Thursday, May 14, 2015

WAS-WAS, JUMAAT, SUCI

MERASA WASWAS AKAN KENTUT KETIKA DALAM SEMBAHYANG, HUKUM SEMBAHYANG ZUHUR BAGI LAKI-LAKI YANG CUKUP SYARAT SEDANGKAN IA TIADA PERGI SEMBAHYANG JUMAAT, PEREMPUAN TELAH SEMBAHYANG JUMAAT, ADAKAH IA WAJIB  SEMBAHYANG ZUHUR, IA SEDANG SEMBAHYANG IA MERASA HENDAK KENCING TETAPI IA WAS-WAS,  HUKUM AIR KENCING KELUAR SEDANG IA SEMBAHYANG TETAPI TIDAK MENGETAHUINYA KERANA IA WASWAS.


Soal:

1        Apakah hukum sembahyang kita jika kita merasa waswas akan kentut kita keluar atau tidak?  Adakah batal atau tidak sembahyang kita?

2.       (a)   Apakah hukum sembahyang Zuhur pada hari Jumaat bagi lelaki yang cukup syaratnya sedangkan ia tidak mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat dengan tidak ada keuzuran?

         (b)  Adakah wajib ke atas perempuan menunaikan sembahyang fardhu Zuhur pada hari Jumaat jika ia telah mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat berjemaah di masjid.

3.       Apakah hukum sembahyang seseorang itu jika ia pada tengah-tengah ia mengerjakan sembahyang ia merasa bahawa ia telah terkencing sedikit tetapi ia merasa waswas?  Apa pula hukumnya jika air kencing itu keluar dalam keadaan bersembahyang, tetapi ia tidak mengetahuinya kerana ia merasa waswas?


Jawab:
الحمد لله رب العالمين

1.       Bila ada waswas hendak kentut, tetapi belum terang ada kentut ketika dalam sembahyang, maka sembahyang itu belum batal dan Awang teruskan sembahyang itu sehingga selesai.

2.         (i)  Sembahyang Jumaat wajib dan fardhu ‘ain di atas tiap-tiap orang mukallaf laki-laki yang merdeka bukan hamba orang, bermukim tiada belayar, tiada sakit dan tiada ada lain uzur seumpamanya.

                 Orang yang wajib sembahyang Jumaat dan ia tiada pergi sembahyang Jumaat, maka orang itu hatinya dicap oleh Allah dengan kejahatan tiada masuk kebajikan ke dalam hatinya.

                 Daripada sahabat Abu Ja’dil Dhamri Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

من ترك ثلاث جمع تهاونا بها طبع الله على قلبه

                 Diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad, Abu Daud, Al-Nasaie, Al-Termizi, katanya hadis ini hasan, Ibnu Majah, Ibnu Khuzimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim dan katanya hadith ini shahih menurut syarat Muslim.

                 Ertinya: Barangsiapa meninggalkan tiga Jumaat, dengan meringan-ringankan sembahyang Jumaat itu, nescaya Allah Ta’ala capkan di atas hatinya dengan segala kejahatan, dan tiadalah ada tempat bagi lutf Allah dan rahmat Allah di dalam hatinya.

                 Daripada sahabat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma telah berkata: 

مَن تَرَكَ الجُمعَةَ  ثلاث جمع مُتوَاليَات ،  فَقَد نبذ الاسلاَم وَرَاء ظهره

                 Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Ya’la mauqûfan dengan isnâd yang shahih.

                 Ertinya: Barangsiapa meninggalkan tiga Jumaat berturut-turut, maka nescaya ia telah melontarkan Islam dibelakangnya, yakni dia bukan sebenar-benar orang Islam.

                 Dan kata setengah-setengah sahabat dan setengah-setengah Al-Tâbi’ein dan Al-Salaf:  Bahawa orang yang tiada sembahyang itu orang kafir, kerana orang yang tiada sembahyang pada zaman itu ialah orang kafir atau orang munafiq.

          (ii)   Wajib ia sembahyang Zuhur, kalau ia tiada sembahyang Jumaat.

          (iii)  Perempuan yang sembahyang Jumaat pada hari Jumaat berjemaah di masjid tiadalah wajib ia sembahyang Zuhur, sebagaimana laki-laki apabila telah sembahyang Jumaat di masjid berjemaah maka tiadalah wajib ia sembahyang Zuhur pada hari Jumaat itu.

3.       Jikalau ia merasa hendak kencing ditengah-tengah sembahyan, tetapi ia waswas ada kencing atau tiada, maka dihukumkan dia tiada kencing dan masih di dalam air sembahyang.

Apabila ia ketahui air kencing telah keluar waktu ia tengah-tengah sembahyang maka batallah sembahyang itu, dan wajib ia mengambil air sembahyang dan sembahyang semula jika sembahyang itu fardhu.

والله أعلم


[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam

Pejabat Mufti, Brunei
Mufti Kerajaan Brunei




No comments:

Post a Comment