(Dengan nama Allah, Segala puji bagi
Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Sembahyang fardhu lima
waktu sememangnya mempunyai kedudukan yang sangat penting di dalam Islam. Perkara
pertama yang akan dihisab bagi setiap orang Islam pada hari Kiamat ialah
sembahyangnya. Orang yang sempurna sembahyangnya, nescaya akan berjaya dan
bahagia di akhirat kelak. Akan tetapi jika sebaliknya, nescaya dia akan kecewa
dan rugi sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ
عَمَلِهِ صَلاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ
خَابَ وَخَسِرَ فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ
وَجَلَّ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا
انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ
(رواه الترمذي)
Maksudnya: “Perkara
yang pertama sekali dihisab atau dihitung ke atas seorang hamba pada hari
Kiamat adalah sembahyangnya. Jika (sembahyangnya itu) baik, maka dia termasuk
orang yang bahagia dan berjaya. Namun jika (sembahyangnya itu) rosak, maka dia
termasuk orang kecewa dan rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit daripada
sembahyang fardhunya, Allah ‘Azza wajalla berfirman: “Lihatlah (wahai malaikat)
adakah hambaKu ini mengerjakan sembahyang sunat, maka sembahyang sunatnya
itulah yang menyempurnakan kekurangan yang ada pada sembahyang fardhu. Kemudian
demikian juga (perkara fardhu jika ada kekurangan) pada semua amalnya (akan
sempurna dengan perkara sunat).”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam
meraih kesempurnaan itu, perkara utama yang perlu diberi perhatian dan dipelihara
ialah rukun-rukun sembahyang. Ini termasuklah menitikberatkan perkara-perkara
yang diwajibkan bagi setiap rukun tersebut. Antaranya adalah thuma’ninah.
Thuma’ninah merupakan perkataan yang cukup sinonim dengan ibadat sembahyang. Namun
sejauhmanakah kita mengetahui maksud dan mempraktikkan thuma’ninah itu
dengan betul di dalam sembahyang?
Apa Yang
Dimaksudkan Dengan Thuma’ninah?
Thuma’ninah dari segi bahasa ialah ketenangan. Dikatakan hati itu tenang ialah
apabila hati itu di dalam keadaan reda, tidak bimbang, tidak resah mahupun
gusar.
Manakala
dari segi istilah fiqh pula thuma’ninah bererti kestabilan atau
penetapan sejenak anggota badan pada satu masa.
Hukum Thuma’ninah
Menurut
pendapat jumhur ulama termasuk ulama mazhab asy-Syafi‘e, thuma’ninah itu
wajib dilakukan di dalam sembahyang sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang
sunat.
Terdapat
empat rukun sembahyang yang diwajibkan padanya thuma’ninah iaitu ruku‘,
i‘tidal, sujud dan duduk antara dua sujud.
Ketetapan hukum
ini adalah bersandarkan kepada hadits shahih yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah Radhiallahu ‘anhu, ketika Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam membetulkan sembahyang seorang lelaki, Baginda bersabda:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ،
ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ
حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ
حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا
(رواه مسلم)
Maksudnya:
“Jika engkau mendirikan sembahyang
maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah
al-Fatihah). Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah. Kemudian
bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidal. Kemudian sujudlah sehingga sujud
dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma‘ninah.
Kemudian lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyangmu.”
(Hadits riwayat Muslim)
Thuma’ninah dalam ruku‘
Maksud
thuma’ninah ketika ruku‘ adalah tenang atau tetap sekalian anggota semasa
melakukan ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara pergerakan
tunduk untuk melakukan ruku‘ dengan pergerakan bangkit daripada ruku‘ sekurang-kurangnya
dengan kadar bacaan tasbih “ سبحان الله ”.
Bermula
thumani’nah dalam ruku‘ itu adalah sebaik sahaja tetap dan
berhenti sekalian anggota dari pergerakan ketika hendak melakukan ruku‘.
Thuma’ninah dalam i‘tidal
Thuma’ninah
ketika i‘tidal adalah tenang
atau tetap sekalian anggota seperti keadaannya sebelum ruku‘ sekira-kira
ada masa yang memisahkan di antara perbuatan bangkit daripada ruku‘ dengan
berdiri untuk melakukan i‘tidal.
Bermula
thumani’nah dalam i‘tidal itu adalah apabila sahaja badan kembali
kepada keadaan asalnya sebelum ruku‘ dan tetap sekalian anggota setelah bangkit
daripada ruku‘.
Thuma’ninah dalam sujud
Thuma’ninah
ketika sujud adalah tenang atau tetap
sekalian anggota sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara pergerakan
tunduk untuk sujud dengan bangkit daripada sujud sekurang-kurangnya
dengan kadar bacaan tasbih “ سبحان الله ”.
Bermula
thumani’nah dalam sujud itu adalah apabila sahaja tetap sekalian anggota
setelah melakukan pergerakan tunduk untuk sujud.
Yang
dikatakan sujud yang tetap itu adalah dengan memberatkan bahagian hadapan
kepala iaitu dahi dengan tenang di tempat sujud sehingga dapat menetap.
Seandainya tempat sujud tersebut terdapat kapas, pasir, rumput atau selainnya,
maka ia akan kemek atau kempis serta akan nampak kesan sujud tersebut pada
tangan seandainya diletakkan di atas tangan itu.
Thuma’ninah dalam duduk
antara dua sujud
Thuma’ninah ketika duduk antara dua sujud adalah tenang atau
tetap sekalian anggota, sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara setiap pergerakan
sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan tasbih “ سبحان الله ” tanpa terlalu lama.
Bermula
thumani’nah dalam duduk antara dua sujud itu adalah apabila sahaja tetap
sekalian anggota setelah bangkit dari melakukan sujud.
Kadar
dan permasalahan mengenai Thuma’ninah
Jumhur
ulama termasuk ulama mazhab asy-Syafi‘e mengatakan
bahawa sekurang-kurang thuma’ninah itu adalah dengan tetap atau berhenti
sekalian anggota. Ulama mazhab asy-Syafi‘e menjelaskan dengan lebih lanjut lagi
bahawa sekurang-kurang thuma’ninah itu hendaklah sekalian anggota
seorang yang sedang sembahyang itu berada dalam keadaan diam, dan pergerakannya
untuk tunduk atau membongkok terpisah daripada pergerakan bangkit.
Menurut
Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala, tidak berlaku thuma’ninah
dan tidak memadai thuma’ninah itu dilakukan hanya dengan memanjangkan
tempoh pada pergerakan tunduk atau bongkok, walaupun melebihi dari kadar
sekurang-kurang ruku‘ atau sujud, kemudian terus sahaja bangkit dengan
pergerakan yang bersambung dan tidak tetap. Maka dalam hal yang demikian ini, tidak
berlaku thuma’ninah padanya dan thuma’ninah tidak akan dikira
dengan perbuatan memanjangkan pergerakan tersebut.
Dalam
hal i‘tidal pula, hendaklah ia dilakukan dengan tidak terlalu lama. Jika
seseorang berdiri i‘tidal sehingga sama dengan atau melebihi kadar dia
membaca surah al-Fatihah, maka batal sembahyangnya kecuali pada i‘tidal
yang terakhir daripada sembahyang Subuh kerana pada saat itu disunatkan membaca
doa qunut.
Demikian
juga halnya dengan duduk antara dua sujud, hendaklah ia dilakukan dengan tidak
terlalu lama. Jika seseorang duduk sehingga sama atau melebihi zikir yang
dituntut di dalamnya iaitu kadar sekurang-kurang tasyahhud, maka batal
sembahyangnya jika dia tahu dan sengaja melakukannya.
Jika
seseorang itu melakukan sembahyang dengan cara berdiri, lalu dia melakukan ruku‘
akan tetapi ketika ruku‘ dia terjatuh sebelum dia sempat melakukan thuma’ninah,
maka dalam hal ini wajib dia kembali semula melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah,
kemudian baharulah dia bangkit melakukan i‘tidal.
Setelah
itu hendaklah dia bangkit untuk melakukan i‘tidal jika dia
terjatuh setelah melakukan ruku‘ yang disertai dengan thuma’ninah setelah
i‘tidal baharulah dia melakukan sujud.
Demikian
juga wajib kembali bangkit melakukan i‘tidal jika seseorang itu terjatuh
ketika melakukan i‘tidal sebelum lagi dia sempat melakukan thuma’ninah.
Jika
seseorang melakukan ruku‘ dan terjatuh setelah sempat melakukan thuma’ninah,
maka dalam hal ini hendaklah dia kembali bangkit melakukan i‘tidal dan
tidak perlu bangkit melakukan ruku‘.
Zikir-zikir
yang sunat dibaca ketika melakukan rukun-rukun yang diwajibkan thuma’ninah
padanya
Dalam setiap
rukun dan perbuatan di dalam sembahyang semestinyalah tidak sunyi daripada zikir.
Disyari‘atkan zikir-zikir tertentu yang sunat dibaca ketika ruku‘, i‘tidal,
sujud dan duduk antara dua sujud, iaitu semasa dalam tempoh melakukan thuma’ninah.
Zikir
ketika ruku‘
Antara
zikir yang sunat dibaca ketika ruku‘ iaitu apabila sahaja tetap sekalian
anggota ialah tasbih (سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ) atau سُبْحَانَكَ
اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي)) sebanyak tiga kali.
Bacaan
sebanyak tiga kali itu adalah sekurang-kurang kadar yang sempurna (أدنى الكمال). Kemudian diikuti dengan lima kali, kemudian tujuh kali, kemudian
sembilan kali dan paling sempurna ialah sebanyak sebelas kali. Sekurang-kurang bacaan
untuk mendapat pahala sunat bertasbih itu ialah dibaca sebanyak sekali
sahaja.
Zikir
ketika i‘tidal
Antara
zikir yang sunat dibaca ketika i‘tidal iaitu setelah berdiri tegak, kedua
tangan lurus di bawah serta tetap sekalian anggota ialah membaca tahmid seperti
berikut:
رَبَّنَا
لَكَ الْحَمْدُ مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ اْلأَرْضِ وَمِلْءَ مَا بَيْنَهُمَا
وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ
Ertinya:
“Ya Allah ya Tuhan kami, bagiMu
segala pujian, sepenuh langit, dan sepenuh bumi, dan sepenuh apa yang di antara
keduanya (langit dan bumi), dan sepenuh apa yang Engkau mahukan daripada
sesuatu selepas (langit dan bumi) itu.”
Zikir
ketika sujud
Antara
zikir yang sunat dibaca ketika sujud iaitu setelah tetap sekalian
anggota ialah membaca tasbih
(سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلىٰ وَبِحَمْدِهِ) sebanyak tiga kali sepertimana juga disunatkan di dalam ruku‘.
(سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلىٰ وَبِحَمْدِهِ) sebanyak tiga kali sepertimana juga disunatkan di dalam ruku‘.
Zikir
ketika duduk antara dua sujud
Antara
zikir yang sunat dibaca ketika duduk antara dua sujud iaitu setelah
tetap sekalian anggota ialah membaca tasbih
(رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي) dan boleh ditambah (وَاعْفُ عَنِّي).
(رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي) dan boleh ditambah (وَاعْفُ عَنِّي).
Meninggalkan zikir atau tasbih yang telah disebutkan
tidaklah membatalkan sembahyang, sebaliknya meninggalkan thuma’ninah itu
pula boleh membawa kepada batalnya sembahyang seseorang.
Akibat
meninggalkan atau mencuaikan thuma’ninah
Antara
akibat yang paling besar dan amat merugikan dari perbuatan meninggalkan atau
mencuaikan thuma’ninah itu adalah sembahyang menjadi tidak sempurna.
Thuma’ninah
wajib disertakan di dalam empat rukun
sembahyang iaitu ruku‘, i‘tidal sujud dan duduk antara dua sujud.
Sebahagian ulama mengira thuma’ninah itu sebagai rukun sembahyang.
Berdasarkan ketetapan ini, adalah jelas bahawa kedudukan thuma’ninah itu
sangat penting dalam sembahyang kerana ia merupakan sifat yang mengikut rukun
sembahyang atau komponen yang terkandung di dalamnya. Sembahyang yang tidak ada
thuma’ninah adalah umpama badan tanpa kepala.
Oleh
kerana itu, orang
yang meninggalkan thuma’ninah dalam sembahyangnya hendaklah dia
mengulang sembahyang tersebut. Ini berdasarkan hadits shahih yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah
menolak salam seorang lelaki yang baru sahaja selesai mendirikan sembahyang
dan menyuruhnya sembahyang semula. Baginda bersabda:
ارْجِعْ فَصَلِّ
فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Kembali dan
sembahyanglah, sesunggguhnya engkau belum sembahyang.”
(Hadits riwayat
al-Bukhari)
Suruhan
untuk kembali sembahyang itu berulang sebanyak tiga kali sehinggalah lelaki
berkenaan meminta agar Rasulullah mengajar dan membetulkannya. Maka setelah itu
Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ،
ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ
حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ
حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا
(رواه البخاري)
Maksudnya:
“Jika engkau mendirikan sembahyang
maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah
al-Fatihah). Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah. Kemudian
bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidal. Kemudian sujudlah sehingga sujud
dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma‘ninah.
Kemudian lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyangmu.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Jelas
berdasarkan hadits ini, sembahyang yang dilakukan dengan tidak sempurna thuma’ninah
adalah tidak memadai dan tidak dikatakan sembahyang dan hendaklah diulang
semula.
Ketetapan
ini disokong lagi dengan sebuah hadits bahawa tidak dikira sembahyang seseorang
yang tidak i‘tidal dengan betul setelah dia bangkit daripada ruku‘.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لاَ تُجْزِئُ صَلاَةُ الرَّجُلِ حَتَّى يُقِيمَ ظَهْرَهُ فِي
الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ
(رواه أبو داود)
Maksudnya: “Tidak dikira sembahyang seseorang sehinggalah tegak
atau lurus belakangnya daripada (bongkok) ruku‘ dan sujud.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Perbuatan
tidak sempurna i‘tidal dan thuma’ninah ini adakalanya kelihatan
berlaku di kalangan segelintir orang sama ada kerana sengaja ataupun tidak sengaja kerana
jahil tentangnya. Sebagai contoh, perbuatan bangkit dari melakukan ruku‘ tanpa
berhenti atau tetap seketika terlebih dahulu ataupun bangkit dengan tidak sampai had badan yang
seimbang untuk melakukan i‘tidal atau hanya sehingga paras tiga suku berdiri
sahaja, kemudian terus bergerak tunduk untuk melakukan sujud.
Selain dari sembahyang tidak sempurna, sembahyang yang
dilakukan tanpa thuma’ninah juga menyalahi cara yang diajarkan oleh
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي
أُصَلِّي
(رواه
البخاري)
Maksudnya: “Tunaikanlah
sembahyang sepertimana kamu melihat aku sembahyang.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Suruhan di dalam
hadits tersebut juga dinisbahkan kepada umat Islam yang kemudian walaupun tidak
pernah melihat Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi mereka
hendaklah mengikutnya dengan mengikut panduan para ulama dan kitab-kitab
muktabar.
Hudzaifah Radhiallahu
‘anhu pernah melihat seorang lelaki yang tidak menyempurnakan ruku‘ dan sujud ketika
sembahyang, lantas dia berkata kepada lelaki itu:
مَا صَلَّيْتَ وَلَوْ مُتَّ مُتَّ
عَلَى غَيْرِ الْفِطْرَةِ الَّتِي فَطَرَ اللَّهُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهَا
(رواه
البخاري)
Maksudnya: “Kamu belum sembahyang, seandainya kamu mati (dengan
amalan menjejaskan thuma’ninah), nescaya kamu mati di luar fitrah dan jalan yang
difitrahkan Allah kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam (sunnah).”
Oleh yang
demikian, perkara thuma’ninah dalam menunaikan rukun sembahyang ini
perlu diambil perhatian berat. Walaupun nampak kecil dan remeh, tetapi peranan
dan akibatnya terhadap sembahyang adalah sangat besar.
Alhamdulillah, faham. Syukran jazilan
ReplyDeleteAlhamdulillah sangat membantu orang awam seperti saya, harap kerajaan Brunei dapat upgrade blogspot seperti ini kepada versi website yang lebih rasmi
ReplyDelete