Thursday, May 14, 2015

MENDIRIKAN SEMBAHYANG JUMAAT

Mendirikan Juma’at Di Atas Tanah Bukan Tanah Masjid


Soalan:      

Dimaklumkan bahawa Masjid Lumapas sekarang akan dirobohkan bagi membolehkan membangun sebuah bangunan masjid yang baru di tapak tanah tersebut, demikian itu dipohonkan fatwa dan pandangan Pehin mengenai perkara-perkara di bawah ini :

(1)             Bolehkah dipinjam suatu tapak tanah lain bagi membina bangunan masjid sementara?

(2)             Di dalam bangunan masjid sementara itu bolehkah dilakukan perkara berikut:-

(a)                Sembahyang Jumu‘ah.
(b)                Sembahyang Tahiyyatul Masjid.

(3)             Bolehkah bangunan masjid baru itu nanti dibangunkan di tapak tanah yang bukan bekas tapak lama itu, kerana tapak lama itu mahu dijadikan tempat letak kereta dan sebagainya?

(4)             Bangunan masjid sementara itu apabila sudah dirobohkan kerana masjid baru sudah siap, bolehkah bekas tapak masjid sementara itu dibangunkan rumah biasa dan lan-lainnya.

2.                 Perkara di atas dirujukkan sebagaimana penerangan Pehin pada 8hb. Julai, 1985 jua.


Jawab:     

الحمدلله ،

1.                 Mendirikan Jumu‘ah adalah sah di atas mana-mana tanah atau bangunan, apabila tanah atau bangunan itu di dalam lingkungan atau kawasan orang-orang menetap dan diam di suatu tempat kawasan itu, ini salah satu syarat sah mendirikan Jumu‘ah di sesuatu tempat.

2.       (1)     Masjid apabila sudah didirikan, maka tiada boleh dirobohkan dengan tiada ada sebab yang diluluskan syara‘, kerana ia sudah jadi waqaf dan waqaf tiadalah dibatalkan oleh sesiapa manusia pun.

          (2)     Yang betulnya, bolehlah didirikan sebuah bangunan sementara bagi mendirikan Jumu‘ah di dalamnya, dan bangunan itu tiada boleh dinamakan masjid, kerana apabila dinamakan masjid, maka ia sudah jadi waqaf.

          (3)     Di dalam bangunan sementara boleh dan sah didirikan Jumu‘ah .

          (4)     Tiada sah Tahiyyatul Masjid di dalam bangunan itu, kerana Tahiyyatul Masjid syaratnya di dalam masjid, bagaimana ditunjukkan oleh perkataan Tahiyyatul Masjid itu sendiri.

3.       (1)     Jika tapak lama itu tanah waqaf kerana masjid, maka tiada dapat diubah sesuatu waqaf kerana masjid itu, kerana hendak dijadikan tempat letak kereta atau madrasah atau lain kegunaan. Syarat-syarat waqaf diwajibkan diikut dan dipatuhi menurut syara‘, dan tanah itu kekal jadi waqaf bagi masjid selama-lamanya.

          (2)     Boleh didirikan bangunan masjid yang akan didirikan itu di atas mana-mana tanah, dan tanah itu akan menjadi tanah waqaf masjid, sebagaimana tanah waqaf bagi masjid lama itu.

4.        Jika bekas tempat bangunan sementara bagi mendirikan Jumu‘ah tiada digunakan lagi kerana Jumu‘ah, maka bangunan itu boleh dirobohkan dan boleh digunakan kerana lain-lain kegunaan.

والله أعلم بالصواب

[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam

Pejabat Mufti, Brunei
Mufti Kerajaan Brunei




No comments:

Post a Comment