Sembahyang Fardhu Dikerjakan Dengan Duduk
Untuk Menyempati Waktu Sembahyang Dan
Disebabkan Tidak Ada Tempat Lain Untuk Sembahyang
Soalan:
Assalamualaikum, saya ketika ini sedang
belajar di United Kingdom, sepanjang pembelajaran saya di sini, saya telah
berusaha sedaya upaya saya untuk menunaikan rukun Islam yang diwajibkan kepada
kita, seperti solat lima waktu, akan tetapi, jika saya ada kelas sepanjang hari
di universiti, selalunya saya tidak dapat menunaikan sembahyang fardu zuhur dan
asar dan terpaksa mengqada waktu-waktu tersebut. Ini kerana memandangkan
universiti tempat saya belajar ini tidak ada menyediakan tempat untuk
bersembahyang, serta masa pembelajaran saya amatlah singkat (saya mengambil
bidang pergigian di mana saya terpaksa membuat treatment kepada patient antara
9am-12pm dan 1-5pm), dan masuk waktu zuhur pula selalunya selepas 1pm serta
habis asar pula 5pm, dan saya amat kesal dengan keadaan ini. Saya merasa
berdosa kerana selalu meninggalkan solat zuhur dan asar tetapi apakah yang
patut saya lakukan, selain dari mengqadha solat-solat tersebut di malam hari.
Bolehkah saya melakukan solat tersebut secara tunai dengan solat duduk sahaja,
walaupun saya masih mampu berdiri untuk mengerjakan solat?? (Ini untuk menyempati
masa dan menyelesaikan masalah tidak ada tempat untuk bersembahyang).
Jawapan
الْحَمدُ
للهِ حَمْدًا يُوَافِى نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ، يَا رَبَّنَا لَكَ
الْحَمْد كَمَا يَنْبَغِى لِجَلاَلِ وَجْهِكَ وَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ، اَللَّهُمَّ
صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا
مُحَمَّدٍ َتَجْعَلُنَا بِهَا هُدَاةً مَهْدِيِّيْنَ غَيْرَ ضَآلِّيْنَ وَلاَ
مُضِلِّيْنَ،وَبَعْدُ
Sembahyang fardhu lima waktu
sehari semalam wajib dikerjakan. Ganjaran dan fadhilatnya adalah amat besar
sekali. Demikian juga sebaliknya, meninggalkan sembahyang itu akan dibalas dan
dihukum dengan hukuman yang sangat berat.
Sembahyang itu adalah
merupakan tiang agama. Sembahyang juga merupakan kepala bagi segala pendekatan
diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan awal permulaan bagi ketaatan
hamba terhadap Tuhannya. Awal perkiraan ibadat seseorang pada hari Kiamat
nantipun adalah ibadat sembahyang.
Sembahyang
fardhu lima waktu itu haram ditinggalkan walaupun hanya satu waktu, tidak kira
dia seorang yang sakit, musafir, orang yang sibuk dengan tugas, menuntut ilmu atau
sebagainya, melainkan orang-orang yang dikecualikan oleh syara‘ seperti
perempuan yang haid, nifas, orang yang gila dan kanak-kanak yang belum baligh.
Dalam sembahyang mempunyai
rukun-rukun yang wajib dilaksanakan, Rukun-rukun sembahyang itu terbahagi
kepada tiga bahagian:
1. Rukun qalbi:
Rukun yang bersangkut paut dengan hati iaitu niat.
2. Rukun qauli:
Rukun yang bersangkut paut dengan perkataan, seperti takbiratulihram, membaca
surah al-Fatihah, Tasyahhud (tahayyat akhir), salawat kepada Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam dan salam.
3. Rukun fi‘li:
Rukun yang bersangkut paut dengan perbuatan, seperti berdiri, rukuk dan sujud.
Berdiri
adalah salah satu daripada rukun-rukun fi‘li
yang wajib dilakukan dalam sembahyang fardhu bagi mereka yang mampu berdiri. Adapun
mereka yang tidak mampu berdiri bolehlah mengerjakan sembahyang tersebut dengan
duduk.
Contoh
bagi mereka yang tidak mampu berdiri itu seperti orang yang sangat tua, orang sakit,
takut terjatuh apabila berada di atas kapal atau ada kepayahan yang bersangatan
sehingga menghilangkan khusyu‘ sembahyang.
Dalam
situasi atau keadaan yang dijelaskan di atas bagi penanya tidak ada halangan
untuk menunaikan sembahyang pada waktunya walaupun ketika belajar. Cuma penanya
menunaikan sembahyang tersebut dengan duduk walaupun mampu berdiri, dengan
alasan untuk menyempati waktu sembahyang Zhohor dan ‘Asar.
Apabila
dilihat keharusan mengerjakan sembahyang fardhu dengan duduk, maka tidaklah
termasuk alasan yang diberikan “untuk menyempati masa” di dalam kategori orang
yang tidak mampu berdiri.
Oleh
yang demikian, kenalah juga penanya menunaikan sembahyang fardhu itu dengan
berdiri dan tidak ada kelonggaran untuk menunaikannya dengan duduk.
Bertolak
daripada masalah penanya iaitu “untuk menyempati masa”, sedang penanya hanya
mempunyai waktu yang singkat disebabkan belajar, maka sebagai irsyad lakukanlah
sahaja rukun-rukun sembahyang fardhu tanpa membuat yang sunat.
Sebagai
contoh membaca surah al-Fatihah sahaja tanpa membaca surah lain selepasnya,
kerana membaca surah al-Fatihah itu adalah daripada rukun-rukun sembahyang,
manakala membaca surah lain selepas surah al-fatihah adalah daripada
sunat-sunat sembahyang.
Dalam
situasi yang dijelaskan juga, penanya menunaikan sembahyang fardhu dengan duduk,
bertujuan bagi mengatasi masalah tidak ada tempat untuk bersembahyang. Sebenarnya
sembahyang itu boleh ditunaikan di mana-mana sahaja seperti di padang, tanah lapang,
dilurung, di dalam bilik atau sebagainya asalkan tempat itu suci daripada najis
yang tidak dimaafkan.
Jika
alasan yang diberikan itu hanya kerana ruang tempat sembahyang itu sempit
sehingga tidak dapat melakukan sujud, rukuk atau duduk, dan tidak ada lagi
tempat lain untuk mengerjakan sembahyang itu secara boleh rukuk dan sujud, maka
bolehlah ditunaikan sembahyang itu dengan berdiri sahaja. Namun jika
sebaliknya, iaitu ruang tempat sembahyang itu sempit sehingga tidak dapat
berdiri (seperti tempat itu rendah dan hanya ada ruang untuk duduk sahaja) dan
tidak ada tempat lain lagi untuk mengerjakan sembahyang, maka bolehlah ianya dikerjakan
dengan duduk.
وَاللهُ أَعْلَمُ
بِالصَّوَابِ
[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.
No comments:
Post a Comment