Wednesday, May 6, 2015

SEMBAHYANG SUNAT ISTISQA’



SEMBAHYANG SUNAT ISTISQA’:
Jalan Terbaik Untuk Memohon Hujan


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sembahyang sunat Istisqa’ ialah sembahyang bagi memohon hujan kerana memerlukan air. Ini bersandarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha mengenai aduan orang ramai kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang tidak turunnya hujan. Lalu Baginda menyuruh mengambil mimbar dan meletakkannya di tempat sembahyang lalu menetapkan suatu hari untuk orang ramai akan keluar mengerjakan sembahyang di tempat itu.

Setelah tiba hari yang ditetapkan itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun pergi ke tempat tersebut pada waktu sinar matahari mula terbit dan Baginda pun duduk di atas mimbar, bertakbir dan memuji Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kemudian Baginda pun bersabda:

إِنَّكُمْ شَكَوْتُمْ جَدْبَ دِيَارِكُمْ وَاسْتِئْخَارَ الْمَطَرِ عَنْ إِبَّانِ زَمَانِهِ عَنْكُمْ وَقَدْ أَمَرَكُمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ تَدْعُوهُ وَوَعَدَكُمْ أَنْ يَسْتَجِيبَ لَكُمْ.

ثُمَّ قَالَ : اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ الْغَنِيُّ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ لَنَا قُوَّةً وَبَلاَغًا إِلَى حِينٍ.

ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَلَمْ يَزَلْ فِي الرَّفْعِ حَتَّى بَدَا بَيَاضُ إِبِطَيْهِ ثُمَّ حَوَّلَ إِلَى النَّاسِ ظَهْرَهُ وَقَلَّبَ أَوْ حَوَّلَ رِدَاءَهُ وَهُوَ رَافِعٌ يَدَيْهِ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ وَنَزَلَ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ فَأَنْشَأَ اللَّهُ سَحَابَةً فَرَعَدَتْ وَبَرَقَتْ ثُمَّ أَمْطَرَتْ بِإِذْنِ اللَّهِ فَلَمْ يَأْتِ مَسْجِدَهُ حَتَّى سَالَتِ السُّيُولُ فَلَمَّا رَأَى سُرْعَتَهُمْ إِلَى الْكِنِّ ضَحِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ.

فَقَالَ : أَشْهَدُ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنِّي عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ.
(رواه أبو داود)

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu telah mengadu kegersangan negeri kamu dan kelewatan (datangnya) hujan pada musimnya kepada kamu, padahal sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla telah memerintahkan kamu agar berdoa kepada-Nya dan telah menjanjikan kepada kamu untuk mengabulkan doa kamu.

Kemudian Baginda berkhutbah dengan bersabda: “Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan. Tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang melakukan apa yang Dia kehendaki. Ya Allah! Engkaulah Allah, tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Engkau yang Maha Kaya dan kami pula orang-orang fakir. Engkau turunkanlah ke atas kami hujan dan  jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu kekuatan dan kecukupan untuk kami sehingga suatu masa (ajal kami).

Kemudian Baginda mengangkat kedua-dua tangannya berterusan sehingga tampak putih kedua-dua ketiaknya lalu Baginda membelakangi orang ramai dan membalikkan atau memindahkan selendangnya sambil mengangkat kedua-dua tangannya. Setelah itu Baginda menghadap orang ramai dan turun (dari mimbar) lalu mengerjakan sembahyang dua raka‘at. Maka Allah menjadikan awan mendung lalu berguruh dan berkilat. Setelah itu turunlah hujan dengan izin Allah. Belum pun Baginda sampai (dari padang sahara tempat Baginda sembahyang Istisqa’) ke masjidnya (an-Nabawi), air hujan sudah mengalir (dari setiap penjuru). Ketika Baginda melihat mereka (orang ramai) tergesa-gesa menuju tempat berteduh, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tertawa sehingga jelas gigi gerahamnya.

Lalu Baginda bersabda: “Aku naik saksi bahawa Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu dan bahawa aku adalah hamba Allah dan pesuruh-Nya.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Bila Disunatkan memohon hujan

(i)  Apabila air diperlukan kerana seperti tanah kering dan kemarau.

(ii) Apabila orang yang tidak dilanda kemarau atau tidak memerlukan air memohon hujan kerana mahukan lebih banyak air. Ini kerana jika mereka bergantung kepada air yang sedia ada sahaja, nescaya tidak mencukupi.

(iii) Apabila orang yang tidak dilanda kemarau atau tidak memerlukan air memohon hujan bagi pihak orang lain yang dilanda kemarau atau orang lain yang memerlukan air.

(iv) Apabila mengulangi memohon hujan kerana belum dikabulkan permohonan mereka sebelum ini.

Cara-cara memohon hujan

(i)  Sekurang-kurangnya dengan berdoa semata-mata tanpa terikat dengan mengerjakan sembahyang dan selepas mengerjakan sembahyang. Berdoa tersebut dilakukan sama ada seorang diri atau berkumpulan.

(ii)      Cara yang pertengahan ialah dengan berdoa selepas mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat atau sembahyang yang lain walaupun sembahyang sunat, berdoa ketika khutbah Jumaat dan seumpamanya seperti khutbah sembahyang sunat Hari Raya.

(iii)   Cara yang paling afdhal ialah dengan mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’ dan membaca dua khutbah berserta melakukan adab-adab yang dituntut sebelum mengerjakan sembahyang tersebut.



Waktu sembahyang sunat Istisqa’

Sembahyang sunat Istisqa’ sebagaimana menurut pendapat yang shahih, harus dilakukan pada bila-bila masa sama ada siang atau malam walaupun pada waktu yang dilarang mengerjakan sembahyang, kerana sembahyang sunat Istisqa’ itu mempunyai sebab yang terdahulu iaitu berhajat kepada air.

Walau bagaimanapun sembahyang sunat Istisqa’ itu lebih utama dikerjakan seperti waktu sembahyang sunat Hari Raya sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma apabila beliau ditanya bagaimana cara Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’, beliau menjawab:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ مُتَبَذِّلاً مُتَوَاضِعًا مُتَضَرِّعًا حَتَّى أَتَى الْمُصَلَّى فَلَمْ يَخْطُبْ خُطْبَتَكُمْ هَذِهِ وَلَكِنْ لَمْ يَزَلْ فِي الدُّعَاءِ وَالتَّضَرُّعِ وَالتَّكْبِيرِ وَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَمَا كَانَ يُصَلِّي فِي الْعِيدِ.
(رواه الترمذي)

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah keluar (untuk mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’) dengan berpakaian biasa, tawaduk dan merendah diri sehingga sampai ke tempat sembahyang. Baginda tidak berkhutbah seperti khutbah kamu ini, akan tetapi Baginda berterusan berdoa, merendah diri dan bertakbir, dan Baginda mengerjakan sembahyang dua rakaat sebagaimana sembahyang sunat Hari Raya.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa waktu sembahyang sunat Istisqa’ itu adalah seperti waktu sembahyang sunat Hari Raya bersandarkan kepada hadits di atas yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, namun hadits tersebut membawa maksud pada keutamaan mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’ itu seperti waktu sembahyang sunat Hari Raya.

Tempat mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’

Sunat mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’ di tanah lapang apabila tidak ada keuzuran. Ini kerana mengikut perbuatan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebab-sebab lain mengapa ia dikerjakan di tanah lapang ialah kerana memandangkan pada kebiasaannya jemaah yang ramai sehingga masjid tidak dapat menampungi mereka. Demikian juga, kerana ketika sembahyang sunat Istisqa’ itu, anak kecil, perempuan haid dan binatang digalakkan hadir, sedangkan mereka tidak digalakkan untuk hadir ke masjid.

Adab-adab yang dituntut sebelum sembahyang sunat Istisqa’

(i)         Sunat bagi pemerintah atau penolongnya menyuruh orang ramai untuk;

(a)         Berpuasa selama empat hari berturut-turut iaitu tiga hari sebelum keluar ke tanah lapang dan sehari ketika pergi ke tanah lapang pada hari keempat.

(b)        Bertaubat daripada segala dosa.

(c)         Mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan berbuat kebajikan seperti bersedekah.

(d)        Keluar daripada perbuatan zalim seperti mengembalikan hak orang yang dizalimi.

(ii)      Sunat dibawa bersama ke tanah lapang anak kecil, kanak-kanak, orang tua, orang yang lemah, binatang ternakan dan perempuan yang tidak menarik perhatian.

(iii)   Sunat membersihkan diri seperti bersiwak dan mandi serta memakai pakaian biasa tanpa berhias, memakai wangian, bercantik-cantik atau berhias-hias.

(iv)    Sunat ketika pergi ke tanah lapang dengan keadaan khusyuk, merendah diri dan hati tetap kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala tatkala berjalan, duduk dan bercakap.

(v)       Sunat berjalan kaki ketika pergi ke tanah lapang dan mengikut jalan yang berbeza atau jalan yang lain ketika balik daripada tanah lapang.

(vi)    Mengurangkan makan dan minum pada malam hendak mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’.

(vii) Sunat menyeru jemaah untuk mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’ dengan seruan (  اَلصَّلاَةُ جَامِعَةً).

Wajib melaksanakan suruhan pemerintah

Apabila pemerintah menyuruh untuk melaksanakan sembahyang sunat Istisqa’, puasa, sedekah, keluar ke tanah lapang, mengembalikan hak orang yang dizalimi dan bertaubat, maka wajiblah ditaati perintah itu. Ini kerana suruhan dan larangan pemerintah wajib ditaati selama tidak bertentangan dengan syara‘.

Wajib berniat fardhu sembahyang sunat Istisqa’ apabila diperintahkan

Apabila sembahyang sunat Istisqa’ merupakan suruhan daripada pemerintah maka sembahyang sunat Istisqa’ wajib diniatkan fardhu dan dita’yinkan iaitu diniatkan fardhu dan diniatkan sembahyang kerana Istisqa’.

Wajib berniat puasa pada malam hendak sembahyang sunat Istisqa’ apabila diperintahkan

Demikian juga dengan puasa, apabila puasa merupakan suruhan daripada pemerintah maka wajib berniat di waktu malam (seperti kewajipan berniat puasa Ramadhan) dan dita‘yinkan iaitu diniatkan fardhu dan diniatkan puasa kerana Istisqa’. Jika tidak berniat di waktu malam maka menjadilah puasanya itu puasa sunat mutlak sahaja dan jika tidak berpuasa seperti yang diperintahkan maka tidak wajib diqadha.

Wajib bersedekah apabila diperintahkan

Jika disuruh oleh pemerintah untuk bersedekah, maka wajib bagi mereka yang ada kemampuan (mereka yang dituntut membayar zakat fitrah) bersedekah dengan sedikit harta. Adapun jika ditentukan kadarnya seperti zakat fitrah atau kurang daripada itu, maka dibayar mengikut kadar yang ditentukan itu. Demikian juga, jika ditentukan kadarnya seperti bayaran kaffarah maka dibayar mengikut kadar yang ditentukan, itupun jika ada kelebihan hartanya daripada sepanjang umur ghalibnya.

Kaifiat sembahyang sunat Istisqa’

Sembahyang sunat Istisqa’ adalah sembahyang dua raka‘at yang sangat dituntut dan ia sunat dikerjakan dengan berjemaah. Kaifiat atau cara mengerjakannya adalah sama dengan sembahyang sunat Hari Raya.

Lafaz niatnya:

أُصَلِّيْ سُنَّةَ الاِسْتِسْقَاءِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا/مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Istisqa’ dua rakaat menjadi imam/makmum kerana Allah Ta‘ala.”

Pada rakaat pertama sesudah membaca doa iftitah, sunat mengangkat tangan dan melafazkan takbir (at-takbirat az-za’idah) sebanyak tujuh kali. Pada rakaat kedua pula sebelum membaca at-ta‘awwuz ( أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ), sunat bertakbir sebanyak lima kali (macam takbir sembahyang sunat Hari Raya).

Kemudian sunat diselangi setiap takbir az-za’idah itu dengan mengucapkan zikir ( سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ للهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ ).

Selepas bertakbir az-za’idah sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua baharulah membaca at-ta‘awwuz  dan surah al-Fatihah pada setiap rakaat itu. Kemudian diikuti dengan membaca surah-surah al-Qur’an. Pada rakaat pertama afdhal dibaca surah Qaf dan rakaat kedua surah al-Qamar dengan suara yang nyaring (jahr). Ataupun pada rakaat pertama dibaca surah al-A‘ala dan rakaat kedua surah al-Ghasyiyah.

Ada juga yang berpendapat bahawa pada rakaat kedua sunat dibaca surah Nuh disebabkan ia lebih bersesuaian dengan keadaan kerana ia mengandungi istighfar dan turun hujan. Namun disebutkan dalam kitab al-Majmu‘, bahawa adalah afdhal dibaca surah-surah itu sebagaimana dibaca pada sembahyang sunat Hari Raya iaitu pada rakaat pertama dibaca surah Qaf dan rakaat kedua surah al-Qamar.

Khutbah sembahyang sunat Istisqa’

Khutbah sembahyang sunat Istisqa’ juga sama seperti khutbah sembahyang sunat Hari Raya pada segala rukun dan perkara sunatnya melainkan ia berbeza pada tiga perkara.

Pertama:  Pada setiap memulakan dua khutbah sembahyang sunat Istisqa’ itu diucapkan istighfar berbeza dengan khutbah sembahyang sunat Hari Raya yang dimulai dengan takbir.

Pada khutbah pertama sunat dimulai dengan mengucapkan istighfar iaitu ( أَسْتَغْفِرُ اللهَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ ) sebanyak sembilan kali dan pada khutbah kedua sebanyak tujuh kali.

Kemudian sunat membanyakkan istighfar ketika berkhutbah, membaca ayat dalam surah Nuh 10-12:

 àMù=à)sù (#rãÏÿøótFó$# öNä3­/u ¼çm¯RÎ) šc%x. #Y$¤ÿxî ÇÊÉÈ È@Åöãƒ uä!$yJ¡¡9$# /ä3øn=tæ #Y#uôÏiB ÇÊÊÈ /ä.ôŠÏôJãƒur 5A¨uqøBr'Î/ tûüÏZt/ur @yèøgsur ö/ä3©9 ;M»¨Zy_ @yèøgsur ö/ä3©9 #X»pk÷Xr& ÇÊËÈ

Tafsirnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

Kedua:      Pada khutbah pertama sunat membaca doa yang warid daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan suara yang nyaring (jahr), antaranya ialah:

(1)       Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah meriwayatkan dalam kitab al-Umm dan al-Mukhtashar daripada Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar daripada ayahnya bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila memohon hujan Baginda berdoa:

اَللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا مُغِيثًا هَنِيئًا مَرِيئًا مَرِيعًا غَدَقًا مُجَلِّلاً عَامًّا طَبَقًا سَحًّا دَائِمًا.

اَللَّهُمَّ اسْقِنَا الْغَيْثَ وَلاَ تَجْعَلْنَا مِنَ الْقَانِطِينَ.

اَللَّهُمَّ إِنَّ بِالْعِبَادِ وَالْبِلاَدِ وَالْبَهَائِمِ وَالْخَلْقِ مِنَ اللأْوَاءِ وَالْجَهْدِ وَالضَّنْكِ مَا لاَ نَشْكُو إِلاَّ إِلَيْكَ.

اَللَّهُمَّ أَنْبِتْ لَنَا الزَّرْعَ وَأَدِرَّ لَنَا الضَّرْعَ وَاسْقِنَا مِنْ بَرَكَاتِ السَّمَاءِ وَأَنْبِتْ لَنَا مِنْ بَرَكَاتِ اْلأَرْضِ.

اَللَّهُمَّ ارْفَعْ عَنَّا الْجَهْدَ وَالْجُوعَ وَالْعُرْيَ وَاكْشِفْ عَنَّا مِنَ الْبَلاَءِ مَا لاَ يَكْشِفُهُ غَيْرُكَ.

اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَغْفِرُكَ إِنَّكَ كُنْتَ غَفَّارًا فَأَرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْنَا مِدْرَارًا.

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami hujan yang menyelamatkan, menyenangkan, baik akibatnya, lebat, menyuburkan, meresap di bumi, merata, sesuai keperluan lagi selalu ada.

Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami hujan dan janganlah Engkau jadikan kami sebagai orang-orang yang berputus asa.

Ya Allah! Sesungguhnya kesusahan yang terdapat di sisi hamba-hamba, negeri-negeri, binatang-binatang, kejadian dan segala makhluk ciptaan daripada kebuluran, kepayahan, dan kesempitan, tiada tempat bagi kami mengadu melainkan kepada-Mu.

Ya Allah! Tumbuhkanlah tanaman untuk kami dan keluarkanlah air susu binatang, turunkanlah kurnia-Mu dari langit dan tumbuhkanlah untuk kami segala berkat di bumi.

Ya Allah! Lenyapkanlah dari kami kesengsaraan, kelaparan dan kekurangan pakaian, hilangkanlah dari kami bala bencana yang tiada siapa yang boleh melenyapkannya selain Engkau.

Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon keampunan-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun maka turunkanlah hujan yang lebat kepada kami daripada langit.”

(2)       Sunat membanyakkan doa apabila ditimpa kesusahan:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ اْلأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ.

Ertinya: “Tiada Tuhan selain Allah yang Maha Agung lagi Maha Halim (tidak segera menurunkan seksa). Tiada Tuhan selain Allah Tuhan ‘Arasy yang agung. Tiada Tuhan selain Allah Tuhan semesta langit dan bumi dan Tuhan yang memelihara ‘Arasy yang mulia.”

Dan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، وَمِنْ رَحْمَتِكَ نَرْجُو، فَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ، وَأَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ

Ertinya: “Wahai Tuhan yang Hidup, wahai Tuhan yang berdiri dengan sendiri-Nya, dengan rahmatMu kami meminta tolong, dan hanya rahmat-Mu yang kami harapkan, maka janganlah Engkau sandarkan kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata dan pereloklah bagi kami semua keadaan kami. Tidak ada Tuhan melainkan Engkau.”

(3)       Sunat membanyakkan doa seperti dalam ayat surah al-Baqarah 201:

!$sY­/u $sYÏ?#uä Îû $u÷R9$# ZpuZ|¡xm Îûur Ïou½zFy$# ZpuZ|¡xm $sYÏ%ur z>#xtã Í$¨Z9$# ÇËÉÊÈ

Tafsirnya: “Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Dan membaca ayat di akhir surah al-Baqarah 286:

Ÿw ß#Ïk=s3ムª!$# $²¡øÿtR žwÎ) $ygyèóãr 4 $ygs9 $tB ôMt6|¡x. $pköŽn=tãur $tB ôMt6|¡tFø.$# 3 $sY­/u Ÿw !$tRõÏ{#xsè? bÎ) !$uZŠÅ¡°S ÷rr& $tRù'sÜ÷zr& 4 $sY­/u Ÿwur ö@ÏJóss? !$uZøŠn=tã #Xô¹Î) $yJx. ¼çmtFù=yJxm n?tã šúïÏ%©!$# `ÏB $uZÏ=ö6s% 4 $uZ­/u Ÿwur $sYù=ÏdJysè? $tB Ÿw sps%$sÛ $sYs9 ¾ÏmÎ/ ( ß#ôã$#ur $¨Ytã öÏÿøî$#ur $sYs9 !$uZôJxmö$#ur 4 |MRr& $uZ9s9öqtB $tRöÝÁR$$sù n?tã ÏQöqs)ø9$# šúï͍Ïÿ»x6ø9$# ÇËÑÏÈ

Tafsirnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan da juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami bebanan yang berat (yang tidak terdaya kami menanggungnya) sebagaimana yang telah  Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan kurniakanlah rahmat kepada kami. Engkaulah Pelindung kami. Oleh itu tolonglah kami menghadapi kaum yang kafir.”

Ketiga:      Setelah berlalu sepertiga khutbah kedua, sunat bagi khatib menghadap kiblat untuk membaca doa. Ketika berpusing menghadap kiblat, sunat bagi khatib membalikkan selendangnya daripada yang kanan ke kiri dan yang kiri ke kanan sebagaimana mengikut perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaih wasallam. Hikmah dari perbuatan membalikkan selendang itu adalah mengharap nasib baik (bertafa’ul) dengan berubahnya keadaan susah kepada senang. Demikian juga, jika bentuk kain selendang itu empat segi, maka sunat dijadikan kain yang di atas ke bawah dan yang di bawah ke atas. Hal ini juga, sunat bagi jemaah membalikkan kain selendang mereka.

Khatib hendaklah bersungguh-sungguh membaca doa ketika itu, apabila khatib membacanya dengan suara yang perlahan (sirr) maka jemaah juga membaca doa dengan suara yang perlahan. Namun jika khatib membacanya dengan suara yang nyaring (jahr) maka jemaah mengaminkan doanya. Khatib dan jemaah sunat menadah tangan dengan meletakkan zahir tangan ke langit apabila membaca doa kerana menolak bala, dan menadah batin tangan ke langit apabila membaca doa kerana bukan menolak bala.

Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah, doa setelah berlalu sepertiga khutbah kedua itu ialah:

اَللَّهُمَّ أَمَرْتَنَا بِدُعَائِكَ وَوَعَدْتَنَا إِجَابَتَكَ فَقَدْ دَعَوْنَاكَ كَمَا أَمَرْتَنَا فَأَجِبْنَا كَمَا وَعَدْتَنَا، اَللَّهُمَّ امْنُنْ عَلَيْنَا بِمَغْفِرَةِ مَا قَارَفْنَا وَإِجَابَتِكَ فِي سُقْيَانَا وَسَعَةِ رِزْقِنَا

Ertinya: “Ya Allah! Engkau telah memerintahkan kami agar berdoa kepada-Mu, dan Engkau menjanjikan akan memperkenankannya. Sesungguhnya kami telah berdoa kepada-Mu sebagaimana Engkau perintahkan, maka perkenankanlah doa kami sebagaimana Engkau menjanjikan. Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami ni‘mat keampunan-Mu atas perbuatan kami, dan ni‘mat perkenan-Mu atas doa kami meminta hujan serta keluasan rezeki kami.”

Setelah selesai membaca doa tersebut, khatib kembali menghadap jemaah. Kemudian khatib menyeru jemaah supaya mentaati Allah Subhanahu wa Ta‘ala lalu berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, berdoa untuk orang-orang yang beriman serta membaca beberapa ayat daripada al-Qur’an dan membaca istighfar ( أَسْتَغْفِرُ اللهَ لِي وَلَكُمْ ).

Bila khutbah sembahyang sunat Istisqa’ dibacakan?

Waktu membaca khutbah itu ialah selepas mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’ kerana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak melakukannya selepas sembahyang tersebut. Walau bagaimanapun harus juga membaca khutbah itu sebelum mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’, akan tetapi ia bersalahan dengan yang lebih utama.

Perkara sunat apabila turun hujan

(1)       Apabila mula-mula turun hujan setelah kemarau, sunat pergi keluar dan mendedahkan anggota selain aurat agar terkena dengan air hujan. Ini kerana mengambil berkat dan mengikut perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَصَابَنَا وَنَحْنُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَطَرٌ قَالَ: فَحَسَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ حَتَّى أَصَابَهُ مِنْ الْمَطَرِ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا قَالَ: لأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Kami bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kehujanan. (Anas) berkata: “Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membuka sedikit pakaiannya sehingga terkena air hujan. Lalu kami berkata: Ya Rasulullah! Kenapa kamu lakukan ini? Baginda bersabda: “Kerana ia baru diciptakan oleh Tuhannya Allah Ta‘ala.”
(Hadits riwayat Muslim)

(2)       Sunat mandi atau berwudhu dengan air yang mengalir hasil daripada hujan itu. Walau bagaimanapun afdhal dilakukan keduanya dan tidak disyaratkan berniat ketika mandi dan berwudhu.

(3)       Sunat membaca doa ketika turun hujan sebanyak dua atau tiga kali:

اَللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Ertinya: “Ya Allah! Jadikanlah hujan ini hujan yang bermanfaat.”

(4)       Sunat bersyukur dan membanyakkan doa yang lain ketika turun hujan, kerana di saat turun hujan itu doa dimakbulkan.

(5)       Apabila turun hujan dengan lebat dan ditakuti akan mudharatnya, maka sunat bermohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar menghindarinya dengan berdoa:

اَللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اَللَّهُمَّ عَلَى اْلآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

Ertinya: “Ya Allah! Turunkanlah hujan di sekeliling kami sahaja dan jangan Engkau turunkan hujan di atas kami (bangunan dan rumah-rumah). Ya Allah! Turunkanlah hujan di atas dataran-dataran tinggi, bukit-bukau, jurang-jurang yang dalam dan tempat tumbuh-tumbuhan.”

(6)       Setelah hujan berhenti, sunat membaca:

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللهِ وَرَحْمَتِهِ

Ertinya: “Kami mendapat hujan dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya.”

Sebagai kesimpulan, mengerjakan sembahyang sunat Istisqa’ adalah jalan yang terbaik untuk memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar diturunkan hujan. Selain daripada itu, kita dituntut untuk bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan berbuat kebajikan serta keluar daripada perbuatan zalim agar permohonan kita dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.







No comments:

Post a Comment