MENJAWAB AZAN TERLEBIH DAHULU ATAU TERUS SEMBAHYANG TAHIYYAT MASJID.
Soalan:
Saya memohon sedikit
penjelasan berkenaan pada ketika masuk masjid kita adalah disunatkan mendirikan
sunat Tahiyatul Masjid. Tetapi persoalan yang ingin saya ajukan ialah adakah
kita dituntut menjawab azan dahulu sehingga selesai baru mendirikan solat sunat
Tahiyatul Masjid atau Tahiyatul Masjid terus sahaja tanpa menjawab, dengan
maknanya jika selesai solat tetapi masih azan barulah kita jawab.
Mohon penjelasan.
Pertolongan tuan dalam memberi penjelasan didahului dengan ucapan ribuan terima
kasih.
Jawapan:
اَلْحَمْدُ ِللَّهِ الَّذِي فَقَّهَ فِي الدِّيْنِ مَنْ
أَرَادَ ، وَجَعَلَ اْلأَفْهَامَ أَرْزَاقًا تُقْسَمُ بَيْنَ الْعِبَادِ ،
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ
وَعَلَى التَّابِعِيْنَ لَهُمْ إِلَى يَوْمِ الْمَعَادِ ، أَمَّا بَعْدُ
Seseorang yang masuk masjid disunatkan terus
sembahyang Tahiyyat Masjid. Hukum sunat ini berlaku sebelum duduk atau sebelum diam yang lama di
dalam masjid. Tetapi apabila ketika masuk masjid azan sedang dikumandangkan
daripada masjid itu, dia boleh berdiri sahaja dahulu untuk menjawab azan,
kemudian barulah melakukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid.
Ketika menerangkan perkara yang berkaitan dengan sembahyang
sunat Tahiyyat Masjid, al-‘Allamah asy-Syeikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Asyn Rahimahullah
berkata:
ويسن تأخيرها بعد إجابة المؤذن ،
Ertinya: “Disunatkan
menangguhkannya (sembahyang sunat Tahiyyat Masjid) setelah selesai menjawab
Azan.”
(Busyra al-Karim, 1:257)
Dengan menukilkan daripada Ibn Qasim, asy-Syibramalisi
Rahimahullah menyebutkan:
لو دخل يوم الجمعة فى أثناء الأذان بين
يدي الخطيب ، ففى العباب تبعاً لما اختاره أبو شكيل أنه يجيب قائماً ، ثم يصلى
التحية ليسمع أول الخطبة.
Ertinya: “Andainya
seseorang yang memasuki masjid pada hari Jumaat ketika azan sedang
dikumandangkan setelah khatib naik ke mimbar, maka di dalam kitab al-‘Ubab
berdasarkan pilihan Abu Syakil disebutkan
bahawa dia menjawab azan itu dengan berdiri sahaja, selepas azan selesai
dia sembahyang Tahiyyat Masjid dengan ringkas supaya dia sempat mendengar awal
khutbah.”
(Fath al-'Allam, 2:132)
وَاللهُ
أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA]
USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.
No comments:
Post a Comment