بسم الله،
والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan
nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Antara
perkara yang dituntut untuk dilaksanakan terhadap jenazah ialah
menyembahyangkannya. Tuntutan menyembahyangkan jenazah ini adalah fardhu
kifayah. Jika sembahyang ke atas jenazah itu dilakukan oleh seorang sahaja, maka
itu pun sudah memadai dan gugur kewajipan tersebut daripada orang lain
selainnya. Mereka tidak berdosa jika mereka tidak melakukannya.
Walaupun
tuntutan fardhu kifayah itu sudah tertunai dan memadai dengan dilaksanakan oleh
satu individu sahaja, namun sebilangan besar masyarakat kita begitu prihatin
untuk tidak ketinggalan menyembahyangkan jenazah yang mereka ziarahi. Seringkali
kita dapati bilangan jemaah yang turut sama menyembahyangkan jenazah tersebut
begitu ramai. Kadang-kala kita dapati juga sembahyang ke atas jenazah dilakukan
beberapa kali oleh individu atau jemaah yang berlainan oleh sesetengah orang yang
terlewat datang. Ini kerana antara tujuan mereka menyembahyangkan jenazah itu
adalah sebagai penghormatan mereka terhadapnya dan dengan harapan apa yang
dilakukan itu si mati akan mendapat rahmat dan keampunan Allah Subhanahu wa
Ta‘ala.
Persoalannya,
adakah sembahyang jenazah yang dilakukan beberapa kali atau dilakukan secara
berulang-ulang ke atas jenazah yang telah disembahyangkan itu, sama ada ia
dilakukan oleh individu atau jemaah yang sama ataupun berlainan, dibenarkan oleh
syara‘? Tidakkah dengan mengulang-ulang sembahyang itu boleh menjejaskan
tuntutan menyegerakan pengebumiannya? Maka untuk menjawab persoalan terhadap
perkara ini, dinyatakan penjelasan ulama mengenainya.
Perbezaan
Antara Jenazah Yang Sudah Dan Yang Belum Disembahyangkan
Sembahyang
ke atas jenazah merupakan fardhu kifayah. Manakala berjemaah dalam sembahyang
jenazah hanyalah sunat.
Jika
jenazah belum disembahyangkan, maka tuntutan sembahyang jenazah masih merupakan
fardhu kifayah ke atas setiap orang Islam yang mengetahuinya. Maka sembahyang
jenazah boleh dikerjakan sama ada secara bersendirian ataupun secara berjemaah.
Bagaimana
pula dengan jenazah yang sudah disembahyangkan, apakah boleh dilakukan sembahyang
ke atas jenazah tersebut berulang kali, sama ada dilakukan oleh individu yang
sama ataupun individu yang berlainan? Penjelasan kepada persoalan ini
dibahagikan kepada dua, iaitu:
i) Individu yang belum mengerjakan sembahyang jenazah.
ii) Individu yang sudah mengerjakan sembahyang jenazah.
i) Individu yang belum mengerjakan sembahyang jenazah
Jika seseorang datang dan dia belum menyembahyangkan
jenazah tersebut, sedangkan imam dan jemaah yang lain telahpun selesai
menyembahyangkan jenazah tersebut, maka disunatkan bagi orang yang baru datang
tadi untuk menyembahyangkan jenazah tersebut secara berjemaah ataupun secara bersendirian.
Niat mengerjakan sembahyang ke atas jenazah bagi yang belum
mengerjakannya, hendaklah dengan niat fardhu dan dikira sebagai fardhu kifayah seperti
juga sembahyang yang pertama yang telah dikerjakan oleh jemaah awal, serta
diberikan kepadanya ganjaran pahala fardhu, sama ada sembahyang itu dilakukan
sebelum ataupun selepas jenazah dikebumikan.
ii) Individu yang sudah mengerjakan sembahyang jenazah
Menurut pendapat yang shahih, tidak disunatkan,
bahkan ia menyalahi yang utama (khilaf al-awla) bagi sesiapa yang
sudah mengerjakan sembahyang jenazah untuk mengulanginya lagi dalam semua
keadaan, sekalipun sembahyangnya yang awal itu dilakukan:
a) secara bersendirian, kemudian dia mahu
mengulanginya lagi untuk kali keduanya secara berjemaah, sama ada kumpulan yang
kedua yang hendak berjemaah dalam sembahyang jenazah itu datang sebelum pengebumian
ataupun selepas pengebumian; atau
b) secara bersendirian, dan mahu mengulanginya lagi
untuk kali keduanya secara bersendirian; atau
c) secara berjemaah, kemudian dia mahu mengulanginya
lagi untuk kali keduanya secara berjemaah; atau
d) secara berjemaah, kemudian dia mahu mengulanginya
lagi untuk kali keduanya secara bersendirian.
Bahkan
mustahab ditinggalkan perbuatan mengulangi sembahyang ke atas jenazah bagi
yang sudah mengerjakannya.
Jika
dia mengulangi juga sembahyangnya, sama ada satu kali ataupun lebih, maka sembahyang
yang kedua dan seterusnya itu dianggap sah dan dikira sebagai sunat. Walau bagaimanapun
sembahyang yang diulanginya itu tetap wajib dikerjakan dengan niat fardhu.
Adapun
sesetengah ulama yang membenarkan pengulangan sembahyang jenazah, umpamanya Imam
ar-Ramli Rahimahullah yang mengatakan harus, kerana tujuan atau sebab sembahyang
ke atas jenazah itu dilakukan adalah kerana sembahyang itu sebagai doa, syafaat
dan memperbanyakkan pahala bagi jenazah.
Disegerakan
Pengebumian Jenazah
Apabila
satu jenazah itu sudah selesai disembahyangkan, maka mengikut sunnah hendaklah disegerakan
pengebumiannya tanpa perlu menunggu-nunggu kedatangan sesiapa, kecuali kerana menunggu
kedatangan walinya dari jarak tempat yang hampir atau berdekatan. Namun penangguhan
sebentar itu dibenarkan dengan syarat jika tidak ditakuti terjadinya perubahan
pada mayat. Sebaliknya jika ditakuti terjadi perubahan kepada mayat, maka tidak
ditunggu wali tersebut atau ditangguhkan pengebumiannya. Ini kerana tuntutan menghormati
jenazah itu lebih penting daripada menunggu kedatangan wali.
Sebagai
kesimpulan, sembahyang jenazah merupakan fardhu kifayah dan menyegerakan sembahyang
jenazah itu adalah dituntut. Sesiapa yang hadir dan belum menyembahyangkan jenazah,
maka dia boleh mengerjakannya secara bersendirian ataupun berjemaah, sama ada
jenazah tersebut sudah selesai disembahyangkan ataupun belum. Manakala bagi sesiapa yang sudah
mengerjakannya, tidak disunatkan untuk dia mengulanginya lagi.
No comments:
Post a Comment