BILANGAN RAKAAT SEMBAHYANG TARAWIH
Soalan:
Dalam mazhab yang empat
ahlisunnah waljama’ah semuanya mengatakan Tarawih itu 20 raka’at dan
lebih. Tetapi timbul di Malaysia ini ada
segolongan mengatakan Tarawih hanya lapan raka’at saja.
Yang mana satu betul?
Jawapan:
الْحَمْدُ
لِلَّهِ رَبِّ الْعَـالمِينَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ سَـيِّـدِنَا
مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ
الدِّينِ، وَبَعْدُ
Persoalan
berapa jumlah raka’at sembahyang Tarawih sebenarnya perkara lama yang telah pun
diputuskan oleh ulama-ulama mu’tabar, tetapi sentiasa diungkit dan ditimbulkan
oleh pihak-pihak yang tidak puas hati dengan pendapat dan ijtihad ulama-ulama
besar zaman dulu itu, padahal siapa kita dengan para ulama-ulama yang muktabar
itu?
Maka
dalam hal ini, yang muktamad dalam mazhab Syafi’e, sembahyang sunat Tarawih itu
berjumlah dua puluh raka’at selain daripada sembahyang Witirnya.
Berikut
ini ialah nash-nash pendapat ulama mazhab asy-Syafi’e.
Imam Ibnu Hajar Rahimahullah:
وهى عندنا
لغير أهل المدينة عشرون ركعة كما أطبقوا عليها فى زمن عمر رضى الله عنه
Ertinya: “Dan ia (Sembahyang Tarawih) mengikut pendapat kita
ialah dua puluh raka’at melainkan untuk penduduk Madinah sebagaimana yang
mereka pratikkan pada zaman ‘Umar Radiallahu’anhu.” (Tuhfat
al-Muhtaj, 2:240).
Imam Nawawi Rahimahullah:
التراويح عشرون ركعة
بعشر تسليمات. قلت :فلو صلى أربعا بتسليمة، لم يصح. ذكره القاضي حسين في
"الفتاوى" لأنه خلاف المشروع
Ertinya: “Tarawih itu dua puluh raka’at dengan sepuluh
salam. Aku katakan jika dilakukan empat
raka’at dengan satu salam, tidak sah.
Perkara ini disebut oleh Qadi Husaian di dalam kitab “al-Fatawa” dengan
alasan perbuatan itu menyalahi apa yang disyariatkan.” (Raudat at-Talibin, 1:334)
Imam al-Malibari Rahimahullah:
التراويح
وهى عشرون ركعة بعشر تسليمات فى كل ليلة من رمضان
Ertinya: “Sembahyang Tarawih ada dua puluh raka’at dengan
sepuluh salam pada setiap malam bulan Ramadhan.” (Fath al-Mu’in, hlm.35)
Sembahyang
Tarawih di zaman Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu:
Sebagai
lintasan sejarah mengenai bilangan sembahyang Tarawih ini, pada masa Khalifah
Abu Bakar al-Siddiq Radhiallahu ‘anhu. Hal itu tidak berubah. Umat Islam sembahyang Tarawih di bulan
Ramadhan sendiri-sendiri atau berkelompok, ada 3 ada 4 dan ada 6 orang.
Sembahyang
Tarawih dengan satu imam dalam satu masjid tidak ada pada masa Khalifah Abu
Bakar al-Siddiq Radhiallahu ‘anhu.
Sembahyang
Tarawih masa Khalifah ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu
Tersebut dalam kitab sahih
Bukhari begini:
عن عبدالرحمن بن
عبدالقاري ، أنه قال: خرجت مع عمر ابن الخطاب رضى الله عنه ليلة فى رمضان إلى
المسجد فإذا الناس أوزاع متفرقون يصلى الرجل لنفسه ويصلى الرجل فيصلى الرهط.
فقال عمر أنى أرى
لوجمعت هؤلآء على قارى واحد لكان أمثل ثم عزم فجمعهم على أبَىِّ بن كعب
ثم خرجب معه ليلة أخرى
والناس يصلون بصلاة قارئهم
قال عمر: نعم البدعة
هذه.
(رواه
البخارى، صحيح البخارى 1:242)
Ertinya: “Dari Abdul Rahman bin Abdul Qari’e, beliau
berkata: Saya keluar bersama-sama Sayyidina ‘Umar bin al-khattab (Khalifah)
pada satu malam bulan Ramadhan pergi ke masjid (Madinah). Didapati dalam masjid orang-orang sembahyang
Tarawih berkelompok-kelompok. Ada orang
sembahyang sendirian, ada yang sembahyang dan ada beberapa orang dibelakangnya.
Maka
Sayyidina ‘Umar berkata: Saya berpendapat jikalau orang-orang ini disatukan
dengan seorang imam sesungguhnya lebih baik, kemudian Sayyidina ‘Umar berazam,
lalu mengumpulkan mereka bersembahyang dibelakang seorang imam namanya Ubaiy
bin Ka’ab.
Kemudian
pada satu malam saya bersamanya (Sayyidina ‘Umar) datang lagi ke masjid, lantas
kami melihat orang-orang bersembahyang dengan sembahyang seorang imam.
Sayyidina
‘Umar berkata: Ini adalah bid’ah yang baik.
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Sahih Bukhari 1: 242)
Abdul
Rahman bin Abdul Qari’e yang meriwayatkan perbuatan Syaidini Umar ini adalah
seorang tabi’in. Beliau adalah murid Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab,
meninggal dunia pada tahun 81H dalam usia 78 tahun.
Berdasarkan riwayat ini
Khalifah yang kedua Umar bin Al-Khattab memerintahkan agar sembahyang Tarawih
dikerjakan dengan berjemaah, tidak bersendirian sahaja, dan beliau berpendapat
bahawa hal itu adalah “bid’ah yang baik”. Disebut dalam kitab al-Muwatta’,
karangan Imam Malik, halaman 138 begini:
عَنْ
مَالِكِ عَنْ يَزِيدَ ابْن رمَانَ اَنَّهُ قَالَ: كَانَ النَّاسُ يَقُومُونُ فِى
زَمَنِ عُمَرَ ابْنِ الْخِطَّابِ بِثَلاَثٍ وَعِشْرِينَ رَكْعَةً.
(رواه
الإمام مالك الموطأ الجزء الأول ص 138)
Ertinya: Dari Malik dari Yazid bin Raman, dia berkata:
“Adalah manusia mendirikan sembahyang pada zaman ‘Umar bin Al-Khattab sebanyak
23 rakaat.”
(Hadis riwayat Imam Malik dalam
kitab Al-Muud halaman 138, jilid 1).
Jelaslah bahawa
sahabat-sahabat ketika itu diperintah oleh Sayyidina ‘Umar untuk
mengerjakan sembahyang sebanyak 23 rakaat, iaitu 20 rakaat sembahyang Tarawih
dan 3 rakaat sembahyang Witir sesudah sembahyang Tarawih.
Tersebut
dalam kitab hadis Imam Baihaqi begini:
اِنَّهُمْ
يَقُومُونَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ ابْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ فِى شَهْرِ
رَمَضَانَ بِعِشْرِينَ رَكْعةً
(رواه البيهقى)
Ertinya: “Bahawasanya mereka (sahabat-sahabat) nabi,
mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan Ramadhan pada zaman Umar bin
al-Khattab Radhiallah ‘anhu dengan 20 rakaat.”
(Hadis riwayat Baihaqi).
Daripada
keterangan-keterangan ini bahawa sahabat-sahabat Nabi telah Ijma’
mendirikan sembahyang Tarawih pada masa Umar sebanyak 20 raka’at. “Ijma’ sahabat menurut usul fiqh
adalah hujjah” yakni adalah dalil syariat.
Sayyidina
‘Umar adalah seorang sahabat Nabi yang dipercayai, Khalifah Nabi yang
kedua memerintahkan sembahyang Tarawih 20 raka’at. Ini bererti bahawa beliau mengetahui jumlah
raka’at sembahyang Tarawih nabi, baik di masjid atau di rumah sebanyak 20
rakaat. Kalau tidak, tentu Sayyidina
‘Umar tidak akan memerintahkan begitu.
Berdasarkan
keterangan-keterangan di atas, jumlah raka’at sembahyang Tarawih dalam mazhab
Syafi’e ialah 20 raka’at.
وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
[PEHIN DATU SERI MAHARAJA
DATO PADUKA SERI SETIA
USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ
BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.
No comments:
Post a Comment