Wednesday, May 6, 2015

QASHAR DAN JAMA‘

MUSAFIR YANG DIHARUSKAN MENQASHAR DAN MENJAMA‘ SEMBAHYANGNYA

Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda


Orang yang membuat pelayaran atau disebut juga sebagai musafir diberikan rukhshah iaitu keringanan hukum untuk menqashar atau menjama‘ sembahyang fardhu.

Maksud menqashar sembahyang ialah memendekkan sembahyang fardhu empat rakaat menjadi dua rakaat iaitu memendekkan sembahyang fardhu Zhuhr, ‘Ashr dan Isya’.

Manakala menjama‘ sembahyang pula bermaksud menghimpunkan dua sembahyang fardhu yang beriringan di dalam satu waktu iaitu menghimpunkan sembahyang fardhu Jumaat dengan sembahyang fardhu ‘Ashr secara jama‘ taqdim atau menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhr  dengan sembahyang fardhu ‘Ashr dan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu Isya’, sama ada secara jama‘ taqdim atau jama‘ ta’khir.

Tujuan rukshah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada musafir yang pada kebiasaannya menghadapi kesusahan dan keletihan sepanjang pelayaran mereka.

Walau bagaimanapun perlu difahami tidak semua musafir (orang yang belayar) diharuskan untuk menqashar atau menjama‘ sembahyang fardhu mereka. Ini kerana seseorang yang dalam pelayaran itu hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu untuk membolehkannya mengqashar dan menjama‘ sembahyang fardhunya.

Jarak Pelayaran Yang Boleh Menqashar Dan Menjama‘ Sembahyang

Seorang musafir dibolehkan menqashar sembahyangnya apabila jarak perjalanannya pergi belayar (tidak termasuk jarak balik dari pelayaran) tidak kurang dari dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 90 kilometer. Jika jarak perjalanan itu kurang daripada kadar tersebut, maka dia tidak dibolehkan mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.

Jika dia belayar ke satu jarak jauhnya melebihi dua marhalah, kemudian pada suatu tempat di pertengahan pelayarannya dia berniat untuk pulang, maka pada ketika itu dia tidak boleh mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya selama mana dia masih berada di tempat tersebut. Akan tetapi jika dia keluar dari tempat tersebut, sama ada belayar balik semula ke negerinya atau meneruskan pelayarannya ke tempat lain, dan jarak perjalanannya itu dua marhalah atau lebih, maka pada ketika itu diharuskan baginya menqashar dan menjama‘ sembahyangnya.

Tujuan Pelayaran Yang Boleh Menqashar Dan Menjama‘ Sembahyang

Tidak semua permusafiran atau pelayaran diharuskan mengqashar dan menjama‘ sembahyang. Tujuan permusafiran atau pelayaran itu perlu juga dinilai untuk mendapatkan rukhshah menjama‘ dan mengqashar sembahyang.

Pelayaran yang dibolehkan mengqashar dan menjama‘ sembahyang itu disyaratkan pelayaran yang mempunyai tujuan yang diharuskan oleh syara‘seperti menunaikan fardhu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.

Manakala pelayaran kerana tujuan yang diharamkan seperti bertujuan untuk melakukan jenayah, mengurus perniagaan haram, ingin melakukan zina dan yang seumpamanya, tidak ada ruang untuk mendapat rukhshah mengqashar atau menjama‘ sembahyangnya.

Menentukan Tempat Yang Dituju Untuk Membolehkan Menqashar Dan Menjama‘ Sembahyang

Untuk membolehkan seseorang itu menqashar dan menjama‘ sembahyangnya, disyaratkan baginya menentukan tempat yang hendak dituju. Oleh itu tidak harus bagi orang yang tidak tahu ke mana hendak ditujunya atau seseorang yang berhenti di suatu tempat yang tidak ditentukannya menqashar dan menjama‘ sembahyangnya.

Begitu juga halnya bagi orang yang mencari orang yang berhutang atau mencari orang yang lari dan tidak diketahui di mana ia berada dan dia ini tidak berkeinginan untuk membuat pelayaran yang jauh (disebabkan mencari orang tersebut), maka dia tidak boleh menqashar dan menjama‘ sembahyangnya dan wajib baginya menunaikan sembahyang secara sempurna sekalipun perjalanannya mencapai dua marhalah atau lebih. Walau bagaimanapun jika dia mengetahui bahawa dia tidak akan menemui orang yang dicari kecuali pada tempat yang jauh dari dua marhalah, maka dibolehkan baginya menqashar dan menjama‘ sembahyang fardhu.
 
Tempoh Menetap Di Sesebuah Tempat Yang Dibenarkan Untuk Menqashar Dan Menjama‘ Sembahyang

Adapun tempoh menetap pada satu-satu tempat di negeri yang dituju, disyaratkan seorang musafir itu menetap tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) yang diharuskan mengqashar dan menjama‘ sembahyang.

Jika seseorang itu sampai dan berniat untuk menetap atau bermukim pada satu tempat selama empat hari atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari balik), maka putuslah safarnya (pelayarannya) sebaik-baik saja tiba di tempat tersebut dan tidak harus baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.

Jika dia sampai pada tempat yang dituju kerana sesuatu urusan atau tugas dan dia tidak mengetahui berapa lama urusannya itu akan selesai di samping berniat akan meninggalkan tempat tersebut sebaik-baik saja selesai hajat atau urusan yang ditunggu-tungguhnya setiap hari itu, maka diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya dalam tempoh empat hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik). Walau bagaimanapun jika urusan atau tugas tersebut tidak selesai dalam tempoh empat hari mengikut qaul al-azhar, maka harus baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyang fardhu sehingga lapan belas hari sahaja.
Jika dia sampai pada satu tempat dan dia mengetahui bahawa urusan atau hajatnya tidak akan selesai melainkan selepas empat hari (tidak termasuk hari sampai dan balik), maka tidak diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.


Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa tidak semua orang yang hendak belayar itu dianggap sebagai musafir yang boleh menqashar atau menjama‘ sembahyang fardhunya, kecuali setelah memenuhi syarat-syarat qashar dan jama‘ seperti yang telah ditentukan oleh syara‘.
















No comments:

Post a Comment