MELEWATKAN SEMBAHYANG ZHUHUR DARI AWAL WAKTU KEPADA AKHIR
WAKTUNYA.
Soalan:
Seorang hendak
melewatkan sembahyang Zhuhur dari awal waktunya kepada akhir waktunya kerana
hendak mengerjakan sembahyang Asar, Maghrib dan Isya’ dengan wudhu sembahyang
Zhuhur itu. Maka adakah boleh dan harus
ia berbuat demikian itu?
Jawapan:
الحمد لله اللهم صل على سيدنا محمد واله وصحبه وسلم
1. Wajib di atas
orang, mukallaf mengerjakan sembahyang fardhu yang lima itu dari awal
waktu serta harus baginya undurkan dari awal waktu itu sehingga tiada tinggal
lagi dari waktu sembahyang itu melainkan sekadar sempat mengerjakan sembahyang
itu maka ketika itu wajib ia kerjakan sembahyang itu dengan tiada boleh dan
tiada harus ditangguhkan atau diundurkan lagi.
2. Apabila telah masuk waktu mana-mana
dari sembahyang yang lima itu wajiblah di atas orang mukallaf itu membuat salah satu dari dua perkara iaitu menunaikan
sembahyang itu atau berazam dan berqasad
akan menunaikan sembahyang itu di dalam waktunya, dan jika ia tiada tunaikan
sembahyang itu dan tiada pula ia berazam dan berqasadkan pada mengerjakan sembahyang itu di dalam waktunya. Maka ia telah membuat dosa dan jika ia telah
berazam hendak mengerjakan sembahyang itu di dalam waktunya, dan tiada pula ia
kerjakan sembahyang itu dan ia mati pada hal waktu sembahyang itu ada luas, maka tiadalah ia berdosa, sebab sembahyang
itu ada mempunyai waktu yang tertentu atau terhad dan jika ia melewati waktu
yang terhad itu dengan tiada mengerjakan sembahyang itu nescaya ia berdosa.
3. Harus bagi orang mukallaf itu melewatkan sembahyang Zhuhur dari awal waktu, kerana
sembahyang Zhuhur itu ada mempunyai suatu waktu yang terhad dan harus baginya
mengerjakan sembahyang Zhuhur itu bila-bila masa dari waktu yang terhad bagi Zhuhur
itu dan wajiblah ia berazam atau berqasad mengerjakan Zhuhur itu di
dalam waktunya pada awal waktu Zhuhur itu.
4. Harus bagi orang mukallaf itu sembahyang beberapa sembahyang dari fardhu yang lima
itu dengan satu wudhu selagi wudhunya itu belum batal atau belum ia berhadas
kerana satu dari syarat-syarat sembahyang itu bahawa orang yang sembahyang itu
hendaklah ada dalam keadaan bersuci dari hadas kecil dan besar.
5. Dan lagi wajib di atas seseorang itu
ketika ia baligh bahawa ia berazam pada mengerjakan segala perkara yang
wajib. Dan ia berazam pada meninggalkan
segala maksiat dan dosa dan jika ia tiada berazam di atas yang demikian,
nescaya ia berdosa. Barangsiapa luput
pada berbuat yang demikian maka sah ia berbuat dan berazam akan yang demikian
kemudian, sebagaimana telah berlaku pada kebanyakkan orang.
Inilah kaola petik dari kitab حاشية الباجورى
dan حاشية الجمل
dan شرح الروض.
والله أعلم
[YDM. PEHIN
DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL
BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti
Kerajaan,
Negara
Brunei Darussalam
|
Pejabat
Mufti, Brunei
|
Mufti
Kerajaan Brunei
|
No comments:
Post a Comment