Wednesday, May 6, 2015

SEMBAHYANG RUKUN QAULI


(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sebagaimana yang kita maklumi, ibadat sembahyang mempunyai beberapa rukun yang mesti dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Kegagalan seseorang melakukan rukun sembahyang dengan baik dan sempurna, walaupun satu rukun daripadanya, boleh menyebabkan sembahyangnya tidak sah. Rukun-rukun sembahyang itu pula ada yang dilakukan dengan lintasan di dalam hati iaitu niat, ada juga yang dilakukan dengan gerakan anggota tubuh badan seperti berdiri betul, ruku‘, sujud dan lain-lain, dan ada juga yang dilakukan dengan gerakan lisan atau membaca bacaan tertentu seperti membaca takbiratul ihram, membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat dan lain-lain lagi.

Menyentuh mengenai rukun yang dilakukan dengan gerakan lisan atau membaca bacaan tertentu, sebahagian orang mungkin sudah terbiasa dengan membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang tanpa didengar oleh telinganya sendiri. Perkara membaca bacaan dalam sembahyang seperti ini tidak semestinya hanya berlaku kepada orang yang sembahyang secara bersendirian ataupun orang orang yang menjadi makmum, bahkan juga mungkin berlaku kepada imam. Jadi perkara ini perlu diambil perhatian kerana dikhuatiri ibadat sembahyang yang dilakukan itu disangkakan sah namun sebenarnya tidak demikian.

Bacaan dalam sembahyang boleh dibahagi kepada dua iaitu bacaan wajib (rukun qauli) dan bacaan sunat. Kedua-dua jenis bacaan ini mempunyai hukum yang berbeza yang perlu diketahui bagi memastikan ibadat sembahyang yang kita lakukan itu sah ataupun tidak.

·       Bacaan-Bacaan Wajib (Rukun Qauli)

Bacaan wajib atau rukun qauli itu ialah takbiratulihram, surah al-Fatihah, tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam selepas membaca tasyahhud akhir dan salam pertama. Kesemua bacaan wajib atau rukun qauli ini wajib dibaca pada kadar suara yang boleh didengar oleh diri sendiri. Jika bacaan tersebut dibaca pada kadar suara yang tidak boleh  didengar oleh diri sendiri maka ibadat sembahyang tersebut menjadi tidak sah. Perkara ini ada disebutkan dalam kitab ‘Ianah ath-Thalibin:

وَيَجِبُ إِسْمَاعُهُ نَفْسَهُ كَسَائِرِ رُكْنٍ قَوْلِيٍّ.
(كتاب إعانة الطالبين: 1/217)

Ertinya: “Dan wajib diperdengarkannya (takbiratulihram) itu kepada dirinya sendiri sepertimana kesemua rukun qauli yang lain.”
(Kitab I‘anah ath-Thalibin: 1/217)

Oleh itu, jika seseorang itu tidak melafazkan bacaannya dengan suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri seperti membaca bacaan-bacaan wajib itu di dalam hati maka sembahyang yang dikerjakannya itu tidak sah kerana bacaan rukun qauli itu wajib dilafazkan dengan kadar bacaan yang boleh didengar olehnya sendiri bukannya di dalam hati.

·       Bacaan-Bacaan Sunat

Manakala bacaan-bacaan sunat dalam sembahyang itu banyak, antaranya ialah doa al-iftitah, at-ta‘awwudz, ayat atau surah dari al-Qur’an yang dibaca selepas surah al-Fatihah, tasyahhud awal dan lain-lain. Bacaan-bacaan sunat ini juga dituntut untuk dibaca dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri bagi mendapatkan pahala sunat. Namun jika tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri tidaklah membatalkan ibadat sembahyangnya, hanya dia tidak mendapat pahala sunat.

Maka dari penjelasan itu dapatlah difahamkan bahawa bacaan wajib atau rukun qauli dalam sembahyang iaitu takbiratulihram, surah al-Fatihah, tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam selepas membaca tasyahhud akhir  dan salam pertama itu wajib dibaca dengan suara yang boleh didengar oleh diri sendiri. Jika bacaan rukun qauli itu tidak dilafazkan dengan kadar bacaan yang boleh didengar oleh diri sendiri atau tidak didengar oleh diri sendiri maka sembahyang seseorang itu tidak sah.

Manakala bacaan-bacaan sunat pula seperti doa al-iftitah, at-ta‘awwudz, ayat atau surah dari al-Qur’an selepas surah al-Fatihah dan tasyahhud awal jika dibaca dengan kadar bacaan yang tidak dapat didengar oleh diri sendiri tidaklah menjejaskan ibadat sembahyang, namun sunat jika bacaan-bacaan sunat seperti yang disebutkan itu tadi dibaca dengan kadar bacaan yang boleh didengar oleh dirinya sendiri. Dengan berbuat demikian, dia akan mendapat pahala sunat.

Bagaimanakah jika ada halangan yang menyebabkan tidak dapat didengar bacaan-bacaan wajib atau rukun qauli itu?

Walaupun hukum memperdengarkan kepada diri sendiri bacaan-bacaan yang wajib atau setiap rukun qauli adalah wajib iaitu dengan kadar suara yang boleh didengar oleh diri sendiri, namun kadang-kadang terdapat beberapa keadaan tertentu yang menghalang seseorang dari mendengar bacaan-bacaan wajib atau rukun qauli itu, sebagai contoh:

·       Mempunyai masalah pendengaran

Jika seseorang itu menghadapi masalah pendengaran seperti tuli atau pekak, maka orang sebegini tidaklah diwajibkan mendengar rukun qauli yang dibacanya itu, namun  dia tetap wajib melafazkan bacaannya dengan suara yang sekira-kira boleh didengarnya ketika keadaan pendengarannya baik atau ketika keadaan tidak bising.

Disebutkan juga di dalam kitab I‘anah ath-Thalibin:

إِذَا لَمْ يَكُنْ صَحِيْحَ السَّمْعِ، بِأَنْ كَانَ أَصَمَّ، فَلاَ يَجِبُ عَلَيْهِ ذَلِكَ، بَلْ يَجِبُ عَلَيْهِ أَنْ يَرْفَعَ صَوْتَهُ بِقَدْرِ مَا يَسْمَعُهُ لَوْ كَانَ صَحِيْحَ السَّمْعِ.
(كتاب إعانة الطالبين: 1/217)

Ertinya: “Jika seseorang itu tidak mempunyai pendengaran yang baik seperti tuli, maka tidak wajib ke atasnya yang sedemikian itu (iaitu memperdengarkan kepada dirinya sendiri bacaan rukun qauli) bahkan wajib baginya mengangkat suaranya dengan kadar suara yang dapat didengar olehnya jika dia mempunyai pendengaran yang baik.”
(Kitab I‘anah ath-Thalibin: 1/217)

·       Keadaan bising

Begitu juga jika seseorang itu mendirikan sembahyang di tempat yang bising sehingga dia tidak dapat mendengar bacaan wajib yang dibacanya secara jelas maka tidaklah wajib baginya memperdengarkan kepada dirinya sendiri rukun qauli itu. Namun begitu hendaklah dia juga melafazkan bacaannya dengan kadar suara sekira-kira yang boleh didengar olehnya sendiri ketika dalam keadaan tidak bising walaupun suaranya itu tidak berapa jelas disebabkan gangguan keadaan yang bising tersebut.

Disebutkan juga di dalam kitab I‘anah ath-Thalibin:

فََلَوْ كَانَ هُنَاكَ عَارِضٌ لَمْ يَجِبْ عَلَيْهِ الإِسْمَاعُ وَلَكِنْ يَجِبُ عَلَيْهِ مَا مَرَّ.
(كتاب إعانة الطالبين: 1/217)

Ertinya: “Jika terdapat gangguan tidaklah wajib ke atasnya memperdengarkan kepada dirinya sendiri bacaan rukun qauli, akan tetapi  wajib ke atasnya apa yang terdahulu (wajib ke atasnya mengangkat suaranya dengan kadar suara yang dapat didengar jika dalam keadaan tidak ada gangguan).”
(Kitab I‘anah ath-Thalibin: 1/217)

Dengan demikian, berdasarkan apa yang dijelaskan bahawa memperdengarkan bacaan ke telinga sendiri ketika melakukan sembahyang adalah antara tuntutan yang perlu dibuat bagi kesempurnaan ibadat sembahyang seseorang.







1 comment:

  1. Assalamualaikum.....
    Sesetengah orang ada masalah untuk merendahkan suara, jika direndahkan, bunyi akan terputus,hanya bunyi angin seperti berbisik shj dan berselang2 bunyi dengan bunyi yg tertentu yg dapat bertolenransi dengan peti suara.
    Biasanya yg dah berumur, pita dlm peti suara sudah tidak mampu bertolenransi dgn frekuensi tertentu dan nada yg rendah....oleh itu untuk mendapatkan bunyi yg tepat, terpaksalah suara dikuatkan.
    Apakah pandangan tuan dengan perkara sebegini?

    ReplyDelete