Wednesday, May 13, 2015

MA'MUM SAF SEORANG DIRI

Ma’mum berdiri dalam saf seorang diri.

Soalan:

Pehin, keluaran kali ini kaola ingin bertanya sedikit masalah, iaitu;-

1)       Mengikut penjelasan Ustaz Haji Azahari semasa kuliah di Masjid Mohammad Bolkiah, Kampong Serusup, Jalan Muara. Jika seseorang yang baharu datang dan masbuq mengikut  jemaah dan ianya cuma seorang diri sahaja di belakang semestinya ia menarik seorang jemaah di hadapan untuk menemaninya di saf yang kedua seperti yang dijelaskan mengikut hadits yang melarang untuk sembahyang sendirian. Akan tetapi mengikut penjelasan daripada Ustaz Haji Sumali (Guru Agama di Rumah Sakit R.I.P.A.S) seseorang yang baharu sampai itu dan masbuq tiada boleh menarik jemaah yang di saf hadapan dan biarlah seorang diri sahaja di saf kedua kerana penjelasan beliau saf di hadapan tiada boleh dikosong-kosongkan. Kaola ingin penjelasan yang sejelasnya daripada Pehin.

2)       Adakah boleh kita jadikan Imam jika seseorang itu mengikut di dalam kumpulan tabligh (yang dijadikan Imam adalah orang yang musafir) yang mana musafir adalah dibolehkan mengqasharkan dan menjama’kan sembahyang mereka.

Jawab:
   الحمدلله،

1.       (1)   Berkata al-‘Allâmah Bafadzal serta al-‘Allâmah Ba‘isyah dalam Busyral Karim:

                 Diisyaratkan sah jemaah sembahyang itu, janganlah ma’mum itu berdiri mendahului ke hadapan daripada imam dengan tumitnya jika ma’mum sama dengan imam pada berdiri, maka perbuatan sama berdiri itu adalah  makruh dan menghilangkan fadhilat pahala jemaah, dari itu sunat ma’mum berdiri ke belakang sedikit dari berdiri imam, supaya nampak taraf dan kelebihan imam itu dan supaya ia beradab dengan imam.

                 Sunat ma’mum lelaki berdiri di kanan imam, jika tiada ma’mum yang lain, kalau tidak berdiri di kanan imam, nescaya hilang pahala jemaah dan makruh perbuatan begitu, jika kiranya datang ma’mum lelaki maka berdiri ia di kiri imam kiranya ada tempat dan ia bertakbirratul ihram sembahyang, lepas ihram ma’mum kedua itu, maka imam pergi ke hadapan, atau kedua-dua ma’mum itu undur ke belakang ketika dalam berdiri atau dalam i‘tidal atau ruku‘, dan undur kedua ma’mum itu lebih afdhal utama dari imam maju ke hadapan, tiada maju ke hadapan atau tiada undur ke  belakang mana-mana pihak imam atau ma’mum yang boleh melakukan maju atau undur itu, adalah makruh.

                 Jikalau kedua-dua ma’mum lelaki datang bersama, pada mulanya atau seorang lepas seorang, maka kedua-duanya berdiri di belakang imam.

                 Begitu juga hukum ma’mum seorang perempuan atau dua perempuan maka ia atau kedua-duanya berdiri di belakang imam.

                 Susunan adab berimam, maka lelaki berdiri di belakang imam, jika kiranya sempurna dan cukup saf lelaki itu, maka kanak-kanak membuat saf di belakang saf lelaki itu. Jika saf lelaki itu belum penuh dan kanak-kanak ada, maka kanak-kanak penuhkan saf lelaki itu, dan jika kanak-kanak itu telah berdiri di saf pertama itu, maka kanak-kanak itu lebih berhak pada saf pertama daripada lelaki yang datang lambat daripada kanak-kanak itu, sekalipun sebelum ihram kanak-kanak itu.

                 Khuntsâ kemudian membuat saf di belakang saf kanak-kanak itu sekalipun saf kanak-kanak tiada penuh.

                 Kemudian perempuan membuat saf di belakang saf khuntsâ, sekalipun saf khuntsâ itu tiada penuh sama ada perempuan itu baligh atau belum baligh, menurut dzahir itlaq perkataan ulama.

                 Apabila dilanggar tertib saf-saf tersebut itu, maka perbuatan melanggar itu adalah makruh, begitu juga tiap-tiap perkara yang sunat yang berhubung dengan perkara berdiri, apabila dilanggar, adalah makruh dan hilang dan luput pahala kelebihan berjemaah.

                 Sunat imam perempuan bagi kaum perempuan itu, berdiri di tengah-tengah saf perempuan, dan berdiri imam perempuan itu sama paras dengan berdiri ma’mum-ma’mum perempuan, ialah menurut perkataan ulama bagaimana telah ditegaskan oleh al-Imam al-Kurdi.

                 Makruh bagi ma’mum itu berdiri dalam saf seorang diri daripada ma’mum yang sejenisnya, sama ada pada mulanya atau selanjutnya, sebab ada tegahan berbuat begitu dalam hadits shahîh dan sesetengah ulama  berkata tiada sah sembahyang ma’mum seorang diri dalam sesuatu saf, maka sayugialah ma’mum itu masuk dalam saf, sekalipun ia luputkan raka’at itu, dan sekalipun raka’at itu raka’at yang akhir.

                 Ini semuanya itu jika ia dapati saf ada lapangan, sekira-kira jika ia masuk dalam saf itu maka ia dapat tempat berdiri, sekalipun tiada ada lubang dalam saf.

                 Jika sekiranya ada lubang, begitu juga ada lapang, pada pendapat al-Imam Ibnu Hajar, dan di antara lubang dan lapang dengan ma’mum itu ada saf-saf, maka ia tembuskan semuanya itu, supaya ia masuk ke dalam saf itu, kerana ma’mum-ma’mum yang ada itu telah cuai meningggalkan saf dengan lubang dan lapang, kerana merosakkan saf-saf sembahyang iaitu sekira-kira tiada ada di dalam tiap-tiap saf itu ada lubang, atau ada lapang, adalah suatu kelakuan yang sangat dituntut (Muta’akiddah), maka kiranya dibiarkan saf-saf lubang atau lapang, adalah perbuatan itu makruh, ertinya saf-saf sembahyang sayugialah lurus dan rapat-rapat di antara seorang ma’mum dengan seorang yang lain.

                 Tetapi jika undur mereka kerana sesuatu uzur  Syar‘ie seperti waktu manas dalam Masjiddil Haram Mekah alMukarramah, maka tiadalah makruh kerana tiada ada cuai daripada mereka.

                 Jika kiranya tiada ada lapang dalam saf itu, maka ia ihram sembahyang bersama-sama imam. Kemudian sunat ia tarik waktu ia berdiri itu akan seorang yang merdeka, yang ia ada sangka kuat menurut keadaan yang boleh menolong ia berdiri dalam saf itu, iaitu ia tarik ma’mum yang ada dalam suatu saf yang lebih daripada dua orang.

                 Jika ia tarik ma’mum padahal ada wujud lapang pada saf hadapan atau ia tiada ada sangka kuat ma’mum itu bersetuju ditarik ke belakang serta ia takut akan seseuatu fitnah (bersengketa, atau berkelahi) atau ma’mum itu hamba sahaya, bahkan jika ia tarik hamba itu maka ia mandzamin hamba itu, maka ketika itu haram ia menarik mana-mana ma’mum itu.

                 Begitu juga jika ia tarik sebelum ia ihram atau ia tarik  dari saf ada dua ma’mum pada pendapat al-Imam Ibnu Hajar, atau ia tarik di dalam keadaan ia tiada berdiri, maka semuanya itu makruh.

                 Apabila tiada ada syarat-syarat pada menarik ma’mum yang merdeka yang tersebut di atas ini, maka jika kiranya ada lubang, kerana ia hendak berdiri bersama imam, maka ia tembuskan saf-saf itu, dan ketika itu tiadalah makuh ia berdiri sama dengan paras berdiri imam.

                 Ma’mum itu, kiranya ada di tempat lapang boleh muat dua orang maka ia tarik seorang kepadanya, tetapi menembus saf adalah utama kiranya ia dapat berbuat begitu.

                 Tiadalah luput fadhilat pahala saf pertama ke atas ma’mum-ma’mum yang ada di belakang imam dengan sebab ia berdiri sama paras dengan berdiri imam itu.

                 Sunat bagi ma’mum yang kena tarik itu, jika ada syarat-syarat yang tersebut, menolong akan ma’mum yang ada dalam saf seorang diri  itu, supaya dapat kelebihan pahala menolong, dan pahala menolong sama darjatnya dengan pahala ada dalam safnya, sebagaimana yang tersebut dalam Nihayah dan Sharhul Irsyad bahkan dalam Tuhfah, kerana berbuat begitu menolong perkara kebajikan serta ia dapat pahala safnya itu.

                 Tamat dengan petikan dari Matan Bafadzal dan Busyral al-Karim daripada dua orang ulama yang terkenal itu.

                 Cuba tuan lihat dan perhatikan, bagaimana halus dan tatatertib bahathan ulama di dalam sesuatu perkara agama itu seperti bahathan dan pendapat mereka dalam masalah berdiri dalam saf-saf sembahyang.   رضى الله عنهم أجمعين للإسلام والمسلمين

1.       (ii) Ringkasnya: Makruh bagi seseorang ma’mum itu berdiri dalam sesuatu saf seorang diri, maka jika ia dapat lapang pada saf di hadapan, maka ia berihram sembahyang dan tarik seorang ma’mum jika ia sangka kuat bahawa ma’mum itu bersetuju, dan sunat ma’mum yang kena tarik itu undur ke belakang menolong akannya pada melaksanakan dari makruh berdiri seorang diri dalam safnya.

1.       (iii) Pertanyaan penyoal, yang ia hikayatkan daripada dua orang guru agama itu belum jelas.

2.       Kata Busyral Karim: Orang sembahyang tamam atau orang mukim lebih awla dan lebih utama menjadi imam daripada orang yang musafir yang sembahyang qashar. Tamat.

Maka dari itu sah orang musafir yang sembahyang tamam menjadi imam kepada orang mukim.

والله أعلم بالصواب

[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam


Pejabat Mufti, Brunei
Mufti Kerajaan Brunei

No comments:

Post a Comment