Adakah Harus Dibaca Qunut Nazilah Di Dalam Sembahyang Jumaat Kerana Situasi
Yang Melanda Umat Islam Hari Ini?
Soalan:
Dengan hormat sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menerima memorandum pihak Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama bilangan: KHEU/4/152/93 bertarikh 23 Syaaban 1423 bersamaan 30 Oktober 2002 berserta surat tanpa nama dan alamat mengenai perkara membaca ‘Doa Qunut’ dalam sembahyang Jumaat bagi menyelamatkan orang-orang Islam dari kejahatan kaum kafir.
2. Untuk makluman, disalin
semua isi kandungan surat tersebut mengenai perkara membaca Doa Qunut ini
seperti berikut:
“Saya mohon cadangan berikut
dipertimbangkan:
Semasa krisis Bosnia,
apabila orang-orang Islam Bosnia dibunuh oleh orang-orang Kristian Serb, di
merata masjid di Brunei, kami membaca doa Qunut dalam sembahyang Jumaat memohon
kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk membantu ummah mengatasi penderitaan
mereka.
Tapi sekarang, umat Islam di
merata dunia sedang mengalami ujian, penderitaan dan kesengsaraan yang dahsyat.
Setiap negeri Islam dianggap negeri terroris. Rakyat Afghanistan, Pakistan,
Palestin, Iraq, Chehniya, Kashmir dan lain-lain sedang menempuh masa yang
sangat genting dalam mempertahankan nyawa mereka. Dari itu, saya berpendapat
kami di Brunei, walau tidak dapat banyak membantu dari segi kebendaan, dapat
sekurang-kurangnya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya menyelamatkan
orang-orang Islam dari kejahatan kaum kafir. Saya memohon agar DOA QUNUT
dibacakan lagi dalam sembahyang Jumaat.
3. Untuk makluman Dato
bahawa Jabatan Hal Ehwal Masjid ada mengusahakan penyediaan teks doa untuk
dibacakan oleh imam-imam Masjid, Surau dan Balai Ibadat seluruh negara selepas
sembahyang fardhu Jumaat dan sembahyang fardhu lima waktu yang antara lain
kandungan doa itu adalah untuk memohon perlindungan Allah Subhanhu wa Ta‘ala supaya umat Islam di negara ini dan juga di
negara-negara lain terhindar daripada malapetaka, penyakit dan kejahatan serta
kezaliman orang-orang yang berlaku zalim dan sekutu-sekutu mereka.
Untuk jelasnya disertakan salinan-salinan teks doa
tersebut.
4.
Sehubungan dengan cadangan penulis surat tanpa nama dan alamat itu,
sukacita Jabatan Hal Ehwal Masjid memohon pandangan dan ulasan dalam kadar yang
segera jua mengenai ketentuan untuk mengadakan Doa Qunut tersebut; adakah
situasi sekarang ini yang menimpa umat Islam seperti yang dinyatakan oleh
penulis itu membolehkan kita untuk membaca Doa Qunut itu dalam sembahyang
Jumaat dengan mengambil kira yang Jabatan Hal Ehwal Masjid telah mengusahakan
dan menyediakan teks doa memohon perlindungan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana yang dinyatakan di para (3) di atas.
5. Di atas perhatian pihak Dato dalam perkara ini tidak lupa
diucapkan ribuan terima kasih
Jawapan:
اَلـحَمدُ للهِ حَمْدًا يُوَافِى
نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا
وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍصَلاَةً تَجْعَلُنَا
بِهَا هُدَاةً مَهْدِيِّيْنَ غَيْرَ ضَآلِّيْنَ وَلاَ مُضِلِّيْنَ،وَبَعْدُ
Persoalan
yang ditimbulkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid ialah berhubung dengan situasi atau keadaan yang menimpa umat Islam
masa kini sedang mengalami ujian, penderitaan dan kesangsaraan yang dahsyat,
setiap negeri Islam dianggap sebagai terroris. Rakyat Afghanistan, Pakistan,
Palestin, Iraq, Chechnya, Kashmir dan lain-lain negara Islam lagi sedang
menempuh masa yang sangat genting dalam mempertahankan nyawa mereka. Adakah
situasi dan keadaan ini dianggap sebagai suatu malapetaka atau bahaya yang disunatkan
kepada kita untuk membaca doa qunut di dalam sembahyang Jumaat apabila ia
menimpa umat Islam?
Itulah
pokok persoalan yang dikemukakan oleh Jabatan berkenaan berhubung dengan suatu
surat yang ditujukan kepada jabatan itu yang mana dalam surat tersebut
mencadangkan dan memohon supaya doa qunut dibaca di dalam sembahyang Jumaat
berdasarkan gambaran umat Islam pada hari ini.
Untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk
tentang hukum membaca doa qunut khasnya qunut Nazilah di dalam sembahyang-sembahyang fardhu, bilakah masanya ia
sunat dibaca dan apakah sebab-sebab yang mengharuskannya?
Bila Doa Qunut Nazilah Sunat Dibaca?
Doa qunut yang dikenal dengan qunut Nazilah disunatkan pembacaannya pada
tiap-tiap kali sembahyang fardhu termasuk sembahyang fardhu Jumaat iaitu ketika
i‘tidal rakaat akhir setelah membaca tahmid (zikir ketika i‘tidal) untuk menolak kecelakaan, bala
bencana atau bahaya yang menimpa umat Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak
penyakit atau bahaya yang diakibatkan oleh adanya permusuhan dari orang-orang
kafir dan lain-lain seumpamanya. Apabila bahaya yang mengancam itu telah
berakhir, maka berakhirlah pembacaan qunut Nazilah
itu.
Berkata Imam an-Nawawi:
يُشْرَعُ الْقُنُوتُ فِي سَائِرِ الْمَكْتُوبَاتِ
لِلنَّازِلَةِ
لاَ
مُطْلَقًا علَى الْمَشْهُوْرِ.انتهى
Ertinya: “(Mustahab) disunatkan membaca doa qunut di dalam tiap-tiap sembahyang
fardhu kerana ditimpa an-nazilah (malapetaka) bukan secara mutlak menurut pendapat
yang masyhur.”
(Minhaj Ath-Thalibin: 1/172)
Ketika menjelaskan kedudukan hukum doa qunut Nazilah di dalam sembahyang fardhu dan
apakah bentuk malapetaka itu, Imam An-Nawawi berkata:
مَذْهَبُ
الشَّافِعِى رَحِمَهُ اللهُ أَنَّ الْقُنُوْتَ مَسْنُوْنٌ فِى صَلاَةِ الصُّبْحِ
دَائِمًا، وَأَماَّ غَيْرِهَا فَلَهُ ثَلاَثَةُ أَقْوَالٍ، الصَّحِيْحُ
الْمَشْهُوْرُ أَنَّهُ إِنْ نَزَلَتْ نَازِلَةٌ
كَعَدُوٍّ وَقَحْطٍ وَوَبَاءٍ وَعَطَشٍ وَضَرَرٍ ظَاهِرٍ فِى
الْمُسْلِمِيْنَ وَنَحْوِ ذَلِكَ قَنَتُوا فِى جَمِيْعِ الصَّلَوَاتِ
الْمَكْتُوْبَةِ وَ إِلاَ فَلاَ. انتهى ملخصا
Ertinya: “Menurut mazhab Syafi‘e bahawasanya doa qunut itu sunat (dilakukan) di
dalam sembahyang fardhu Subuh secara berkekalan. Adapun selain daripada
sembahyang Subuh, maka ada tiga pendapat mengenainya. Pendapat yang shahih lagi
masyhur ialah bahawasanya jika berlaku malapetaka seperti (bahaya) musuh, kemarau, wabak penyakit,
kehausan, bahaya yang jelas berlaku ke atas umat Islam dan seumpamanya maka
(sunat) mereka membaca qunut Nazilah pada keseluruhan sembahyang fardhu dan
jika tidak maka tidaklah (disunatkan qunut tersebut).”
(Syarah Shahih Muslim:2/319)
Malapetaka atau bahaya yang menimpa orang-orang
Islam yang disunatkan membaca doa qunut Nazilah
pada setiap sembahyang fardhu itu sama ada berbentuk umum atau khusus dalam
erti umum. Berkata Al-Syaikh Sa‘id bin Muhammad bin Ba ‘Asyin pada menjelaskan
berhubung dengan malapetaka yang menimpa orang-orang Islam:
إِذاَ
نَزَلَتْ بِالْمُسْلِمِيْنَ العَامَّةُ كَقَحْطٍ وَخَوْفٍ مِنْ عَدُوٍّ وَجَرَادٍ
وَمَطَرٍ مُضِرٍّ بِنَحْوِ زَرْعٍ، وَالخْاَصَّة الَّتِى فِى مَعْنَى الْعَامَّةِ
كَأَسْرِ عَالِمٍ وَشُجَاعٍ لِتَضَرُّرِ الْمُسْلِمِيْنَ بِفَقْدِهِمَا.انتهى
ملخصا
Ertinya: “(Sunat membaca qunut Nazilah di dalam sembahyang fardhu) apabila
berlaku malapetaka yang umum iaitu seperti kemarau, ketakutan daripada pihak
musuh, (serangan) belalang, hujan yang memudaratkan (yang mendatangkan bahaya)
umpamanya ke atas tanaman dan malapetaka yang khusus yang dalam
makna umum seperti penawanan seorang
alim dan seorang yang gagah (pejuang Islam) kerana orang-orang Islam
akan mudharat (berada dalam keadaan bahaya) dengan kehilangan mereka itu.”
(Busyra Al-Karim: 1/175)
Qunut
Nazilah itu pula bukan hanya
disunatkan untuk dibaca oleh orang-orang Islam yang ditimpa malapetaka, bahkan
ia juga sunat dibaca oleh mereka yang tidak terlibat atau terkena malapetaka
itu iaitu untuk mendoakan saudara-saudara Islam mereka semoga terlepas dan
selamat daripada musibah dan bencana yang menimpa mereka itu. Hal ini ada
dijelaskan oleh as-Sayyid al-Bakari sebagaimana perkataan Bujairimi yang dinaqal beliau katanya:
فَيُسَنُّ لأَهْلِ نَاحِيَةٍ لَمْ تَنْزِلْ بِهِمْ فِعْلُ
ذَلِكَ لِمَنْ نَزَلَتْ بِهِ.
انتهى
Ertinya: “Maka disunatkan bagi penduduk suatu daerah yang tidak ditimpa ke atas
mereka suatu bencana melakukannya (membaca qunut Nazilah) untuk orang yang
ditimpa bencana.”
(Hasyiyah I‘anah ath-Thalibin:1/257)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah mempraktikkan pembacaan doa
qunut Nazilah di dalam sembahyang
fardhu Baginda. Hal ini jelas berlaku sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh
Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu
‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu àlaihi
wasallam apabila hendak mendoakan supaya ditimpakan kecelakaan ke atas
seseorang ataupun mendoakan kebaikan untuk seseorang Baginda membaca qunut
setelah bangun daripada ruku‘ sehingga terkadang Baginda berdoa setelah membaca
(سمع الله لمن حمده) dengan doa:
اللَّهُمَّ
رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ،
وَسَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ، وَعَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ. اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ
وَاجْعَلْهَا سِنِيْنَ كَسِنِى
يُوْسُفَ
Maksudnya: “Ya Allah! Ya Tuhan kami! BagiMu segala puji dan syukur. Ya Allah!
Selamatkan al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisyam dan ‘Aiyash bin Abi
Rabi‘ah. Ya Allah! Kuatkanlah tekananMu ke atas suku Mudhar jadikanlah
kesusahan mereka itu bertahun-tahun seperti tahun-tahun (yang dilalui) oleh
Nabi Yusuf (seperti terjadinya kemarau).”
Perbuatan
sedemikian itu juga dilakukan oleh Baginda apabila sahabat-sahabat Baginda yang
digelar al-Qurra’ (mereka ini mencari
kayu api pada waktu siang dan melakukan ibadah khususnya sembahyang pada waktu
malam) telah dibunuh di Bi’r Ma‘unah sebagaimana yang dinaqal oleh Ibnu Hajar di dalam kitabnya At-Tuhfah,katanya:
اَنَّهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو عَلَى قَاتِلِى أَصْحَابِهِ الْقُرَّاءِ بِبِئْرِ مَعُوْنَةٍ لِدَفْعِ تَمَرُّدِهِمْ. انتهى بحذف
Ertinya: “Bahawasanya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca qunut Nazilah
selama sebulan, berdoa (memohon ditimpakan kecelakaan) ke atas orang-orang yang
membunuh sahabat-sahabat Baginda al-Qurra’ di Bi’r Ma‘unah untuk menghindarkan
mereka itu daripada berbuat sewenang-wenangnya terhadap orang Islam.”
(Tuhfah al-Muhtaj:2/68)
Apabila orang-orang Islam pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dibunuh
oleh kabilah Bani Sulaim yang terdiri daripada kabilah Ri’al, Dzakwan dan
‘Ushaiyah, Baginda berdoa supaya
ditimpakan kecelakaan ke atas mereka sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh
Ibnu Abbas Radhiallhu ‘anhuma
katanya:
قَنَتَ
رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا فِى
الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ فِى دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ،
إِذَا قَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فِى الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ يَدْعُو
علَىَ اَحْيَاءٍ مِنْ بَنِى سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَيُؤَمِّنُ مَنْ
خَلْفَهُ
(رواه
داود باسناد حسن أو صحيح)
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca qunut Nazilah selama
sebulan terus-menerus pada tiap-tiap kali di belakang sembahyang Zohor, Asar,
Maghrib, Isya dan Subuh. Apabila Baginda membaca سمع الله لمن حمده pada rakaat akhir Baginda berdoa (supaya
ditimpakan kecelakaan) ke atas suku/puak daripada Bani Sulaim yang terdiri
daripada puak-puak Ri‘al, Dzakwan dan ‘Ushaiyah sementara makmum di belakang
Baginda mengaminkannya.”
(Hadis riwayat Abu Daud dengan isnad hasan atau shahih)
Pada zaman Saiyyidina Umar
al-Khattab Radiallahu ‘anhu pula
apabila berlaku pembunuhan orang-orang Islam oleh Ahli Kitab, maka Saiyidina
Umar membaca qunut Nazilah dan di
dalam qunut beliau itu beliau membaca (اللَّهُمَّ الْعَنْ كَفَرَةَ اَهْلِ الكِتَابِ) Ertinya: “Ya Allah!
Turunkan laknatMu ke atas orang-orang kafir Ahli Kitab”. Beliau
mengkhususkannya kepada kuffar Ahli Kitab. Akan tetapi pada zaman Imam
An-Nawawi Rahimahullah memilih bacaan
(اللَّهُمَّ الْعَنِ الكَفَرَةَ) Ertinya: “Ya Allah! Turunkan laknatMu ke atas
orang-orang kafir”, kerana dengan sendirinya termasuk Ahli Kitab dan selain
mereka daripada kalangan orang-orang kafir.
Apabila
kita memberi penuh perhatian terhadap peristiwa-peristiwa dan berbagai
pergolakan yang terjadi pada masa ini, apa yang nyata ialah umat Islam pada
hari ini sedang menghadapi berbagai tekanan dan penindasan oleh orang-orang
kafir. Nyawa orang-orang Palestine sangatlah murah bagi orang-orang Yahudi.
Hampir setiap hari ada saja berita pembunuhan orang-orang Palestine di tangan
Yahudi itu. Kezaliman mereka di bumi Palestine yang mereka rampas itu sudah di
peringkat bermaharajalela. Itu belum lagi mengambil kira kemusnahan harta benda
mereka.
Demikian juga halnya dengan orang-orang Islam
Chechnya. Orang-orang Islam di Kashmir pun tidak kurang menerima penindasan dan
kezaliman.
Ketika fatwa ini ditulis, Amerika dan sekutunya
sedang mengumpulkan berpuluh-puluh ribu bala tentera bahkan sudah melebihi
seratus ribu tenteranya di teluk untuk menyerang Iraq. Keadaan ini sangat
menakutkan. Menurut penganalisis politik, peperangan bila-bila sahaja akan
meletus. Amerika suatu kuasa besar yang sepatutnya menjadi pelindung tetapi
sebaliknya telah dan akan bertindak menghancurkan Iraq tanpa sebab-sebab yang
wajar kecuali hanya pada pandangan Amerika. Menurut setengah pendapat sikap
Amerika ini hanyalah untuk menghancurkan umat Islam selain sebab-sebab untuk
mengaut kekayaan minyak Iraq. Paling malang lagi ada juga beberapa buah negara
Islam yang bersekongkol untuk menghancurkan Iraq.
Berdasarkan kepada ancaman bahaya musuh terhadap
Iraq, keadaan sekarang yang sangat menakutkan, dan keadaan peperangan di
Chechnya, Palestine dan Kashmir, adalah munasabah supaya dibaca qunut Nazilah sebagaimana yang pernah
diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam.
Qunut Nazilah
sebagaimana yang warid daripada Sayyidina Umar Al-Khattab ialah:
اللَّهُمَّ
اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ،
وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ، وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ، وَانْصُرْهُمْ عَلَى
عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ.
اللَّهُمَّ
الْعَنْ كَفَرَةَ أَهْلِ الْكِتَابِ (انتوق كسسواين بوله داوبه منجادي: اللَّهُمَّ
الْعَنِ الْكَفَرَةَ) الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِكَ، وَيُكَذِّبُونَ
رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُونَ أَوْلِيَاءَك.
اللَّهُمَّ
خَالِفْ بَيْنَ كَلِمَتِهِمْ ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَأَنْزِلْ بِهِمْ
بَأْسَكَ الَّذِى لاَ تَرُدُّهُ عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِيْنَ، بِسْمِ الله
الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ، اللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ
وَنُثْنِى عَلَيْكَ وَلاَ نَكْفُرُك، وَنَخْلَعُ وَنَتْرُكُ مَنْ يَفْجُرُكَ،
اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُدُ وَلَك نُصَلِّي وَنَسْجُدُ، وَإِلَيْك نَسْعَى
وَنَحْفِدُ، وَنَخْشَى عَذَابَكَ
وَنَرْجُو رَحْمَتَكَ، إنَّ عَذَابَكَ الْجِدَّ بِالْكُفَّارِ مُلْحِق.ٌ
Adapun
berhubung dengan teks doa khusus yang disediakan oleh jabatan berkenaan untuk
dibacakan setiap kali selesai menunaikan sembahyang fardhu elok juga
diteruskan.
وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
[PEHIN DATU
SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIAUSTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.
Masyallah
ReplyDeleteMasyallah
ReplyDeleteBoleh x baca doa qunut nazilah ni selain waktu i'tidal? Contohnya baca lps wirid solat.
ReplyDelete