Wednesday, May 13, 2015

NIAT MENJADI IMAM

NIAT MENJADI IMAM PADA PERTENGAHAN SEMBAHYANG

Soalan:

Ketika kita sedang bersolat bersendirian di masjid, tiba-tiba ada orang datang menjadi makmum di belakang kita, jadi kita harus menukar niat menjadi imam. Bagaimanakah niat itu harus disebutkan (dibaca)?

Jawapan:

اَلْحَمْدُ ِللهِ حَمْدًا يُوَافِى نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سيِّدِنَا وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً َتَجْعَلُنَا بِهَا هُدَاةً مَهْدِيِّيْنَ غَيْرَ ضَآلِّيْنَ وَلاَ مُضِلِّيْنَ، وَبَعْدُ

Dalam sembahyang berjama‘ah, orang yang menjadi imam mustahabb (disunatkan) untuk berniat menjadi imam sama ada pada permulaan sembahyangnya atau pada pertengahannya agar dia mendapat fadhilat sembahyang berjama‘ah. Niat imamah atau niat menjadi imam bukanlah pula suatu syarat yang menentukan sahnya sembahyang berjama‘ah atau sebaliknya melainkan dalam sembahyang fardhu Juma‘at. (Tuhfah al-Muhtaj: 1/303 & Mughni al-Muhtaj: 1/502)

Oleh kerana itu, orang yang sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, apabila datang orang lain menyertainya sebagai makmum untuk mengerjakan sembahyang secara berjama’ah, maka disunatkan ke atas orang yang mengerjakan sembahyang secara bersendirian itu berniat menjadi imam. Imam sembahyang berjama‘ah akan mendapat pahala sembahyang secara berjama‘ah bermula daripada ketika dia berniat menjadi imam. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah berkata:

وَإِنْ نَوَاهَا فِي اْلأَثْنَاءِ حَصَلَ لَهُ الْفَضْلَ مِنْ حِينَئِذٍ .

Ertinya:Dan jika seseorang itu berniat untuk menjadi imam pada pertengahan sembahyangnya, mendapatlah ia fadhilat sembahyang berjama‘ah itu pada ketika dia memasang niatnya itu.” (Tuhfah al-Muhtaj: 1/303)

Adapun mengenai cara memasang niat untuk menjadi imam pada pertengahan sembahyang, maka memadailah seseorang itu dikatakan berniat dengan adanya gerak hati atau kehendak di dalam hatinya untuk menjadi imam.

Niat itu hakikatnya adalah qashd atau kehendak untuk melakukan sesuatu. Ia merupakan perbuatan qalbiyyah iaitu perbuatan yang dilakukan di dalam hati. Tidak menjadi syarat niat itu diungkap dengan ibarat-ibarat atau lafaz-lafaz tertentu bahkan sebaliknya tidak memadai niat itu dilafazkan dengan lisan tetapi tidak pula disertai dengan kemahuan di dalam hati untuk melakukan apa yang dilafazkan itu. (as-Suyuthi, al-Asybah wa an-Nazha’ir: 1/112)

Menurut pendapat ulama’ mazhab Syafi‘i, bagaimanapun, melafazkan niat dengan lisan apabila melakukan sesuatu ibadah adalah suatu perkara yang disunatkan bagi membantu seseorang menyematkan niat di dalam hati. (Tuhfah al-Muhtaj: 1/181)

Kerana itu, apabila qashd atau kehendak untuk melakukan sesuatu umpamanya qashd atau kehendak untuk melakukan ibadah diungkap menerusi lafaz-lafaz tertentu, maka akan terbentuklah qashd sebagaimana terbentuknya lafaz-lafaz niat yang biasa diungkap sebagai contoh ketika mengerjakan ibadah sembahyang. Seolah-olah lafaz niat itu adalah perumpamaan atau terjemahan kepada kemahuan untuk mengerjakan ibadah tersebut.

Maka, kehendak untuk menjadi imam apabila hendak diungkap melalui ungkapan-ungkapan tertentu, antara ungkapan yang boleh difahami untuk menyatakan kehendak atau penyenghajaan diri seseorang itu untuk menjadi imam adalah seperti: “Sahaja aku menjadi imam.

Perlu diingat bahawa tempat niat itu di dalam hati dan tidak menjadi syarat ia dilafazkan. Lebih-lebih lagi dalam pertengahan sembahyang, niat untuk menjadi imam tidak harus dijaharkan atau dilafazkan dengan lisan kerana perbuatan tersebut akan dikira sebagai perbuatan megeluarkan kata-kata yang termasuk dalam perkara-perkara membatalkan sembahyang. (as-Suyuthi, al-Asybah wa an-Nazha’ir: 1/112 & Mughni al-Muhtaj: 1/411)

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ


[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
DR. USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,

Negara Brunei Darussalam.

No comments:

Post a Comment