Saturday, May 9, 2015

SEMBAHYANG DHUHA



SEMBAHYANG DHUHA:
Mulakan Langkah Sekarang



(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Pernahkah kita terfikir bahawa dengan mengingati Allah itu akan mententeramkan jiwa, meredakan kesibukan dan melapangkan segala kesempitan? Ini telah dinyatakan sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:


Tafsirnya: Ketahuilah! Dengan Zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia”.
 (Surah  ar-Ra‘du:28)

Kembalilah menyegerakan diri kepada perkara-perkara yang mendekatkan diri kepadaNya, sesungguhnya ia adalah keutamaan segala yang utama. Memelihara yang wajib itu suatu kemestian; rebutlah pula peluang untuk mengerjakan amalan-amalan yang sunat. Sebagai permulaan, luangkan sedikit masa di waktu pagi dengan mengerjakan sembahyang Dhuha.

Sembahyang Dhuha sebagai Sembahyang Awwabin

Sembahyang Dhuha adalah termasuk dalam rangkuman sembahyang Awwabin. Imam Ibnu Hajar mentafsirkan Sembahyang Dhuha itu Sembahyang Awwabin. Secara takrif, Awwabin bererti orang-orang yang kembali semula kepada Allah dengan melakukan perkara-perkara keta‘atan dan meninggalkan urusan-urusan yang kosong daripada zikrullah. Dalam istilah yang lain ia juga disebut sebagai Sembahyang Ghaflah yang membawa maksud sembahyang yang dikerjakan ketika manusia pada kebiasaannya terleka atau lalai daripada mengingati Allah.

Justeru, jika sembahyang Dhuha itu mengandungi sifat-sifat sembahyang Awwabin, maka amat wajarlah ia dikerjakan selalu apatah lagi waktu mengerjakannya adalah waktu di mana manusia begitu sibuk dengan aktiviti dan kepentingan masing-masing. Lazimnya, segala kesibukkan tersebut mengakibat seseorang itu alpa dalam mengingati Allah. Fungsi sembahyang Dhuha dicerminkan melalui waktu mengerjakannya yang paling afdhal iaitu pada seperempat siang. Menurut ulama’, antara hikmah ia dikerjakan pada waktu tersebut ialah agar tidak ada waktu di siang hari yang akan sunyi daripada mengingati Allah. Seperempat yang pertama diisi dengan sembahyang Subuh, keduanya sembahyang Dhuha, ketiga sembahyang Zuhur dan keempat sembahyang Asar.


Hukum Sembahyang Dhuha

Sembahyang Dhuha hukumnya sunat yang sangat dianjurkan. Walau bagaimanapun, ia tidak sunat dikerjakan secara berjema’ah.

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:

أَوْصَانِي خَلِيْلِيْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثِ صِيَامٍ ثَلاَثَةِ أيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى وَأَنْ أُوْتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
)رواه البخارى والمسلم(

Maksudnya: “Kekasihku (Rasulullah) memberi wasiat (pesanan) kepadaku dengan mengerjakan puasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan sembahyang Dhuha dua raka‘at dan mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur”.
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu hadis daripada Ummu Hani’ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melazimkan sembahyang Dhuha pada setiap hari. Ini bagaimanapun tidaklah boleh dijadikan sandaran ibadat itu bukan termasuk dalam anjuran. Sebaliknya, seperti yang dikemukakan oleh Imam Nawawi Rahimahullah, perlakuan Rasulullah tersebut adalah atas dasar berjaga-jaga agar ia tidak dianggap suatu kefardhuan sebagaimana yang baginda lakukan ketika menyatakan kedudukan sembahyang Tarawih.

Fadhilat Sembahyang Dhuha

Anjuran untuk mengerjakan sembahyang Dhuha boleh diselami melalui hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam yang menjelaskan tentang fadhilat sembahyang ini. Antara hadis-hadis tersebut adalah seperti berikut:

1.    Daripada Abu Zar Radhiallahu ‘anhu yang berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ، فَكُلُّ تَسْبِيْحَةٍ صَدَقَةٌ ، وَكُلُّ تَحْمِيْدَةٍ صَدَقَةٌ ، وَكُلُّ تَهْلِيْلَةٍ صَدَقَةٌ ، وَكُلُّ تَكْبِيْرَةٍ صَدَقَةٌ ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوْفِ صَدَقَةٌ ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى
)رواه مسلم وأبو داود(

Maksudnya: “Setiap sendi di tubuhmu adalah merupakan sedekah. Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, dan setiap takbir itu adalah sedekah. Ajakan pada perkara kebajikan adalah sedekah, dan cegahan daripada kemungkaran adalah juga sedekah. Semua itu adalah memadai dengan hanya melakukan dua raka‘at sembahyang Dhuha”.
(Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

2.    Daripada Abu Buraidah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

فِي اْلإِنْسَانِ ثَلاَثُمِائَةٍ وَسِتُّونَ مَفْصِلاً ، فَعَلَيْهِ أَنْ يَتَصَدَّقَ عَنْ كُلِّ مَفْصِلٍ مِنْهُ بِصَدَقَةٍ ، قَالُوْا وَمَنْ يُطِيْقُ ذَلِكَ يَا نَبِيَّ اللهِ ؟ قَالَ : النُّخَاعَةُ فِي الْمَسْجِدِ تَدْفِنُهَا ، وَالشَّيْءَ تُنَحِّيْهِ عَنِ الطَّرِيْقِ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَرَكْعَتَا الضُّحَي تُجْزِئُكَ
                                                                     )رواه أحمد وأبو داود وابن حبان(

Maksudnya: “Dalam setiap tubuh manusia ada tiga ratus enam puluh sendi. Maka hendaklah dia bersedekah pada setiap sendi-sendinya itu”. Mereka berkata, “Siapakah yang berdaya melakukannya wahai Nabi Allah?” Rasulullah menjawab: “(Dengan) menimbus kahak yang berada di kawasan masjid dan (dengan) menjauhkan duri di jalanan. Jika kamu tidak menjumpai perkara itu, maka memadailah bersembahyang Dhuha dua raka‘at”.
(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban)

3.    Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

مَنْ حَافَظَ عَلَى شُفْعَةِ الضُّحَى غُفِرَ لَهُ ذُنُوبُهُ وِإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
)رواه الترمذى(

Maksudnya: “Barangsiapa melazimkan dua raka‘at sembahyang Dhuha, maka diampuni dosanya meskipun banyaknya seperti buih di lautan”.
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sanad (urutan perawi) hadis ini terkandung Nahhas bin Qahm. Menurut Imam al-Hafiz Abu al-‘Ula Muhammad Abdul Rahman bin Abdul Rahim pengarang kitab Tuhfah al-Ahwazi, Nahhas bin Qahm ini adalah dikenali sebagai seorang perawi hadis yang lemah.

Walau bagaimanapun, hadis seperti di atas boleh dipegang sekadar dalam menyatakan kelebihan sesuatu amalan. Ini dilakukan sendiri oleh para ulama’ termasuklah Imam an-Nawawi Rahimahullah. Hadis ini turut dihimpun oleh al-Imam al-Hafiz al-Munziri dalam kitabnya at-Targhib wa at-Tarhib dalam menyatakan kelebihan sembahyang Dhuha.

Sembahyang Dhuha menolak kepapaan, kunci pintu rezeki

Dalam satu hadis daripada Abu Zar Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Allah Tabaraka wa ta‘ala berfirman:

اِبْنَ آدَمَ ارْكَعْ لِي أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ أَكْفِكَ آخِرُهُ
)رواه أحمد وأبو داود والترمذى والنسائى(

Maksudnya: “Hai Anak Adam! Rukuklah untuk-Ku empat raka‘at di awal siang, nescaya Aku cukupkan (keperluan-keperluan) engkau sehingga ke akhirnya”.
(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Sumber rezeki adalah keperluan utama bagi setiap individu. Hakikatnya, tidak semua dapat mengecapi nikmat kepuasan rezeki yang mereka perolehi. Ia suatu realiti yang tidak dapat dijejaki dengan penjelasan yang mudah. Berapa ramai yang gigih berusaha tetapi amat sukar memperolehi hasil yang banyak. Betapa ramai pula yang memiliki kepintaran untuk menjawat pekerjaan yang baik tetapi akhirnya sentiasa merasa tidak puas dengan pendapatannya. Dalam masa yang sama kita juga dapat melihat orang-orang yang berada merasa gelisah diburu hutang piutang di keliling pinggang sedang yang miskin pula bahagia kerana secupak rezeki yang mereka nikmati.

Di sinilah tempatnya di mana faktor keberkatan rezeki itu sangat perlu diambil kira. Betapa tidak, wang nota seringgit waimapun sedikit akan dapat memenuhi keperluan tuan empunyanya jika ianya diberkati. Sebaliknya jumlah yang banyak belum tentu dapat memuaskan segala tuntutan jika ia hampa daripada nikmat keberkatan tersebut.

Sejauh mana keberkatan itu dapat dijana, ia berkait rapat dengan amal ibadat seseorang yang mendekatkan dirinya kepada redha Allah Subhanahu wa ta‘ala iaitu yang Maha Pemberi segala punca rezekinya. Hadis qudsi di atas menjelaskan sembahyang Dhuha itu adalah salah satu wadah menuju matlamat keberkatan tersebut. Allah Subhanahu wa ta‘ala menerangkan sesiapa yang mengamalkan sembahyang empat raka‘at di waktu pagi, nescaya akan dicukupi keperluannya sepanjang hari itu.

Inilah yang telah diambil berat oleh para salaf salih dahulu kala yang terkenal dengan sikap mereka yang ‘abid dan zuhud. Setiap kali mereka mempelajari anjuran-anjuran agama seumpama ini, mereka selalu menegakkannya dengan amalan yang berterusan. Mungkin oleh sebab itu rezeki mereka diberkati dan sentiasa mencukupi, walaupun sedikit. Selain dapat memenuhi keperluan-keperluan asasi, mereka masih mampu bersedekah dan membelanjakan harta mereka bagi menyebarkan syiar agama Islam. Ini banyak diceritakan dalam kisah-kisah agung pejuang Islam yang sangat mencintai agama mereka yang suci.

Lazimkanlah sembahyang Dhuha, mulakan langkah sekarang! Ia boleh merawat duka kesempitan walaupun tanpa terduga.

Waktu Mengerjakannya

Sembahyang Dhuha bermula ketika matahari naik pada kadar satu galah di waktu pagi dan berakhir dengan tergelincirnya matahari. Kadar satu galah itu ialah ketika matahari sedang naik kira-kira tujuh hasta pada pandangan mata. (Sila rujuk takwim hijriah yang dikeluarkan oleh inistitusi yang diiktiraf untuk menentukan waktu permulaan Dhuha yang tepat). Sebagaimana dijelaskan, waktu yang paling baik untuk mengerjakan sembahyang Dhuha ialah setelah berlalu seperempat siang iaitu ketika matahari meninggi dan hari menjadi panas. Ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

صَلاَةُ اْلأَوَّابِيْنَ إِذَا تَرْمَضُ اْلفِصَالُ
)رواه المسلم وأحمد والترمذى(

Maksudnya: “Sembahyang Awwabin (Dhuha) (waktunya) ialah ketika anak unta kepanasan”.
(Riwayat Muslim, Ahmad dan at-Tirmidzi)

Ungkapan yang disebutkan dalam hadis di atas ialah kiasan waktu di siang hari ketika suhu udara panas terik. Ini dijelaskan dalam Kitab Shahih Muslim bi Syarh an-Nawawi yang menyatakan jangka waktu itu digambarkan melalui kepanasan bumi di mana anak-anak unta mula tidak dapat duduk diam disebabkan pasir tempat mereka berpijak menjadi panas disimbahi cahaya matahari. Oleh itu, berdasarkan kandungan maksud hadis ini serta pendapat ulama’ yang menyatakan waktu yang afdhal ialah setelah berlalu seperempat siang, anggaran waktu mengerjakan sembahyang Dhuha yang terbaik mengikut kiraan tempatan ialah dalam lingkungan 9.30 hingga ke 10.00 pagi.

Sebagaimana ibadat sembahyang yang lain, sembahyang Dhuha juga afdhal dilakukan dalam masjid. Bagaimanapun, jika bertembung keutamaan melengahkan sembahyang Dhuha dengan fadhilat mengerjakannya dalam masjid, adalah lebih awla mendapatkan kelebihan waktu. Contohnya: Tidak mengapa melupakan kelebihan mengerjakannya dalam masjid jika kesempatan tidak mengizinkan untuk pergi ke masjid yang berdekatan, bahkan kerjakan ia di mana sahaja asalkan dapat dicapai waktunya yang afdhal. Begitu juga, tidak perlu menanti dalam masjid begitu lama sehingga tiba waktu afdhalnya sedang keperluan-keperluan lain juga menghendaki untuk dipenuhi. Kelebihan waktu adalah yang utama dari kelebihan tempat dalam hal ini.

Bilangan Raka‘at

Bilangan raka‘at yang paling sedikit ialah dua raka‘at. Bilangan yang sekadar sempurna (adna al-kamal) ialah empat raka‘at. Lebih sempurna daripada itu ialah enam raka‘at.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, bilangan raka‘at yang maksima bagi sembahyang Dhuha ialah dua belas raka‘at. Ini turut dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Ar-Raudhah, walaupun dalam kitab Al-Majmu‘ beliau mengatakan lapan adalah raka‘at terbanyak. Mengikut As-Sayyid Al-Bakri dalam kitabnya I‘anah at-Thalibin, pendapat Imam Ibnu Hajar itu adalah pendapatnya yang muktamad. Ketika menyatakan pendiriannya, Imam Ibnu Hajar bersandar kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar Radhiallahu ‘anhu walaupun ini menyebabkan kebanyakkan ulama’ tidak sehaluan dengannya kerana hadis tersebut tidak terkeluar daripada menerima kritikan. Imam Ibnu Hajar berpendapat bahawa berpegang kepada hadis yang sedemikian sifatnya adalah tidak mengapa dalam persoalan ini. Beliau juga berpendapat, lapan raka‘at ialah bilangan raka‘at yang paling afdhal dilakukan, tetapi bukannya had terbanyak sebagaimana yang dipegang oleh kebanyakkan ulama’ yang lain.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Zar Radhiallahu ‘anhu:

إِنْ صَلَّيْتَ الضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ تُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِيْنَ ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا أَرْبَعًا كُتِبَتْ مِنَ الْمُحْسِنِيْنَ ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا سِتًّا كُتِبَتْ مِنَ الْقَانِتِيْنَ ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا ثَمَانِيًا كُتِبَتْ مِنَ الْفَائِزِيْنَ ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا عَشْرًا لَمْ يُكْتَبْ لَكَ ذَلِكَ الْيَوْمَ ذَنْبٌ ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللهُ لَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ
)رواه البيهاقى(

Maksudnya: “Sesiapa mengerjakan sembahyang Dhuha dua raka‘at dia akan ditulis dari kalangan orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah. Sesiapa menunaikannya empat raka‘at dia akan ditulis dari kalangan orang-orang muhsinin (orang-orang yang sering melakukan kebaikan). Sesiapa menunaikannya enam raka‘at dia akan ditulis dari kalangan orang-orang yang ta’at mengerjakan ibadat. Sesiapa menunaikannya lapan raka‘at Allah akan menulisnya dari kalangan orang-orang yang berjaya. Sesiapa menunaikannya sepuluh raka‘at tidak ditulis baginya pada hari itu walau satu dosa sekalipun, dan sesiapa menunaikannya dua belas raka‘at Allah akan membina baginya sebuah rumah di syurga”.
(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Mengikut As-Sayyid Al-Bakri, sembahyang Dhuha tidak boleh dikerjakan lebih daripada bilangan raka‘atnya yang paling maksima. Jika ia dikerjakan lebih daripada bilangan raka‘at yang terbanyak itu dengan hanya sekali takbiratul ihram, sedang yang mengerjakannya itu tahu akan larangan tersebut, keseluruhan sembahyangnya adalah batal. Jika ia dikerjakan setiap dua atau empat raka‘at, cuma raka‘at-raka‘at terakhir yang melebihi had maksima sahaja tidak dikira sah. Sebaliknya, jika dia tidak mengetahui akan larangan itu, raka‘at yang selebihnya itu adalah termasuk dalam amalan yang diberi pahala sunat.  

Ketika mengerjakan sembahyang Dhuha lebih daripada dua raka‘at, yang afdhal dilakukan ialah memberi salam setiap dua raka‘at. Ini berdasarkan hadis Ummu Hani’ yang meriwayatkan:

صَلَّى سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِ رَكْعَاتٍ يُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ
)رواه البيهقى(

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang Dhuha lapan raka‘at dengan memberi salam setiap dua raka‘at”.
(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Sembahyang Dhuha juga harus dikerjakan sekaligus dengan hanya sekali takbiratul ihram dan sekali duduk tahiyat di raka‘at terakhir. Juga boleh dikerjakan dengan duduk bertahiyat, seperti tahiyat awal sembahyang fardhu atau sunat empat raka‘at, pada setiap dua, empat, enam raka‘at atau seterusnya.

Surah yang sunat dibaca

Mengikut Imam Ibnu Hajar, sunat membaca surah asy-Syams dan surah adh-Dhuha selepas surah al-Fatihah. Jika melebihi dari dua raka‘at, memadai dengan membaca surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas selepas itu. Manakala Syeikh Ar-Ramli pula menjelaskan lebih utama membaca surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas daripada surah-surah yang lain hatta pada dua raka‘at yang pertama.

Sebagai alternatif, adalah lebih awla menggabungkan surah-surah yang dianjurkan oleh ulama’-ulama’ di atas untuk mendapatkan kesemua fadhilat-fadhilatnya. Ini disarankan sendiri oleh penulis kitab I‘anah at-Thalibin sebagaimana anjurannya untuk membaca surah asy-Syams dan surah al-Kafirun pada raka‘at yang pertama selepas al-Fatihah, dan kemudian surah adh-Dhuha dan surah al-Ikhlas pada raka‘at kedua. Pada raka‘at yang seterusnya bolehlah dibaca surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas sahaja.

Perlu diingatkan, jika sembahyang dikerjakan empat raka‘at, tidak perlu membaca surah yang lain lagi mengiringi al-Fatihah selepas duduk tahiyat awal pada raka‘at yang kedua.

Bolehkah Sembahyang Dhuha diqadha’?

Menurut Syeikh Ar-Ramli, sunat mengqadha’ sembahyang Dhuha jika ia luput dari waktunya. Ini turut dijelaskan oleh Imam Nawawi yang mengatakan ia adalah sembahyang yang terikat dengan waktu. Apabila luput waktunya, sunat ia diqadha’ sebagaimana sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain. Ini juga berdasarkan hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada ’Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا
)رواه البخاري والمسلم(

Maksudnya: “Barangsiapa terlupa menunaikan sembahyang, maka hendaklah dia mengerjakannya apabila dia ingat”.
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Doa sembahyang Dhuha

Bagi menyempurnakan sembahyang Dhuha, terdapat beberapa doa yang boleh dijadikan amalan sebagaimana yang dianjurkan oleh ulama’. Antara doa’ tersebut adalah seperti berikut:

1. Do‘a ini disebutkan dalam Kitab I‘anah at-Thalibin oleh pengarangnya Abu Bakar bin Muhammad Shatta al-Dimyathi yang terkenal dengan gelaran as-Sayyid al-Bakri:

اللّهُمَّ إِنَّ الضَّحَاءَ ضَحَاؤُكَ ، وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ .

اللّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ ، وَإِنْ كَانَ فِي اْلأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ ، وَإِنْ كَانَ مُعْسِرًا فَيَسِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ ، بِحَقِّ ضَحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ ، آتِنِي مَا آتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ .

Ertinya: “Ya Allah! Bahawasanya waktu Dhuha itu ialah Dhuha-Mu, kecantikan itu ialah Kecantikan-Mu, keindahan itu ialah Keindahan-Mu, kekuatan itu ialah Kekuatan-Mu, kekuasaan itu ialah Kekuasaan-Mu, dan perlindungan itu ialah Perlindungan-Mu.

Ya Allah! Jika sekiranya rezekiku masih di langit, turunkanlah ia. Jika ia ada di perut bumi, keluarkanlah ia. Jika sukar, maka mudahkanlah ia. Jika ianya (daripada yang) haram, maka sucikanlah ia. Jika ia masih jauh, maka dekatkanlah ia dengan berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan-Mu. Berikanlah kepadaku sepertimana yang telah Engkau berikan pada hamba-hamba-Mu yang shalih”.

Juga boleh dijadikan amalan membaca doa ini sebanyak empat puluh atau seratus kali selepas doa di atas:

رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَارْحَمْنِيْ وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ

Ertinya: “Ya Allah! Ampunilah aku, rahmatilah hamba-Mu ini dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani”.

2) Do‘a ini pula dikumpulkan oleh Muhammad bin ‘Umar bin ‘Ali Nawawi al-Jawi Abu Abdul Mu‘ti dalam kitabnya Nihayah az-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in:

اللّهُمَّ فَكِّ أَقْفَالَ قُلُوْبِنَا بِمَشِيْئَتِكَ ، وَأَحْسِنْ تَوْفِيْقَنَا بِدَوَامِ الصِّدْقِ فِي إِرَادَتِكَ , وَانْشُرْ عَلَيْنَا فِي هَذِهِ السَّاعَةِ رَايَةَ هِدَايَتِكَ , وَقَلِّدْنَا بِسُيُوْفِ وِلاَيَتِكَ , وَتَوِّجْنَا بِتِيْجَانِ مَعْرِفَتِكَ , وَأَمْطِرْ عَلَيْنَا مِنْ سَحَائِبِ رَحْمَتِكَ ، وَاسْقِنَا مِنْ شَرَابِ مَحَبَّتِكَ ، وَأَثْبِتْنَا فِي دِيْوَانِ خَاصَّتِكَ ، وَأَوْقِفْنَا فِي مِيْدَانِ مُلاَحَظَتِكَ ، وَصَفِّ سَرَائِرَنَا ، وَنَوِّرْ أَبْصَارَنَا ، وَاجْمَعْنَا فِي حَظَائِرِ قُدْسِكَ ، وَآنِسْنَا بِلَطِيْفِ أُنْسِكَ ، وَلاَ تَقْطَعْنَا بِغَيْرِكَ عَنْ نَفْسِكَ .

اللّهُمَّ مَا كَانَ مِنَّا مِنْ إِقْبَالٍ إِلَى غَيْرِكَ ، وَإِعْرَاضٍ عَنْكَ تَعَمُّدًا أًوْ خَطَأً أَوْ نِسْيَانًا فَأَزِلْهُ عَنَّا ، إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٍ .

Ertinya: “Ya Allah! Bukakanlah kunci-kunci yang menutupi pintu hati kami dengan kehendak-Mu, berikanlah kami taufik-Mu agar kami sentiasa membenarkan kemahuan-Mu, pancarkan kami saat ini dengan naungan hidayat-Mu, persiapkanlah kami dengan pedang kekuasaan-Mu, mahkotakanlah kami dengan mahkota ilmu pengetahuan-Mu, cucuri kami dengan limpahan rahmat-Mu, simbahi kami dengan curahan kasih sayang-Mu, tetapkan kami dalam himpunan kebaikan-Mu, tempatkan kami agar sentiasa berada dalam peliharaan-Mu. jernihkanlah segala yang terbatin dalam diri kami, cahayakanlah pemandangan kami, himpunkan kami dalam lingkungan Kesucian-Mu, selesakan diri kami dengan kebaikan-Mu, dan janganlah pisahkan kami daripada-Mu dengan apa-apa sekutu selain-Mu.

Ya Allah! Apa yang datang dari perlakuan kami menerima sesuatu selain Engkau, dan menolak Engkau daripada kami samada dengan senghaja, tersilap atau lupa, maka hindarkanlah semua itu daripada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa terhadap tiap sesuatu”.

Sembahyang Dhuha sebab segala kebaikan

Sembahyang Dhuha adalah satu wadah bertaqarrub kepada Allah Subhanahu wa ta‘ala yang istimewa. Di samping kelebihan yang tidak mampu disembunyikan lagi, ibadat ini menjadi penjalin akrabnya keta‘atan seseorang dalam mengingati Penciptanya yang Maha Pemberi segala sebab-sebab kebaikan kepadanya. Seperti disebutkan, ia membuka pintu rezeki dan menolak kepapaan. Siapakah yang bakal mengaut untungnya selain daripada pengamalnya sendiri? Ia sudah tertulis, tinggal lagi kepada kita untuk merebutnya. Dalam satu hadis ada meriwayatkan:

إِنَّ فِى الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الضُّحَى ، فَإِذَا كَانَ يُوْمُ الْقِيَامَةِ نَادَى مُنَادٍ : أَيْنَ الَّذِيْنَ كَانُوْا يُدِيْمُوْنَ عَلَى صَلاَةِ الضُّحَى ؟ هَذَا بَابُكُمْ فَادْخُلُوْهُ بِرَحْمَةِ اللهِ
)رواه الطبرانى(

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil Dhuha. Apabila tiba hari kiamat, seseorang akan menyeru: “Di manakah orang-orang yang selalu mendirikan sembahyang Dhuha? Inilah pintu kamu. Masuklah ke dalamnya dengan Rahmat Allah”.
(Hadis riwayat at-Thabarani)

Rebutlah peluang ini, jangan lepaskan peluang untuk memperolehi keistimewaan sembahyang Dhuha. Mulakanlah sekarang, dan tingkatkan usaha dalam menuju matlamat redha Allah Subahanhu wa ta‘ala.


11 comments:

  1. alhamdulillah atas pencerahan nya..

    ReplyDelete
  2. Kalau smbahyang dhuha atu dlakukan pada jam 6pgi masih bolehkah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Di dlm jadual waktu solat Brunei ada sdh tu dmklumkn waktu bila dhuha bermula tu kita.. in sha Allah ☺️

      Delete
  3. Ingin pencerahan lagi.. Boleh kah dua raakat ptama.. . Raakat ptama al fatihah mbca surah al kafirun dan raakat kedua. Surah al iklas?? Kerana saya selalu mbuat sembahyang sunat dhuha dua raakat sahaja..

    ReplyDelete
  4. In sha Allah.. bulehh... Apasaja surah buleh. Tpi kalau mau kelebihan lgi dri surah atu, seperti yg di nyatakan diatas tdi.. surah as syams sma surah dhuha tu lagi bisai. In sha Allah ☺️

    ReplyDelete
  5. susah ye nak baca doa dhuha selepas solat boleh ke baca dalam rumi sahaja..

    ReplyDelete
  6. masa akhir untuk solat dhuha ialah sebelum solat zohor?

    ReplyDelete
  7. Alhamdulillah Terima kasih atas Pencerahannya

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah. Terima kasih diatas pencerahan serta ilmu yang dikongsikan.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum bolehkah selepas 2 rakaat di selangi dengan melakukan sesuatu contohnya baca alquran. Kemudian sambung balik sembahyang dhuha tersebut, adakah dikira 4 rakaat atau sebaliknya?

    ReplyDelete
  10. Terima kasih ilmunya,jadzakalloh khairan.

    ReplyDelete