Thursday, May 14, 2015

MASBUK JUMAAT

Masbok sembahyang Juma’at.


Soal:

1.       Seorang masbuk fardhu Jumu‘ah, maka ia dapat satu rakaat mengikut imam, kemudian lepas salam Imam, ia bangkit mengerjakan satu rakaat lagi, bagaimana cara ia membaca Fâtihah dalam rakaat yang kedua itu. Adakah dengan nyaring atau tiada?

2.       Seorang masbuk yang lain berimamkan pula akan masbuk yang  di atas dalam soal (1) maka apa hukum sembahyang orang itu. Adakah sembahyangnya itu jadi Jumu‘ah atau Zhuhur?

الحمد لله ، اللهم هداية للصواب

Jawabnya:

(1)     Ma’mum mengikut imam dalam sembahyang fardhu Juma‘at, dengan dapat mengerjakan satu rakaat bersama-samanya. Kemudian ia datangkan satu rakaat lagi lepas imam memberi salam, maka sunat ia membaca Fâtihah dan surah dengan nyaring, dan ia dapat akan Jumu‘ah itu.

Berkata al-Imam as-Syeikh Ibnu Hajar dalam Syarh Ba Fadhl dalam bab Jumu‘ah:

jikalau masbuk itu dapat ruku’ raka’at yang kedua bersama-sama imam, dan terus ia bersama-samanya, sehingga imam memberi salam, maka wajib ia datangkan satu raka’at lagi lepas imam memberi salam, dengan membaca dengan nyaring, dan sempurnalah Jumu‘ahnya itu.

(2)     Jika seorang datang lalu ia berimamkan orang masbuk yang telah dapat satu raka’at dengan berimamkan imam Jumu‘ah, maka wajib orang itu berniat sembahyang Jumu‘ah kemudian ia dapat satu raka’at dengan imam yang masbuk itu maka wajib ia datangkan satu raka’at lagi lepas imam yang masbuk itu memberi salam, dan dapatlah orang itu akan Jumu‘ah itu.

Adapun jika orang masbuk itu tiada dapat ruku’ bagi raka’at yang kedua bersama-sama imam Jumu‘ah itu, maka wajib ia niat sembahyang Jumu‘ah dan ia tunaikan sembahyang itu dengan mengerjakan sembahyang Zhuhur empat rakaat.

Berkata al-Imam as-Syeikh Ibnu Hajar dalam Syarh Bâ fadhl dalam bab Jumu‘ah:

Jika orang masbuk itu dapat bersama-sama imam Jumu‘ah, lepas ruku’ bagi raka’at yang kedua, maka wajib ia niat sembahyang Jumu‘ah dan ia sempurnakan sembahyang itu dengan sembahyang Zhuhur kerana tiada dapat satu raka’at dengan imam, demikianlah dipetik dengan ringkas.

Berkata al-Imam as-Syeikh Ibnu Hajar dalam at-Tuhfah:

Jikalau seorang lain hendak mengikut orang masbuk itu pada raka’atnya yang kedua, supaya ia dapat Jumu‘ah, maka harus  orang itu berbuat begitu, sebagaimana yang telah lalu sebutannya dalam Al-Bayân daripada Al-Imam Ibnu Hamid dan dengan itu telah disebutkan oleh Al-Imam Al-Raimi dan Ibnu Kaban dan lain-lain ulama.

والله أعلم
      
[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam


Pejabat Mufti, Brunei
Mufti Kerajaan Brunei

No comments:

Post a Comment