Saturday, May 9, 2015

TAKBIR SEMBAHYANG


 TAKBIR SEMBAHYANG:
HURAIAN DAN KESEMPURNAANNYA 

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه

Sebaik-baik pertuturan (kalam) kepada Allah, salah satunya ialah takbir. Takbir menunjukkan kepada mengagungkan Allah Subahanahu wa Ta‘ala dengan ucapan “Allahu Akbar” yang bererti Allah Maha Besar.  

Ucapan takbir ini mendapat tempat dalam sembahyang yang menjadikannya sebagai rukun qauli. Maka Irsyad Hukum kali ini menghuraikan persoalan hukum dan kesempurnaan takbir dalam sembahyang, termasuk takbirulintiqalat.

Takbiratulihram

Takbiratulihram adalah salah satu daripada rukun sembahyang. Sebagaimana dalam hadis Abu Hurairah:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَدَّ، وَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ


فَرَجَعَ يُصَلِّي كَمَا صَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ثَلاثًا
 فَقَالَ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أُحْسِنُ غَيْرَهُ فَعَلِّمْنِي

فَقَالَ: إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاتِكَ كُلِّهَا
(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke masjid, dan masuklah seorang lelaki lalu bersembahyang. Sesudah itu dia memberi salam kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda pun membalas salam itu lalu bersabda: “Kembalilah dan kerjakanlah sembahyang, sesungguhnya engkau belum sembahyang.”

Lalu lelaki itu pun kembali mengerjakan sembahyang sebagaimana dia sembahyang sebelumnya. Kemudian lelaki itu datang dan memberi salam lagi kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Kembalilah dan kerjakanlah sembahyang, sesungguhnya engkau belum sembahyang.” Demikianlah berulang sehingga tiga kali.

Maka lelaki itu berkata: “Demi zat yang mengutus engkau dengan kebenaran, saya tidak dapat melakukan sembahyang yang lebih baik, maka ajarkanlah aku.”

Baginda bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk sembahyang, maka bertakbirlah kemudian bacalah yang mudah bagimu daripada Al-Qur’an, kemudian ruku‘lah sehingga kamu bertuma’ninah dalam ruku‘, kemudian bangkitlah sehingga tegak berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu bertuma’ninah dalam sujud, kemudian bangkitlah sehingga kamu bertuma’ninah dalam duduk. Lakukanlah yang demikian itu dalam sembahyangmu keseluruhannya.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain pula menyebutkan:

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِفْتَاحُ الصَّلاةِ الْوُضُوءُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ 
(رواه أحمد)

Maksudnya: “Daripada ‘Ali Radhiallahu ‘anhu katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Kunci sembahyang itu adalah wudhu, dan permulaan sembahyang itu (bermulanya hukum haram melakukan sesuatu yang dihalalkan sebelumnya seperti makan dan minum) adalah takbir dan penyudah sembahyang itu (berakhirnya hukum haram tersebut) adalah taslim iaitu memberi salam.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Takbiratulihram ialah mengucapkan “Allahu Akbar” pada permulaan sembahyang. Ia dilakukan beriringan dengan niat sembahyang. Dinamakan ia sebagai takbiratulihram, kerana orang yang bersembahyang itu mengharamkan ke atas dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang seperti makan, minum, berkata-kata atau seumpamanya. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/212)

Ucapan takbir dalam sembahyang itu telah pun ditetapkan lafaznya iaitu “Allahu Akbar” sebagaimana mengikut sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي 
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Ataupun dilafazkan dengan kalimah “Allahul Akbar” (ditambah huruf “alif” dan “lam” pada kalimah Akbar الله الأكبر”).

1.    Tidak sah melafazkan takbir itu seperti contoh-contoh berikut:

      i.           Mendahulukan kalimah “Akbar” daripada lafzul JalalahAllah” (أكبر الله) ataupun (أكبر الله أكبر).
   ii.           Menukar kalimah “Akbar” kepada kalimah “Kabir”(الله كبير) kerana ia menghilangkan makna mengagungkan.

2.    Tidak sah melafazkan takbir dengan menambah huruf pada ucapan takbir itu yang boleh menukar maknanya seperti berikut:

·     Memanjangkan huruf hamzah pada lafzul Jalalah (آلله) atau pada kalimah “Akbar” (آكبر). Ini kerana menukar maknanya kepada pertanyaan (istifham).
·     Memanjangkan huruf “ba” pada kalimah akbar (أكبار), maka menjadilah ia sebagai jama‘ kepada kabar yang bererti gendang yang satu muka.
·     Menambah huruf “wau” sebelum lafzul Jalalah (والله أكبر).
·     Menurut Ibnu Hajar, menambah huruf “wau” sakinah (bertanda mati) di antara dua kalimah takbir, seperti (اللّهُو) kerana ia menjadikan jama‘ pada kalimah lah (لاه) yang bererti berkilauan, atau menambah huruf “wau” mutaharrikah (yang berbaris) seperti (الله وَأكبر).
·     Menambah mad huruf “alif” di antara huruf “lam” dan “ha” dalam lafzul Jalalah (اللّه) sehingga melebihi had yang tidak dianjurkan oleh ahli qurra’. Menurut Ibnu Hajar, kadar had panjang mad huruf “alif” di atas itu adalah sebanyak tujuh alif dan setiap satu alif pula mempunyai dua harkat.

Dalam melafazkan takbir itu, tidak mengapa jika berhenti sekejap di antara dua kalimah takbir dengan kadar mengambil nafas. Manakala menurut Al-Azdra‘ie, tidak mengapa jika melebihi kadar berhenti itu daripada kadar mengambil nafas seperti orang yang gagap. Demikian juga, tidak mengapa jika disebut dalam takbir itu dengan membunyikan huruf “ra” yang berbaris depan (الله أكبرُ). (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/215-216)
Walau bagaimanapun sunat huruf “ra” dalam kalimah “Akbar” itu dibunyikan dengan tanda mati. (Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Furu‘ Tata‘allaq Bi At-Takbir: 2/234)

Wajib bagi orang yang mengerjakan sembahyang itu mendengar setiap huruf takbir yang dilafazkannya ketika mengangkat tabiratulihram tersebut. Sebagaimana dengan rukun qauli yang lainnya seperti membaca surah Al-Fatihah, tasyahhud dan salam. Hukum wajib mendengar itu adalah bagi orang yang baik pendengarannya. Sementara orang yang tidak baik pendengarannya seperti tuli atau disebabkan ada halangan untuk mendengar seperti riuh rendah tempat itu, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi wajib dia melafazkan takbir itu dengan suara yang tinggi atau nyaring dengan kadar apa yang dapat didengarnya jika dalam keadaan dia boleh mendengar. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/217-218)

Syarat-syarat yang lain pula, hendaklah lafaz takbir itu dalam bahasa Arab bagi orang yang boleh/pandai melafazkannya. Akan tetapi bagi orang yang tidak pandai melafazkannya dalam bahasa Arab, maka wajib dia mempelajarinya walaupun mengakhirkan sembahyang daripada awal waktunya. Jika dia tidak pandai juga setelah mempelajarinya sehingga hampir luput waktu sembahyang, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dalam hal yang demikian itu dengan menterjemahkan takbir tersebut dalam bahasa yang dia pandai dan tidak perlu lagi diulangi semula sembahyangnya itu jika dia sudah pandai melafazkan takbir. Adapun jika dia  sambil lewa mempelajari takbir dalam bahasa Arab tersebut lalu dia mengerjakan sembahyang, maka hendaklah dia mengulangi semula sembahyang itu setelah pandai. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/215)

Disyaratkan juga kepada orang yang mengikut imam, mengakhirkan takbirnya sehingga imam sempurna melafazkan takbir. Jika takbir makmum tersebut mengiringi sebahagian takbir imam, maka tidak sah ikutan itu dan tidak dikira sembahyang makmum itu sebagaimana menurut As-Syarqawi. (Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Syuruth Shihhah At-Takbirah Al-Ula: 2/229)

Sunat mengangkat kedua-dua tapak tangan ketika melakukan takbiratulihram dengan mendedahkan tapak tangan tersebut serta menjarangkan sedikit jejarinya. Kedudukan kedua-dua tapak tangan itu sejajar dengan kedua bahunya serta jejarinya berada sejajar dengan atas telinga melainkan ibu jari sahaja berada sejajar dengan cuping telinga. Sunat ketika mengangkat tapak tangan itu sebaya dengan melafazkan takbir. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/218-219) Demikian juga disunatkan menundukkan kepala sedikit dan melihat ke tempat sujud sebelum mengangkat takbir. (Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Furu‘ Tata‘allaq Bi At-Takbir: 2/234)

Takbirulintiqalat

Takbirulintiqalat ialah mengucapkan “Allahu Akbar” pada setiap kali hendak melakukan ruku‘ dan sujud, dan ketika hendak bangkit daripada sujud dan tasyahhud awwal. Takbirulintiqalat itu hukumnya sunat dan tergolong dalam sunat haia’t sembahyang.

Sunat dilafazkan takbir itu sebaya dengan permulaan hendak melakukan atau bangkit daripada perbuatan rukun sembahyang dan sunat memanjangkan takbir itu sehingga sampai kepada perbuatan rukun sembahyang yang dituju. Akan tetapi kadar memanjangkannya tidak melebihi tujuh alif pada huruf “lam” dalam lafzul Jalalah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Dalam perkara sunat melafazkan takbir sebaya dengan permulaan hendak melakukan perbuatan rukun sembahyang itu, takbir ketika hendak ruku‘ dikecualikan daripada hukum sunat tersebut, ini kerana ketika dia melafazkan takbir tersebut sedangkan dia dalam berdiri dan mengangkat kedua tapak tangannya sejajar dengan bahu. (Fath Al-‘Allam, Haia’t Ash-Shalah, Takbir Al-Intiqalat: 2/387-389)

Sebagaimana disunatkan mengangkat kedua tapak tangan sejajar dengan bahu pada takbiratulihram, adalah disunatkan juga pada takbirulintiqalat. Adapun hukum sunat mengangkat kedua tapak tangan itu, hanyalah:

·       Ketika melakukan takbiratulihram.
·       Ketika hendak menuju kepada perbuatan ruku‘.
·       Ketika bangkit daripada ruku‘ sambil melafazkan                    (سمع الله لمن حمده ربنا ولك الحمد).
·       Ketika bangkit daripada melakukan tasyahhud awwal.

Selain daripada perkara yang disebutkan di atas adalah tidak disunatkan mengangkat kedua tapak tangan ketika melafazkan takbir.

Ketika bangkit daripada tasyahhud awwal, menurut pendapat yang Zhahir, adalah sunat bermulanya mengangkat tapak tangan itu ketika sampai pada had sekurang-kurang ruku‘.(I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/219)

Sunat bagi imam meninggikan suaranya ketika melafazkan takbiratulihram dan takbirulintiqalat. Demikian juga sunat meninggikan suara bagi makmum yang menyampaikan takbir imam kepada makmum yang lain yang tidak dapat mendengar suara imam, akan tetapi hendaklah ketika dia melafazkan takbir itu berniat sebagai zikir atau pemberitahuan (i‘lam), jika tidak maka batallah sembahyangnya. (Fath Al-‘Allam, Haia’t Ash-Shalah, Takbir Al-Intiqalat: 2/389)

Takbir Dalam Sembahyang Hari Raya

Sunat melafazkan takbir ketika sembahyang Hari Raya ‘aidulfitri atau ‘aiduladha, selain takbiratulihram sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua sebaik sahaja selesai membaca doa iftitah. Sunat melafazkan takbir tersebut walaupun dalam sembahyang qadha Hari Raya.

Takbir-takbir ini tergolong dalam haia’t as-shalah dan tidak disunatkan sujud sahwi jika ditinggalkan takbir tersebut dengan senghaja atau terlupa. Akan tetapi jika ditinggalkan kesemua atau sebahagiannya, adalah makruh hukumnya.

Sunat mengangkat kedua tapak tangan setiap kali melafazkan takbir tersebut. Kedudukan dan kaifiyatnya (caranya) serupa dengan apa yang disunatkan dalam takbiratulihram. Sunat dibaca antara setiap dua takbir (seperti selepas melafazkan takbir pertama):

سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر

Ertinya: “Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah dan tiada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar.”

Adapun bagi orang yang masbuq, tidak perlu lagi baginya mengangkat takbir tersebut melainkan jika dia mendapati imam dalam keadaan mengangkat takbir. Sebagai contoh, jika orang yang masbuq itu mendapati imam dalam rakaat pertama setelah selesai mengangkat takbir yang kedua, maka orang yang masbuq itu hanya mengangkat takbir yang seterusnya iaitu takbir yang ketiga sehingga yang ketujuh dengan mengikuti imam. Demikian juga, jika syak pada bilangan takbir itu, maka ambillah yang sedikit atau ikut sahaja imam walaupun ianya kurang atau lebih. (Fath Al-‘Allam, Shalat Al-‘Aidain, Takbirat Ash-Shalah: 2/10-11)

Takbir Dalam Sembahyang Jenazah

Takbir dalam sembahyang jenazah adalah sebanyak empat kali termasuk takbiratulihram. Kesemua takbir tersebut adalah rukun sembahyang jenazah. Sebagaimana dalam hadis As-Sya‘biy katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى عَلَى قَبْرٍ بَعْدَ مَا دُفِنَ فَكَبَّرَ عَلَيْهِ أَرْبَعًا
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang jenazah di atas kubur selepas sahaja dikebumikan, Baginda bertakbir sebanyak empat kali.”
(Hadis riwayat Muslim)

Sunat mengangkat kedua tapak tangan setiap kali melafazkan takbir tersebut, kedudukan dan kaifiyatnya serupa dengan apa yang disunatkan dalam takbiratulihram.

Apabila makmum yang masbuq mendapati imamnya telahpun melakukan sebahagian daripada sembahyang jenazah, lalu dia bertakbir dan masuklah dia dalam sembahyang jemaah itu. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
(رواه البخارى)

Maksudnya: “Apa yang kamu dapati maka sembahyanglah dan apa yang kamu luputi maka sempurnakanlah.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sebagai contoh, makmum masbuq sedangkan imam sudah selesai mengangkat takbir yang kedua dan sedang membaca shalawat. Maka makmum tersebut terus sahaja mengangkat takbiratulihram dan membaca surah Al-Fatihah, tidak perlu dia mengikuti apa yang imam baca (shalawat). Apabila imam mengangkat takbir yang ketiga, makmum yang masbuq itu terus sahaja mengikuti imam mengangkat takbir yang kedua bagi dirinya dan membaca shalawat. Demikianlah seterusnya, makmum tersebut membaca mengikut tertib pada setiap rakaat tanpa mengikuti apa yang imam baca. Apabila imam memberi salam, makmum tersebut terus sahaja menyempurnakan takbir yang seterusnya.

Adapun jika makmum itu sedang membaca sebahagian surah Al-Fatihah lalu imam mengangkat takbir yang kedua, maka menurut pendapat yang ashah hentikan sahaja bacaan Al-Fatihah itu dan terus mengikuti imam mengangkat takbir, nescaya dia telah memperolehi kedua takbir itu disebabkan ‘uzur. (Al-Majmu‘, Kitab Al-Jana’iz, Bab Ash-Shalah ‘Ala Al-Mait: 5/197-198)

Penutup

Oleh itu, haruslah diketahui bahawa takbiratulihram dan takbirulintiqalat mempunyai peranan tersendiri. Takbiratulihram adalah salah satu rukun sembahyang sama ada dalam sembahyang fardhu ataupun sunat dan tidak sah sembahyang jika ditinggalkan takbir tersebut. Selain itu, takbir dalam sembahyang jenazah juga termasuk dalam rukun sembahyang.

Sementara takbirulintiqalat pula dan takbir dalam sembahyang Hari Raya (tujuh kali takbir pada rakaat pertama dan lima kali takbir pada rakaat kedua) adalah salah satu daripada sunat hai’at sembahyang. Sungguhpun ia hanya sunat hai’at, namun demikian hendaklah takbirulintiqalat dan takbir dalam sembahyang Hari Raya itu dilaksanakan dengan sesempurnanya, termasuk juga mengamalkan perkara-perkara sunat yang terdapat ketika bertakbir seperti kaifiyat mengangkat kedua tapak tangan, waktu disunatkan mengangkat tangan dan sebagainya agar amal ibadat yang kita kerjakan itu sempurna dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

8 comments:

  1. Maaf mohon tanya,kalau kita terbuat mcm "allah ak"stop sekjp sbb x cukup nafas kemudian kita sambung" kbar" sah atau tidak solat kita??

    ReplyDelete
  2. kalau muslimah solat seorang diri tak perlu lafaz takbirintiqalat di mulut ye? hanya perlu lafaz dlm hati je ke? mohon pencerahan..selama ni saya ingatkan lafaz di mulut mcm rukun qauli takbiratulihram tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sunat bagi muslimat lafakan takbir intiqalat itu di mulut ... jika ia baca di hati ia tak dikira sebagai bacaan sunat dalam solat , sebab bacaan sunat dalam solat mesti dilafazkan sesuai sunnah , lafazkan ia seperti biasa kita buat dalam takbiratulihram tapi ia bukanlah wajib cuma sunnah saja hukumnya , kalau tak buat solat sah tapi kurang pahala sahaja , wallahu 'alam bissowaab

      Delete
  3. nak tanya saya tercakap kalimat allah hu akbar dua kali masa solat adakah sah solat saya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah , masa tuan lafazkan kalimah itu , tuan lafazkan bila , semasa nak takbiratulihram ke atau selain daripada masa takbiratulihram?

      Jika tuan lafazkan semasa mula-mula nak masuk solat yakni semasa lafazkan takbiratulihram maka ia perlu diteliti lagi permasalahannya ...

      Sebab jika ia dilafazkan 2 kali kata ulama ia tanda 'membatalkan solat' yakni takbiratulihram yg kedua itu boleh membatalkan solat (dengan beberapa ketentuan) , sebab takbiratulihram yang pertama itu niat nak masuk solat dan takbiratulihram yg kedua pula ia 'tujuan membatalkan solat' , kata ulama fiqih.

      Gambarannya begini , jika kita bertakbiratulihram kali pertama dengan niat solat dan disusuli sekali lagi dengan takbiratulihram kedua dengan niat solat juga maka kita belum lagi dikira bertakbiratulihram maksudnya kita belum masuk solat lagi. Maka dia perlu buat takbiratulihram kali ketiga dengan niat nak solat barulah dikira masuk dalam solat.

      Gambarannya lagi , jika dia bertakbiratulihram kali pertama untuk solat dengan niat solat , kemudian dia bertakbiratulihram sekali lagi kali kedua tanpa apa-apa niat , maka solatnya sah dan takbiratulihram kali keduanya itu tadi dikira sebagai zikir.

      Gambarannya lagi agar lebih jelas , jika dia bertakbiratulihram kali pertama untuk solat dengan niat solat , kemudian dia berniat membatalkan solat (mungkin dia batalkan solatnya atas sebab-sebab tertentu) , kemudian dia bertakbiratulihram buat kali kedua untuk solat dengan niat solat maka takbiratulihramnya yang kedua ini dikira sah dan sah solatnya ...

      Semoga bermanfaat , wallahu 'alam bissowaab

      Delete