(Dengan nama Allah,
Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Sembahyang sunat ialah sembahyang yang dituntut ke atas orang Islam
yang mukallaf dan dilakukan secara rela hati serta kemahuan sendiri di mana
jika ianya dilakukan akan mendapat pahala dan jika ditinggalkan pula tiadalah
berdosa.
Walaupun tidak berdosa, setiap seseorang muslim patutlah merasa
kesal dan rugi kerana tidak mengerjakan sembahyang sunat. Ini kerana tiap-tiap
sembahyang sunat mempunyai fadhilah atau kelebihannya tersendiri.
Tidak mengerjakan sembahyang sunat bererti seseorang muslim itu akan
kehilangan fadhilat atau kelebihan sembahyang sunat itu.
Daripada Aishah Radhiallahu 'anha, Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam telah bersabda:
رَكْعَتاَ الْفَجْرِ خَيْرٌ
مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيْهَا
(رواه
الترمذي)
Maksudnya:"Sembahyang sunat dua rakaat Fajar lebih
baik daripada dunia dan segala apa yang ada di dalamnya".
(Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)
Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada An-Nu'man bin Salim Radhiallahu
'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
مَنْ صَلَّىٰ فِي يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ سَجْدَةً تَطَوُّعاً،
بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ
(رواه
مسلم)
Maksudnya:"Barangsiapa yang bersembahyang dua belas
rakaat dalam sehari secara tathawwu' (sembahyang sunat), dibuat untuknya sebuah
rumah di dalam syurga.
(Hadits riwayat
Imam Muslim)
Dari Abu Dzar Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam telah bersabda:
يُصْبِحُ عَلَىٰ كُلِّ سُلاَمَىٰ مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ
تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ
صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ،
وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجَزِىءُ مِنْ ذٰلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا
مِنَ الضُّحَىٰ
(رواه مسلم)
Maksudnya:"Setiap tulang yang ada pada tubuh kamu
merupakan sedekah. Maka setiap tasbih adalah sedekah, dan setiap tahmid adalah
sedekah, dan setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah,
dan menyuruh untuk berbuat baik adalah sedekah, dan melarang dari berbuat
kemungkaran adalah sedekah. Memadai kesemuanya ini dengan bersembahyang sunat
dua rakaat 'Dhuha.
(Hadits riwayat
Imam Muslim)
Sembahyang sunat juga dianggap sebagai tambahan kepada
sembahyang-sembahyang fardhu sama ada ianya beriringan dengan
sembahyang-sembahyang fardhu seperti sembahyang sunat Rawaatib iaitu sembahyang
yang lebih dikenali sebagai sembahyang sunat Qabliyyah dan Ba'diyyah
ataupun sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang sunat Hajat, Tarawih, 'Dhuha,
Tahajjud dan sebagainya.
Sembahyang sunat disebut juga dalam Bahasa Arab sebagai sembahyang
nawafil, tathawwu' dan mustahab. Kesemua ini membawa maksud yang
sama sepertimana pengertian sembahyang sunat di atas.
Kelebihan Sembahyang Sunat
Sembahyang sunat amat besar fadhilatnya di mana selain dari
mengharapkan rahmat serta maghfirah, ia juga sebagai cara terbaik untuk mendekatkan
diri kepada Allah. Selain itu ianya juga dapat menambal mana-mana kekurangan
yang mungkin tidak disedari terdapat di dalam sembahyang-sembahyang fardhu
kita, sebagaimana riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu,
bahwasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ النَّاسُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنَ
الصَّلاَةِ. قَالَ رَبُّنَاَ لِلْمَلاَئِكَةِ، وَهُوَ
أَعْلَمُ:اُنْظُرُواْ فِى صَلاَةِ عَبْدِى أَتَمَّهَا أَمْ نَقَصَهَا؟ فَإِنْ كَانَتْ
تَامَّةًكُتِبَتْ لَهُ
تَامَّةً، وَإِنْ كَانَ انْتَقَصَ مِنْهَا شَيْئًا قَالَ:اُنْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِى
مِنْ تَطَوُّعٍ؟ فَإِنْ كَانَ لَهُ تَطَوُّعٌ قَالَ:أَتِمُّواْ لِعَبْدِى فَرِيْضَتَهُ مِنْ تَطَوُّعِهِ،
ثُمَّ تُؤْخَذُ الأَعْمَالُ عَلَى ذَلِكُم.
(رواه أحمد)
Maksudnya
:"Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan
manusia pada hari qiamat ialah tentang sembahyangnya. Allah berfirman kepada
MalaikatNya, sedang Dia Lebih Mengetahui: "Periksa lah sembahyang hambaKu,
apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau
kurang (sembahyang fardhu mereka), maka Allah berfirman lagi: "Periksalah
adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat? Jika ternyata terdapat amalan
sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: Cukupkanlah kekurangan sembahyang
fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya. Kemudian
diperhitungankanlah amal perbuatannya itu menurut cara sedemikian".
(Hadits riwayat
Imam Ahmad)
Sembahyang sunat juga dianggap sebagai ibadah sunat secara fizikal
yang paling afdhal selepas ibadah jihad fi sabilillah.
Menurut kitab Ma'thalibu Ulinnuhaa Fi Syarhi Ghayatil Muntaha
(مطالب أولى النهى فى شرح غاية
المنتهى)karangan Syeikh Mousthapa As-Suyuti Ar-Rahibani dan Syeikh Hassan
As-Syathi menyebutkan bahawa amalan sembahyang sunat dianggap sebagai ibadah
sunat secara fizikal yang paling afdhal selepas jihad kerana dalam sembahyang
terhimpun berbagai-bagai jenis ibadah:Keikhlasan, qira'ah ayat-ayat
Al-Qur'an, rukuk dan sujud, bermunajat ke hadrat Ilahi, menghadap Qiblat, tasbih
dan tahmid, selawat ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
dan banyak lagi.
Imam Ahmad berkata:"Aku tidak mengetahui mana-mana amalan
sunat yang lebih afdhal selepas amalan-amalan fardhu selain daripada
jihad".
Dari Thauban Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam telah bersabda:
وَاعْلَمُوا أَنَّ خَيْرَ أَعْمَالِكُم الصَّلاَة
(رواه إبن ماجه)
Maksudnya:"Ketahuilah bahwasanya sebaik-baik
amalan kamu itu ialah sembahyang".
(Hadits riwayat
Imam Ibnu Majah)
Berdasarkan hadits ini, dapatlah diqiaskan bahawa
sebagaimana sembahyang fardhu itu adalah seafdhal-afdhal ibadah, maka ibadah
sunatnya juga dianggap seafdhal-afdhal amalan sunat.
Jelas sekali di sini bahawa ibadah sembahyang sunat itu sangat
besar fadhilat serta ganjarannya di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Bagaimanapun bagi sebahagian atau mungkin kebanyakan umat Islam adalah sukar
untuk mengamalkan secara mudawamah (berterusan) terhadap ibadah tersebut,
ini disebabkan kesibukan tugas seharian dan sebagainya.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mengerjakannya atau
terluput, adakah boleh sembahyang sunat itu diqadha?
Menqadha Sembahyang
Apakah
yang dimaksudkan dengan menqadha
sembahyang itu?
Di dalam kitab Al-Mausu'ah Al-Feqhiah disebutkan, 'qadha
sembahyang' bermaksud mengerjakan sembahyang di luar dari waktunya yang telah
ditetapkan oleh syara'.
Sembahyang fardhu yang
ditinggalkan wajib diqadha sama ada disebabkan lupa, tidur, meninggalkannya
dengan senghaja atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam.
Imam Abu Ishaq As-Syirazi ada menulis di dalam kitabnya Al-Muhazzab,
barangsiapa yang telah wajib ke atasnya sembahyang fardhu lalu dia belum
menunaikannya sehingga luput waktunya, maka wajib hukumnya menqadha sembahyang
tersebut berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:
مَنْ نَسِىَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا
(رواه إبن ماجه)
Maksudnya:"Sesiapa yang terlupa untuk
bersembahyang,maka hendaklah dia mendirikan sembahyangnya itu apabila dia sudah
teringat".
(Hadits riwayat Imam Ibnu Majah)
Persoalannya ialah bolehkah sembahyang sunat itu diqadha?
Mengenai
persoalan ini terdapat beberapa buah hadits yang menyatakan bahawa
sembahyang sunat boleh diqadha,
antaranya:
Imam Bukhari meriwayatkan di dalam Shahihnya:
قَضَى رَكْعَتَى سَنَّةَ الظُّهْرِ المُتَأَخِّرَةِ بَعْدَ العَصْرِ
(رواه البخاري)
Maksudnya:"Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wasallam telah menqadha sembahyang sunat Ba'diyyah Zuhur selepas bersembahyang
Asar".
(Hadits riwayat
Imam Bukhari)
Diriwayatkan oleh Imam Muslim,dari Anas bin Malik Radhiallahu
'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
إِذَا رَقَدَ أَحَدُكُمْ عَنِ الصَّلاَةِ أَوْ غَفَلَ عَنْهَا،
فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا. فَإِنَّ الله يَقُولُ: أَقِمِ الصَّلاَةَ
لِذِكْرِي.
(رواه مسلم)
Maksudnya:"Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga
tertinggal sembahyangnya ataupun terlalai daripadanya, maka hendaklah dia
mendirikan sembahyangnya itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnnya Allah
Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku".
(Hadits riwayat
Imam Muslim)
Dari Abu Sa'id Al-Khudri Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam telah bersabda:
مَنْ نَامَ عَنِ الوِتْرِ أَوْ
نَسِيَهُ فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَ وَإِذَا اسْتَيْقَظَ
(رواه الترمذي)
Maksudnya:"Barangsiapa yang tertidur sehingga
terlepas Witirnya ataupun terlupa menunaikannya maka hendaklah ia mendirikannya
apabila dia teringat dan sesudah dia terbangun".
(Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)
Berdasarkan hadits-hadits di atas, para ulama telah mengambil
kesimpulan, antaranya Imam Al-Khatib As-Syarbini, seorang ulama mazhab Syafie' yang
telah menyebutkan dalam kitabnya Mughni Al-Muhtaj, bahawa adalah sunat hukumnya
menqadha sembahyang sunat yang ada ditentukan masa untuk mengerjakannya oleh
syara' (النَفْلُ
المُؤَقَّت), sama
ada sembahyang sunat tersebut diharuskan untuk berjemaah seperti sembahyang
sunat Hari Raya ataupun tidak, seperti sembahyang sunat 'Dhuha. Sembahyang-sembahyang
sunat ini sunat untuk diqadha meskipun ketika sedang bermusafir.
Imam As-Syathi dan Imam Ar-Rahibani, iaitu ulama daripada mazhab
Hanbali menyebutkan bahawa sunat menqadha sembahyang sunat Rawaatib
kerana Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah menqadha
sembahyang sunat Fajar akibat tertidur dan menqadha sembahyang sunat Ba'diyyah
Zuhur selepas sembahyang Asar. Perkara ini bolehlah diqiaskan terhadap
sembahyang-sembahyang sunat Rawaatib yang lain. Disunatkan juga menqadha
sembahyang Witir berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi
dari Abu Sa'id Al-Khudri Radhiallahu 'anhu bahwasanya Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam telah menyuruh untuk menqadha sembahyang sunat Witir
jika tertidur atau terlupa untuk menunaikannya apabila sudah terbangun.
Adakah Semua Sembahyang Sunat Boleh Diqadha?
Sebagaimana
disebutkan terdahulu bahawa menqadha sembahyang-sembahyang sunat yang telah ditetapkan
waktunya oleh syara' hukumnya sunat, seperti sembahyang sunat 'Dhuha, Witir,
Rawaatib dan sembahyang-sembahyang sunat Hari Raya. Adapun
sembahyang-sembahyang sunat yang tidak ditetapkan waktunya seperti sembahyang
sunat Tahiyyatul Masjid, sembahyang sunat Hajat dan
sembahyang Gerhana, tiadalah terdapat mana-mana nash dari Al-Quran mahupun
Sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan bahawa
sembahyang-sembahyang sunat berkenaan boleh diqadha. Ini sesuai dengan maksud
qadha sembahyang itu sendiri
yang mana
pengertiannya ialah
"mengerjakan sembahyang di luar dari waktunya yang telah ditetapkan
oleh syara'". Dengan perkataan lain sembahyang-sembahyang sunat yang tidak
ditentukan waktunya seperti sembahyang sunat Hajat dan Gerhana tidaklah
termasuk dalam sembahyang-sembahyang yang boleh diqadha.
Dalam perkara ini Imam Ibnu Hajar Al-Haitami ada menyatakan bahawa
sunat menqadha sembahyang-sembahyang sunat yang berwaktu (yang ditetapkan
waktunya oleh syara). Ini kerana sembahyang-sembahyang sunat yang tidak
ditentukan masanya itu tidak dapat diqadha kerana waktu untuk mendirikannya
tidak terbatas sehingga ianya dapat didirikan (diqadha) di luar dari waktunya.
Disunatkan juga untuk menqadha sembahyang-sembahyang sunat mutlak
seperti sembahyang sunat Tahajjud jika ianya sudah menjadi kebiasaan
kepada seseorang dalam kehidupan sehariannya. Adapun sembahyang-sembahyang
sunat yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang seperti sembahyang sunat
Gerhana, sembahyang sunat Istisqa' dan sembahyang sunat Tahiyyatul
Masjid, tidaklah disyari'atkan untuk menqadhanya kerana sembahyang-sembahyang
sunat tersebut tidak lagi dituntut apabila penyebabnya sudah tiada.
Waktu Yang Dibolehkan Untuk Menqadha Sembahyang-Sembahyang Sunat
Menurut kebanyakan ulama Syafi'e adalah sunat hukumnya menqadha
sembahyang-sembahyang sunat sekalipun pada waktu-waktu yang ditegah untuk bersembahyang seperti
selepas sembahyang Asar dan Subuh. Ini kerana ada hadits yang menyatakan bahawa
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah menqadha sembahyang sunat Ba'diyyah
Zuhur di waktu yang ditegah untuk menunaikan sembahyang sunat iaitu selepas
sembahyang fardhu Asar.
Imam Bukhari meriwayatkan:
قَضَى رَكْعَتَى سَنَّةَ الظُّهْرِ المُتَأَخِّرَةِ بَعْدَ العَصْرِ
(رواه البخاري)
Maksudnya:"Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wasallam telah menqadha sembahyang sunat Ba'diyyah Zuhur selepas bersembahyang
Asar".
(Hadits riwayat
Imam Bukhari)
Dalam riwayat yang lain dari Qais bin Amrin Radhiallahu
'anhu:
رَأَى رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يُصَلِّي بَعْدَ
صَلاَةِ الصُّبْحِ ركْعَتَيْنِ فَقال رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم:صلاةُ
الصُّبْحِ رَكْعَتَانِ، فَقالَ الرَّجُلُ:إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ
الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا فَصَلَّيْتُهُمَا الآنَ، فَسَكَتَ
رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم
(رواه أبو داود)
Maksudnya:"Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wasallam telah terlihat seorang lelaki bersembahyang dua rakaat selepas mendirikan
sembahyang Subuh, lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pun berkata
kepadanya: "Sembahyang Subuh (hanya) dua rakaat", lalu lelaki itu pun
berkata: "Aku belum menunaikan sembahyang sunat dua rakaat sebelum Subuh"
(sembahyang sunat Fajar), maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam hanya
berdiam diri".
(Hadits riwayat
Imam Abu Daud)
Berdasarkan hadits-hadits serta penjelasan-penjelasan yang telah
disebutkan di atas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa sembahyang-sembahyang sunat yang ditentukan
kadar masa untuk mengerjakannya dan sembahyang-sembahyang sunat mutlak
yang sudah menjadi kebiasaan seharian bagi seseorang adalah sunat diqadha pada
bila-bila masa jika tidak dapat menunaikannya di waktu-waktunya yang telah
ditetapkan oleh syara'.
Oleh yang demikian, sama-samalah kita merebut peluang dan
janganlah memandang ringan akan amalan sembahyang sunat ini kerana ianya akan
menjadi bekalan yang dapat membantu
mencukupkan amalan sembahyang fardhu jika terdapat kekurangan padanya di
hari akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment