Thursday, May 14, 2015

SEMBAHYANG SUNAT TASBIH

HARUSKAH SEMBAHYANG SUNAT TASBIH 
DILAKUKAN SECARA BERJEMAAH?

Soalan:

Pada masa ini kebanyakkan masjid-masjid mendirikan solat sunat tasbih dengan berjemaah bagi mengisi acara pada malam-malam 10 terakhir bulan Ramadan.  Sejauh yang kaola tahu bahawa tidak ada nash Al-Qur‘an dan hadis yang kaola pernah baca dalam kitab-kitab / buku fiqh yang membolehkan solat sunat tasbih didirikan dengan berjemaah.  Solat sunat tasbih ini dikategorikan termasuk solat yang dilakukan secara bersendirian sahaja.  Persoalannya, apakah perkara ini tidak menyalahi sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam jika ia dilakukan dengan berjemaah dan mungkinkah hal ini termasuk perkara bid‘ah, apakah tindakan pihak Jabatan Pehin mengenai hal ini untuk pihak kaola dapat sampaikan kepada pengetahuan pihak Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Kalau pula ia diharuskan dan tidak bertentangan dengan sunnah, dapatkah dengan ihsan pihak Pehin menyatakan dalil yang menyatakan keharusan berjemaah itu.


Daripada:
Mudim Haji Amran bin Haji Md. Salleh,
Masjid Omar Ali Saifuddien,
Bandar Seri Begawan,
Negara Brunei Darussalam.


Jawapan:

الحمد لله الفتاح الوهاب الهادى الى الحق والصواب, اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد الفاتح لما اغلق والخاتم لما سبق والناصر الحق بالحق والهادى الى صراطك المستقيم صلى الله عليه وآله وأصحابه حق قدره ومقداره العظيم

Selain daripada sembahyang fardhu, ada juga sembahyang sunat yang disebut dalam kitab fiqh sebagai shalat at-Tathauwu‘ dan an-Nawafil.

Sembahyang-sembahyang an-Nawafil itu menurut  pengertiannya dari segi bahasa ialah tambahan kerana ia merupakan tambahan ke atas sembahyang-sembahyang yang telah difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.  Ia terbahagi kepada dua bahagian:

1.     Disunatkan melakukannya secara berjemaah iaitu seperti sembahyang Hari Raya, sembahyang Gerhana Bulan dan Matahari, sembahyang Meminta Hujan, sembahyang Tarawih dan sembahyang Witir pada bulan Ramadan.

2.     Tidak disunatkan melakukannya secara berjemaah iaitu seperti Ar-Rawatib yang mengiringi sembahyang-sembahyang fardhu dan yang tidak mengiringi sembahyang fardhu iaitu seperti sembahyang Witir bukan di bulan Ramadan dan sembahyang Dhoha, begitu juga dengan Ghair     Ar-rawatib seperti sembahyang Tahajjud, Tasbih dan seumpamanya.

Ketika mengulas tentang sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah Asy-Syeikh Muhammad Al-Khatib Asy-Syirbini dalam kitab beliau Mughni Al-Muhtaj menjelaskan bahawa adapun sebab ianya tidak disunatkan berjemaah kerana muwazhabah (kebiasaan) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya secara bersendirian.  Adapun sunatnya itu hendaklah tidak dilakukan secara berjemaah walaupun ianya harus dilaksanakan secara berjemaah tanpa dihukumkan makruh kerana Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mengikut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang sunat Tahajjud di rumah emak saudaranya, Maimunah. (1:219-220)

Imam Jalaluddin Al-Mahalli dalam Syarah Al-Minhaj berkata ketika menjelaskan bahagian sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah:

لا تسن فيه الجماعة، فلو صلى جماعة لم يكره، قاله فى الروضة
(حاشيتان، قليوبى - عميرة 1:240)

Maksudnya: “Bahagian yang tidak disunatkan berjemaah itu, jika dilaksanakan secara berjemaah  tidaklah makruh. Demikian menurut Imam An-Nawawi   di dalam kitab Ar-Raudhah”

Asy-Syeikh Qalyubiy di dalam Hasyiyatan ketika mengulas perkataan Imam Jalaluddin Al-Mahalliلم يكره) di atas, katanya:

بل هو خلاف الأولى والمراد أنه لا تسن الجماعة فيه على الدوام


Maksudnya: “Bahkan ia (bersembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah jika dilakukan secara berjemaah) menyalahi yang utama خلاف الأولى dan maksudnya tidak disunatkan dilakukan berjemaah secara berterusan.

Dengan penjelasan di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa sembahyang Sunat Tasbih walaupun tidak disunatkan berjemaah, namun apabila ia dilakukan secara berjemaah tidaklah ia makruh, dan jauh sekali dianggap sebagai bid’ah, hanyalah ia خلاف الأولى yakni menyalahi yang utama sahaja.

Orang ramai boleh memilih melakukannya secara berjemaah atau pun bersendirian. Melakukannya      secara berjemaah itu tetaplah mendapat pahala kerana berjemaah, sebagaimana telah dinaqal oleh Asy-Syeikh Abdul Hamid Asy-Syarwani daripada Ali Asy-Syibramalissi katanya:

ويثاب على ذلك مطلقا لكن الأولى ترك الجماعة

Ertinya: “Dan diberi ganjaran pahala berjemaah secara mutlak, akan tetapi adalah awla (lebih utama) meninggalkannya yakni berjemaah itu.”
(Hawasyi Asy-Syarwani Wa Ibn Qasim Al-‘Abbadi 2:220).

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ


[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.


No comments:

Post a Comment