SEMBAHYANG PEREMPUAN YANG BERISTIHADHAH
بِسْمِ
اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللهِ،
وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ وَوَالاَهُ
Pengertian Istihâdhah
Dari segi
bahasa, istihâdhah itu bererti: Darah yang sentiasa keluar dari
kemaluan perempuan selepas dari hari-hari haidhnya yang biasa.
Dari segi
syara‘ pula ia membawa erti: Pengaliran darah yang berlaku bukan pada waktu
biasa, berpunca daripada penyakit atau yang terbit dari urat yang dikenali
sebagai al-‘adzil.
Al-Barkawi
berkata: “Istihâdhah itu ialah darah - walau secara hukum - yang
keluar dari bahagian dalam kemaluan perempuan dan tidak keluar dari rahim”.
Ibnu ‘Abidin pula berpendapat: “Tanda darah istihâdhah itu ialah
bahawa ia tidak mempunyai bau sedangkan darah haidh pula mempunyai bau dan
mereka menamakan darah istihâdhah itu darah penyakit dan darah
haidh itu darah sihat”.
Wudhu’
Perempuan Yang Beristihâdhah
Jika perempuan
yang beristihâdhah mahu menunaikan sembahyang, terlebih dahulu
dia hendaklah mengambil berat tentang kebersihan dirinya sama ada dari hadats
mahupun dari najis. Dia hendaklah membasuh kemaluannya sebelum mengambil
wudhu’, kemudian menyumbatnya dengan kapas atau secarik kain untuk menahan
najis dari menitis keluar dan untuk mengurangkannya. Jika darahnya yang keluar
itu sedikit dan tertahan dengan hanya menyumbatnya, maka tidaklah perlu dengan
cara yang lain untuk menahannya.
Jika cara yang
demikian itu satu-satunya tidak dapat menahan darah dari menitis keluar, maka
hendaklah diikat kapas atau kain tadi dan dijadikan cawat. Caranya, dengan
mengikat kain atau seumpamanya di tengah-tengah kemaluan seperti mengikat
tali seluar, kemudian diambil sehelai kain yang lain yang berbelah
di hujungnya, lalu dimasukkan di celah-celah paha di antara kedua pipi
dubur (kelangkang) dan diikat kedua-dua hujung kain tadi, yang satu diikat di
depan pada pusat dan yang satu lagi diikat di belakang. Ikatan itu
hendaklah kuat dan kapas yang ada di atas kemaluan hendaklah melekat
dengan kuat pada kain tadi.
Para ulama
Syafi‘e berkata bahawa segala apa yang disebutkan sebelum ini daripada
perbuatan menyumbat dan mengikat cawat pada kemaluan itu hukumnya wajib
melainkan dalam dua keadaan sebagaimana pendapat imam Al-Rafi‘e: “Pertama, jika
perempuan itu merasa sakit dan darah yang terkumpul menyebabkannya terasa
panas. Kedua, jika perempuan itu berpuasa, maka hendaklah dia mengelakkan diri
daripada menyumbatkan sesuatu ke dalam kemaluannya pada waktu siang, akan
tetapi dia dibolehkan mengikat atau memasang cawat sahaja.”
Para ulama
Syafi‘e juga mengatakan bahawa wajib mendahulukan perbuatan mengikat dan
memasang cawat itu sebelum berwudhu’ dan hendaklah dia berwudhu’ sebaik sahaja
dia selesai mengikat tanpa berlengah-lengah.
Jika seorang
perempuan yang beristihâdhah telah mengikat dengan mengikut
cara-cara yang tersebut di atas, namun darah masih juga tetap keluar tetapi
hanya sedikit, maka wudhu’ dan sembahyangnya tidak batal dan dia boleh
bersembahyang sunat seberapa banyak yang dia suka.
Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda kepada seorang perempuan yang beristihâdhah:
فَإِذَا
أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِى الصَّلاَةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِى عَنْكِ
الدَّمَ وَصَلِّى
(رواه
الترمذى)
Maksudnya: “Maka apabila datang
(bermula) haidh itu, maka tinggalkanlah sembahyang dan apabila putus (haidh)
itu maka basuhlah darimu darah itu dan sembahyanglah.”
(Hadits
riwayat Tirmidzi)
Hadits ini
adalah dalil kepada semua yang disebutkan sebelum ini.
Adapun jika
darah yang keluar itu berpunca daripada kecuaiannya dalam mengikat atau
berpunca daripada tanggalnya pembalut kerana ikatannya yang longgar, lalu
bertambah-tambah banyak darah itu keluar, maka ini membatalkan wudhu’nya.
Sekiranya keadaan seperti ini berlaku semasa dia sedang bersembahyang, maka
batallah sembahyangnya. Sekiranya ia berlaku sesudah dia selesai mengerjakan
sembahyang fardhu, maka dia tidak boleh lagi bersembahyang sunat.
Dalam perkara
membaharui (mengulangi semula) perbuatan membasuh kemaluan, membalut dan
mengikatnya pada setiap kali dia hendak mengerjakan sembahyang fardhu, perlu
kepada pengamatan dan penelitian. Jika penyumbat itu lari dari tempatnya atau
hilang yang boleh meninggalkan kesan atau ada kesan darah di tepi-tepi
penyumbat, maka dia wajib memperbaharuinya. Ketentuan ini tiada perselisihan
pendapat di antara para ulama.
Imam
Al-Haramain dan lain-lainnya menyatakan persetujuan mereka dalam hal ini dengan
mengatakan bahawa darah yang ada itu banyak dan boleh dikurangkan dan
dihindari, maka wajib diperbaharui penyumbatnya.
Jika penyumbat
itu masih berada di tempatnya dan tidak nampak kesan-kesan darah padanya, dalam
hal ini ulama Al‑Khurasaniun mempunyai dua pendapat. Pendapat yang ashah
(lebih diterima) di sisi mereka ialah pendapat yang mengatakan wajib
membaharuinya sebagaimana dia wajib membaharui wudhu’.
Pendapat kedua
mengatakan bahawa tidak wajib membaharuinya kerana perbuatan menghilangkan
najis itu tidak akan bermakna dalam keadaan darah masih berterusan keluar, lain
halnya dalam perkara membaharui perbuatan bersuci dari hadas dalam keadaan
hadas masih berterusan. Jika hilang atau tanggal penyumbat itu, pada pendapat
mereka hilangnya itu tidak memberi kesan apa-apa, yang memberi kesan itu adalah
perbuatan membaharui penyumbat yang bernajis itu.
Imam
Al-Haramain membidas pendapat ini dengan mengatakan bahawa pendapat ini tidak
betul kerana tidak ada perbezaan di antara kedua masalah yang dihuraikan.
Berkata
Al-Baghawi dan Al-Rafi‘e: Perselisihan ini berlaku dalam keadaan apabila wudhu’
perempuan itu batal (seperti dia berkentut) sebelum dia menunaikan sembahyang
dan dia memerlukan kepada berwudhu’ lagi, maka wajib ke atasnya membaharui
wudhu’. Akan tetapi dalam perkara membaharui penyumbat, inilah yang menjadi
perselisihan di antara mereka.
Adapun jika
batal wudhu’nya itu disebabkan dia berkencing, maka wajib dia menukar penyumbat
dengan yang baru kerana najis yang ada itu jelas dapat dilihat. Ketetapan ini
tiada perselisihan di antara para ulama.
Sembahyang
Perempuan Yang Beristihâdhah
Dalam mazhab
Syafi‘e, seorang perempuan yang beristihâdhah tidak boleh bersembahyang
lebih dari satu sembahyang fardhu dengan sekali wudhu’, sama ada sembahyang
fardhu itu dikerjakannya tunai atau qadha’. Namun begitu dia diharuskan
mengerjakan sembahyang sunat seberapa banyak yang dia mahu dengan satu kali
wudhu’. Begitu juga dia diharuskan mengerjakan sembahyang sunat sebelum atau
selepas sembahyang fardhu dengan sekali wudhu’.
Dalil bagi
ketetapan ini ialah Hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu
‘anha, bahawa Fatimah binti Hubaisy Radhiallahu ‘anha telah beristihâdhah,
lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda perihalnya:
تَدَعُ الصَّلاَةَ
أَيَّامَ أَقْرَائِهَا الَّتِى كَانَتْ تَحِيضُ فِيهَا ثُمَّ تَغْتَسِلُ
وَتَتَوَضَّأُ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ وَتَصُومُ وَتُصَلِّى
(رواه
الترمذى)
Maksudnya: “Hendaklah dia
meninggalkan sembahyang pada hari-hari haidhnya yang dia datang haidh padanya,
kemudian dia mandi dan mengambil wudhu’ pada tiap kali hendak sembahyang, dan
dia berpuasa dan bersembahyang.”
(Hadits
riwayat Tirmidzi)
Dalam mazhab
Syafi‘e juga ada menyebut bahawa thahârah (bersuci) perempuan yang beristihâdhah
itu ialah dengan berwudhu’, dan tidak diwajibkan ke atasnya mandi pada setiap
kali dia hendak menunaikan sembahyang melainkan hanya sekali sahaja iaitu pada
masa terhenti haidhnya.
Dalil mereka
dalam perkara ini ialah bahawa asal bagi tiap sesuatu itu adalah tidak wajib,
maka tidaklah wajib mandi itu kecuali ada nash yang menyebutkan tentang
wajibnya, dan juga adalah tidak benar bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam menyuruh perempuan yang beristihâdhah itu mandi pada
setiap kali dia hendak menunaikan sembahyang melainkan hanya sekali sahaja. Ini
jelas sebagaimana sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam
hadits terdahulu.
Dalam
menentukan adakah terangkat hadas perempuan yang beristihâdhah
itu dengan wudhu’nya, para ulama telah berbeza pendapat. Di antara pendapat-pendapat
yang banyak itu, yang shahîh adalah pendapat yang
mengatakan bahawa tidak terangkat sesuatupun dari hadasnya, akan tetapi oleh
kerana darurat dia diharuskan bersembahyang dan lain-lainnya dalam keadaan
berhadats.
Cara berniat
bagi wudhu’ perempuan yang beristihâdhah itu juga terdapat
beberapa pendapat mengenainya. Pendapat yang ashah mengatakan
wajib dia berniat dengan niat mengharuskan sembahyang dan tidak wajib ke
atasnya berniat dengan niat mengangkat hadats.
Tidak sah
wudhu’ perempuan yang beristihâdhah yang ingin menunaikan
sembahyang fardhu, jika dia berwudhu’ sebelum masuk waktunya. Dalil mereka,
bahawa wudhu’ perempuan yang beristihâdhah itu adalah thahârah
kerana darurat, jadi tidaklah harus baginya untuk melakukan sesuatu sebelum
waktunya kerana ketiadaan darurat ketika itu.
Imam-imam
mazhab Syafi‘e mengatakan bahawa hendaklah disegerakan bersembahyang sebaik
sahaja selesai berwudhu’. Jika dilengah-lengahkan pula, terdapat empat pendapat
mengenainya. Pendapat yang shahîh mengatakan bahawa jika
dia melewatkannya kerana kesibukannya dengan satu sebab dari sebab-sebab yang
berkaitan dengan sembahyang seperti menutup aurat, azan, iqamat, berijtihad di
dalam menentukan kiblat, pergi ke masjid yang lebih besar, berusaha mencari
pendinding tempat dia bersembahyang, menunggu sembahyang berjemaah dan
sebagainya, maka harus dia melewatkannya. Sementara itu jika dia melewatkannya
tanpa sesuatu keuzuran, maka batallah wudhu’nya kerana dia telah melampaui
batas yang telah ditentukan.
Sebelum ini
telah dijelaskan bahawa jika seorang perempuan yang beristihâdhah
berwudhu’ untuk membuat sesuatu yang fardhu, dia diharuskan mengerjakan
sembahyang sunat seberapa banyak yang dia suka dan keharusan ini berkekalan
selama mana waktu sembahyang fardhu itu masih ada.
Dalam masalah
jika seorang perempuan yang beristihâdhah berwudhu’, kemudian
terhenti darahnya yang mendatangkan kesembuhan kepadanya dari penyakit dan
hilang istihâdhahnya, maka dalam hal ini perlu dilihat; jika
berlaku keadaan ini di luar sembahyang iaitu berlaku sesudah dia menunaikan
sembahyang, maka sembahyangnya dikira sah, akan tetapi batal wudhu’nya dan dia
tidak diharuskan bersembahyang sunat selepas itu. Jika berlaku sebelum dia
menunaikan sembahyang, maka batal wudhu’nya dan tidak harus baginya mengerjakan
sembahyang dan lain-lainya.
Adapun jika
terhenti darah istihâdhahnya ketika dia sedang sembahyang, dalam
hal ini terdapat dua pendapat. Pendapat yang shahîh di
antara keduanya ialah pendapat yang mengatakan batal sembahyangnya dan juga
wudhu’nya.
Semua hukum
yang disebutkan di atas adalah berkaitan dengan apabila terhentinya darah istihâdhah
yang membawa kepada sembuhnya perempuan yang beristihâdhah.
Manakala itu
jika perempuan yang beristihâdhah berwudhu’, kemudian terhenti darahnya
dan dia dapat menjangkakan terhentinya dan datangnya semula, atau tidak dapat
menjangkakannya akan tetapi diberitahu tentangnya oleh pakar yang boleh
dipercayai, maka dalam hal ini hendaklah diperhatikan:
(i) Jika
masa terhentinya itu dalam jangka masa yang singkat yang tidak menyempatinya
untuk berwudhu’ dan bersembahyang, maka hendaklah dia terus saja mengerjakan
sembahyang kerana terhentinya darah itu tidak mendatangkan kesan apa-apa
kepadanya dan lagi pada zahirnya darah itu akan keluar semula dalam masa yang
singkat yang tidak membolehkannya untuk menyempurnakan wudhu’ dan sembahyangnya
dalam keadaan suci daripada hadas.
Jika terhentinya berlarutan, tidak seperti biasanya atau bersalahan
dengan apa yang dikhabarkan kepadanya, maka batal wudhu’nya dan wajib dia
mengqadha sembahyang yang telah dikerjakannya.
(ii) Jika
masa terhentinya darah itu panjang, membolehkannya untuk berwudhu’ dan
sembahyang, maka wajib dia mengulangi wudhu’nya kerana kemampuannya untuk
berbuat demikian dengan sempurna.
Jika darah keluar semula, tidak seperti biasanya sebelum dia sempat
menghabiskan wudhu’nya, maka dalam perkara adakah dia wajib mengulangi
wudhu’nya atau tidak, terdapat dua pendapat. Pendapat yang ashah
di antara keduanya mengatakan bahawa tidak wajib dia mengulanginya. Jika
dia mula bersembahyang selepas terhenti darahnya dalam keadaan dia tidak
mengulangi wudhu’nya, kemudian darah keluar sebelum dia menghabiskan
sembahyangnya, maka wajib ke atasnya mengqadha sembahyangnya pada pendapat yang
ashah, kerana semasa dia mula bersembahyang, dia dalam keadaan ragu
sama ada wudhu’nya masih ada atau tidak dan merasa ragu sama ada sembahyangnya
sah atau tidak.
Adapun jika
terhenti darah perempuan yang beristihâdhah (semasa berwudhu’)
dalam keadaan dia tidak mengetahui adakah darahnya akan datang semula atau
tidak, dan pakar yang boleh dipercayai memberitahunya tentang hal tersebut,
maka dia disuruh berwudhu’ semula pada ketika itu juga, dan dia tidak harus
bersembahyang dengan wudhu’nya yang terdahulu kerana adalah diandaikan bahawa
terhentinya darah itu menandakan kesembuhannya dan pada asalnya terhentinya itu
adalah berpanjangan. Jika darahnya keluar semula sebelum dia selesai berwudhu’,
menurut pendapat yang ashah bahawa wudhu’nya sah dengan
keadaannya itu.
Hukum Yang
Berkaitan Dengan Orang Yang Sentiasa Keluar Air Kencing Dan Air Mazi
Hukum bagi
orang yang sentiasa mengalami keluar air kencing (air kencing menitis) dan bagi
orang yang sentiasa keluar air mazinya adalah sama dengan hukum yang telah
ditentukan kepada perempuan yang beristihâdhah dalam perkara
wajib membasuh najis, menutup kepala zakar, membalut dan mengikatnya dengan
kain, berwudhu’ pada setiap kali hendak menunaikan sembahyang fardhu dan
bersegera menunaikannya selepas berwudhu’, hukum apabila terhenti air kencing
atau air mazinya dan lain-lain lagi.
Semua perkara
yang telah disebutkan di atas adalah mengenai air kencing dan air mazi yang
sentiasa keluar yang menjadi kebiasaan kepada diri orang yang menghidapnya atau
yang berpunca daripada penyakit.
Adapun bagi
orang yang keluar air mazinya dengan sebab berlakunya sesuatu perkara seperti
dengan sebab dia melihat perempuan atau menciumnya, maka dalam hal ini hukumnya
adalah sama seperti hukum hadas-hadas yang lain dalam perkara wajib membasuhnya
dan berwudhu’ semasa hendak mengerjakan sembahyang kerana tidak ada masalah
baginya berbuat demikian. Sementara bagi orang yang terbuka rongga (saluran)
kencingnya atau saluran najisnya yang menyebabkan air kencingnya atau najisnya
atau kentutnya sentiasa keluar, hukumnya adalah sama dengan hukum yang
ditentukan kepada perempuan yang beristihâdhah. Ketentuan ini
disepakati oleh para ulama mazhab Syafi‘e.
Orang yang
menghidap penyakit air kencing menitis, jika dia sembahyang berdiri akan
mengalir keluar air kencingnya, sebaliknya jika dia duduk, air kencingnya akan
tertahan, menurut pendapat yang ashah hendaklah dia sembahyang
duduk sebagai cara untuk menjaga thahârahnya.
No comments:
Post a Comment