Thursday, May 14, 2015

JUMAAT BAGI PESAKIT DIKUARANTIN

MENINGGALKAN SEMBAHYANG JUMAAT
KERANA DIKUARANTIN


Soalan:

Dengan hormat sukacita saya memohon nasihat dan fatwa mengenai perkara berikut:

Hukum bagi orang-orang yang tidak mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat kerana dikehendaki menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan di rumah kediaman masing-masing disebabkan mereka itu didapati positif jangkitan wabak Influenza A (H1N1). Mereka yang berkenaan itu termasuklah juga kontak-kontak pesakit yang dijangkiti wabak berkenaan.

Saya amat berbesar hati sekiranya penjelasan terhadap perkara di atas akan dapat diberikan dengan sesegeranya untuk membolehkan kementerian ini mengambil langkah-langkah yang bersesuaian mengenainya.

Jawapan:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَـالمِينَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ سَـيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَبَعْدُ 

Definisi Kuarantin

Kuarantin bermaksud mengasingkan atau menahan orang di tempat khas untuk memastikan dia bebas daripada sebarang penyakit berjangkit atau mencegah penyakit daripada merebak. (Kamus Dewan Edisi Keempat: 832)

Penyakit Influenza A (H1N1), sebagaimana yang dilaporkan oleh pihak berautoriti, adalah penyakit berjangkit dan ia perlu dicegah dengan segera sebelum membawa mudharat kepada orang lain atau kepada orang awam. Mereka yang didapati positif jangkitan wabak berkenaan mesti diasingkan atau dikuarantin sehinggalah bebas daripada penyakit berkenaan. Jika tidak dikuarantin, orang-orang disekelilingnya akan terdedah dan berkemungkinan juga mendapat penyakit tersebut. Malahan kontak-kontak pesakit yang dijangkiti wabak tersebut juga mesti dikuarantin atau ditahan di tempat khas supaya dapat dipastikan bahawa mereka itu betul-betul bebas daripada penyakit berkenaan. Ini adalah salah satu pencegahan atau pengawalan wabak berkenaan supaya tidak menjangkiti orang lain atau kepada orang awam.

Sembahyang Jumaat

Mendirikan sembahyang Jumaat adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mukallaf yakni baligh dan berakal, lelaki, merdeka, orang yang bermuqim sama ada yang bermastautin ataupun tidak dan yang tidak ada keuzuran seperti sakit atau keuzuran-keuzuran lain yang disebutkan dalam sembahyang berjemaah. (Kitab I‘anah ath-Thalibin: 1/85-87)

Orang Yang Positif Influenza A (H1N1)

Apabila dirujuk kepada syarat-syarat wajib mendirikan sembahyang Jumaat, antaranya ialah sihat yakni tiada keuzuran seperti sakit. Dalam hal ini, pesakit lelaki yang dikuarantin kerana positif penyakit Influenza A (H1N1) adalah termasuk dalam kategori orang yang mendapat keuzuran kerana sakit. Oleh itu, mereka tidak diwajibkan untuk mendirikan sembahyang Jumaat.

Tidak wajib mendirikan sembahyang Jumaat bagi lelaki yang sakit ada diterangkan dalam sebuah hadits daripada Thariq bin Syihab Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اَلْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِيْ جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوْكٌ أَوْ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيْضٌ
(رواه أبو داود)

Maksudnya: “Sembahyang Jumaat (adalah) hak wajib ke atas setiap orang Islam dalam berjemaah kecuali empat: hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang sakit.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Kontak-Kontak Pesakit Yang Dijangkiti

Memandangkan wabak ini merebak dengan cepat dan ia berjangkit dengan mudah antara manusia dengan manusia, maka salah satu pencegahannya ialah dengan menahan atau mengkuarantin kontak-kontak pesakit yang dijangkiti kerana mereka ini berkemungkinan juga dijangkiti penyakit berkenaan.

Mengkuarantin kontak-kontak pesakit yang dijangkiti adalah langkah yang perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kemudharatan kepada orang lain atau kepada orang awam yang berada di sekeliling mereka. Ia juga bertujuan untuk menjaga mashlahat orang lain atau kepada orang awam supaya tidak dijangkiti penyakit Influenza A (H1N1)


Mashlahat atau mashlahah bererti mengambil manfaat atau faedah dan menolak mudharat dengan berlandaskan kepada matlamat syara‘. Adapun matlamat syara‘ itu ada lima perkara, iaitu:

i.                   Memelihara agama.
ii.                 Memelihara nyawa.
iii.              Memelihara akal.
iv.              Memelihara keturunan.
v.                 Memelihara harta.

Setiap perkara atau tindakan yang mengandungi maksud memelihara lima perkara tersebut adalah mashlahah dan setiap perkara yang mengancam perkara-perkara ini adalah kerosakan dan menjauhkannya atau mencegahnya adalah satu mashlahah. (al-Mustashfa: 1/217)

Dalam hal ini, tindakan mengkuarantin kontak-kontak pesakit Influenza A (H1N1) adalah termasuk dalam rangka memelihara salah satu matlamat syara‘ iaitu memelihara atau menjaga nyawa orang awam, kerana jika mereka ini tidak dikuarantin, maka orang awam yang lain akan terdedah kepada bahaya jangkitan Influenza A (H1N1). Bahaya atau kemudharatan mesti dihindarkan sebagaimana yang disebutkan dalam kaedah fiqhiyyah:

اَلضَّرَرُ يُزَالُ

Ertinya: “Kemudharatan itu dihilangkan.”

Oleh yang demikian, kontak-kontak pesakit Influenza A (H1N1) yang dikuarantin adalah termasuk juga dalam kategori orang yang mendapat keuzuran kerana penyakit. Mereka tidak diwajibkan sembahyang Jumaat kerana dilarang untuk bercampur dengan orang awam. Larangan tersebut adalah untuk menjaga mashlahat orang ramai supaya tidak dijangkiti jika sekiranya mereka ini adalah positif Influenza  A (H1N1).

Keuzuran seperti ini juga ada disebutkan dalam salah satu keuzuran yang boleh meninggalkan sembahyang jemaah dan sembahyang Jumaat iaitu bagi orang yang mempunyai penyakit kusta dan sopak. Perkara ini ada dinukilkan oleh al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah daripada para ‘ulama bahawa ditegah orang yang berpenyakit kusta dan sopak dari datang ke masjid untuk bersembahyang jemaah, bersembahyang Jumaat dan bercampur dengan orang ramai. (Hawasyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abadi: 2/328)

Kewajipan Orang Yang Uzur Sembahyang Jumaat

Wajib ke atas orang yang uzur mendirikan sembahyang Jumaat untuk mendirikan sembahyang Fardhu Zuhur. Bahkan sunat dilakukan sembahyang Fardhu Zuhur tersebut secara berjemaah. Perkara ini ada disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah Ta‘ala:

وَمَنْ لاَ جُمُعَةَ عَلَيْهِمْ تُسَنُّ الْجَمَاعَةُ فِي ظُهْرِهِمْ فِي الأَصَحِّ

Ertinya: “Dan barangsiapa yang tidak wajib mendirikan sembahyang Jumaat ke atas mereka, disunatkan melakukan sembahyang jemaah pada sembahyang Zuhur mereka menurut pendapat yang ashah.” (Minhaj ath-Thalibin: 1/266)

Tetapi tertakluk tidak berbangkit apa yang ditakuti, iaitu penyakit boleh berjangkit kepada orang lain (jemaah) yang sihat, sebagaimana isu Influenza A (H1N1) yang ditanyakan.

Disunatkan juga untuk melambatkan sembahyang Zuhur sehinggalah imam mengangkat kepalanya daripada rukuk rakaat kedua sembahyang Jumaat bagi orang yang uzurnya boleh hilang sebelum luput sembahyang Jumaat, seperti hamba yang mengharap kebebasan. Manakala bagi orang yang uzurnya tidak akan hilang seperti perempuan dan orang yang menderita sakit berpanjangan, maka adalah sunat untuk menyegerakan sembahyang Zuhur bagi memperolehi fadhilat sembahyang di awal waktu. (Mughni al-Muhtaj: 1/379-380)

وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ


[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
DR. USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,

Negara Brunei Darussalam.

No comments:

Post a Comment