Wednesday, May 6, 2015

SEMBAHYANG JENAZAH



POHONKAN RAHMAT UNTUK SIMATI MELALUI SEMBAHYANG JENAZAH


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Apabila berlakunya kematian terdapat empat perkara yang berkaitan dengan pengurusan jenazah yang wajib dilakukan oleh orang yang hidup. Empat perkara itu ialah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan menguburkan mayat simati. Harapan orang hidup pula ialah semoga simati akan berada dalam rahmat Allah Ta‘ala, terhindar daripada siksa kubur dan bersemadi dengan tenang di alam barzakh. Maka salah satu cara untuk membantu simati bagi meringankan bebannya di alam berzakh ialah dengan doa yang dibaca ketika menyembahyangkan jenazahnya.

Inilah yang dilakukan oleh Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika bersembahyang ke atas jenazah, Baginda mendoakan orang yang meninggal itu supaya mendapat rahmat dan keampunan. Berdoa untuk mayat adalah tujuan utama dalam sembahyang jenazah.

Secara umum kaifiat sembahyang jenazah berbeza dengan sembahyang-sembahyang yang lain kerana dalam sembahyang jenazah tidak terdapat ruku’ dan sujud. Ia dilakukan dengan berdiri sahaja dan dengan empat kali takbir.

Sembahyang ke atas jenazah orang Islam hukumnya adalah  fardhu kifâyah berdasarkan hadits riwayat daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ.
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Sembahyanglah kamu ke atas (jenazah) sahabat kamu.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang jenazah boleh dikerjakan pada bila-bila masa dan tidak makruh mengerjakannya pada waktu-waktu yang ditegah melakukan sembahyang. Ini kerana sembahyang jenazah adalah merupakan antara sembahyang yang mempunyai sebab. Namun, makruh melambatkan sembahyang tersebut sehingga sampai pada waktu-waktu yang ditegah itu.

Syarat-syarat sembahyang jenazah

Syarat-syarat dalam sembahyang jenazah adalah seperti syarat-syarat dalam sembahyang yang lain iaitu menutup aurat, suci daripada hadas kecil dan besar, bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat sembahyang dan menghadap qiblat.

Sembahyang jenazah memadai jika dilakukan oleh seorang sahaja walaupun dikerjakan oleh seorang kanak-kanak yang mumaiyiz. Ini kerana sembahyang jenazah itu tidak disyaratkan berjemaah akan tetapi sunat hukumnya jika dilakukan secara berjemaah. Tidak memadai jika sembahyang jenazah itu dilakukan oleh perempuan apabila terdapat dari kalangan yang hadir itu kaum lelaki sama ada yang dewasa atau kanak-kanak yang mumaiyiz. Namun jika sekiranya tidak ada kaum lelaki pada ketika sembahyang jenazah itu hendak dilakukan, maka wajib ke atas kaum perempuan melakukan sembahyang jenazah itu. Dalam hal ini, tuntutan fardhu kifayah itu sudah dianggap terlaksana. Begitu juga, sunat ke atas kaum perempuan itu melaksanakan sembahyang jenazah itu secara berjemaah.

Kedudukkan imam dan kedudukkan jenazah ketika disembahyangkan

Dalam perkara meletakkan jenazah ketika menyembahyangkannya adalah disyaratkan jenazah itu diletakkan di hadapan imam. Begitu juga jika sembahyang jenazah itu dilakukan di atas tanah perkuburan, maka hendaklah kedudukkan kubur simati berada di hadapan imam dengan imam itu menghadap ke arah qiblat.

Sunat bagi Imam berdiri menghadap pada bahagian kepala jenazah jika jenazah itu lelaki. Jika jenazah itu perempuan maka sunat imam menghadap pada bahagian pinggul atau tulang rusuk.

Jika jenazah itu lelaki maka afdhal meletakkan kedudukkan kepalanya di bahagian sebelah kiri imam dan kedudukkan bahagian kakinya di bahagian sebelah kanan imam, jika jenazah itu perempuan maka afdhal meletakkan kedudukkan kepalanya di bahagian sebelah kanan bagi imam dan kedudukkan kakinya di bahagian sebelah kiri imam seperti mana disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.

Jika jenazah itu ramai dan bercampur mayat lelaki, perempuan dan kanak-kanak, maka boleh disembahyangkan secara serentak dengan meletakkan mayat-mayat itu di hadapan imam mengikut keutamaan mereka. Kedudukan mayat lelaki lebih dekat dengan imam, kemudian diikuti mayat kanak-kanak, kemudian diikuti mayat khuntsa dan akhirnya diikuti mayat perempuan.

Namun adalah afdhal jika jenazah yang ramai itu disembahyangkan seorang demi seorang. Demikian pendapat al-Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab al-Majmu‘. Beliau menyatakan bahawa lebih afdhal menyembahyangkan jenazah yang ramai itu seorang demi seorang kerana akan memperbanyakkan amalan dan amalan yang banyak lebih diharapkan akan diterima.

Dari sudut yang lain, menyembahyangkan mayat seorang demi seorang akan lebih memudahkan kepada makmum yang tidak tahu berbahasa arab, kerana jika mayat yang disembahyangkan itu lebih dari seorang umpamanya, maka akan berubahlah ganti nama yang merujuk kepada mayat yang disembahyangkan yang terkandung di dalam doa sembahyang jenazah itu dan hendaklah ditukar kepada ganti nama dua orang sama ada lelaki atau perempuan, iaitu seperti (اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمَا...). Begitu juga jika jenazah itu ramai dan terdiri dari kalangan orang-orang lelaki, maka doa dalam sembahyang mayat itu hendaklah ditukar kepada ganti nama jama‘ (ramai) bagi lelaki iaitu seperti     (اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ...). Manakala jika jenazah itu ramai dan terdiri dari kalangan orang-orang perempuan, maka doa dalam sembahyang mayat itu hendaklah ditukar kepada ganti nama jama‘ (ramai) bagi perempuan iaitu seperti (اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُنَّ...).

Rukun sembahyang jenazah

Rukun sembahyang jenazah ada tujuh perkara, iaitu:

1.       Niat

Waktu berniat bagi sembahyang jenazah ini adalah sama seperti mana sembahyang-sembahyang lain iaitu wajib niat itu beriringan dengan takbiratul ihram. Memadai niat itu dengan menyebut perkataan fardhu sahaja tanpa menyebut perkataan kifayah, contohnya:

أُصَلِّي عَلَى هَذَا الْمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضًا لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang ke atas mayat lelaki ini empat takbir fardhu kerana Allah Ta‘ala.”

Niat sembahyang bagi jenazah perempuan ialah,

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ الْمَيِّتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضًا لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang ke atas mayat perempuan ini empat takbir fardhu kerana Allah Ta‘ala.”

Tidak wajib dalam niat itu menentukan atau menyebut nama mayat yang disembahyangkan, umpamanya Zaid atau Umar melainkan dalam niat sembahyang jenazah ghaib. Jika ditentukan nama mayat dalam sembahyang jenazah yang hadir, kemudian nama yang ditentukan itu ternyata salah, maka batal atau tidak sah sembahyang jenazah itu.

Adalah memadai bagi makmum jika berniat dalam sembahyang jenazah dengan niat sembahyang ke atas jenazah yang disembahyangkan oleh imam, contohnya:

أُصَلِّي عَلَى مَنْ صَلَّى عَلَيْهِ اْلإِمَامُ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ مَأْمُومًا فَرْضًا لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang disembahyangkan oleh imam empat takbir fardhu menjadi makmum/ mengikut imam kerana Allah Ta‘ala.”

2.       Berdiri

Hendaklah berdiri ketika melakukan sembahyang jenazah bagi yang mampu berdiri.

3.       Mengangkat empat kali takbir

Hendaklah dilakukan sembahyang jenazah itu dengan empat kali takbir termasuk takbiratul ihram.

4.       Membaca surah Al-Fatihah

Selepas takbir pertama iaitu takbiratul ihram hendaklah dibaca surah al-Fatihah sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ.
(رواه البخاري )

Maksudnya:Tidak (sah) sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah).”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

5.       Membaca salawat ke atas Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Selepas takbir kedua hendaklah dibaca salawat ke atas Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sekurang-kurang bacaan salawat itu ialah:

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ.

Ertinya: “Ya Allah, limpahkanlah salawat kepada Nabi Muhammad.”

Adapun mengucapkan salawat ke atas kaum kerabat Baginda seperti bacaan dalam tahiyyyat akhir adalah tidak wajib akan tetapi disunatkan sahaja.

6.       Doa bagi jenazah

(i)                          Doa selepas takbir ketiga.

Selepas takbir ketiga hendaklah dibaca doa khusus untuk jenazah itu. Tidak memadai dengan hanya mendoakan mayat orang-orang yang beriman. Berdoa inilah sebenarnya tujuan utama dalam sembahyang jenazah, sebagaimana sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

إِذَا صَلَّيْتُمْ  عَلَى الْمَيِّتِ فَأَخْلِصُوا لَهُ الدُّعَاءَ.
(رواه ابو داود)

Bermaksud: “Apabila kamu sembahyang ke atas jenazah maka berdoalah untuknya dengan ikhlas.”
(Hadits riwayat  Abu Daud)

Sekurang-kurang doa bagi jenazah lelaki selepas takbir ketiga ialah:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ.

Jika jenazah itu perempuan:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا.

Ertinya: “Ya Allah, ampunkanlah dia dan rahmatilah dia.”

Sunat memperbanyakkan doa untuk mayat selepas mengangkat takbir ketiga ini. Antara doa-doa yang ma’tsur yang pernah dibaca oleh Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah seperti:

-         Doa bagi jenazah lelaki:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا، كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ.

Ertinya: “Ya Allah, ampunkanlah dia dan rahmatilah dia, selamatkanlah dia, maafkanlah dia, muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah tempat masuknya, mandikanlah dia dengan air salji dan air embun, bersihkanlah dia dari dosa-dosa sebagaimana engkau bersihkan pakaian putih dari kotoran. Gantikanlah baginya rumah yang lebih baik dari rumahnya, keluarga yang lebih baik dari keluarganya, isteri/ suami yang lebih baik dari isterinya/ suaminya, masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah dia dari seksa kubur dan seksa (api) neraka.”

Boleh juga ditambah dengan doa berikut:

اَللَّهُمَّ هَذَا عَبْدُكَ، وَابْنُ عَبْدَيْكَ، خَرَجَ مِنْ رَوْحِ الدُّنْيَا وَسَعَتِهَا، وَمَحْبُوبِهِ وَأَحِبَّائِهِ فِيْهَا، إِلَى ظُلْمَةِ الْقَبْرِ، وَمَا هُوَ لاَقِيْهِ، كَانَ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، وَأَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ، وَأَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ، اَللَّهُمَّ إِنَّهُ نَزَلَ بِكَ، وَأَنْتَ خَيْرُ مَنْزُوْلٍ بِهِ، وَأَصْبَحَ فَقِيْراً إِلَى رَحْمَتِكَ، وَأَنْتَ غَنِيٌّ عَنْ عَذَابِهِ، وَقَدْ جِئْنَاكَ رَاغِبِيْنَ إِلَيْكَ، شُفَعَاءَ لَهُ، اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَ مُحْسِناً فَزِدْ فِي إِحْسَانِهِ، وَإِنْ كَانَ مُسِيئاً فَتَجَاوَزْ عَنْهُ، وَلَقِّهِ بِرَحْمَتِكَ رِضَاكَ، وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَهُ، وَأَفْسِحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ، وَجَافِ اْلأَرْضَ عَنْ جَنْبَيْهِ، وَلَقِّهِ بِرَحْمَتِكَ اْلأَمْنَ مِنْ عَذَابِكَ، حَتىَّ تَبْعَثَهُ إِلَى جَنَّتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

Maksudnya: “Ya Allah, inilah hambaMu, anak kedua orang hambaMu, yang telah keluar dari kesenangan dunia, keluasannya, semua yang disukainya di dunia, dan orang-orang yang dikasihinya di dunia, menuju kegelapan alam kubur dan semua apa yang akan dia jumpai di dalamnya. Dia telah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau, dan bahawa Muhammad adalah hamba dan RasulMu. Engkau lebih mengetahui tentangnya. Ya Allah, sesungguhnya dia beristirehat di sisiMu, dan Engkaulah sebaik-baik tempat untuk beristirehat baginya. Kini dia sangat memerlukan rahmatMu, dan Engkau Maha Kaya dari mengazabnya. Sesungguhnya kami datang kepadaMu dengan penuh harapan kepadaMu, (memohon) syafaat baginya. Ya Allah, jika dia adalah orang yang baik, maka tambahkanlah pada kebaikannya, jika dia bukan orang yang baik-baik, maka maafkanlah dia, berikan dia dengan rahmatMu keredhaanMu, peliharalah dia dari fitnah kubur dan siksanya, lapangkanlah dia di dalam kuburnya, renggangkanlah tanah dari kedua sisi tubuhnya, serta limpahkanlah dengan berkatMu rasa aman kepadanya dari siksaMu, sehingga Engkau mengirimkannya ke SyurgaMu, wahai Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi.”

Boleh juga ditambah lagi dengan doa berikut:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا، وَصَغِيْرِنَا وَكَبِيْرِنَا، وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا، وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا، اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اْلإِسْلاَمِ، وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اْلإِيْمَانِ.

Ertinya: “Ya Allah, ampunkanlah bagi orang-orang yang hidup dan bagi orang-orang yang mati dari kalangan kami, kanak-anak, orang-orang dewasa, kaum lelaki, kaum wanita, orang-orang yang hadir, orang-orang  yang ghaib (tidak hadir bersama-sama kami), Ya Allah, siapa yang Engkau hidupkan dari kalangan kami, maka hidupkanlah dia di jalan Islam, dan siapa yang Engkau matikan dari kalangan kami, maka matikanlah dia dalam iman.”

-         Doa bagi jenazah perempuan:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا، وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا، وَأَكْرِمْ نُزُلَهَا، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهَا، وَاغْسِلْهَا بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهَا مِنَ الْخَطَايَا، كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهَا دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهَا، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهَا، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهَا، وَأَدْخِلْهَا الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهَا مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ.

Boleh juga ditambah lagi dengan doa berikut:

اَللَّهُمَّ هَذِهِ أَمَتُكَ، وَابْنَةُُ عَبْدَيْكَ، خَرَجَتْ مِنْ رَوْحِ الدُّنْيَا وَسَعَتِهَا، وَمَحْبُوبِهَا وَأَحِبَّائِهَا فِيْهَا، إِلَى ظُلْمَةِ الْقَبْرِ، وَمَا هِيَ لاَقِيَتُهُ، كَانَتْ تَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، وَأَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ، وَأَنْتَ أَعْلَمُ بِهَا، اَللَّهُمَّ إِنَّهَا نَزَلَتْ بِكَ، وَأَنْتَ خَيْرُ مَنْزُوْلٍ بِهِ، وَأَصْبَحَتْ فَقِيْرَةً إِلَى رَحْمَتِكَ، وَأَنْتَ غَنِيٌّ عَنْ عَذَابِهَا، وَقَدْ جِئْنَاكَ رَاغِبِيْنَ إِلَيْكَ، شُفَعَاءَ لَهَا، اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَتْ مُحْسِنَةً فَزِدْ فِي إِحْسَانِهَا، وَإِنْ كَانَتْ مُسِيئَةً فَتَجَاوَزْ عَنْهَا، وَلَقِّهَا بِرَحْمَتِكَ رِضَاكَ، وَقِهَا فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَهُ، وَأَفْسِحْ لَهَا فِي قَبْرِهَا، وَجَافِ اْلأَرْضَ عَنْ جَنْبَيْهَا، وَلَقِّهَا بِرَحْمَتِكَ اْلأَمْنَ مِنْ عَذَابِكَ، حَتىَّ تَبْعَثَهَا إِلَى جَنَّتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

Boleh juga ditambah lagi dengan doa berikut:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا، وَصَغِيْرِنَا وَكَبِيْرِنَا، وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا، وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا، اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهَا مِنَّا فَأَحْيِهَا عَلَى اْلإِسْلاَمِ، وَمَنْ تَوَفَّيْتَهَا مِنَّا فَتَوَفَّهَا عَلَى اْلإِيْمَانِ.

-         Doa bagi jenazah kanak-kanak lelaki:

Selain doa di atas untuk jenazah orang dewasa sama ada lelaki dan perempuan ia juga boleh dibacakan untuk jenazah kanak-kanak lelaki dan perempuan dan boleh ditambah lagi dengan doa berikut:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطاً لأَبْوَيْهِ، وَسَلَفاً وَذُخْراً، وَثَقِّلْ بِهِ مَوَازِيْنَهُمَا، وَأَفْرِغِ الْصَبْرَ عَلَى قُلُوبِهِمَا، وَلاَ تَفْتِنْهُمَا بَعْدَهُ، وَلاَ تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهُ.

Ertinya: “Ya Allah, jadikan dia mayat kanak-kanak ini sebagai suatu pendahuluan bagi kedua ibu bapanya, pertaruhan dan simpanan (pahala), beratkanlah dengannya timbangan (amal baik) kedua (ibu bapanya), curahkanlah kesabaran pada hati kedua (ibu bapanya), janganlah Engkau menguji kedua (ibu bapanya) selepasnya, dan janganlah Engkau menghalangi kedua (ibu bapanya) daripada mendapat pahalanya.”

-         Doa bagi jenazah kanak-kanak perempuan:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهَا فَرَطاً لِأَبْوَيْهَا، وَسَلَفاً وَذُخْراً، وَثَقِّلْ بِهَا مَوَازِيْنَهُمَا، وَأَفْرِغِ الْصَبْرَ عَلَى قُلُوبِهِمَا، وَلاَ تَفْتِنْهُمَا بَعْدَهَا، وَلاَ تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهَا.

(ii)                       Doa selepas takbir keempat.

Selepas takbir keempat sunat pula dibaca doa, sekurang-kurang doa bagi jenazah lelaki ialah:

اَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ.

-         Jika jenazah itu perempuan:

اَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهَا وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهَا.

Ertinya: Ya Allah, janganlah Engkau menghalangi kami dari mendapat pahalanya dan janganlah Engkau menguji kami selepasnya.”

7.       Mengucapkan salam

Setelah selesai dari semua takbir dan zikir-zikir dalam sembahyang jenazah hendaklah mengucapkan salam.

Orang yang lebih utama menjadi imam dalam sembahyang jenazah

Orang yang paling utama menjadi imam dalam sembahyang jenazah ialah ayah jenazah dan kemudian datuknya. Kemudian baharulah anaknya, kemudian cucu lelakinya, kemudian adik beradik lelakinya yang seibu-sebapa, kemudian adik beradik lelakinya yang sebapa, kemudian anak adik beradiknya lelaki yang seibu sebapa, kemudian anak adik beradiknya lelaki yang sebapa, kemudian ‘ashabah iaitu keluarga sebelah bapa mengikut urutan ahli waris seperti adik beradik bapanya, anak dari adik beradik bapanya dan seterusnya ahli keluarga yang terdekat seperti adik beradik neneknya sebelah emak, kemudian adik beradik neneknya sebelah bapa dan seterusnya.

Walaupun sembahyang jenazah ini hukumnya fardhu kifayah dan tuntutan melakukannya memadai dengan dilakukan oleh  sebahagian orang Islam sahaja, akan tetapi mereka yang datang menziarahi saudaranya yang meninggal dunia tidak seharusnya hanya memerhatikan dan membiarkan hanya sebahagian daripada mereka yang melakukan sembahyang jenazah. Mereka yang hadir wajar ikut serta melakukannya sebagai salah satu amalan untuk memohonkan rahmat buat saudara kita yang telah meninggalkan kita. Janganlah sampai perkara kurang pandai untuk melakukan sembahyang jenazah itu menjadi alasan untuk tidak menyertai melakukan sembahyang jenazah kerana sembahyang jenazah itu bukanlah suatu perkara yang susah dan mudah dipelajari dalam masa yang singkat. Bukankah elok dan lebih baik jika sembahyang jenazah itu dilakukan dengan lebih ramai jemaahnya.

Kelebihan sembahyang jenazah dengan beramai-ramai itu, disamping mendapat pahala bagi orang yang melakukannya ia juga boleh meringankan azab jenazah di alam kubur dengan permohonan rahmat dan keampunan daripada doa yang kita baca dalam sembahyang jenazah itu. Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadits:

مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ.
(رواه ابو داود)

Maksudnya: “Tidak dari seorang lelaki Islam mati, lalu didirikan sembahyang jenazah ke atas mayatnya itu oleh empat puluh orang lelaki yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu (yang lain) melainkan Allah memberikan ke atas mereka itu syafaat baginya (simati).”
(Hadits riwayat Abu Daud)







11 comments:

  1. Assalamualaikum..

    bagaimana mahu niat jika jenazah yang ada di depan adalah jenazah lelaki dan wanita. sebagai contoh, keluarga yang meninggal sekaligus.. macam mana cara niatnya..?

    ReplyDelete
  2. jamaq kan guna domir mereka dalam niat tu

    ReplyDelete
  3. Niat untuk jenazah kanak-kanak lelaki dan permpuan yg meninggal sekali..mcm mana ye?

    ReplyDelete
  4. Bolehkah sembahyang jenazah di lakukan ketika kita mendatangi haid?

    ReplyDelete
  5. Apa hukum jika penduduk kampung tidak mahu solatkan jenazah termasuk imam sekali..

    ReplyDelete
  6. apa hukumnya setelah solat jenazah dilakukan, orang ramai mengerjakan solat asar dan meninggalkan jenazah seorang diri di dalam van..

    ReplyDelete
  7. Bolehkah solat jenazah dengan solat duduk bagi yang tak mampu solat berdiri..

    ReplyDelete
  8. Bolehkah suami jadi imam solat jenazah utk isterinya. Apakah hukumnya?

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum... Dimanakah tempat yang lebih afdhal untuk solat jenazah?
    Adakah di rumah, surau yang berdekatan rumah atau masjid?
    Mohon memberi penjelasan.

    ReplyDelete
  10. assalamualaikum....apa hukumnya kalau makmum tidak membaca doa langsung setelah takbir yang ketiga dalam sembahyang jenazah?

    ReplyDelete