|
بسم
الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
Sembahyang fardhu lima waktu sehari semalam wajib dikerjakan. Ganjaran
dan fadhilatnya adalah amat besar sekali. Demikian juga sebaliknya, meninggalkan
sembahyang itu akan dibalas dan dihukum dengan hukuman yang sangat berat.
Sembahyang itu adalah merupakan tiang agama. Sembahyang juga merupakan
kepala bagi segala pendekatan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan
awal permulaan bagi ketaatan hamba terhadap Tuhannya.
Banyak terdapat di dalam Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam yang menyatakan hikmat dan kelebihan sembahyang lima waktu
itu. Sepertimana juga banyak peringatan yang mengancam tentang sesiapa yang
leka atau lalai mengerjakan sembahyang, lebih-lebih lagi yang meninggalkannya.
Kelebihan dan hikmat mendirikan sembahyang itu di antaranya ialah:
i. Dapat
menghindarkan diri seseorang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
ii. Boleh
menghapuskan dosa, sebagaimana air menghilangkan kotoran.
iii. Sesiapa
menjaga sembahyang lima waktu dengan sempurna thaharahnya dan menjaga
waktu-waktu sembahyang, maka baginya cahaya dan kejayaan pada Hari Qiamat
kelak. Tetapi jika sebaliknya nescaya berhimpunlah dia pada Hari Qiamat bersama-sama
Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf.
iv. Sembahyang
adalah merupakan kunci syurga.
v. Allah Subhanahu
wa Ta‘ala berjanji untuk memasukkan ke syurga terhadap hambaNya yang
mengerjakan sembahyang lima waktu yang tidak melalaikan atau meringan-ringankannya.
Sementara orang yang meninggalkannya pula adalah berdosa besar serta
mendapat balasan dan hukuman yang sangat berat, sebagaimana firman Allah Subhanahu
wa Ta‘ala:
مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ ○ قَالُواْ لَمْ
نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ
(سورة المدثر: 42-43)
Tafsirnya: (Setelah
melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang
menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab:
“Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”
(Surah Al-Muddatstsir: 42-43)
Bagi orang yang lalai pula Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ ○ الَّذِينَ هُمْ
عَن صَلاَتِهِمْ سَاهُونَ
(سورة الماعون: 4-5)
Tafsirnya: “(kalau
orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama),
maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang
berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”
(Surah Al-Ma‘un: 4-5)
Oleh yang demikian, janganlah sekali-kali diabaikan kewajipan
sembahyang itu. Kerana ia merupakan unsur asas kekukuhan agama, apabila hilang
unsur asas ini nescaya akan binasalah agama.
Tuntutan menunaikan sembahyang itu adalah berterusan selama mana akal
fikiran sedar dan waras sekalipun dalam keadaan sakit, tidak ada kelonggaran
untuk meninggalkannya. Maka berhubung dengan perkara ini, persoalan yang ingin
kita jelaskan di sini ialah bagaimana cara orang sakit mengerjakan sembahyang.
Sembahyang Orang Sakit
Orang yang sakit tidak terlepas daripada tuntutan wajib sembahyang
fardhu. Dia tetap dituntut
mengerjakannya dengan apa jua yang terdaya olehnya tanpa meninggalkan sebarang
rukun fi‘li sembahyang kecuali dalam keuzuran. Mengenai gambaran keuzuran
itu akan dijelaskan berikut ini.
Tidak Berdaya Untuk Berdiri
Berdiri dalam sembahyang fardhu itu adalah salah satu rukun sembahyang
yang mesti dilakukan. Akan tetapi jika seorang mukallaf itu tidak berdaya untuk
berdiri maka haruslah dia bersembahyang duduk. Manakala yang tidak berdaya
duduk dan berdiri maka haruslah dia bersembahyang secara baring. Sebagaimana
sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
صَلِّ قَائِمًا فَإِن لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِن
لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
(رواه البخارى)
Maksudnya: “Sembahyanglah
dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika
engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang
merusuk).”
(Hadis riwayat Bukhari)
Apabila seseorang mukallaf itu tidak berdaya sembahyang berdiri
disebabkan keuzuran yang bersangatan, seperti mengalami masyaqqah
(kesukaran), takut menambahkan lagi kesakitan jika dia berdiri, takut tenggelam
apabila berdiri di atas perahu, takut jatuh kerana pening kepala atau
seumpamanya, maka haruslah dia bersembahyang duduk, sebagaimana sabda
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas.
Orang sakit yang tidak berdaya sembahyang berdiri itu tidak perlu lagi
mengulangi semula sembahyang tersebut sesudah hilang keuzuran dan masyaqqahnya
selepas itu. Mengenai pahala bagi orang sakit itu tidaklah berkurangan, bahkan
sama saja pahalanya jika dia sembahyang berdiri. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ
مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيْمًا صَحِيْحًا
(رواه البخارى)
Maksudnya: “Apabila
seseorang itu sakit atau musafir, maka ditulis baginya (pahala) sama seperti
apa yang dikerjakannya sewaktu bermuqim dan semasa sehat.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Sembahyang Sunat Tanpa Berdiri
Namun dalam soal berdiri ini, para fuqaha tidak berselisih pendapat
mengenai keharusan sembahyang sunat dilakukan dalam keadaan duduk, walaupun
orang itu berdaya untuk berdiri. Walaupun begitu sembahyang sunat dengan
berdiri itu adalah lebih afdhal dan mendapat pahala yang besar berbanding
dengan sembahyang duduk atau berbaring. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam:
مَنْ
صَلَّى قَائِمًا فَهُوَ أَفْضَلُ وَمَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ
الْقَائِمِ وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ
(رواه البخارى)
Maksudnya: “Sesiapa
yang sembahyang berdiri, maka itulah yang lebih utama. Dan sesiapa yang sembahyang
duduk, maka baginya separuh pahala daripada pahala sembahyang berdiri. Dan
sesiapa yang sembahyang tidur (berbaring merusuk), maka baginya separuh pahala
daripada sembahyang duduk.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Cara Sembahyang Duduk
Keadaan dan cara duduk bagi orang yang tidak berdaya berdiri dalam
sembahyang fardhu atau berdaya untuk berdiri dalam sembahyang sunat tetapi
melakukannya dengan duduk, tidaklah ditentukan cara dan keadaan duduknya itu.
Bahkan adalah memadai dengan kesemua cara dan keadaan duduk itu, akan tetapi
makruh dengan duduk iq‘a (bertinggung).
Manakala duduk bagi menggantikan berdiri:
Ð Mengikut qaul yang ashah adalah
afdhal duduk dengan keadaan iftirasy (seperti duduk ketika tahiyyah
awal) kerana duduk iftirasy itu adalah salah satu duduk ibadat, maka
ianya lebih awla (utama).
Ð Sementara qaul yang kedua, afdhal
duduk dalam keadaan mutarabbi‘an (duduk bersila). Cara sedemikian ini
ialah bagi menggantikan cara sembahyang berdiri, oleh yang demikian hendaklah
dibezakan duduk menggantikan berdiri itu daripada duduk-duduk yang lainnya
iaitu duduk dengan bersila.
Adapun cara duduk ketika hendak melakukan tahiyyah awal, tahiyyah akhir
dan duduk antara dua sujud dalam sembahyang duduk, adalah afdhal dan sunat
dilakukan dengan duduk yang sama sebagaimana sembahyang orang sihat. Iaitu
duduk tawarruk bagi tahiyyah akhir dan duduk iftirasy bagi duduk
antara dua sujud dan tahiyyah awal.
Cara Rukuk Dan Sujud Dalam Sembahyang Duduk
Rukuk dan sujud merupakan salah satu daripada rukun sembahyang,
sebagimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
ارْكَعُواْ وَاسْجُدُواْ
(سورة الحج:
77)
Tafsirnya: “Rukuklah
kamu dan sujudlah kamu.”
(Surah Al-Hajj: 77)
Adapun cara rukuk orang yang bersembahyang duduk, ialah
sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sedikit bersetentangan dengan
kedua-dua lututnya. Manakala cara yang sempurna adalah dengan membongkokkan
badan melebihi daripada kadar di atas hingga berbetulan ke tempat sujud. Dan
cara sujudnya pula sama seperti sujud biasa.
Apabila orang yang bersembahyang duduk itu tidak berdaya juga melakukan
rukuk dan sujud dalam keadaan duduk seperti cara-cara yang dijelaskan di atas,
maka hendaklah dia berbuat yang terdaya olehnya dengan cara membongkok seberapa
yang boleh. Tetapi hendaklah sujudnya itu lebih rendah daripada rukuknya bagi
membezakan antara sujud dan rukuk, dan melakukannya wajib bagi mereka yang
mampu membezakannya.
Jika orang yang bersembahyang duduk itu tidak berdaya juga untuk
melakukan rukuk dan sujud dengan seberapa yang boleh, maka dia hendaklah
melakukan rukuk dan sujud tersebut dalam keadaan duduk itu secara isyarat. (Majmuk: 4/201-203) Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُواْ مِنْهُ مَا
اسْتَطَعْتُمْ
(رواه البخارى)
Maksudnya: “Dan
jika aku memerintahkan kamu untuk mengerjakan sesuatu, maka kerjakanlah ia
dengan apa yang kamu terdaya.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Demikianlah cara dan keadaan bagi mereka yang melakukan sembahyang
duduk disebabkan ada keuzuran yang bersangatan untuk berdiri.
Tidak Berdaya Untuk Rukuk Dan Sujud
Apabila seseorang itu tidak berdaya melakukan rukuk dan sujud kerana
ada keuzuran yang bersangatan, tetapi dia berdaya untuk berdiri dan duduk, maka
dalam keadaan ini wajiblah dia bersembahyang dalam keadaan berdiri dan tidak
sah jika dia bersembahyang dalam keadaan duduk.
Cara rukuk dan sujud bagi orang yang tidak berdaya melakukannya,
hendaklah dalam keadaan dia rukuk, dia membongkokkan badannya sekadar yang
terdaya. Sementara ketika sujud, maka cara sujudnya adalah dalam keadaan
badannya membongkok dengan kedudukan lebih rendah daripada rukuknya, bagi
membezakan kedua-duanya.
Jika dia terdaya untuk melakukan rukuk, tetapi tidak terdaya untuk
sujud, maka dalam hal ini tertakluk pada tiga keadaan dan ianya serupa dengan
keadaan rukuk dan sujud dalam sembahyang duduk:
Ð Apabila dia terdaya untuk melakukan
sekurang-kurang kadar had rukuk dan tidak pula melebihi daripada kadar itu,
maka bolehlah dia melakukan perbuatan yang serupa bagi rukuk dan sujud dengan
membongkokkan badan dengan kadar yang dia terdaya itu (kadar had
sekurang-kurang rukuk).
Ð Adapun jika dia terdaya untuk melakukan kadar
had rukuk yang sempurna dan tidak melebihi daripada kadar itu, maka bolehlah
juga dia melakukan perbuatan yang serupa bagi rukuk dan sujud dengan
membongkokkan badan dengan kadar yang dia terdaya itu (kadar had sempurna
rukuk). Akan tetapi janganlah dia melakukan rukuk itu kurang daripada kadar had
sempurna rukuk sedangkan dia terdaya untuk melakukannya, supaya tidak
menghilangkan perbuatan yang sunat bagi rukuk (kadar had sempurna rukuk).
Ð Jika dia terdaya untuk melakukan rukuk dengan
melebihi kadar had sempurna rukuk, maka hendaklah dia melakukan rukuk dengan
tidak melebihi kadar had sempurna itu. Manakala sujudnya pula hendaklah
melebihi daripada kadar had sempurna rukuk itu. Ini kerana membezakan antara
kedua-dua perbuatan tersebut (membongkok kerana rukuk dan membongkok kerana
sujud).
Adapun bagi orang yang tidak berdaya untuk membongkokkan badannya bagi
menggantikan perbuatan rukuk dan sujud, maka hendaklah dia melakukannya dengan
menundukkan leher dan kepala. Jika tidak termampu juga dengan demikian itu maka
hendaklah melakukannya dengan isyarat. (Hasyiyatan
Qalyubi ‘Umairah: 1/165, Majmuk: 4/204)
Tidak Berdaya Untuk Berdiri Dan Duduk
Dalam keadaan masyaqqah dan keuzuran yang menyebabkan seseorang
itu tidak dapat mengerjakan sembahyang dengan berdiri dan duduk, maka harus
baginya mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring, iaitu disunatkan
berbaring pada rusuk sebelah kanan dan menghadapkan muka dan badannya ke arah
kiblat seperti keadaan mayat di liang lahad.
Adapun jika dia berbaring pada rusuk sebelah kiri, adalah makruh perbuatannya
itu selagi dia berdaya untuk berbaring pada rusuk sebelah kanan. Walau
bagaimanapun sembahyangnya dalam keadaan sedemikian adalah sah. Jika terdapat
keuzuran (tidak berdaya) sembahyang berbaring di sebelah rusuk kanan, maka
wajiblah dia berbaring di sebelah rusuk kiri dengan menghadapkan muka dan
badannya ke arah kiblat.
Jikalau menjadi kesukaran juga dalam melakukan kedua-dua keadaan ini,
maka haruslah dia mengerjakan sembahyang baring secara menelentang dengan
menghadapkan muka serta telapak kakinya ke arah kiblat. Bagi orang yang
sembahyang dalam keadaan ini, hendaklah diletakkan sesuatu di bawah kepalanya
seperti bantal supaya dapat meninggikan mukanya bagi menghadap kiblat bukannya
menghadap ke arah langit. (I‘anah
At-Thalibin: 1/160-161, Hasyiyatan Qalyubi ‘Umairah: 1/166)
Orang sakit yang tidak berdaya untuk menghadap kiblat seperti orang
yang lumpuh anggota badan yang terlentang di atas katil sedangkan ianya tidak
menghala ke arah kiblat. Jika tiada ada orang yang dapat menolong untuk memalingkannya
agar dapat menghadap kiblat sama ada orang tersebut diupah atau sebagainya,
maka haruslah dia bersembahyang dalam keadaannya itu walaupun tidak menghadap
kiblat. Akan tetapi diwajibkan baginya untuk mengulangi sembahyang tersebut. (Majmuk: 3/223)
Cara-Cara Isyarat Dalam Sembahyang
Orang yang tidak berdaya untuk mengerjakan sembahyang dalam keadaan
berdiri, duduk, rukuk dan sujud atau kesemuanya dan tidak berdaya untuk
melakukannya dengan kadar yang terdaya, maka dia harus melakukannya dengan menggunakan
isyarat. Akan tetapi dengan apakah isyarat itu dilakukan?
Apabila seseorang itu berhajat kepada isyarat “ ima’ ” (tunduk
sama ada bagi rukuk ataupun sujud), maka wajiblah dia berisyarat dengan kepala.
Jika tidak berdaya melakukan isyarat dengan kepala, maka hendaklah dengan mata.
Jika tidak terdaya juga, maka hendaklah dengan hati. Lama mana orang itu masih
berakal nescaya kewajipan sembahyang masih tetap dituntut ke atasnya. (Majmuk: 4/207, Hasyiyatan Qalyubi ‘Umairah: 1/166)
Cara Dan Keadaan Sembahyang Bagi Keuzuran Yang Seketika
Kadang-kadang keuzuran itu hanya berlaku seketika sahaja. Contohnya
orang sakit yang tidak bedaya untuk berdiri lalu dia mengerjakan sembahyang
secara duduk, setelah berlalu seketika, kesakitan yang menyebabkan dia tidak
boleh berdiri itu telah pun pulih semula dalam waktunya sembahyang, maka dalam
hal ini hendaklah dia berdiri. Begitulah juga jika dia sembahyang berbaring
lalu dia berdaya untuk sembahyang berdiri atau untuk sembahyang duduk, maka
hendaklah dia berdiri atau duduk. Tetapi jika dia berdaya kedua-duanya iaitu
berdiri dan duduk, maka hendaklah dia berdiri.
Jika dia mengerjakan sembahyang dengan berdiri lalu dalam sembahyangnya
itu dia mendapat keuzuran untuk berdiri, maka haruslah dia sembahyang duduk.
Begitulah juga jika dia bersembahyang duduk lalu dalam sembahyangnya itu dia
tidak berdaya untuk duduk dan berdiri, maka haruslah dia sembahyang berbaring
secara merusuk sebelah kanan seperti mayat berbaring di liang lahat.
Sebagaimana penjelasan di atas, apabila datang atau hilang keuzuran
seseorang itu pada melakukan rukun fi‘li dalam waktu
sembahyangnya, maka wajiblah dia mengubah atau beredar kepada yang
terdaya olehnya. Untuk melaksanakan cara-caranya tertakluk kepada beberapa
keadaan:
1.
Dalam
keadaan seseorang yang sihat melakukan rukun fi‘li sembahyang, tiba-tiba
terjadi ke atasnya keuzuran ketika dalam membaca sebahagian surah Al-Fatihah,
maka dalam hal ini harus dia melakukan daripada keadaan yang dia tidak upaya
kepada yang terdaya olehnya ketika dia membaca surah Al-Fatihah itu. Seperti
ketika dia membaca surah Al-Fatihah dalam keadaan berdiri lalu disebabkan sakit
dia pun terus duduk atau pun ketika itu dia bersembahyang duduk lalu disebabkan
sakit terus dia berbaring, maka wajiblah dia meneruskan bacaan Al-Fatihahnya
dalam waktu dia bergerak itu.
2.
Sebaliknya
dalam keadaan seseorang yang ada keuzuran, apabila dia mengerjakan sembahyang
dengan duduk atau berbaring, tiba-tiba sembuh atau hilang keuzurannya itu
ketika membaca sebahagian surah Al-Fatihah, maka dalam hal ini hendaklah dia
terus bergerak ke kedudukan yang ia terdaya, iaitu jika dia bersembahyang duduk
lalu berdaya untuk berdiri, maka hendaklah dia berdiri terlebih dahulu
baharulah membaca baki surah Al-Fatihah yang belum selesai itu. Jika dia
membacanya dalam keadaan pergerakannya untuk bangkit, maka tidak dikira
bacaannya itu.
Apabila seseorang itu membaca surah
Al-Fatihah dalam keadaan dia bersembahyang duduk atau baring lalu hilang
keuzurannya itu selepas membaca surah tersebut dan sebelum dia melakukan rukuk,
lalu dia berdaya untuk berdiri, maka hendaklah dia berdiri terlebih dahulu
kemudian baharulah melakukan rukuk. Disunatkan sebelum dia melakukan rukuk itu,
mengulangi bacaan surah Al-Fatihah itu sekali lagi.
Jika seseorang itu bersembahyang duduk lalu
hilang keuzurannya ketika dia melakukan rukuk dalam keadaan duduk, dan
hilangnya itu sebelum thuma’ninah (berhenti sekejap). Maka dalam hal
ini, dia terus berdiri dalam keadaan rukuk dan jangan berdiri tegak. Adalah
batal sembahyangnya jika dia berdiri tegak terlebih dahulu kemudian baharu dia
melakukan rukuk. Ini kerana jika dia berdiri tegak terlebih dahulu, nescaya dia
menambah rukun fi‘li sembahyang iaitu berdiri.
Manakala jika hilang keuzurannya itu selepas thuma’ninah,
maka sempurnalah sudah rukuknya dan wajib pula dia berdiri dalam keadaan i‘tidal
kemudian baharulah dia sujud (tanpa rukuk). Akan tetapi jika dia melakukan
sekali lagi rukuk, maka batal sembahyangnya. Kerana dia menambah lagi satu
rukun fi‘li sembahyang iaitu rukuk.
Adapun jika hilang keuzurannya itu sebelum
dia membaca surah Al-Fatihah, maka hendaklah dia bergerak terlebih dahulu ke
kedudukan yang dia terdaya iaitu jika dia bersembahyang duduk lalu berdaya
untuk berdiri, maka hendaklah dia berdiri terlebih dahulu kemudian baharulah
membaca surah Al-Fatihah. (Majmuk:
4/207-208)
Seseorang yang ada keuzuran untuk berdiri, tetapi dia tidak berdaya
untuk berdiri pada kadar yang lama. Iaitu dia hanya berdaya untuk berdiri
sekadar sempat untuk membaca surah Al-Fatihah sahaja dan jika dia membaca surah
lain selepas itu, nescaya dia tidak terdaya lagi untuk berdiri. Dalam hal yang
demikian, afdhal baginya membaca surah Al-Fatihah sahaja tanpa membaca surah
lain selepas Al-Fatihah itu. Ini kerana menjaga rukun sembahyang (berdiri) itu
adalah lebih utama. Adapun jika dia lemah untuk berdiri ketika dia sedang
membaca surah lain, maka harus dia duduk dan janganlah memutuskan bacaan surah
yang lain itu. (Majmuk: 4/204)
Dalam Sembahyang Berjemaah
Sekiranya seseorang itu mengerjakan sembahyang berjemaah dalam keadaan
berdiri dan sebahagiannya lagi dalam keadaan duduk kerana tidak berdaya untuk
berdiri terlalu lama, padahal dia berdaya untuk berdiri sepenuhnya jika dia
mengerjakan sembahyang bersendirian, maka afdhal dia mengerjakan sembahyang
bersendirian bagi menjaga rukun fi‘li sembahyang iaitu berdiri. Kerana
berdiri itu wajib dalam sembahyang sedangkan sembahyang berjemaah itu sunat,
maka lebih utamalah dia mengerjakan sembahyang bersendirian bagi menjaga rukun fi‘li
iaitu berdiri.
Walaupun demikian sekiranya dia mengerjakan sembahyang berjemaah juga
dalam keadaan berdiri dan sebahagiannya lagi dalam keadaan duduk kerana tidak
berdaya untuk berdiri terlalu lama, maka tiadalah batal sembahyangnya yang
demikian itu. (Majmuk: 4/203-204)
Imam Orang Yang Mendapat Keuzuran
Menurut pendapat Imam As-Syafie, harus bagi orang yang berdaya untuk
berdiri (orang yang tiada keuzuran pada membuat rukun fi‘li sembahyang)
berimamkan orang yang bersembahyang duduk. Begitu juga harus bagi orang yang
bersembahyang duduk berimamkan orang yang bersembahyang merusuk (seperti
kedudukan mayat di liang lahat). Dan orang yang berdaya melakukan rukuk dan
sujud berimamkan orang yang berisyarat pada melakukan rukuk dan sujud.
Sekalipun demikian, apabila orang yang sihat melakukan rukun-rukun fi‘li
itu mengikuti imam yang ada keuzuran dalam melakukan rukun-rukun tersebut, maka
tidak harus bagi makmum yang sihat itu menyamai perbuatan imam yang ada
keuzuran pada meninggalkan rukun fi‘li sembahyang seperti berdiri,
duduk, rukuk atau sujud. Sebagai contoh, imam yang bersembahyang duduk
disebabkan ada keuzuran dan makmum yang berdaya berdiri, tidak boleh duduk
sebagaimana imam tersebut duduk.
Keharusan ini
telah pun disebutkan dalam beberapa buah hadis, di antaranya hadis yang
diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:
لَمَّا
ثَقُلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ جَاءَ بِلاَلٌ يُؤْذِنُهُ
بِالصَّلاَةِ.
فَقَالَ:
مُرُوا أَبَا بَكْرٍ أَن يُصَلِّيَ بِالنَّاسِ.
فَقُلْتُ:
يَارَسُولَ اللهِ، إِنَّ أَبَا بَكْرٍ رَجُلٌ أَسِيفٌ، وَإِنَّهُ مَتَى مَا يَقُمْ
مَقَامَكَ لاَ يُسْمِعُ النَّاسَ، فَلَوْ أَمَرْتَ عُمَرَ.
فَقَالَ:
مُرُوا أَبَا بَكْرٍ يُصَلِّي بِالنَّاسِ.
فَقُلْتُ
لِحَفْصَةَ: قُولِي لَهُ إِنَّ أَبَا بَكْرٍ رَجُلٌ أَسِيفٌ، وَإِنَّهُ مَتَى
يَقُمْ مَقَامَكَ لاَ يُسْمِعُ النَّاسَ، فَلَوْ أَمَرْتَ عُمَرَ.
قَالَ:
إِنَّكُنَّ لأَنْتُنَّ صَوَاحِبُ يُوسُفَ، مُرُوا أَبَا بَكْرٍ أَن يُصَلِّيَ
بِالنَّاسِ.
فَلَمَّا
دَخَلَ فِى الصَّلاَةِ وَجَدَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ فِى
نَفْسِهِ خِفَّةً، فَقَامَ يُهَادَى بَينَ رَجُلَينِ وَرِجْلاَهُ تخُطَّانِ فِى
الأَرْضَ حَتَّى دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَلَمَّا سَمِعَ أَبُو بَكْرٍ حِسَّهُ ذَهَبَ
أَبُو بَكْرٍ يَتَأَخَّرُ، فَأَوْمَأَ إِلَيهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ
وَسَلَّمَ، فَجَاءَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ حَتَّى جَلَسَ
عَن يَسَارِ أَبِي بَكْرٍ، وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ يُصَلِّي قَائِمًا، وَكَانَ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي قَاعِدًا يَقْتَدِى أَبُو
بَكْرٍ بِصَلاَةِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ، وَالنَّاسُ
مُقْتَدُونَ بِصَلاَةِ أَبِى بَكْرٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ.
(رواه البخارى)
Maksudnya: “Ketika
sakit Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertambah berat, datang Bilal
untuk memberitahu Baginda untuk mengerjakan
sembahyang.
Maka Baginda bersabda: “Suruhlah Abu Bakar agar mengimami orang ramai.”
Saya (‘Aisyah) berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Bakar
adalah seorang lelaki yang penyedih dan jika dia berdiri mengambil tempatmu
(sembahyang), nescaya tidak akan terdengar oleh orang ramai. Kenapa engkau
tidak menyuruh ‘Umar saja?”
Baginda bersabda: “Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami sembahyang.”
Maka saya pun mengatakan kepada Hafshah agar dia mengatakan kepada
Baginda, kataku kepadanya: “Sesungguhnya Abu Bakar adalah seorang lelaki yang
penyedih dan jika dia berdiri mengambil tempatmu (sembahyang), nescaya tidak
akan terdengar oleh orang ramai, kenapa engkau tidak menyuruh ‘Umar saja?”
Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu adalah (macam) sahabat-sahabat
Yusuf. Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami sembahyang.”
Ketika (Abu Bakar) sudah masuk sembahyang, Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam merasakan dirinya pulih sedikit. Maka Baginda bangun dengan
bantuan dua orang lelaki dan kaki Baginda mengheret ke tanah sehingga masuk ke
masjid. Ketika Abu Bakar mendengar bahawa Baginda datang, dia mencuba untuk
berundur tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi isyarat
kepadanya untuk tetap sembahyang. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
duduk di sebelah kiri Abu Bakar. Abu Bakar bersembahyang berdiri dan Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang duduk. Abu Bakar mengikuti
sembahyang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang ramai mengikuti
sembahyang Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Menurut pendapat Imam As-Syafie lagi, sunat dan afdhal bagi imam yang
tidak berdaya untuk berdiri meminta ganti (istikhlaf) kepada
makmum yang berkemampuan untuk berdiri.
(Majmuk: 4/161)
Penutup
Sebagaimana penjelasan di atas, bahawa sembahyang lima waktu adalah
kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Selagi seseorang itu berakal kewajipan
sembahyang tetap dituntut sekalipun dalam keuzuran atau masyaqqah atau
sakit, dikerjakannya juga mengikut keupayaannya.
Oleh yang demikian itu, kerjakanlah sembahyang fardhu lima waktu dengan
penuh keimanan dan ketaqwaan, kerana mengerjakannya adalah suatu kejayaan yang
besar. Manakala meninggalkannya pula adalah berdosa besar dan hukumannya amat
berat sehingga orang itu boleh dibunuh jika dia enggan mendirikan sembahyang
dan tidak mahu bertaubat. Di antara kelebihan sembahyang selain yang dinyatakan
terdahulu ialah sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
خَمْسُ
صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ
مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللهِ عَهْدٌ أَن
يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللهِ
عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ
(رواه أبو داود والنسائى ومالك وابن حبان)
Maksudnya: “Sembahyang
lima waktu itu telah diwajibkan Allah ke atas hambaNya, maka sesiapa
melaksanakannya, sedangkan dia tidak pernah mensia-siakan daripadanya sesuatu
pun kerana meringankan kewajiban itu, nescaya baginya di sisi Allah suatu perjanjian
untuk memasukkannya ke syurga. Dan sesiapa yang tidak melaksanakannya maka
tidak ada baginya di sisi Allah suatu perjanjian. Jika Dia mahu, di azabnya,
dan jika Dia mahu, di masukkannya ke syurga.”
(Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i, Malik dan Ibnu Hibban)
maaf bertanya..rukun solat adalah sesuatu yang wajib dipatuhi..jikalau tidak di ikuti maka tidak sah solat baginya..soalan saya..adakah sah jika orang sakit yang tidak mampu solat berdiri dan melalukan nya secara duduk atau sebagainya sedang kan rukun solat yang telah ditetap kan supaya berdiri ketika menunaikan solat..saya ingin tahun lebih mendalam
ReplyDeleteSalam ingin bertanya wajubkah solat jika sakit yg dalam dirinya tidak suci... seperti sentiasa mengalirkan darah,tiada kawalan kencing dan air besar.
ReplyDelete