TERLUPA MEMBACA TAHAYYAT
AWAL PADAHAL IA SEMBAHYANG BERDIRI KERANA UZUR
Soalan:
Seorang sembahyang Zuhur dan pada akhir rakaat yang kedua, dia
terlupa hendak membaca tahayyat awal, padahal ia berdiri sepanjang
sembahyangnya kerana sesuatu uzur dan dia terus baca Fatihah kerana
rakaat yang ketiga, kemudian ia teringat ia belum baca tahayyat awal. Adakah harus ia
kembali membaca tahayyat awal dan memotong Fatihah bagi rakaat
yang ketiga itu ?
Jawab:
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول
الله واله وصحبه ومن والاه
Apabila ia teringat yang ia belum membaca tahayyat awal,
padahal ia telah mulakan baca Fatihah bagi rakaat yang ketiga, maka
wajib ia teruskan sembahyangnya kerana ia telah masuk mengerjakan suatu rukun
iaitu Fatihah dan membaca tahayyat awal itu hanya ia abʻad atau sunnat dan tempatnya telah
luput dengan membuat rukun iaitu Fatihah. Dan jika ia kembali membaca tahayyat
awal dengan sengaja lagi ia mengetahui akan haram berbuat begitu, maka
batal sembahyangnya dan jika ia kembali membaca tahayyat awal dengan
lupa maka tiadalah batal sembahyangnya dan sunnat ia sujud sahwi
dua kali sujud, atau ia kembali membaca tahayyat awal dengan jahil
maka tiadalah batal sembahyangnya menurut qaul lebih asah.
وَاللهُ
اَعْلَمْ بِالصَّوَابِ
[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL
BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti
Kerajaan,
Negara
Brunei Darussalam
Pejabat
Mufti, Brunei
|
Mufti
Kerajaan Brunei
|
No comments:
Post a Comment