Wednesday, May 6, 2015

DOA SELEPAS AL FATIHAH



SEMBAHYANG:
Hukum Membaca Doa Selepas Surah Al-Fatihah


 (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Surah al-Fatihah merupakan salah satu rukun sembahyang. Jika surah al-Fatihah itu tidak dibaca, maka sembahyang tersebut tidak sah.

Sementara membaca doa pula, secara umumnya adalah dituntut oleh syara‘, malah sesiapa yang enggan berdoa adalah dimurkai Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ لَمْ يَسْأَلِ اللهَ يَغْضَبْ عَلَيْهِ
(رواه الترمذي)

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak memohon (meminta) kepada Allah, Dia (Allah) murka kepadanya.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sembahyang, memperbanyakkan doa ketika sujud adalah digalakkan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Sehampir-hampir hamba dari (rahmat dan fadhilat) Tuhannya adalah (ketika) dia sujud, maka kamu perbanyakkanlah doa.”
(Hadits riwayat Muslim)

Sementara membaca doa selepas surah al-Fatihah, seperti membaca “ رَبِّ اغْفِرْ لِي ”,  adakah ia disunatkan ataupun sebaliknya? Oleh itu, eloklah dijelaskan hukum membaca doa selepas surah al-Fatihah di dalam sembahyang.

Hukum Membaca Doa Selepas Surah Al-Fatihah

Orang yang membaca surah al-Fatihah, sama ada al-Fatihah itu dibaca ketika sembahyang atau di luar sembahyang, adalah disunatkan untuknya membaca doa memohon keampunan bagi dirinya iaitu: “ رَبِّ اغْفِرْ لِي ” atau membaca doa memohon keampunan bagi dirinya, ibu bapanya dan keseluruhan umat Islam iaitu: “ وَلِِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ رَبِّ اغْفِرْ لِي ”. Waktunya antara selepas membaca “ وَلاَ الضَّالِّيْنَ ” dan sebelum mengucapkan “ آمين ” sebagaimana kata Syaikh ‘Ali asy-Syibramallisi Rahimahullah.

Bagaimana pula jika doa itu tadi ditambah atau diganti dengan doa-doa lain seperti doa penerang hati dan sebagainya?

Dalam hal ini, Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullah menjelaskan mengenainya, ketika mensyarahkan perkataan pengarang kitab Fath al-Mu‘in ( سِوَى رَبِّ اغْفِرْ لِي ) ertinya, “ kecuali bacaan رَبِّ اغْفِرْ لِي ” katanya:

أَي أَنَّهُ يُسْتَثْنَى مِنَ التَّلَفُّظِ بِشَيْءٍ التَّلَفُّظُ بِرَبِّ اغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَضُرُّ لِلْخَبَرِ الْحَسَنِ: أَنَّهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عَقِبَ ( وَلاَ الضَآلِّيْنَ ) رَبِّ اغْفِرْ لِي

Ertinya: Iaitu dikecualikan daripada melafazkan sesuatu bacaan ( selepas membaca وَلاَ الضَّالِّيْنَ dan sebelum menyebut آمين ) melafazkan lafaz doa ( رَبِّ اغْفِرْ لِي ), maka sesungguhnya ia            ( bacaan رَبِّ اغْفِرْ لِي itu ) tidak memudharatkan ( tidak menghilangkan hukum sunat menyebut آمين ) berdasarkan hadits “ hasan ”, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengucapkan sesudah membaca ( وَلاَ الضَآلِّيْنَ ), lafaz doa                ( رَبِّ اغْفِرْ لِي ).”

Daripada nas di atas dapat diketahui hukum melafazkan sesuatu bacaan sama ada ia zikir atau doa, boleh menghilangkan hukum sunat menyebut ‘amin’. Akan tetapi jika bacaan itu doa yang lafaznya “ رَبِّ اغْفِرْ لِي , maka ia terkecuali daripada terjejasnya hukum mengaminkan bacaan al-Fatihah.

Syaikh ‘Ali asy-Syibramalissi Rahimahullah pula menjelaskan kedudukan hukum jika lafaz doa “ رَبِّ اغْفِرْ لِي ” itu ditambah dengan lafaz yang lain, sebagaimana katanya:

وَيَنْبَغِى أَنَّهُ لَوْ زَادَ عَلَى ذَلِكَ وَلِِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ لَمْ يَضُرَّ أَيْضًا

Ertinya: “Dan sayugia bahawasanya jika dia menambah          ( lafaz ) itu, ( رَبِّ اغْفِرْ لِي ) dengan lafaz bacaan                               ( وَلِِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ ), ia juga tidak memudharatkan ( tidak menggugurkan hukum sunat menyebut  آمين ).

Ma’mum Hanya Dituntut Mengaminkan Al-Fatihah Imam

Adapun ma‘mum yang mendengar bacaan al-Fatihah imam, tidak disunatkan membaca “ رَبِّ اغْفِرْ لِي ” ini. Ma‘mum yang mendengar bacaan al-Fatihah imam hanyalah disunatkan mengaminkan bacaan al-Fatihah imam itu.

Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin menyebutkan bahawa Asy-Syarif Al-‘Allamah Thahir bin Husein Rahimahullah berkata:

لاَ يُطْلَبُ مِنَ الْمَأْمُوْمِ عِنْدَ فَرَاغِ إِمَامِهِ مِنَ الْفَاتِحَةِ قَوْلُ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَإِنَّمَا يُطْلَبُ مِنْهُ التَّأمِيْنُ فَقَطْ وَقَوْلُ رَبِّ اغْفِرْ لِي مَطْلُوْبٌ مِنَ الْقَارِئِ فَقَطْ فِى السَّكْتَةِ بَيْنَ آخِرِ الْفَاتِحَةِ وَآمِيْنَ

Ertinya: “Tidak dituntut daripada ma‘mum ketika imam selesai membaca al-Fatihah, bacaanرَبِّ اغْفِرْ لِي bahkan hanya dituntut mengaminkannya sahaja, dan bacaan “ رَبِّ اغْفِرْ لِي ” itu hanya disunatkan bagi pembaca al-Fatihah sahaja sewaktu diam seketika (saktah) di antara bacaan ayat terakhir surah al-Fatihah dan bacaan amin.”

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa orang yang membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang disunatkan berdoa sebelum menyebut amin, memohon keampunan bagi diri, ibu bapa dan sekalian umat muslimin, iaitu: “ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ ” adalah tidak menghilangkan atau menggugurkan hukum sunat mengaminkan al-Fatihah ( menyebut آمِيْنَ ).


Namun menambah doa memohon keampunan bagi diri, ibu bapa dan sekalian umat muslimin tersebut dengan doa yang lain seperti doa penerang hati, doa memohon diberikan ilmu dan sebagainya, adalah menghilangkan atau menggugurkan hukum sunat mengaminkan al-Fatihah ( menyebut آمِيْنَ ).

1 comment:

  1. Adakah doa tersebut dilafazkan atau didalam hati sahaja. Mohon penjelasan.

    ReplyDelete