula daripada
sembahyang sunat hari raya adha, hari raya fitrah, gerhana matahari, gerhana
bulan, istisqa’ (meminta hujan), sembahyang sunat witir, dua rakaat
fajar, sunat-sunat rawatib yang selebihnya, tarawih, dhoha, sembahyang dua
rakaat thawaf, dua rakaat tahyatul masjid, dua rakaat sunat ihram, sembahyang
sunat wudhu, sunat zawal kemudian diikuti dengan sembahyang sunat mutlak.
Amalan-amalan sunat disyariatkan sebagai penampal atau menyempurnakan
kekurangan amalan-amalan fardhu, bahkan amalan sunat itu di akhirat nanti
menjadi pengganti kepada amalan fardhu yang tertinggal kerana ada uzur seperti
lupa. Apa yang dimaksudkan amalan sunat itu menjadi pengganti di akhirat kelak,
ialah apabila seseorang itu tertinggal amalan fardhu seperti sembahyang, tertinggal
kerana uzur, kemudian meninggal dunia dan tidak sempat mengqadha sembahyang
fardhu tersebut, maka sembahyang sunat itulah menjadi penggantinya. Menjadilah
setiap 70 daripada sembahyang sunat itu satu rakaat bagi sembahyang fardhu. Ini
kerana pahala amalan fardhu melebihi 70 darajah amalan sunat.
Berlainan halnya, jika seseorang itu ingat bahawa dia mempunyai qadha,
maka wajib diqadhanya dan jangan harap amalan sunatnya itu akan menggantinya
jika tidak diqadha amalan fardhunya itu.
Hari
raya adalah merupakan kurniaan dan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi
umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Diriwayatkan
daripada Anas Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
قَدِمَ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ
يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ: مَا هَذَانِ الْيَوْمَان
قَالُوا:
كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ
فَقَالَ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ
بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
(رواه
أبو داود)
Maksudnya: “Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam (daripada Mekkah selepas hijrah) telah sampai ke
Madinah dan bagi mereka (penduduk Madinah) ada dua hari untuk berpesta menyambutnya (iaitu hari Nairuz dan
Mehrajan).
Lalu
Baginda bertanya: “Apakah yang berlaku pada dua hari tersebut?”
Mereka
menjawab: “Kami berpesta pada dua hari tersebut di zaman Jahiliyah.”
Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menukarkan
kepada kamu dua hari tersebut kepada hari yang lebih baik iaitu hari raya adha
dan hari raya fitrah.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i e)
Daripada hadis di atas jelaslah bahawa hari kebesaran dan hari perayaan
Islam itu ialah hari raya adha dan hari raya fitrah. Hari raya adha dipanggil
sebagai al-akbar (besar), sementara hari raya fitrah dipanggil sebagai al-ashghar
(kecil).
Hari raya adha lebih afdhal daripada hari raya fitrah. Kerana hari raya
adha itu sabit di dalam al-Qur’an, firman Allah Ta‘ala:
Èe@|Ásù y7În/uÏ9 öutùU$#ur
(سورة الكوثر: 2)
Tafsirnya: “Oleh
itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelih korban
(sebagai bersyukur).”
(Surah al-Kaustar: 2)
Sembahyang hari raya firtah adalah mula-mula sembahyang hari raya yang
dikerjakan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu pada tahun
kedua hijrah, demikian juga disyariatkan pada tahun itu sembahyang hari raya
adha.
Hukum Dan Waktu Sembahyang Hari Raya
Hukum sembahyang hari raya itu adalah sunat mu’akkadah. Sebagaimana
hadis yang diriwayatkan oleh Thalhah bin ‘Ubaidillah Radhiallahu ‘anhu,
katanya:
جَاءَ
رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ
ثَائِرُ الرَّأْسِ نَسْمَعُ دَوِيَّ صَوْتِهِ وَلا نَفْقَهُ مَا يَقُولُ حَتَّى
دَنَا مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُ
عَنْ الإِسْلامِ
فَقَالَ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ
وَاللَّيْلَةِ
فَقَالَ:
هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهُنَّ
قَالَ:
لا إِلا أَنْ تَطَّوَّعَ
(متفق عليه)
Maksudnya: “Seorang
lelaki daripada penduduk Najd datang kepada
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan keadaan rambut yang kusut. Kami
mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir
kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dia terus bertanya mengenai
Islam.
Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ia adalah
sembahyang lima
waktu sehari semalam.”
Lelaki tersebut bertanya lagi: “Masih adakah sembahyang lain yang
diwajibkan kepadaku?”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak, melainkan
jika engkau ingin melakukan yang sunat.”
(Hadis muttafaq ‘alaihi)
Sembahyang hari raya itu sunat dikerjakan oleh orang yang mukallaf,
sama ada lelaki atau perempuan, yang bermuqim atau yang sedang musafir.
Sembahyang sunat hari raya itu afdhal dilakukan di masjid, kerana ia
adalah tempat yang mulia.
Sembahyang hari raya sunat dan afdhal dikerjakan secara berjemaah.
Melainkan bagi orang yang menunaikan haji, afdhal bagi mereka mengerjakan
sembahyang hari raya adha dengan bersendirian, kerana banyak kesibukan
melakukan ibadat haji di hari tersebut.
Permasalahan Perempuan Sembahyang Hari Raya
Sementara bagi perempuan pula, sunat bagi perempuan tua yang tidak
berharum-haruman dan yang berpakaian harian (pakaian yang tidak cantik) keluar
(ke masjid) untuk mengerjakan sembahyang hari raya berjemaah. Jika dia memakai
pakaian yang cantik atau berharum-haruman, maka makruh baginya keluar untuk
mengerjakan sembahyang hari raya tersebut.
Bagi perempuan muda, makruh bagi mereka keluar untuk mengerjakan
sembahyang hari raya walaupun dengan berpakaian harian. Demikian juga, makruh
bagi perempuan yang ada kemuliaan keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya
sekalipun sudah tua.
Manakala bagi isteri haram keluar untuk mengerjakan sembahyang hari
raya jika tidak mendapat keizinan suami.
Bagi perempuan yang dimakruhkan keluar untuk mengerjakan sembahyang
hari raya tersebut, sembahyanglah di rumah sahaja sama ada dikerjakan dengan
bersendirian atau berjemaah sesama mereka.
Waktu Sembahyang Hari Raya
Waktu sembahyang hari raya itu bermula di antara terbit matahari sehingga
tergelincir matahari. Iaitu terbitnya sebahagian daripada matahari, akan tetapi
sunat dan afdhal diakhirkan sembahyang hari raya itu sehingga naik matahari
dengan kadar tinggi segalah (kira-kira 7 hasta pada pandangan mata kasar). Ini
kerana bagi ittiba‘ dan bagi mengelakkan daripada pendapat yang
menyatakan bahawa awal waktu sembahyang hari raya itu bermula pada naiknya
matahari.
Sunat dengan segera bagi imam
keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya adha (sesudah naik
matahari segalah) supaya luas masa untuk melakukan ibadah korban. Sementara
sembahyang hari raya fitrah pula sunat diakhirkan sedikit (daripada waktu adha
tersebut) supaya luas masa untuk orang yang hendak membayar zakat fitrah.
Cara Mengerjakan Sembahyang Hari Raya
Sembahyang hari raya itu sekurang-kurangnya dikerjakan seperti
sembahyang sunat wudhu. Namun yang sempurnanya dikerjakan dengan dua rakaat
bersama-sama dengan takbir. Segala rukun, syarat dan sunat sembahyang sama
dengan sembahyang-sembahyang yang lain. Hanya pada sembahyang hari raya itu
disunatkan lagi bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua.
Lafaz niat hari raya adha:
أُصَلِّي سُنَّةَ
عِيدِ الأَضْحَى رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya: “Sahaja
aku sembahyang sunat hari raya adha dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Lafaz niat hari raya fitrah:
أُصَلِّي سُنَّةَ
عِيدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya: “Sahaja
aku sembahyang sunat hari raya fitri dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Pada rakaat pertama sesudah membaca doa iftitah, sunat
melafazkan takbir (at-takbirat az-za’idah) dengan suara jahr
sebanyak tujuh kali. Pada rakaat kedua pula sebelum membaca at-ta‘awwuz (أعوذ
بالله من الشيطان الرجيم), sunat bertakbir sebanyak lima kali.
Takbir tujuh kali dan lima
kali itu termasuk dalam sunat hai’ah. Apabila tertinggal sama ada kerana
lupa atau senghaja, maka tidak perlu melakukan sujud sahwi. Menurut kitab
al-Umm, makruh ditinggalkan sebahagian atau kesemuanya atau melebihi takbir
tersebut.
Menurut Imam ar-Ramli, orang yang terlupa (imam atau orang yang
sembahyang seorang diri) melakukan takbir az-za’idah pada rakaat
pertama, bolehlah dilakukannya takbir itu pada rakaat kedua. Walau
bagaimanapun makruh berbuat yang demikian itu. (kitab al-Umm) Memadailah dilakukan takbir rakaat kedua sahaja tanpa diqadha takbir
rakaat pertama itu.
Seseorang yang masbuq, hendaklah mengikuti imamnya. Apabila imam
itu sudah selesai bertakbir, makmum yang masbuq tidak perlu dia
bertakbir. Jika dia mendapati imam itu bertakbir pada takbir yang ketujuh (yang
akhir), maka cukuplah baginya bertakbir untuk yang ketujuh itu sahaja.
Jika orang yang masbuq itu sempat melakukan takbir bersama imam
(lima takbir) pada rakaat kedua, maka apabila dia menambah satu rakaat,
lakukanlah lagi lima takbir pada rakaat tersebut.
Adalah sunat mengangkat tangan pada setiap kali takbir dan sunat
diselangi setiap takbir itu dengan suara israr mengucapkan zikir (سبحان
الله، والحمد لله، ولا إله إلا الله، والله أكبر).
Selepas bertakbir tujuh kali dan lima
kali baharulah membaca at-ta‘awwuz dan surah al-Fatihah. Kemudian diikuti dengan
membaca surah-surah al-Qur’an. Pada rakaat pertama sunat membaca surah Qaf (ق)
atau surah al-A‘ala dan rakaat kedua surah al-Qamar atau surah al-Ghasyiyah.
Khutbah Hari Raya
Sunat khatib membaca dua khutbah selepas mengerjakan sembahyang hari
raya. Segala rukun dan perkara sunat ketika berkhutbah adalah sama dengan rukun
dan perkara sunat khutbah jum‘at. Walau bagaimanapun sedikit perbezaan
pada syarat khutbah hari raya dan jum‘at, iaitu ketika imam membaca
khutbah hari raya tidak disyaratkan berdiri, duduk antara dua khutbah,
bertaharah dan menutup aurat, akan tetapi disunatkan sahaja.
Di mulakan pada khutbah pertama dengan bertakbir sebanyak sembilan kali
dan khutbah kedua sebanyak tujuh kali dibaca dengan berturut-turut. Hendaklah
khatib memisahkan antara dua khutbah itu dengan memperbanyakan takbir, boleh
juga dipisahkan dengan bertahmid, tahlil dan pujian-pujian sebagaimana
dinyatakan dalam syarah az-Zubad. Hal melafazkan takbir sebagai pemisah antara
dua khutbah tersebut, tidak disunatkan bagi makmum melafazkannya, bahkan
disunatkan mendengarnya daripada khatib.
Sunat juga bagi khatib ketika hari raya fitri berkhutbah mengenai
hukum-hukum zakat fitrah. Manakala hari raya adha pula sunat berkhutbah
mengenai hukum-hukum ibadat korban.
Tidak disunatkan berkhutbah bagi orang yang mengerjakan sembahyang hari
raya dengan bersendirian. Demikian juga bagi jemaah perempuan, melainkan ada
lelaki yang membacakan khutbah untuk mereka.
Ucapan Tahniah Hari Raya
Sunat mengucapkan tahniah hari raya antara satu dengan yang lain sambil
bersalaman dengan sesama jenis atau mahram. Sebagaimana yang
diperakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah.
Ucapan tahniah itu seperti:
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنكَ
Ertinya: “Semoga Allah
menerima daripada kita (amal ibadat) dan menerimanya daripada awak.”
Sunat dibalas ucapan tahniah ini seperti:
تَقَبَّلَ اللهُ مِنكُمْ أَحْيَاكُمُ
اللهُ لأَمْثَالِهِ كُلُّ عامٍ وَأَنتُمْ بِخَيرٍ
Ertinya: “Semoga
Allah menerima daripada kamu, semoga Allah memelihara kamu kerana mentaatiNya,
setiap tahun kamu dalam keadaan baik.”
Perkara Sunat Sebelum Mengerjakan Sembahyang Hari Raya
Perkara-perkara yang disunatkan sebelum mengerjakan sembahyang hari
raya ialah:
1.
Menghidupkan Malam
Hari Raya
As-Syeikh
Qulyubiy di dalam kitab Hasyiyatan telah menyebutkan bahawa sunat
hukumnya menghidupkan malam hari raya dengan berzikir, mengerjakan sembahyang
terutama sembahyang sunat tasbih. Adalah memadai menghidupkan malam ini pada
sebahagian besarnya dan sekurang-kurangnya ialah dengan menunaikan sembahyang Isya’
berjemaah serta berazam untuk menunaikan sembahyang Subuh (dengan berjemaah).
2.
Melaungkan Takbir
Hari Raya
Sunat
melaungkan takbir dengan suara yang jahr (nyaring), sama ada di
rumah, masjid, pasar atau sebagainya pada malam hari raya fitrah dan hari raya
adha selepas terbenamnya matahari sehinggalah imam mengangkat takbirah
al-lihram sembahyang hari raya. Takbir ini dinamakan mursal dan mutlaq
(takbir yang tidak terikat selepas sembahyang dan dilaungkan bila-bila sahaja).
Sementara takbir muqayyad (takbir yang terikat dan dilaungkan sebaik
sahaja selesai sembahyang fardhu, sunat, tunai atau qadha), takbir muqayyad ini
khusus bagi hari raya adha dan bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Bermula
takbir tersebut pada subuh hari arafah sehinggalah asar di akhir hari tasyriq.
Apabila
bertepatan malam hari raya itu dengan malam jum‘at, menurut
asy-Syibramalisiy, lakukanlah pada malam tersebut dengan bertakbir, membaca
surah al-Kahfi dan bershalawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Lafaz
takbir yang disunatkan itu ialah:
اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ
أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ (3 كالي)
اللهُ أَكْبَرُ
كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرةً وَأَصِيلاً، لاَ
إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ،
وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ،لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ
وَاللهُ أَكْبَرُ
Orang yang
menunaikan haji atau umrah tidak disunatkan bertakbir hari raya adha melainkan
selepas dia mengerjakan sembahyang zhuhur di hari raya adha. Mereka
disyariatkan bertalbiah di malam hari raya itu.
Pada
sepuluh Dzulhijjah, sunat mengucapkan takbir apabila melihat atau mendengar
suara binatang korban. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
(#rãà2õtur zNó$# «!$# þÎû 5Q$§r& BM»tBqè=÷è¨B 4n?tã $tB Nßgs%yu .`ÏiB ÏpyJÎgt/ ÉO»yè÷RF{$#
(سورة
الحج: 28)
Tafsirnya:
“Serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang
tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak
(untuk dijadikan korban).”
(Surah al-Hajj: 28)
3.
Makan Sebelum Sembahyang Hari Raya Fitrah Dan Sunat Tidak Makan Sebelum
Sembahyang Hari Raya Adha
Sunat makan terlebih dahulu sebelum
mengerjakan sembahyang hari raya fitrah dan sunat menahan diri sebelum
mengerjakan sembahyang hari raya adha. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh
Buraidah Radhiallahu ‘anhu, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ لا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ، وَلا يَطْعَمُ يَوْمَ
الأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّيَ
(رواه الترمذي)
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak
keluar (mengerjakan sembahyang hari raya)
pada hari raya fitrah sehinggalah Baginda makan dan tidak makan pada
hari raya adha sehinggalah Baginda sembahyang (hari raya adha).”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Pada hari raya fitrah itu sunat makan
beberapa biji tamar (dengan bilangan yang ganjil) sebelum mengerjakan
sembahyang hari raya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu
‘anhu, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ
وَقَالَ مُرَجَّأُ بْنُ رَجَاءٍ
حَدَّثَنِي عُبَيْدُ اللهِ قَالَ: حَدَّثَنِي أَنَسٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
tidak keluar di awal pagi hari raya fitrah sehinggalah Baginda makan beberapa
biji tamar.
Berkata Murajja bin Raja’: “Diceritakan
kepadaku ‘Ubaidullah katanya: “Diceritakan kepadaku Anas daripada Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam: “dan Baginda memakannya (tamar) dengan bilangan
ganjil.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
4.
Mandi Sebelum Sembahyang Hari Raya
Sunat mandi sebelum mengerjakan sembahyang
hari raya sebagaimana disunatkan mandi sebelum sembahyang Jumaat. Ini kerana
hari tersebut berkumpul ramai orang untuk mendirikan sembahyang.
Demikian juga sunat berharum-haruman,
menghilangkan bulu-buluan, memotong kuku dan menghilangkan bau-bauan pada badan
dan pakaian. Dalam hal memotong kuku dan menghilangkan bulu-buluan ini tidak
disunatkan bagi mereka yang hendak melakukan ibadat korban melainkan setelah
menyembelih binatang korbannya.
Sementara waktu mandi pula, menurut pendapat
yang ashah dan disepakati oleh ulama-ulama Syafi‘eyyah harus mandi
selepas fajar atau sebelumnya.
5.
Memakai Pakaian Yang Cantik
Sunat memakai pakaian yang terbaik. Afdhal
memakai pakaian berwarna putih. Jika seseorang itu terdapat dua pakaian yang
sama terbaik dan eloknya, maka yang putihlah diutamakan. Jika pakaian yang
terbaik itu bukan berwarna putih, maka pakaian tersebut lebih afdhal daripada
pakaian yang putih. Sunat juga memakai serban.
Menurut ulama-ulama Syafi‘eyyah, bahawa
memakai pakaian yang terbaik, berharuman, mandi, menanggalkan bulu-buluan dan
mehilangkan bau-bauan, selain disunatkan bagi orang yang pergi mengerjakan
sembahyang hari raya, bahkan disunatkan juga bagi yang duduk di rumah. Ini
kerana hari tersebut merupakan hari perhiasan.
6.
Makmum Lebih Awal Datang Daripada Imam
Sunat bagi makmum datang awal selepas fajar
bagi mengambil tempat duduk untuk mengerjakan sembahyang hari raya. Sementara
sunat bagi imam keluar apabila tiba waktu untuk berjemaah sembahyang hari raya.
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
فَيَبْدَأُ بِالصَّلاةِ
(متفق عليه)
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam selalu keluar pada hari raya adha dan hari raya fitri, lalu Baginda terus
memulakan dengan sembahyang (hari raya).”
(Hadis muttafaq ‘alaihi)
7.
Berjalan Kaki Ke Tempat Mengerjakan Sembahyang
Sunat berjalan kaki ketika hendak menuju ke
tempat mengerjakan sembahyang hari raya dan jangan menaiki kenderaan melainkan
ada uzur seperti sakit, lemah atau sebagainya. Jika dia menaiki kenderaan juga,
itu tidaklah mengapa. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
berjalan kaki ketika hendak menuju ke tempat sembahyang hari raya, kerana itu
adalah sesempurna akhlak dan tinggi kedudukan.
8.
Pergi Ke Masjid Melalui Jalan Yang Panjang Dan Balik Melalui Jalan Yang
Pendek
Sunat bagi setiap orang yang hendak pergi ke
tempat sembahyang hari raya, melalui jalan yang lebih panjang dan balik
daripada sembahyang melalui jalan yang lain yang lebih pendek. Sebagaimana
hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ يَوْمَ الْعِيدِ فِي طَرِيقٍ ثُمَّ رَجَعَ فِي طَرِيقٍ
آخَرَ
(رواه أبو داود)
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam di hari raya mengikuti satu jalan kemudian balik mengikuti jalan yang
lain.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Menurut Imam asy-Syafi‘e, sunat bagi imam
ketika balik, berdiri di suatu tempat dengan menghadap kiblat sambil berdoa.
9.
Menyeru Dengan Seruan “الصلاة
جامعة”
Sunat menyeru untuk mendirikan sembahyang dengan
seruan “الصلاة جامعة” ketika hendak
mengerjakan sembahyang hari raya. Ini diqiaskan dengan sembahyang kusuf,
di mana disunatkan padanya menyeru dengan seruan tersebut. Tidak ada
seruan azan dan iqamah bagi sembahyang hari raya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan
oleh Ibnu ‘Abbas:
أَنَّ
رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الْعِيدَ بِلا أَذَانٍ وَلا
إِقَامَةٍ
(رواه أبو داود)
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam mengerjakan sembahyang hari raya tanpa azan dan iqamah.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
No comments:
Post a Comment