(Dengan nama Allah,
Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Tuntutan Bertaubat
Manusia secara semulajadinya tidak terlepas
daripada melakukan kesalahan dan dosa sama ada terhadap Tuhannya mahupun sesama
makhluk. Tidak kira dosa itu besar ataupun kecil, jiwa dan nafsu manusia itu
sangat cenderung dan mudah terdorong untuk melakukan sesuatu yang terlarang,
apatah lagi golongan yang tidak teguh iman mereka.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya:
“Sesungguhnya nafsu manusia itu
sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi
rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia daripada hasutan nafsu itu).
Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Yusuf: 53)
Maka atas dasar ini, dan atas dasar
rahmat dan belas kasihan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap hambaNya
yang Maha Mengetahui akan kelemahan makhlukNya ini, Allah Subhanahu wa
Ta‘ala sentiasa membukakan pintu
taubat untuk hambaNya yang sedar akan kesilapannya dan menyesal atas
ketelanjurannya.
Dalil-Dalil Yang Menjelaskan Kewajipan Bertaubat
Terdapat beberapa jumlah
dalil yang menerangkan secara jelas dan merujuk langsung kepada ketetapan hukum
wajib melakukan taubat, antaranya:
1) Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah dihapuskan dosa kamu)
dengan “taubat nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan
kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai.”
(Surah at-Tahrim: 8)
2) Di dalam sebuah hadis
Qudsi, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
يَا عِبَادِي!
إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ
جَمِيْعًا، فَاسْتَغْفِرُونِيْ أَغْفِرْلَكُمْ.
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Wahai
hambaKu! Sesungguhnya kamu berbuat dosa malam dan siang, dan Aku mengampunkan
semua dosa, maka kamu minta ampunlah kepadaKu nescaya Aku mengampunkan kamu.”
(Hadits
riwayat Muslim)
3) Sabda Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam:
يَا أَيُّهَا
النَّاسُ! تُوبُوا إِلَى اللهِ، فَإِنِّي أَتُوْبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ
مَرَّةٍ.
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Wahai manusia!
Bertaubatlah kepada Allah, kerana sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam
sehari seratus kali.”
(Hadits
riwayat Muslim)
Definisi Sembahyang Sunat Taubat
Sembahyang sunat Taubat ialah
sembahyang sunat dua rakaat yang dikerjakan kerana ingin bertaubat daripada
dosa dan kemaksiatan yang telah dilakukan, sama ada besar mahupun kecil, atas
rasa kesal terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukan dan ingin membersihkan
diri daripada dosa serta berniat akan kembali kepada ketaatan dan berazam tidak
akan mengulanginya.
Sembahyang sunat Taubat tidak disunatkan untuk didirikan secara berjemaah. Ia juga
tidak terikat dengan waktu, maka bolehlah sembahyang sunat Taubat ini
dikerjakan pada bila-bila masa termasuklah di waktu yang diharamkan untuk
mendirikan sembahyang sunat.
Niat Sembahyang Sunat Taubat
أُصَلِّي
سُنَّةَ التَّوْبَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Ertinya: “Sahaja
aku sembahyang sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Surah-Surah Yang Sunat Dibaca
Tidak ada surah-surah yang dikhususkan
untuk dibaca selepas membaca surah al-Fatihah ketika mengerjakan sembahyang
sunat Taubat ini. Dari itu, bolehlah dibaca mana-mana ayat al-Qur’an ataupun
surah yang dirasakan mudah ataupun mampu dibaca.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat
membacanya daripada al-Qur’an (dalam sembahyang)”
(Surah
al-Muzzammil: 20)
Dalam permasalahan
sembahyang sunat yang tidak dikhususkan bacaannya seperti sembahyang sunat
Taubat ini, menurut pendapat Imam Ibnu Hajar
al-Haitami Rahimahullah, sunat membaca surah al-Kaafirun dan surah al-Ikhlas.
Memperbanyakkan
Istighfar Dan Doa Selepas Sembahyang Sunat Taubat
Setelah selesai mengerjakan
sembahyang sunat Taubat, dianjurkan untuk memperbanyakkan istighfar dan doa. Antara
istighfar dan doa yang diamalkan oleh para ulama selepas mengerjakan sembahyang
sunat Taubat ialah:
أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ
الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ.
Ertinya:
“Aku meminta ampun kepada Allah Yang Maha Agung, tiada Tuhan selain Dia,
Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri dengan sendiriNya dan kepadaNya aku bertaubat.”
سُبْحَانَ اللهِ
وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوبُ إِلَيهِ.
Ertinya: “Maha
Suci Allah dan segala puji bagiNya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung. Aku meminta
ampun kepada Allah dan kepadaNyalah aku bertaubat.”
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي
وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ. أَعُوذُ
بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ. أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ
بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي. فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ.
Ertinya: “Ya
Allah! Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau yang telah
menciptakan diriku dan aku adalah hambaMu. Aku tetap dalam ikrar dan perjanjianMu
sedaya upayaku. Aku berlindung denganMu daripada kejahatan yang telah aku
lakukan. Aku mengakui semua nikmatMu atas diriku dan aku mengakui dosaku
kepadaMu, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa
selain Engkau.”
Fadhilat Sembahyang
Sunat Taubat
Fadhilat sembahyang
sunat Taubat ini disebutkan dengan jelas dalam sebuah hadits yang diriwayatkan
daripada Sayyidina Abu Bakar a-Shidiiq Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ
فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللهَ إِلاَّ غَفَرَ اللهُ لَهُ.
(رواه أبو داود والترمذي وابن ماجه)
Maksudnya: “Tiada
seorang hamba pun yang melakukan suatu dosa, kemudian dia membersihkan dirinya (mengambil wudhu’)
dengan baik, kemudian dia bangun lalu mengerjakan sembahyang dua rakaat,
kemudian dia memohon ampun kepada Allah (dengan penuh rasa kesal dan berazam
untuk tidak mengulanginya kembali selama-lamanya), melainkan Allah ampunkan
baginya.”
(Hadits
riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Abdullah bin Buraidah Radhiallahu
‘anhu pula meriwayatkan daripada bapanya bahawa pada suatu pagi Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam telah memanggil Bilal Radhiallahu ‘anhu, lalu
Baginda bertanya kepadanya:
يَا
بِلاَلُ، بِمَ سَبَقْتَنِي إِلَى الْجَنَّةِ؟ إِنِّي دَخَلْتُ الْبَارِحَةَ الْجَنَّةَ
فَسَمِعْتُ خَشْخَشَتَكَ أَمَامِي.
Maksudnya: “Wahai
Bilal! Dengan (amalan) apa kau mendahului aku masuk syurga? Semalam aku telah
memasuki syurga, lalu aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku.”
Lalu Bilal Radhiallahu ‘anhu pun menjawab:
يَا
رَسُولَ اللهِ، مَا أَذْنَبْتُ قَطُّ إِلاَّ صَلَّيْتُ رَكْعَتَيْنِ، وَمَا أَصَابَنِي
حَدَثٌ قَطُّ إِلاَّ تَوَضَّأْتُ عِنْدَهَا.
Maksudnya: “Aku tidak sekali-kali melakukan
suatu dosa kecuali aku bersembahyang dua rakaat (sembahyang sunat Taubat), dan
aku tidak sekali-kali didatangi hadas kecuali aku mengambil wudhu’ kerananya.”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda:
بِهَذَا.
(رواه
إبن خزيمة)
Maksudnya: “(Dengan amalan) inilah sebabnya
(kau mendahului memasuki syurga).”
(Hadits
riwayat Ibnu Khuzaimah)
Syarat Sah Taubat
1) Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan
Tuhannya, hendaklah seseorang itu:
(i) meninggalkan
dosa dan maksiat dengan segera
(ii) menyesali
perbuatannya itu
(iii) membulatkan
azam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi.
2) Andaikata hak-hak itu bersangkut paut dengan
hak anak adam, maka hendaklah memenuhi empat syarat. Tiga daripadanya
sebagaimana tersebut di atas, dan ditambah lagi satu syarat, iaitu hendaklah
dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya,
jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengembalikannya semula
kepada tuannya. Jika dia mencaci atau mengumpat orang maka hendaklah dia
meminta maaf kepada orang tersebut.
Para
ulama juga menjelaskan bahawa syarat taubat itu selain apa yang disebutkan di
atas ialah hendaklah dorongan bertaubat itu tidak ada tujuan yang lain
melainkan semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala ataupun
semata-mata kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan sesuatu yang
keji pada pandangan syara‘ ataupun semata-mata takut kepada azab Allah Subhanahu
wa Ta‘ala di Hari Kiamat dan tamak kepada balasan syurga.
Kesimpulan
Pintu taubat sentiasa terbuka. Sebesar manapun dosa seorang hamba itu,
jika dia ikhlas bertaubat dan memohon ampun kepadaNya dengan memenuhi
syarat-syarat yang dituntut dalam bertaubat, nescaya Allah Subhanahu wa Ta‘ala
akan mengampunkan dosanya dan menerima taubatnya.
Tafsirnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan
perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah
lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang
mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan
perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan
salahnya dan akibatnya).”
(Surah
a-li ‘Imraan: 135)
Dari itu selagi hayat masih
dikandung badan, janganlah melambat-lambatkan taubat, kerana ajal akan
menjemput pada bila-bila masa. Selagi roh belum sampai ke kerongkong, segeralah
bertaubat, beristighfar dan kerjakanlah sembahyang sunat Taubat.
عَنِ ابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ.
(رواه
الترمذي)
Maksudnya: “Daripada
Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam,
Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagimana
nyawanya belum sampai ke kerongkong (nazak)”
(Hadits
riwayat at-Tirmidzi)
No comments:
Post a Comment