TAKBIR SEMBAHYANG:HURAIAN DAN KESEMPURNAANNYA |
بسم
الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
Sebaik-baik pertuturan (kalam) kepada Allah, salah satunya ialah
takbir. Takbir menunjukkan kepada mengagungkan Allah Subahanahu wa Ta‘ala
dengan ucapan “Allahu Akbar” yang bererti Allah Maha Besar.
Ucapan takbir ini mendapat tempat dalam sembahyang yang menjadikannya
sebagai rukun qauli. Maka Irsyad Hukum kali ini menghuraikan persoalan
hukum dan kesempurnaan takbir dalam sembahyang, termasuk takbirulintiqalat.
Takbiratulihram
Takbiratulihram
adalah salah satu daripada rukun sembahyang. Sebagaimana dalam hadis Abu
Hurairah:
أَنَّ
رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ
رَجُلٌ فَصَلَّى فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَرَدَّ، وَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ
فَرَجَعَ
يُصَلِّي كَمَا صَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ثَلاثًا
فَقَالَ:
وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أُحْسِنُ غَيْرَهُ فَعَلِّمْنِي
فَقَالَ:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ
الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ
ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاتِكَ
كُلِّهَا
(رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Sesungguhnya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke masjid, dan masuklah seorang
lelaki lalu bersembahyang. Sesudah itu dia memberi salam kepada Nabi Muhammad
Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda pun membalas salam itu lalu bersabda:
“Kembalilah dan kerjakanlah sembahyang, sesungguhnya engkau belum sembahyang.”
Lalu lelaki itu pun kembali mengerjakan sembahyang sebagaimana dia
sembahyang sebelumnya. Kemudian lelaki itu datang dan memberi salam lagi kepada
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Kembalilah dan
kerjakanlah sembahyang, sesungguhnya engkau belum sembahyang.” Demikianlah
berulang sehingga tiga kali.
Maka lelaki itu berkata: “Demi zat yang mengutus engkau dengan
kebenaran, saya tidak dapat melakukan sembahyang yang lebih baik, maka
ajarkanlah aku.”
Baginda bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk sembahyang, maka
bertakbirlah kemudian bacalah yang mudah bagimu daripada Al-Qur’an, kemudian
ruku‘lah sehingga kamu bertuma’ninah dalam ruku‘, kemudian bangkitlah sehingga
tegak berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu bertuma’ninah dalam sujud,
kemudian bangkitlah sehingga kamu bertuma’ninah dalam duduk. Lakukanlah yang
demikian itu dalam sembahyangmu keseluruhannya.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain pula menyebutkan:
عَنْ
عَلِيٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ: مِفْتَاحُ الصَّلاةِ الْوُضُوءُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ
وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ
(رواه أحمد)
Maksudnya: “Daripada
‘Ali Radhiallahu ‘anhu katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam: “Kunci sembahyang itu adalah wudhu, dan permulaan sembahyang itu
(bermulanya hukum haram melakukan sesuatu yang dihalalkan sebelumnya seperti
makan dan minum) adalah takbir dan penyudah sembahyang itu (berakhirnya hukum
haram tersebut) adalah taslim iaitu memberi salam.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Takbiratulihram
ialah mengucapkan “Allahu Akbar” pada permulaan sembahyang. Ia dilakukan
beriringan dengan niat sembahyang. Dinamakan ia sebagai takbiratulihram,
kerana orang yang bersembahyang itu mengharamkan ke atas dirinya daripada
melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang seperti makan, minum,
berkata-kata atau seumpamanya. (I‘anah
Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/212)
Ucapan takbir dalam sembahyang itu telah pun ditetapkan lafaznya iaitu
“Allahu Akbar” sebagaimana mengikut sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam dengan sabda Baginda:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Sembahyanglah
kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Ataupun dilafazkan dengan kalimah “Allahul Akbar” (ditambah
huruf “alif” dan “lam” pada kalimah Akbar “الله
الأكبر”).
1.
Tidak
sah melafazkan takbir itu seperti contoh-contoh berikut:
i.
Mendahulukan
kalimah “Akbar” daripada lafzul Jalalah “Allah” (أكبر
الله) ataupun (أكبر الله أكبر).
ii.
Menukar
kalimah “Akbar” kepada kalimah “Kabir”(الله
كبير) kerana ia menghilangkan makna mengagungkan.
2. Tidak sah melafazkan takbir dengan menambah
huruf pada ucapan takbir itu yang boleh menukar maknanya seperti berikut:
·
Memanjangkan
huruf hamzah pada lafzul Jalalah (آلله)
atau pada kalimah “Akbar” (آكبر).
Ini kerana menukar maknanya kepada pertanyaan (istifham).
·
Memanjangkan huruf “ba” pada kalimah akbar
(أكبار), maka
menjadilah ia sebagai jama‘ kepada kabar yang bererti gendang
yang satu muka.
·
Menambah huruf “wau” sebelum lafzul
Jalalah (والله
أكبر).
·
Menurut Ibnu Hajar, menambah huruf
“wau” sakinah (bertanda mati) di antara dua kalimah takbir, seperti
(اللّهُو) kerana ia menjadikan jama‘
pada kalimah lah (لاه) yang bererti berkilauan, atau menambah huruf “wau” mutaharrikah
(yang berbaris) seperti (الله وَأكبر).
·
Menambah mad huruf “alif” di
antara huruf “lam” dan “ha” dalam lafzul Jalalah (اللّه) sehingga melebihi had yang tidak
dianjurkan oleh ahli qurra’. Menurut Ibnu Hajar, kadar had panjang mad
huruf “alif” di atas itu adalah sebanyak tujuh alif dan setiap satu alif
pula mempunyai dua harkat.
Dalam melafazkan takbir itu, tidak mengapa
jika berhenti sekejap di antara dua kalimah takbir dengan kadar mengambil
nafas. Manakala menurut Al-Azdra‘ie, tidak mengapa jika melebihi kadar berhenti
itu daripada kadar mengambil nafas seperti orang yang gagap. Demikian juga,
tidak mengapa jika disebut dalam takbir itu dengan membunyikan huruf “ra” yang
berbaris depan (الله أكبرُ). (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat
Ash-Shalah: 1/215-216)
Walau bagaimanapun sunat huruf “ra” dalam
kalimah “Akbar” itu dibunyikan dengan tanda mati. (Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Furu‘
Tata‘allaq Bi At-Takbir: 2/234)
Wajib bagi orang yang mengerjakan sembahyang itu mendengar setiap
huruf takbir yang dilafazkannya ketika mengangkat tabiratulihram
tersebut. Sebagaimana dengan rukun qauli yang lainnya seperti membaca
surah Al-Fatihah, tasyahhud dan salam. Hukum wajib mendengar itu adalah
bagi orang yang baik pendengarannya. Sementara orang yang tidak baik
pendengarannya seperti tuli atau disebabkan ada halangan untuk mendengar
seperti riuh rendah tempat itu, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan
tetapi wajib dia melafazkan takbir itu dengan suara yang tinggi atau nyaring
dengan kadar apa yang dapat didengarnya jika dalam keadaan dia boleh mendengar. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat
Ash-Shalah: 1/217-218)
Syarat-syarat yang lain pula, hendaklah lafaz takbir itu dalam bahasa
Arab bagi orang yang boleh/pandai melafazkannya. Akan tetapi bagi orang yang
tidak pandai melafazkannya dalam bahasa Arab, maka wajib dia mempelajarinya
walaupun mengakhirkan sembahyang daripada awal waktunya. Jika dia tidak pandai
juga setelah mempelajarinya sehingga hampir luput waktu sembahyang, maka
hendaklah dia mengerjakan sembahyang dalam hal yang demikian itu dengan
menterjemahkan takbir tersebut dalam bahasa yang dia pandai dan tidak perlu
lagi diulangi semula sembahyangnya itu jika dia sudah pandai melafazkan takbir.
Adapun jika dia sambil lewa mempelajari
takbir dalam bahasa Arab tersebut lalu dia mengerjakan sembahyang, maka
hendaklah dia mengulangi semula sembahyang itu setelah pandai. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat
Ash-Shalah: 1/215)
Disyaratkan juga kepada orang yang mengikut imam, mengakhirkan
takbirnya sehingga imam sempurna melafazkan takbir. Jika takbir makmum tersebut
mengiringi sebahagian takbir imam, maka tidak sah ikutan itu dan tidak dikira
sembahyang makmum itu sebagaimana menurut As-Syarqawi. (Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Syuruth
Shihhah At-Takbirah Al-Ula: 2/229)
Sunat mengangkat kedua-dua tapak tangan ketika melakukan takbiratulihram
dengan mendedahkan tapak tangan tersebut serta menjarangkan sedikit jejarinya.
Kedudukan kedua-dua tapak tangan itu sejajar dengan kedua bahunya serta
jejarinya berada sejajar dengan atas telinga melainkan ibu jari sahaja berada
sejajar dengan cuping telinga. Sunat ketika mengangkat tapak tangan itu sebaya
dengan melafazkan takbir. (I‘anah
Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/218-219) Demikian juga disunatkan menundukkan kepala
sedikit dan melihat ke tempat sujud sebelum mengangkat takbir. (Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Furu‘
Tata‘allaq Bi At-Takbir: 2/234)
Takbirulintiqalat
Takbirulintiqalat
ialah mengucapkan “Allahu Akbar” pada setiap kali hendak melakukan ruku‘
dan sujud, dan ketika hendak bangkit daripada sujud dan tasyahhud awwal.
Takbirulintiqalat itu hukumnya sunat dan tergolong dalam sunat haia’t
sembahyang.
Sunat dilafazkan takbir itu sebaya dengan permulaan hendak melakukan
atau bangkit daripada perbuatan rukun sembahyang dan sunat memanjangkan takbir
itu sehingga sampai kepada perbuatan rukun sembahyang yang dituju. Akan tetapi
kadar memanjangkannya tidak melebihi tujuh alif pada huruf “lam” dalam lafzul
Jalalah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
Dalam perkara sunat melafazkan takbir sebaya dengan permulaan hendak melakukan
perbuatan rukun sembahyang itu, takbir ketika hendak ruku‘ dikecualikan
daripada hukum sunat tersebut, ini kerana ketika dia melafazkan takbir tersebut
sedangkan dia dalam berdiri dan mengangkat kedua tapak tangannya sejajar dengan
bahu. (Fath Al-‘Allam, Haia’t
Ash-Shalah, Takbir Al-Intiqalat: 2/387-389)
Sebagaimana disunatkan mengangkat kedua tapak tangan sejajar dengan
bahu pada takbiratulihram, adalah disunatkan juga pada takbirulintiqalat.
Adapun hukum sunat mengangkat kedua tapak tangan itu, hanyalah:
· Ketika melakukan takbiratulihram.
· Ketika hendak menuju kepada perbuatan ruku‘.
· Ketika bangkit daripada ruku‘ sambil
melafazkan (سمع
الله لمن حمده ربنا ولك الحمد).
· Ketika bangkit daripada melakukan tasyahhud
awwal.
Selain daripada perkara yang disebutkan di atas adalah tidak disunatkan
mengangkat kedua tapak tangan ketika melafazkan takbir.
Ketika bangkit daripada tasyahhud awwal, menurut pendapat yang Zhahir,
adalah sunat bermulanya mengangkat tapak tangan itu ketika sampai pada had
sekurang-kurang ruku‘.(I‘anah
Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/219)
Sunat bagi imam meninggikan suaranya ketika melafazkan takbiratulihram
dan takbirulintiqalat. Demikian juga sunat meninggikan suara bagi makmum
yang menyampaikan takbir imam kepada makmum yang lain yang tidak dapat
mendengar suara imam, akan tetapi hendaklah ketika dia melafazkan takbir itu
berniat sebagai zikir atau pemberitahuan (i‘lam), jika tidak maka
batallah sembahyangnya. (Fath
Al-‘Allam, Haia’t Ash-Shalah, Takbir Al-Intiqalat: 2/389)
Takbir Dalam Sembahyang Hari Raya
Sunat melafazkan takbir ketika sembahyang Hari Raya ‘aidulfitri
atau ‘aiduladha, selain takbiratulihram sebanyak tujuh kali pada
rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua sebaik sahaja selesai membaca
doa iftitah. Sunat melafazkan takbir tersebut walaupun dalam sembahyang
qadha Hari Raya.
Takbir-takbir ini tergolong dalam haia’t as-shalah dan tidak
disunatkan sujud sahwi jika ditinggalkan takbir tersebut dengan senghaja atau
terlupa. Akan tetapi jika ditinggalkan kesemua atau sebahagiannya, adalah
makruh hukumnya.
Sunat mengangkat kedua tapak tangan setiap kali melafazkan takbir tersebut.
Kedudukan dan kaifiyatnya (caranya) serupa dengan apa yang disunatkan
dalam takbiratulihram. Sunat dibaca antara setiap dua takbir (seperti
selepas melafazkan takbir pertama):
سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر
Ertinya: “Maha
Suci Allah dan segala puji bagi Allah dan tiada tuhan melainkan Allah dan Allah
Maha Besar.”
Adapun bagi orang yang masbuq, tidak perlu lagi baginya
mengangkat takbir tersebut melainkan jika dia mendapati imam dalam keadaan
mengangkat takbir. Sebagai contoh, jika orang yang masbuq itu mendapati
imam dalam rakaat pertama setelah selesai mengangkat takbir yang kedua, maka
orang yang masbuq itu hanya mengangkat takbir yang seterusnya iaitu takbir yang
ketiga sehingga yang ketujuh dengan mengikuti imam. Demikian juga, jika syak
pada bilangan takbir itu, maka ambillah yang sedikit atau ikut sahaja imam
walaupun ianya kurang atau lebih.
(Fath Al-‘Allam, Shalat Al-‘Aidain, Takbirat Ash-Shalah: 2/10-11)
Takbir Dalam Sembahyang Jenazah
Takbir dalam sembahyang jenazah adalah sebanyak empat kali termasuk takbiratulihram.
Kesemua takbir tersebut adalah rukun sembahyang jenazah. Sebagaimana dalam
hadis As-Sya‘biy katanya:
أَنَّ
رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى عَلَى قَبْرٍ بَعْدَ مَا
دُفِنَ فَكَبَّرَ عَلَيْهِ أَرْبَعًا
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Sesungguhnya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang jenazah di atas kubur
selepas sahaja dikebumikan, Baginda bertakbir sebanyak empat kali.”
(Hadis riwayat Muslim)
Sunat mengangkat kedua tapak tangan setiap kali melafazkan takbir
tersebut, kedudukan dan kaifiyatnya serupa dengan apa yang disunatkan
dalam takbiratulihram.
Apabila makmum yang masbuq mendapati imamnya telahpun melakukan
sebahagian daripada sembahyang jenazah, lalu dia bertakbir dan masuklah dia
dalam sembahyang jemaah itu. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam:
فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
(رواه البخارى)
Maksudnya: “Apa
yang kamu dapati maka sembahyanglah dan apa yang kamu luputi maka
sempurnakanlah.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Sebagai contoh, makmum masbuq sedangkan imam sudah selesai
mengangkat takbir yang kedua dan sedang membaca shalawat. Maka makmum
tersebut terus sahaja mengangkat takbiratulihram dan membaca surah
Al-Fatihah, tidak perlu dia mengikuti apa yang imam baca (shalawat).
Apabila imam mengangkat takbir yang ketiga, makmum yang masbuq itu terus
sahaja mengikuti imam mengangkat takbir yang kedua bagi dirinya dan membaca shalawat.
Demikianlah seterusnya, makmum tersebut membaca mengikut tertib pada setiap
rakaat tanpa mengikuti apa yang imam baca. Apabila imam memberi salam, makmum
tersebut terus sahaja menyempurnakan takbir yang seterusnya.
Adapun jika makmum itu sedang membaca sebahagian surah Al-Fatihah lalu
imam mengangkat takbir yang kedua, maka menurut pendapat yang ashah
hentikan sahaja bacaan Al-Fatihah itu dan terus mengikuti imam mengangkat
takbir, nescaya dia telah memperolehi kedua takbir itu disebabkan ‘uzur.
(Al-Majmu‘, Kitab Al-Jana’iz, Bab
Ash-Shalah ‘Ala Al-Mait: 5/197-198)
Penutup
Oleh itu, haruslah diketahui bahawa takbiratulihram dan takbirulintiqalat
mempunyai peranan tersendiri. Takbiratulihram adalah salah satu rukun
sembahyang sama ada dalam sembahyang fardhu ataupun sunat dan tidak sah
sembahyang jika ditinggalkan takbir tersebut. Selain itu, takbir dalam
sembahyang jenazah juga termasuk dalam rukun sembahyang.
Sementara takbirulintiqalat pula dan takbir dalam sembahyang
Hari Raya (tujuh kali takbir pada rakaat pertama dan lima kali takbir pada
rakaat kedua) adalah salah satu daripada sunat hai’at sembahyang.
Sungguhpun ia hanya sunat hai’at, namun demikian hendaklah takbirulintiqalat
dan takbir dalam sembahyang Hari Raya itu dilaksanakan dengan sesempurnanya,
termasuk juga mengamalkan perkara-perkara sunat yang terdapat ketika bertakbir
seperti kaifiyat mengangkat kedua tapak tangan, waktu disunatkan
mengangkat tangan dan sebagainya agar amal ibadat yang kita kerjakan itu
sempurna dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Maaf mohon tanya,kalau kita terbuat mcm "allah ak"stop sekjp sbb x cukup nafas kemudian kita sambung" kbar" sah atau tidak solat kita??
ReplyDeleteMohon jawab ye
Deletetak sah sebab kalimah dia terputus
Deletesalam
ReplyDeletekalau muslimah solat seorang diri tak perlu lafaz takbirintiqalat di mulut ye? hanya perlu lafaz dlm hati je ke? mohon pencerahan..selama ni saya ingatkan lafaz di mulut mcm rukun qauli takbiratulihram tu
ReplyDeleteSunat bagi muslimat lafakan takbir intiqalat itu di mulut ... jika ia baca di hati ia tak dikira sebagai bacaan sunat dalam solat , sebab bacaan sunat dalam solat mesti dilafazkan sesuai sunnah , lafazkan ia seperti biasa kita buat dalam takbiratulihram tapi ia bukanlah wajib cuma sunnah saja hukumnya , kalau tak buat solat sah tapi kurang pahala sahaja , wallahu 'alam bissowaab
Deletenak tanya saya tercakap kalimat allah hu akbar dua kali masa solat adakah sah solat saya?
ReplyDeleteAlhamdulillah , masa tuan lafazkan kalimah itu , tuan lafazkan bila , semasa nak takbiratulihram ke atau selain daripada masa takbiratulihram?
DeleteJika tuan lafazkan semasa mula-mula nak masuk solat yakni semasa lafazkan takbiratulihram maka ia perlu diteliti lagi permasalahannya ...
Sebab jika ia dilafazkan 2 kali kata ulama ia tanda 'membatalkan solat' yakni takbiratulihram yg kedua itu boleh membatalkan solat (dengan beberapa ketentuan) , sebab takbiratulihram yang pertama itu niat nak masuk solat dan takbiratulihram yg kedua pula ia 'tujuan membatalkan solat' , kata ulama fiqih.
Gambarannya begini , jika kita bertakbiratulihram kali pertama dengan niat solat dan disusuli sekali lagi dengan takbiratulihram kedua dengan niat solat juga maka kita belum lagi dikira bertakbiratulihram maksudnya kita belum masuk solat lagi. Maka dia perlu buat takbiratulihram kali ketiga dengan niat nak solat barulah dikira masuk dalam solat.
Gambarannya lagi , jika dia bertakbiratulihram kali pertama untuk solat dengan niat solat , kemudian dia bertakbiratulihram sekali lagi kali kedua tanpa apa-apa niat , maka solatnya sah dan takbiratulihram kali keduanya itu tadi dikira sebagai zikir.
Gambarannya lagi agar lebih jelas , jika dia bertakbiratulihram kali pertama untuk solat dengan niat solat , kemudian dia berniat membatalkan solat (mungkin dia batalkan solatnya atas sebab-sebab tertentu) , kemudian dia bertakbiratulihram buat kali kedua untuk solat dengan niat solat maka takbiratulihramnya yang kedua ini dikira sah dan sah solatnya ...
Semoga bermanfaat , wallahu 'alam bissowaab