Wednesday, May 6, 2015

SEMBAHYANG SUNAT TASBIH


SEMBAHYANG SUNAT TASBIH
Kerjakanlah! Walaupun Sekali Seumur Hidup


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Perintah supaya bertasbih disebut di beberapa tempat dalam al-Quran termasuk penentuan waktunya iaitu pagi dan petang.

Amat rugi sekiranya manusia tidak bertasbih kepada Allah sedang langit yang tujuh, bumi dan segala isi di dalamnya bertasbih kepadaNya, tiada ada sesuatu melainkan bertasbih dengan memuji Allah, hanya sanya manusia tidak dapat mengerti dan memahami tasbih mereka itu.

Bertasbih adalah salah satu daripada bentuk zikir dalam rangka mengingati Allah. Bahkan sering juga dipakai perkataan tasbih itu untuk menggantikan perkataan zikir yang banyak macamnya itu.

Salah satu cara mengingati Allah itu ialah melalui sembahyang sunat Tasbih. Dinamakan ia sebagai sembahyang sunat Tasbih kerana mengingat banyaknya lafaz-lafaz tasbih yang diucapkan dalam sembahyang itu. Oleh yang demikian, maka ruangan Irsyad Hukum kali ini akan mengupas dan menerangkan  apakah yang dimaksudkan dengan sembahyang sunat Tasbih itu, dan cara melakukannya dan fadhilat-fadhilatnya serta lain-lain hukum yang berkaitan dengannya.

Fadhilat Membaca Tasbih

Bertasbih adalah di antara jalan untuk kita ingat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, ia juga mempunyai fadhilat yang besar sebagaimana diterangkan oleh al-Quran dan hadis;

1.          Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirannya: “Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”
(Surah al-Ahzaab 35)

2.          Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Ada dua kalimah yang ringan disebut dengan lisan tetapi sangat berat timbangannya, dan ia sangat disukai Allah Tuhan   yang   Rahman.  Kedua   kalimah itu   ialah   ucapan: (سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ) ertinya “Maha Suci Allah dan segala puji hanya bagiNya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

3.          Daripada Abu Malik al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Bersuci  itu  sebahagian  daripada  iman, dan ucapan  "الحمدلله"  dapat  memenuhi  daun  timbangan  dan ucapan "سبحان الله والحمدلله" dapat memenuhi kedua daun timbangan itu, atau memenuhi apa yang terdapat di antara langit dan bumi.”
(Hadits riwayat Imam Muslim)

4.          Hadis yang lain, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan:

Maksudnya:  “Rasulullah   Shallallahu ‘alaihi   wasallam telah   bersabda:  “Demi    sesungguhnya    saya    berkata: "سبحان الله والحمدلله ولااله إلا الله والله أكبر" adalah kerana saya lebih suka daripada matahari naik (yakni dunia dan isinya, kerana dunia akan pergi sementara pahala zikir-zikir ini tetap kekal tiada putus-putus).”
(Hadits riwayat Imam Muslim)

Menghitung Tasbih Dengan Jari

Antara perkara yang berkaitan dengan tasbih itu ialah bagaimana cara menghitungnya. Ada bermacam-macam cara menghitungnya, antaranya menghitung dengan jari sebagaimana yang diterangkan dalam hadis.

Maksudnya: “Daripada Abdullah bin ‘Amr berkata: “Saya melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyimpulkan (menghitungkan) tasbih pada tangan Baginda.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain Yusairah Radhiallahu ‘anha daripada golongan Muhajirin meriwayatkan bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Hendaklah kamu tetap membaca tasbih, tahlil dan taqdis, dan simpullah (hitunglah) bacaanmu itu dengan anak-anak jari, kerana sesungguhnya jari-jari itu akan bertanggungjawab tentang perbuatannya dan janganlah kamu abaikan, nanti kamu lupa akan rahmat.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan hadis-hadis di atas maka membaca tasbih dengan menghitungnya dengan jari itu hukumnya adalah sunat kerana ia adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Walau bagaimanapun harus juga menghitung tasbih dengan sesuatu yang diperbuat daripada batu, kayu atau biji kurma atau tali disimpul sebagaimana yang dibuat oleh sahabat dan ulama yang mana perkara ini disebut oleh Imam as-Suyuthi.

Mudah-mudahan setiap kali melihat buah tasbih itu mengingatkan bahawa tasbih itu adalah alat untuk mengingat Allah Ta‘ala.

Riwayat Hadis Mengenai Sembahyang Sunat Tasbih

Mengikut riwayat hadis di bawah ini sembahyang sunat tasbih boleh dilakukan dalam dua kaifiyat:
-     Kaifiyat yang pertama sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang mana kaifiyat bacaan tasbih di dalam hadis ini bermula selepas membaca surah al-Fatihah dan surah selepasnya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Abbas bin Abdul Muthalib: “Wahai Abbas, bapa saudaraku, apakah suka ku beri kurnia. Ku beri hadiah istimewa, ku ajari sepuluh macam keistimewaan yang mana jika engkau membuatnya dihapuskan oleh Allah bagi engkau sepuluh macam dosa, baik yang terdahulu mahupun yang sekarang, yang sudah lama mahupun yang baru, yang tidak disengaja mahupun yang sengaja, yang kecil mahupun yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang.

Sepuluh macam keistimewaan itu ialah: Hendaklah engkau sembahyang empat rakaat, pada setiap rakaat membaca al-Fatihah dan satu surah (ayat al-Quran). Setelah selesai daripada membaca pada rakaat pertama dan engkau  dalam  keadaan  berdiri  maka   bacalah سبحان الله، والحمدلله، ولااله إلا الله، والله أكبر (Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar) sebanyak 15 kali. Kemudian engkau rukuk, dan dalam rukuk engkau baca kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian engkau angkatlah kepala dari rukuk dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian engkau sujud dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian angkatlah kepala dari sujud (duduk antara dua sujud) dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian engkau sujud kembali selepas itu bacalah tasbih 10 kali. Kemudian angkatlah kepala dari sujud (duduk istirahah sebelum berdiri untuk rakaat selanjutnya) dan bacalah kalimah tasbih 10 kali. Seluruh kalimah tasbih itu dibaca 75 kali pada setiap rakaat, dan kerjakanlah di dalam empat rakaat.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Daripada hadis di atas, jelas bahawa sembahyang sunat Tasbih ialah salah satu sembahyang sunat yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada bapa saudaranya Saiyidina Abbas Ibnu Abdul Muthalib, dan dilakukan dengan empat rakaat dan kaifiyat bacaan tasbih itu adalah pada rukun-rukun tertentu bermula selepas membaca surah al-Fatihah dan surah selepasnya dibaca tasbih tersebut sebanyak 15 kali, kemudian selepas membaca tasbih rukuk dibaca 10 kali, begitu juga semasa i‘tidal dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbih sujud pertama dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca doa duduk antara dua sujud dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbih sujud kedua dibaca 10 kali dan semasa duduk istirahah atau selepas tahiyat awal (jika mengerjakan 4 rakaat dengan satu salam) dibaca 10 kali tasbih, semua tasbih itu dibaca sebanyak 75 kali tasbih pada setiap rakaat dan jumlah keseluruhan tasbih dalam empat rakaat sebanyak 300 kali tasbih.

Kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang pertama dan diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma inilah yang arjah (lebih tepat) sepertimana yang diterangkan dalam kitab Fath al-‘Allam.

-     Kaifiyat kedua pula sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mubarak yang mana di dalam hadis ini kaifiyat bacaan tasbih itu bermula selepas mengangkat takbiratul ihram dan sebelum membaca surah al-Fatihah.

Maksudnya: “Ahmad bin Abdah Adh-Dhabbi menceritakan kepada kami, Abu Wahb memberitahukan kepada kami, ia berkata: “Saya bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak tentang sembahyang yang didalamnya ada bacaan tasbih”. Dia menjawab: “Dia (Orang yang bersembahyang) mengangkat takbir kemudian membaca:

"سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَىجَدُّكَ وَلاَ إِلَهَ غَيْرُكَ"
(Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan memujiMu dan Maha Suci NamaMu dan Maha Luhur PangkatMu, Tidak ada Tuhan selain Engkau). Kemudian membaca lima belas kali:

سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْد ُلِلَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
(Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar). Kemudian membaca Ta‘awwudz, membaca Basmalah, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah yang lainnya. Kemudian membaca tasbih itu sepuluh kali lagi. Kemudian rukuk dan membaca tasbih itu sepuluh kali, kemudian mengangkat kepala (dari rukuk) dan membaca tasbih itu sepuluh kali, kemudian sujud dan membaca tasbih itu sepuluh kali, kemudian mengangkat kepala (dari sujud) dan membaca tasbih tersebut sepuluh kali, kemudian sujud yang kedua dan membaca tasbih itu sepuluh kali.

Dia bersembahyang empat rakaat dengan bacaan sebanyak tujuh puluh lima kali tasbih pada setiap rakaat. Dimulai pada setiap rakaat dengan lima belas kali bacaan tasbih, kemudian membaca (surah al-Fatihah dan surah tertentu) dan kemudian membaca tasbih lagi sebanyak sepuluh kali lagi, jika dikerjakan pada waktu malam, yang lebih disukai adalah mengucapkan salam pada setiap dua rakaat dua rakaat, dan jika dikerjakan di waktu siang ucaplah salam jika mahu (pada setiap dua rakaat), dan jika tidak mahu, janganlah ucapkan salam (setiap dua rakaat tetapi setelah empat rakaat).”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini menjelaskan bahawa bacaan tasbih itu bermula selepas mengangkat takbir dan sebelum membaca surah al-Fatihah dan surah selepas al-Fatihah 15 kali dan membaca 10 kali lagi setelah selesai membaca surah al-Fatihah dan surah selepasnya, kemudian selepas membaca tasbih rukuk 10 kali, begitu juga semasa i‘tidal 10 kali, kemudian selepas membaca tasbih sujud pertama 10 kali, selepas membaca doa duduk antara dua sujud 10 kali dan selepas membaca tasbih sujud kedua 10 kali.

Walaubagaimanapun kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang pertama itu adalah arjah (lebih tepat) akan tetapi kaifiat sembahyang sunat Tasbih yang kedua ini juga boleh dilakukan sepertimana riwayat hadis di atas, dan kedua-dua kaifiyat ini juga diamalkan di sebahagian masjid-masjid di negara kita khususnya pada malam sepuluh terakhir bulan ramadhan untuk menghidupkan malam tersebut dan mengharapkan kehadiran Lailatul Qadar.

Kaifiyat (Cara) Mengerjakan Sembahyang Sunat Tasbih

Bagi kemudahan para pembaca didetilkan kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu:

1.          Lafaz niat sembahyang sunat Tasbih jika dua rakaat satu salam ialah:

أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّسْبِيْحِ رَكَعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah ta‘ala.”

Atau jika dilakukan empat rakaat:

أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّسْبِيْحِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah ta‘ala.”

2.          Membaca doa Iftitah.

-    (Peringatan: Mengikut kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua, bacaan tasbih yang pertama sebanyak 15 kali bermula selepas takbiratul ihram dan membaca doa iftitah iaitu sebelum membaca surah al-Fatihah.)

3.          Membaca Ta‘awwudz.                 أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ.

4.          Membaca surah al-Fatihah.

5.          Membaca surah al-Hadid atau surah at-Takatsur pada rakaat pertama (boleh juga membaca surah-surah yang lain).

Begitu juga pada rakaat kedua afdhal membaca surah al-Hasyr atau surah al-‘Asr, pada rakaat ketiga surah as-Shaff atau surah al-Kafirun dan pada rakaat keempat surah al-Jumu‘ah atau surah al-Ikhlas.

6.          Setelah selesai membaca al-Fatihah dan surah selepasnya dan sebelum rukuk membaca tasbih sebanyak 15 kali.

سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ.

-   (Peringatan: Mengikut kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua bacaan tasbih itu dibaca lagi selepas surah al-Fatihah dan surah selepasnya sebanyak 10 kali kemudian rukuk. Bacaan tasbih seterusnya dibaca semasa rukuk, i‘tidal, sujud pertama, duduk antara dua sujud dan sujud kedua adalah sama sebanyak 10 kali, tetapi bacaan tasbih semasa duduk istirahah sebelum bangun untuk rakaat kedua tidak dibaca begitu juga semasa tahiyat akhir pada rakaat kedua juga tidak dibaca.)

7.          Rukuk dan membaca tasbih rukuk 3 kali.
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِه.ِ    

8.          Setelah selesai membaca tasbih rukuk terus sambung membaca tasbih 10 kali.

9.          I‘tidal sambil membaca tasmi‘ kemudian tahmid.

         سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ.

10.     Membaca tasbih selepas membaca tahmid i‘tidal 10 kali.

11.     Sujud dan membaca tasbih sujud 3 kali.

سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ.

12.     Membaca tasbih selepas tasbih sujud 10 kali.

13.     Duduk antara dua sujud dan membaca doa.

رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَارْحَمْنِيْ وَاجْبُرْنِيْ وَارْفَعْنِيْ وَارْزُقْنِيْ وَاهْدِنِيْ وَعَافِنِيْ وَاعْفُ عَنِّيْ.

14.     Membaca tasbih selepas membaca doa duduk di antara dua sujud 10 kali.

15.     Sujud kedua dan membaca tasbih sujud 3 kali.

16.     Membaca tasbih selepas tasbih sujud kedua 10 kali.
-   (Peringatan: Disinilah bacaan tasbih terakhir bagi kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua. Begitulah seterusnya pada rakaat kedua, ketiga dan keempat.)

17.     Bangkit dari sujud yang kedua iaitu duduk istirahah (duduk sebelum berdiri untuk rakaat yang seterusnya) dan membaca tasbih 10 kali.

18.     Ulangilah bacaan tasbih itu pada rakaat kedua, ketiga dan keempat pada tempat yang sama sepertimana bacaan pada rakaat pertama kecuali:

-    Jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan pada waktu malam lebih utama dikerjakan setiap dua rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbih pada rakaat kedua itu sebelum atau selepas membaca tahiyat akhir.

-   Begitu juga jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan di waktu siang adalah lebih afdhal dikerjakan empat rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbih terakhir pada rakaat kedua sebelum atau selepas tahiyat awal dan pada rakaat keempat hendaklah membaca tasbih terakhir sebelum atau selepas tahiyat akhir.

19.     Begitulah kaifiyat membaca tasbih dalam sembahyang sunat Tasbih, kesemua jumlah tasbih yang dibaca dalam empat rakaat adalah sebanyak 300 tasbih iaitu 75 tasbih pada setiap rakaat.

20.     Kemudian sunat membaca doa selepas tahiyat akhir dan sebelum salam.

Doa masyhur sepertimana yang diterangkan oleh Imam Kurdi dan Syarqawi di dalam kitab Fath al-‘Allam selepas tahiyat akhir dan sebelum salam ialah:

اَللَّهُمَّ إِناَّ نَسْأَلُكَ تَوْفِيْقَ أَهْلِ الْهُدَى وَأَعْمَالَ أَهْلِ الْيَقِيْنِ، وَمُنَاصَحَةَ أَهْلِ التَّوْبَةِ، وَعَزْمَ أَهْلِ الصَّبْرِ، وَجِدَّ أَهْلِ الْخَشْيَةِ، وَطَلَبَ أَهْلِ الرَّغْبَةِ، وَتَعَبُّدَ أَهْلِ الْوَرَعِ، وَعُرْفَانَ أَهْلِ الْعِلْمِ، حَتَّى نَخَافَكَ.

اَللَّهُمَّ إِناَّ نَسْأَلُكَ مَخَافَةً تَحْجِزُنَا عَنْ مَعَاصِيْكَ، حَتَّى نَعْمَلَ بِطَاعَتِكَ عَمَلاً نَسْتَحِقُّ بِهِ رِضَاكَ، وَحَتَّى نُنَاصِحَكَ فِي التَّوْبَةِ خَوْفاً مِنْكَ، وَحَتَّى نَخْلِصَ لَكَ النَّصِيْحَةَ حُبّاً لَكَ، وَحَتَّى نَتَوَّكَلَ عَلَيْكَ فِي اْلأُموْرِ كُلِّهَا حُسْنَ ظَنٍّ بِكَ سُبْحَانَ خَالِقِ النُّوْرِ.

Ertinya: “Ya Allah! Kami bermohon dariMu taufiq seperti golongan yang mendapat pertunjuk, ibadat golongan yang yakin, ketulusan golongan yang bertaubat, keazaman golongan yang sabar, kewaspadaan golongan yang takut, pengharapan golongan yang tekun, peribadatan golongan yang wara’, kebijaksanaan golongan yang berilmu sehingga kami menjadi takut kepadamu.”

“Ya Allah! Kami bermohon kepadaMu sifat takut yang akan menjadikan benteng dari berbuat maksiat kepadaMu, (kami bermohon kepadaMu) amalan yang dengannya kami mendapat keredhaanmu sehingga (menjadikan) kami dapat beramal dengan penuh ketaatan, (kami bermohon) rasa takut kepadaMu sehingga (menjadikan) kami memohon nasihat kepadaMu di dalam taubat, (kami bermohon)  rasa cinta  kepadaMu sehingga (menjadikan) kami ikhlas kepadaMu dalam meminta nasihat, (kami bermohon)  bersangka baik kepadaMu Tuhan yang Maha Suci pencipta nur (cahaya) sehingga (menjadikan) kami bertawakkal kepadaMu di dalam setiap urusan.”

Di dalam riwayat yang lain ada juga yang menambah dengan doa ini:

رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُوْرَنَا وَاغْفِرْلَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

Ertinya: Wahai Tuhan kami sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari sekalian yang mengasihi.

Doa ini dilakukan setiap kali sebelum salam, jika melakukan sembahyang sunat Tasbih ini setiap dua rakaat sekali salam hendaklah membaca doa ini dua kali iaitu setiap kali sebelum memberi salam, dan jika dilakukan dengan empat rakaat sekali salam hendaklah membaca doa ini sekali sahaja. Sepertimana perkataan Syabramillisi: “Doa ini dibaca sekali jika melakukan sembahyang sunat Tasbih dengan sekali takbiratul ihram dan dibaca doa ini dua kali jika melakukannya dengan dua kali takbiratul ihram.”

21.     Kemudian memberi salam ke kanan dan ke kiri.
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.

22.     Kemudian selepas mengucapkan salam bolehlah memohon dengan membaca doa-doa lain supaya diperkenankan segala hajat.

Begitulah kaifiyat sembahyang sunat Tasbih dan bacaan tasbih sepertimana yang diterangkan dalam hadis di atas dan ditambah dengan bacaan:
"وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ"

Sebagaimana yang disebut dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj.

Hukum Sembahyang Sunat Tasbih

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah, sembahyang sunat Tasbih adalah di antara sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan masa dan sebab tertentu, maka sunat dilakukan pada setiap masa, sama ada di waktu malam ataupun siang dan haram dilakukan di dalam waktu-waktu yang diharamkan bersembahyang.

Sembahyang sunat Tasbih ini dianjurkan melakukannya, sehinggakan jika mampu, afdhal dikerjakan pada tiap-tiap hari. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan sekali pada setiap Jumaat. Jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan sebulan sekali. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan setahun sekali dan jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan seumur hidup sekali. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Jika engkau mampu mengerjakannya sekali setiap hari maka kerjakanlah, jika engkau tidak mampu membuatnya maka kerjakanlah sekali setiap Jumaat, jika engkau tidak mampu, maka kerjakanlah sekali sebulan, jika engkau tidak mampu maka kerjakanlah sekali setahun, jika engkau tidak mampu juga maka kerjakanlah sekali seumur hidup.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh yang demikian, sunat dilakukan sembahyang sunat Tasbih itu berulang kali walaupun dalam masa yang berdekatan.

Surah-Surah Yang Sunat Dibaca Dalam Sembahyang Sunat Tasbih

Sunat dibaca surah at-Takatsur pada rakaat pertama, surah al-‘Asr pada rakaat yang kedua, surah al-Kafirun pada rakaat yang ketiga dan surah al-Ikhlas pada rakaat yang keempat.

Menurut setengah ulama pula, surah yang lebih utama dibaca ialah surah yang pada permulaan ayatnya disebut perkataan tasbih iaitu surah al-Hadid pada rakaat pertama, surah al-Hasyr pada rakaat kedua, surah as-Shaff pada rakaat ketiga dan surah al-Jumu‘ah pada rakaat keempat. Jika tidak mampu, maka bolehlah membaca surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-‘Adiyaat pada rakaat kedua, surah at-Takatsur pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlas pada rakaat keempat.

Boleh juga membaca surah-surah lain jika tidak hafal semua surah yang di atas, akan tetapi surah-surah di atas itu adalah yang lebih afdhal atau lebih utama dan mendapat pahala mengikut keutamaan surah-surah tersebut.

Bilangan Rakaat Sembahyang Sunat Tasbih Dan Waktunya

Sembahyang sunat Tasbih dikerjakan pada bila-bila masa sebanyak empat rakaat. Jika dikerjakan pada waktu siang adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan satu salam. Jika dikerjakan pada waktu malam adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan dua salam.

Fadhilat Sembahyang Sunat Tasbih

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan kepada bapa saudaranya bahawa kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu sangatlah besar sebagaimana hadis Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Jika engkau membuat yang sedemikian itu, Allah menghapuskan dosamu, baik yang terdahulu, yang sekarang, yang sudah lama, yang baru, yang tidak disengaja, yang sengaja, yang kecil, yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang-terangan.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain, apabila orang telah mendengar kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu, dan ia tinggalkan yakni tidak membuatnya maka ia tergolong daripada orang yang mencuaikan agama.

Bolehkah Sembahyang Sunat Tasbih Diqadha?

Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu bahawa sembahyang sunat Tasbih adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan waktu dan sebab dan sunat melakukan di waktu malam dan siang selain waktu yang diharamkan bersembahyang, ia juga boleh dilakukan pada setiap masa dan dianjurkan supaya selalu mengerjakannya walaupun dalam masa yang berdekatan kerana ia mempunyai fadhilat yang sangat besar.

Dari itu, sembahyang sunat Tasbih tidaklah dapat diqadha disebabkan ianya adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak ada waktu tertentu.

Hukum Bacaan Tasbih Dalam Sembahyang Sunat Tasbih Dan Dalam Sembahyang-Sembahyang Sunat Selainnya

Bacaan tasbih dalam sembahyang sunat Tasbih itu adalah dikategorikan sebagai sunat hai’ah seperti bacaan takbir dalam sembahyang dua Hari Raya. Jika tertinggal bacaan tasbih tersebut itu dalam sembahyang, tidaklah disunatkan menggantikannya dengan sujud sahwi.

Begitu juga jika seseorang berniat untuk mengerjakan sembahyang sunat Tasbih, akan tetapi dia tidak membaca tasbih tersebut semasa sembahyang, sembahyangnya adalah dikira sah dengan syarat tempoh masa i‘tidal, dan duduk di antara dua sujud dan duduk istirahah tidak dipanjangkan, kerana perkara sedemikian boleh membatalkan sembahyang. Dengan demikian menjadilah ia sembahyang sunat mutlak sahaja bukanlah sembahyang sunat Tasbih.

Jika sekiranya seseorang berniat untuk sembahyang sunat biasa sahaja, kemudian mendatangkan bacaan tasbih-tasbih tersebut dalam sembahyangnya itu, maka dalam perkara ini diharuskan baginya membaca tasbih berkenaan selagi dia tidak memanjangkan rukun yang pendek seperti i’tidal kerana niatnya itu niat sembahyang sunat biasa sahaja bukan sembahyang sunat Tasbih. Dengan demikian ianya tetap dianggap sebagai sembahyang sunat mutlak biasa bukannya sembahyang sunat Tasbih.

Selain itu, disunatkan mengisrarkan (tidak menyaringkan) bacaan tasbih itu, sama ada ianya dilakukan di waktu malam ataupun di waktu siang. Adapun bacaan-bacaan lain dalam sembahyang sunat Tasbih itu disunatkan juga membaca dengan israr jika dilakukan di waktu siang akan tetapi disunatkan membaca dengan bacaan pertengahan antara jahr (dinyaringkan) dan israr jika dikerjakan di waktu malam sepertimana sembahyang sunat-sunat yang lain.

Akan tetapi jika bernazar untuk menyaringkan bacaan tasbih itu dalam sembahyang sunat Tasbih tersebut, maka menjadilah bacaan jahr itu wajib disebabkan nazar itu, sepertimana yang disebutkan dalam bab nazar.

Jika sekiranya terlupa membaca tasbih dalam rukun tertentu sehingga berpindah pada rukun selepasnya, tidak harus kembali kepada rukun tersebut untuk membacanya. Sekiranya dia tahu akan perkara itu dan dengan sengaja mengulang rukun itu, maka batallah sembahyangnya.

Oleh kerana tidak dapat mengulang rukun tasbih tersebut untuk membaca tasbih, maka gantilah bacaan tasbih itu pada rukun seterusnya selain semasa i‘tidal, duduk antara dua sujud dan duduk istirahah. Ini kerana memanjangkan tiga rukun ini boleh membatalkan sembahyang walaupun dalam sembahyang sunat Tasbih, sebab bacaan tasbih dalam tiga rukun tersebut di dalam sembahyang sunat Tasbih hanyalah dikhususkan untuk bacaan yang asal sahaja.

Oleh itu, jika sekiranya terlupa membaca tasbih ketika rukuk, maka janganlah diganti bacaan tasbih yang tertinggal itu semasa i‘tidal, kerana tidak boleh memanjangkan bacaan padanya akan tetapi gantilah bacaan itu semasa sujud, kerana sujud adalah dikategorikan sebagai rukun yang panjang sebagaimana yang dikatakan oleh al-Baghawi.

Manakah Yang Lebih Afdhal, Washl Atau Fashl?

Washl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bersambung iaitu empat rakaat dengan satu salam. Sementara fashl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bercerai iaitu setiap dua rakaat sekali salam.

Ibnu Hajar mengatakan dalam kitabnya Fatawa Kubra al-Fiqhiyah, kedua cara tersebut ada diterangkan di dalam hadis. Oleh yang demikian, harus melakukan kedua cara tersebut, akan tetapi Imam Ghazali mengatakan dalam kitabnya Ihya ‘Ulumiddin, jika dikerjakan di waktu siang sambungkanlah empat rakaat dengan satu salam, dan jika dikerjakan di waktu malam ceraikanlah empat rakaat dengan dua salam, sepertimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda ditanya oleh seorang lelaki tentang bagaimana sembahyang malam itu, Baginda pun menjawab:

Maksudnya: “Sembahyang malam itu dua rakaat dua rakaat.”
(Hadis Imam Ahmad)

Haruskah Sembahyang Sunat Tasbih Dilakukan Secara Berjemaah?

Selain daripada sembahyang fardhu, ada juga sembahyang sunat yang disebut dalam kitab fiqh sebagai sembahyang at-tathawwu‘ dan an-nawafil.

Sembahyang-sembahyang an-nawafil itu menurut pengertiannya dari segi bahasa ialah tambahan, kerana ia merupakan tambahan ke atas sembahyang-sembahyang yang telah difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia terbahagi kepada dua bahagian:

1.    Yang sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang Hari Raya, sembahyang Gerhana Bulan dan Matahari, sembahyang Witir pada bulan Ramadhan.

2.    Yang tidak sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang ar-rawatib yang mengiringi sembahyang-sembahyang fardhu, sembahyang Witir bukan di bulan Ramadan dan sembahyang Dhuha, sembahyang Tahajjud, sembahyang Tasbih.

Ketika mengulas tentang sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah, asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini dalam kitab beliau Mughni al-Muhtaj menjelaskan, adapun sebab ianya tidak disunatkan berjemaah kerana muwazhabah (kebiasaan) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya secara bersendirian. Adapun sunatnya itu hendaklah tidak dilakukan secara berjemaah, tetapi tidak dihukumkan makruh, kerana Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mengikut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang sunat Tahajjud di rumah emak saudaranya, Maimunah.

Imam Jalaluddin al-Mahalli dalam Syarh al-Minhaj berkata ketika menjelaskan bahagian sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah:

Ertinya: “Bahagian yang tidak disunatkan berjemaah itu, jika dilaksanakan secara berjemaah tidaklah makruh. Demikian menurut Imam an-Nawawi di dalam kitab ar-Raudhah.”

Asy-Syeikh Qalyubi di dalam Hasyiyatan ketika mengulas perkataan Imam Jalaluddin al-Mahalli “tidaklah makruh” di atas, katanya:

Ertinya: “Bahkan ia (bersembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah jika dilakukan secara berjemaah) menyalahi yang utama (khilaf al-awla) dan maksudnya, tidak disunatkan dilakukan berjemaah secara berterusan.”
Dengan penjelasan di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa sembahyang sunat Tasbih walaupun tidak disunatkan berjemaah, namun apabila ia dilakukan secara berjemaah tidaklah ia makruh, dan jauh sekali dianggap sebagai bid‘ah, hanyalah ia khilaf al-awla  yakni menyalahi yang utama sahaja.

Orang ramai boleh memilih melakukannya secara berjemaah ataupun bersendirian. Melakukannya secara berjemaah itu tetaplah mendapat pahala kerana berjemaah. Sebagaimana telah dinaqal oleh asy-Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani daripada Ali asy-Syabramallisi katanya:

Ertinya: “Dan diberi ganjaran pahala berjemaah secara mutlak, akan tetapi adalah awla (lebih utama) meninggalkannya yakni berjemaah itu.”

Penutup

Dari penjelasan yang di atas dapatlah difahami bahawa sembahyang sunat Tasbih mempunyai fadhilat yang tersendiri selain dapat mendekatkan diri kita kepada Allah Ta‘ala dengan bertasbih, tahmid, tahlil dan takbir, sembahyang sunat Tasbih juga dapat menghapuskan segala dosa.


Oleh yang demikian, janganlah kita abaikan, kerana sesiapa yang mengetahui akan fadhilat dan kelebihan sembahyang sunat Tasbih ini tetapi tidak mengerjakannya, maka orang itu tergolong di antara orang yang mencuaikan agama sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain. Dari itu, kerjakanlah sembahyang sunat Tasbih itu walaupun sekali seumur hidup.

9 comments:

  1. Sah ke kalau solat tasbih baca 'subhanallah' sahaja

    ReplyDelete
  2. Sah ke kalau solat tasbih baca 'subhanallah' sahaja

    ReplyDelete
  3. bacaan yang biasa nabi baca" subhanallah walhamdulillan walailahaillah wallahuakbar walahaulawala quata illahbillah aliyul adzhim" sebanyak 300 kali keseluruhan bacaan.

    ReplyDelete
  4. bacaan yang ni nabi sarankan, barulah sempurna. insyallah

    ReplyDelete
  5. kalau selama ni dh baut subhanallah je, tukar la plak...anggap la Allah swt terima disebabkan kekurangan fahaman ilmu yg kita ada

    ReplyDelete
  6. maha suci Allah semoga diriku ini dpt melaksanakn solat tasbih 1 bulan sekali. insyaallh

    ReplyDelete
  7. Jika hendak melakukan sunat tasbih dalam 2 salam, maka berapa lama dibenarkan selepas salam dan utk bangun mengangkat takbiratul ihram bagi 2 rakaat yg kedua?

    ReplyDelete
  8. Sangat bermanfaat...terima kasih

    ReplyDelete
  9. Kalau baca tasbih lebih daripada bilangan boleh tak

    ReplyDelete