Saturday, May 9, 2015

HADATS KECIL

MENAHAN HADATS KECIL KETIKA SEMBAHYANG 


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sentiasalah kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan dalam sembahyang dan dalam waktu yang sama berusaha mengelakkan perkara-perkara yang mengurangkan kesempurnaan itu sekalipun ia nampak kecil, seperti pandangan mata yang bukan di tempat sujud, memalingkan muka ke kiri atau kanan dan umpamanya lagi ialah menahan diri dari hadats kecil.

Apa yang dimaksudkan dengan menahan diri dari hadats kecil di sini, ialah menahan air kencing, air besar atau angin dari keluar ketika seseorang hendak mengerjakan sembahyang atau ketika di dalam sembahyang.

Orang yang menahan air kencing dalam bahasa Arab dipanggil haqin, sementara orang yang menahan air besar ialah haqib dan orang yang menahan angin dipanggil haziq.

Menurut kajian perubatan, bahawa perbuatan kerap menahan air kencing dan air besar ini boleh menjejaskan kesihatan. Kerap menahan air kencing boleh menyebabkan penyakit batu ginjal.  Ini kerana apabila ia ditahan, air kencing menjadi lebih pekat, atau jangkitan saluran kencing. Air kencing yang pekat dan jangkitan saluran kencing merupakan faktor penyumbang terbentuknya batu. Sementara menahan air besar pula boleh menyebabkan penyakit sembelit iaitu kesukaran untuk membuang air besar.

Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan hukum menahan diri dari hadats kecil tersebut, adakah ia membatalkan sembahyang atau boleh mengurangkan kesempurnaan sembahyang?

Sembahyang Orang Yang Menahan Diri Dari Hadats Kecil

Makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan seseorang itu menahan air kencing, air besar atau angin dari keluar, kerana ia boleh menjejaskan kekhusyukan dalam sembahyang. Ini samalah juga halnya, jika seseorang itu menahan keinginannya yang bersangatan untuk makan atau minum di dalam sembahyangnya sedangkan ketika itu hidangan sudah terhidang. Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ هُوَ يُدَافِعُهُ اْلأَخْبَثَانِ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Tidak (sempurna) sembahyang dengan adanya makanan yang terhidang, dan juga tidak (sempurna) sembahyang ketika dia sedang menahan dari membuang air kecil dan air besar.”
(Hadis riwayat Muslim)

Bila Ia Makruh?

Hukum makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan menahan air kencing, air besar atau angin itu, dikira semasa wujudnya keadaan menahan itu pada ketika mengangkat takbiratulihram.

Adapun jika wujudnya keadaan menahan diri dari hadats kecil itu semasa dalam sembahyang fardhu, maka tidak harus dia memutuskan sembahyangnya itu melainkan ada keuzuran seperti takut mudharat pada dirinya apabila menahan diri dari hadats kecil. Namun jika dia menahannya ketika dalam sembahyang sunat walaupun dia bernazar untuk menyempurnakan sembahyang sunatnya itu, maka tidak haram dia memutuskan sembahyang tersebut.

Demikian juga, hukum makruh itu hanya terjadi apabila waktu sembahyang masih panjang. Sebagai contoh, ketika seseorang itu hendak mengangkat takbiratulihram sembahyang fardhu Zohor sedang dia menahan air kencingnya. Maka dalam hal ini, makruh dia mengerjakan sembahyang fardhu Zohor jika waktu sembahyang tersebut masih panjang.

Sehubungan dengan itu, sunat ke atas orang yang menahan diri dari hadats kecil untuk mengeluarkannya terlebih dahulu jika waktu sembahyangnya masih panjang.

Qadha Hajat Walau Luput Sembahyang Jemaah

Sunat ke atas orang yang menahan air kencing, air besar atau angin untuk membuangnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang walaupun sehingga menyebabkan terluput sembahyang berjemaah, itu pun jika waktu sembahyangnya masih panjang.

Sunat Diulang Sembahyang

Sungguh pun makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan menahan air kencing, air besar atau angin dari keluar, namun ia tidak membatalkan sembahyang jika dalam keadaan menahan hadats kecil tersebut. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya mengulangi sembahyangnya itu.

Takut Luput Waktu Sembahyang

Jika waktu sembahyang fardhu itu suntuk, maka wajib ke atas orang yang menahan air kencing, air besar atau angin, mengerjakan sembahyang dalam keadaan tersebut dan tidak mengakhirkan sembahyangnya. Ini kerana untuk menjaga kehormatan waktu sembahyang tersebut. Itu pun jika tidak terjadi mudharat ke atasnya disebabkan menahan hadats kecil itu.

Bila Wajib Mengeluarkan Hadats Kecil?

Jika seseorang itu menyangka apabila dia menahan air kencing, air besar atau angin, akan memudharatkan dirinya iaitu mudharat yang boleh menyebabkan bertayammum, maka wajib dia mengeluarkan hadats kecil itu terlebih dahulu sebelum dia mengerjakan sembahyang, sama ada waktu sembahyang itu masih panjang ataupun suntuk.

Sebagai kesimpulan, menahan air kencing, air besar atau angin, bukan sahaja boleh menjejaskan/memberi kesan buruk kepada kesihatan seseorang, bahkan ia juga menyentuh perkara ibadat terutama sekali kekhusyukan dalam sembahyang. Ini kerana perbuatan menahan hadats kecil itu boleh mengalihkan pemikiran dan hati kepada perkara tersebut dan sekaligus menghilangkan kekhusyukan sembahyang.

Kekhusyukan dalam sembahyang salah satu perkara yang menjamin kesempurnaan ibadah sembahyang, maka dari itu hendaklah dijaga, bukan sahaja menghindarkan diri dari menahan hadats kecil tersebut, bahkan menghindarkan semua perkara yang boleh menjejaskan kekhusyukan dalam sembahyang seperti pandangan mata yang bukan di tempat sujud, memalingkan muka ke kiri atau kanan dan seumpamanya.

No comments:

Post a Comment