SEMBAHYANG JAMA‘ DAN QASHAR BAGI
LATIHAN DALAM HUTAN DAN RONDAAN SEMPADAN
Soalan:
A. Sesi
Pertemuan Ketua Jabatan Agama ABDB dengan Yang Berhormat Pehin Datu Seri
Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti
Kerajaan Negara Brunei Darussalam bertarikh 06 Muharram 1429H / 13hb Februari
2008M.
1. Dengan
penuh hormat dan takzim kaola selaku Ketua Jabatan Agama Angkatan Bersenjata
Diraja Brunei (JAMA’AT) dengan rasa rendah hati dan sukacitanya menghadapkan
permohonan ini kehadapan Yang Berhormat Pehin adalah bagi maksud memohon Fatwa
mengenai perkara yang kaola sebutkan di atas.
2.
Untuk makluman Yang Berhormat Pehin, JAMA’AT sering kali
menerima pertanyaan serta kemusykilan mengenai perkara-perkara yang bersangkut
dengan permasalahan latihan dalam hutan khususnya perkara-perkara yang
bersangkutan dengan peribadatan sembahyang dan permasalahan penyucian diri (Taharah). Walaupun pada dasarnya perkara berkenaan
telahpun diberikan penjelasan serta panduan oleh sebilangan Pegawai-pegawai dan
Guru-guru Agama Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei,
akan tetapi JAMA’AT merasakan adalah penting dan mustahak bagi mendapatkan satu
rujukan yang benar-benar boleh dijadikan sandaran sebagai satu panduan dalam
pembelajaran dan kesempurnaan ibadat sembahyang di kalangan Pegawai-pegawai
serta Anggota-anggota ABDB khususnya ketika mengadakan latihan-latihan hutan
dalam dan luar negara. Perkara ini
dikuatkan lagi dengan tragedi kematian dua (2) anggota yang disambar petir pada
12 Rabiulawal 1428H bersamaan 30hb Mac 2008M, maka bertambah dalamlah hasrat
JAMA’AT untuk menghadapkan permohonan ini kehadapan Yang Berhormat Pehin.
3.
Sebagai pengetahuan Yang Berhormat Pehin, antara
perkara-perkara yang sering dibangkitkan dan sukacita dipohonkan Fatwa serta
penjelasan dari Yang Berhormat Pehin, Kaola senaraikan seperti berikut:
a. Bagi latihan hutan dan tugas-tugas rondaan sempadan Negara
yang diadakan di dalam negeri dengan menggunakan pengangkutan udara (pesawat
Helikopter) atau menggunakan jalan darat, yang mana jarak perjalanannya
melebihi 56 batu atau 91 kilometer, adakah diharuskan para anggota yang
mengikutinya untuk melaksanakan sembahyang fardhu dengan cara Jama‘ dan Qasar
sebagaimana yang diharuskan kepada para musafir?
4.
Sekian dihadapkan bagi penjelasan serta Fatwa Yang
Berhormat Pehin semoga ianya bermanfaat bagi memelihara kemaslahatan ibadat
sembahyang para anggota ABDB ketika melakukan latihan dan rondaan di dalam
hutan. Dan sebelum mengakhiri kalam,
kaola selaku Ketua JAMA’AT dan bagi mewakili Pemerintah Angkatan Bersenjata
Diraja Brunei terlebih dahulu ingin merakamkan setinggi terima kasih atas
kerjasama serta Fatwa yang bakal Pehin berikan nanti.
Jawapan:
اَلْحَمْدُ ِللَّهِ الَّذِي فَقَّهَ فِي الدِّيْنِ مَنْ
أَرَادَ، وَجَعَلَ اْلأَفْهَامَ أَرْزَاقًا تُقْسَمُ بَيْنَ الْعِبَادِ،
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ
وَعَلَى التَّابِعِيْنَ لَهُمْ إِلَى يَوْمِ الْمَعَادِ، أَمَّا بَعْدُ
Sembahyang qashar bererti menunaikan
sembahyang fardhu empat raka‘at iaitu Zhuhur, ‘Ashar dan ‘Isyâ’ dengan memendekkannya
kepada dua raka‘at. Sembahyang dua
rakaat iaitu Shubuh dan tiga rakaat iaitu Maghrib pula tidak termasuk
dalam keharusan menunaikan sembahyang secara qashar. (Mughni al-Muhtâj: 1/358, Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/155)
Keharusan menunaikan sembahyang fardhu secara qashar
ketika safar itu adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa
Ta‘âla:
V¢XM
Wè `ØST`TW£W¶
Á X³`¤KKVô@
ð¨`~VÕWTÊ `yRÑ`~VÕWÆ eTWTÞS ÜKV
N
èS£S±pTÍWT
WÝYÚ YáléVÕUfT±Ö@
óÜMX
`ØSpTÉY
ÜKV
SØRÑWÞYTpTÉWTÿ WÝÿY¡PVÖ@
&Nv
èS£WÉðÒ QWÜMX
WÝÿX£YÉHTVÑ<Ö@
N
éSTßVÒ `yRÑVÖ
^QèSWÆ _Þ~YQSÚ
(سورة النسآء : 101)
Tafsirnya: “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka bukanlah
suatu dosa ke atas kamu mengqasharkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut
diserang oleh orang-orang kafir.
Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”
(Surah an-Nisâ’: 101)
Ayat di atas mengaitkan keharusan mengqashar sembahyang
dengan adanya perasaan takut, walau bagaimanapun menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah, diharuskan juga mengqashar sembahyang
ketika melakukan safar dalam keadaan aman. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/246)
Manakala sembahyang jama‘ bererti
menghimpunkan dua sembahyang fardhu iaitu Zhuhur dan ‘Ashar, atau Maghrib dan
‘Isyâ’, dalam satu waktu, sama ada pada waktu sembahyang yang pertama yang
dikenali sebagai Jama‘ Taqdîm atau pada waktu sembahyang yang kedua yang
dikenali sebagai Jama‘ Ta’khîr.
Kedua-dua sembahyang yang dijama‘kan (dihimpunkan) itu pula boleh
dilakukan secara tamâm (sempurna raka‘at) atau qashar (dipendekkan
raka‘at) atau salah satu dilakukan secara tamâm dan satu lagi secara qashar. (Hâsyiyah I‘ânah
ath-Thâlibîn: 2/156)
Sembahyang Jumu‘at pula sama kedudukannya seperti
sembahyang Zhuhur dalam perkara Jama‘ Taqdîm; iaitu ia boleh dijama‘kan
dengan sembahyang ‘Ashar secara taqdim, tetapi tidak boleh dilakukan
secara ta‘khir. Ini kerana sembahyang
Jumu‘at tidak dilakukan jika waktunya telah luput. (Mughni al-Muhtaj: 1/529)
Sembahyang ‘Ashar yang dijama‘kan
(dihimpunkan) kepada Sembahyang Jumu‘at itu pula boleh dilakukan secara tamâm
(sempurna raka‘at) atau qashar (dipendekkan raka‘at), sebagaimana
keadaannya jika dijama‘kan (dihimpunkan) kepada sembahyang Zhuhur
seperti yang telah diterangkan.
Keharusan menjama‘ sembahyang adalah
berdasarkan hadits daripada Anas bin Mâlik Radhiallahu ‘anhu berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ اَنْ تَزِيْغَ الشَّمْسُ، أَخَّرَ الظُّهْرَ إِلَى وَقْتِ
الْعَصْرِ، ثُمَّ نَزَلَ فَجَمَعَ بَيْنَهُمَا، فَإِن زَاغَتِ الشَّمْسُ قَبْلَ
اَنْ يَرْتَحِلَ، صَلَّى الظُّهْرَ ثُمَّ رَكِبَ.
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila
berangkat (untuk bermusafir), sebelum matahari tergelincir, Baginda
menangguhkan sembahyang Zhuhur hingga waktu ‘Ashar; kemudian Baginda turun
(dari kenderaan) lalu menjama‘kan kedua-duanya (Zhuhur dan ‘Ashar dengan cara
jama‘ ta’khîr). Sekiranya matahari telah
tergelincir sedang Baginda belum berangkat, maka Baginda sembahyang Zhuhur
(lebih dahulu), dan kemudian terus berangkat.”
(Hadits riwayat
al-Bukhâri)
Menurut ulama asy-Syâfi‘iyyah, safar (perjalanan)
yang menyebabkan adanya rukhshah (keringanan) dalam melaksanakan ibadat
seperti sembahyang qashar dan jama‘ itu ialah safar yang
memenuhi syarat-syarat berikut:
1.
Hendaklah jarak safar itu jauh iaitu tidak kurang
dari dua marhalah yang bersamaan 89.04 km, (kiraan jarak pergi sahaja, tidak
termasuk kiraan jarak balik), sekalipun jangkamasa untuk sampai ke destinasi
yang dituju hanya mengambil masa yang singkat, sama ada melalui perjalanan
darat, laut atau udara, seperti orang yang bermusafir menggunakan kapal terbang,
helikopter atau seumpamanya.
Walau bagaimanapun, menurut
pendapat yang masyhûr, jarak perjalanan yang melebihi dua marhalah
tetapi kurang daripada tiga marhalah, adalah afdhal (lebih utama) sembahyang
dikerjakan secara tamâm (menyempurnakan 4 rakaat) berbanding qashar. Tetapi jika jarak perjalanan yang mencapai
tiga marhalah atau lebih, maka yang afdhal (lebih utama) ialah menunaikan
sembahyang secara qashar berbanding tamâm.
2.
Hendaklah safar itu telah bermula. Safar
pula bermula menurut keadaan-keadaan yang berikut:
2.1 Jika safar melalui jalan darat, atau
melalui jalan air atau melalui jalan
udara yang tempat berlepas jalan air dan jalan udara itu terletak di luar
bandar, pekan atau kampung tempat tinggal, maka safar bermula seperti
berikut:
a.
Jika bandar, pekan atau kampung tempat tinggal itu
mempunyai perbatasan yang khusus, maka safar bermula setelah melewati
perbatasan yang khusus itu.
Contohnya: Permulaan safar bagi orang yang
tinggal di Bandar Seri Begawan, Kota Kaherah, Jakarta, Kuala Lumpur dan
sebagainya ialah setelah melewati perbatasan Bandar Seri Begawan, Kota Kaherah,
Jakarta, Kuala Lumpur dan sebagainya.
Ini bermakna orang yang tinggal
di dalam perbatasan Bandar Seri Begawan; seperti orang yang tinggal di Kampung
Manggis, Kampung Sungai Akar, Kampung Pelambaian, Kampung Bolkiah, Kampung
Sungai Kebun, Kampung Bunut, Kampung Mata-Mata, Kampung Pengkalan Gadong dan
lain-lain, tidak boleh melakukan sembahyang qashar atau jama‘ selagi
mereka belum melewati perbatasan Bandar Seri Begawan.
Jika perjalanan mereka melalui
jalan udara, umpamanya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas, mereka
juga tidak boleh mengqashar sembahyang di Lapangan Terbang Antarabangsa
Berakas, kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas terletak di dalam perbatasan
Bandar Seri Begawan iaitu masih berada di dalam perbatasan bandar tempat mereka
tinggal.
Tetapi bagi orang yang tinggal di
luar perbatasan Bandar Seri Begawan seperti di Kampung Terunjing, Kampung
Lambak, Kampung Sungai Tilong, Kampong Dato Gandi, Kampong Sungai Asam, Kampong
Bengkurong, Kampong Jangsak, Kampong Perpindahan Mata-Mata, Kampong Rimba dan
lain-lain, mereka boleh mengqashar sembahyang di Lapangan Terbang
Antarabangsa Berakas, kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas berada di
luar perbatasan kampung tempat mereka tinggal; yakni safar mereka
melalui jalan udara yang tempatnya berlepas terletak di luar perbatasan kampung
tempat mereka tinggal. Malah mereka
boleh mengqashar sembahyang sebaik sahaja melewati perbatasan pekan atau
kampung tempat mereka tinggal.
b.
Jika bandar, pekan atau kampung tempat tinggal itu tidak
mempunyai perbatasan yang khusus, maka safarnya bermula setelah melewati
bangunan atau rumah kediaman terakhir bagi bandar, pekan atau kampung tempat
tinggal.
c.
Jika terdapat dua buah atau lebih bandar atau kampung
yang bersebelahan atau berdekatan dan tidak pula terdapat perbatasan yang
khusus, maka safarnya bermula setelah melewati kedua-dua buah bandar
atau kampung tersebut. Tetapi jika
terdapat perbatasan yang khusus, maka safarnya bermula setelah melewati
perbatasan khusus itu sahaja, sekalipun bangunan kedua-dua buah bandar atau
kampung tersebut bersambungan.
d.
Jika tempat tinggal itu bukan di dalam bandar, pekan atau
kampung, seumpama orang yang tinggal di padang pasir seperti Arab Badawi, safarnya
bermula setelah melewati حِلَّةٌ (Hillah ialah binaan atau tempat yang digunakan untuk
mereka berkumpul bagi bersembang-sembang di malam hari) dan persekitarannya;
seperti tempat kanak-kanak bermain, tempat unggun api, tempat unta berehat dan
sebagainya. Jika hillah itu
terletak di sebahagian lembah atau lurah, atau di sebahagian atas bukit, atau
di sebahagian kaki bukit, safarnya bermula setelah melewati lembah atau
lurah, atau turunan bukit atau panjatan bukit.
Itu pun jika keluasan lembah atau lurah, turunan bukit atau panjatan
bukit itu sederhana luasnya. Jika ia
terlalu luas, maka memadai secara urufnya dengan melewati hillah sahaja.
2.2
Jika safar melalui jalan air, yang tempatnya
berlepas, sama ada pantai laut atau pinggir tasik atau tebing sungai, terletak
di dalam bandar, pekan atau kampung tempat tinggal; atau safar
melalui jalan udara, yang tempatnya berlepas terletak di dalam bandar,
pekan atau kampung tempat tinggal, maka safar bermula seperti berikut:
a. Jika kapal atau perahu yang dinaiki itu
bergerak dengan menyusuri pantai, tasik atau sungai yang terletak di dalam
bandar, pekan atau kampung tempat tinggal, maka safar bermula setelah
kapal atau perahu yang dinaiki melewati kedudukannya yang sejajar atau selari
dengan perbatasan yang khusus bagi bandar, pekan atau kampung tempat
tinggal. Jika tidak mempunyai perbatasan
yang khusus, maka safar bermula setelah kapal atau perahu yang dinaiki
melewati kedudukannya yang sejajar atau selari dengan bangunan atau rumah
kediaman yang terakhir bagi bandar, pekan atau kampung tempat tinggal.
Contohnya: Orang yang tinggal di Bandar Seri Begawan
yang menggunakan jalan air iaitu Sungai Brunei untuk keluar bermusafir. Oleh
kerana perahu yang dinaiki bergerak dengan menyusuri sungai yang terletak di
dalam Bandar Seri Begawan, maka safarnya bermula setelah perahu yang
dinaikinya itu melewati kedudukannya yang sejajar atau selari dengan perbatasan
Bandar Seri Begawan.
Begitulah juga kedudukan safar
melalui jalan udara, yang tempatnya berlepas terletak di dalam bandar,
pekan atau kampung tempatnya tinggal, maka safar bermula setelah kapal
terbang atau helikopter yang dinaiki melewati kedudukannya yang sejajar atau
selari dengan perbatasan yang khusus bagi bandar, pekan atau kampung tempat
tinggal. Jika tidak mempunyai perbatasan
yang khusus, maka safar bermula setelah kapal terbang atau helikopter
yang dinaiki melewati kedudukannya yang sejajar atau selari dengan bangunan
atau rumah kediaman yang terakhir bagi bandar, pekan atau kampung tempat
tinggal.
Contohnya: Orang yang tinggal di Bandar Seri Begawan
yang menggunakan kapal terbang untuk keluar bermusafir, maka safarnya
bermula setelah kapal terbang yang dinaiki melewati kedudukannya yang sejajar
atau selari dengan perbatasan Bandar Seri Begawan.
b. Jika kapal atau perahu yang dinaiki
bergerak meninggalkan bandar, pekan atau kampung tempatnya tinggal di belakang,
maka safarnya bermula setelah bergerak kapal yang dinaiki, atau setelah
bergerak perahu yang berulang alik ke kapal buat kali terakhir.
Contohnya: Orang yang bermusafir dari sebuah kampung
yang terletak di tepi pantai dengan menggunakan kapal yang bergerak
meninggalkan kampung itu di belakang. Safarnya
bermula bukan hanya semata-mata dengan melewati bangunan atau rumah kediaman
terakhir yang terletak di tepi pantai. Tetapi
safarnya bermula mestilah juga setelah kapal yang dinaikinya bergerak
meninggalkan kampung itu di belakang.
Jika kapal yang dinaikinya itu belum bergerak kerana masih berlabuh,
maka safarnya masih belum bermula.
3.
Hendaklah safar atas tujuan yang baik atau mubah
(diharuskan oleh syara‘) seperti ziarah, perniagaan, haji dan
seumpamanya. Adapun safar atas
tujuan maksiat seperti untuk berzina atau bermain judi, maka dia tidak
tergolong dalam orang yang diberikan rukhshah.
4.
Hendaklah ada qashad (niat) pada permulaan safar
itu, untuk menuju ke suatu tempat yang diketahui jarak perjalanannya adalah
jauh iaitu dua marhalah atau lebih, agar dia boleh sembahyang qashar
atau jama‘ dari tempat bermulanya safar.
Adapun bagi orang yang tidak
mengetahui tempat tujuan kerana hanya mengikut pengendali urusan mereka yang
mengetahui tempat tujuan, umpamanya tentera yang hanya mengikut ketua, mereka
hanya boleh memulakan sembahyang secara qashar atau jama‘ apabila
telah melewati jarak perjalanan dua marhalah, iaitu ketika telah nyata mereka
telah menempuh perjalanan jauh.
Manakala bagi hâ’im iaitu
orang yang melakukan perjalanan tanpa arah tujuan, maka tidak harus mengqashar
sembahyang sekalipun perjalanannya lebih dua marhalah.
Begitu juga halnya bagi orang yang
mencari seseorang seperti orang yang berhutang atau hambanya yang melarikan
diri, sedang dia tidak mengetahui ke mana hendak dicari, dengan niat dia akan
balik ke negerinya apabila menemukan orang yang dicarinya, maka wajib
menunaikan sembahyang secara tamâm kerana tiada qashad (niat)
untuk melakukan perjalanan jauh (dua marhalah) pada permulaan safar. Berlainan jika dia mempunayi qashad (niat)
untuk melakukan perjalanan jauh (dua marhalah) pada permulaan safar itu,
maka dia boleh mengqashar sembahyang dari tempat bermulanya safar.
Permasalahan: Sekiranya tempat yang
hendak dituju mempunyai dua jalan; pertama jalan jauh yang mencapai dua
marhalah, dan kedua jalan singkat yang tidak mencapai dua marhalah, lalu
seseorang itu memilih jalan jauh dengan qashad (niat) untuk mendapatkan
keharusan melakukan sembahyang secara qashar, kedudukan hukumnya
terbahagi kepada dua:
i. Sekiranya dia memilih jalan jauh itu ada
mempunyai tujuan agama atau tujuan dunia seperti menziarahi orang sakit, jalan
yang mudah, harga barang yang murah, keamanan dan seumpamanya, di samping
tujuannya untuk mendapatkan keharusan melakukan sembahyang secara qashar,
maka dia harus melakukan sembahyang secara jama‘ dan qashar kerana
dia memenuhi syarat; iaitu melakukan safar yang jaraknya jauh (dua
marhalah) dan mubah (safar yang tujuannya diharuskan). Keharusan ini termasuk bagi orang yang
memilih jalan jauh untuk tujuan bersiar-siar kerana ia termasuk dalam kategori safar
dengan tujuan yang baik.
ii. Sekiranya dia memilih jalan jauh hanya
dengan tujuan untuk mendapatkan keharusan melakukan sembahyang secara qashar
semata-mata tanpa mempunyai tujuan yang lain sama ada tujuan agama atau tujuan
dunia, maka menurut pendapat al-azhhar, dia tidak harus melakukan
sembahyang secara qashar kerana dia senghaja memanjang-manjangkan
perjalanan tanpa tujuan, maka dia diumpamakan seperti orang yang melalui jalan
singkat tetapi dengan senghaja memanjang-manjangkannya dengan berulang-alik
atau berpusing-pusing sehingga mencapai dua marhalah.
Berlainan jika tempat yang hendak
dituju mempunyai dua jalan yang jarak kedua-duanya jauh (mencapai dua
marhalah), lalu dia melalui jalan yang paling jauh, maka dia harus sembahyang
secara qashar sekalipun tujuannya hanya untuk mendapatkan keharusan
melakukan sembahyang secara qashar.
5.
Mengetahui akan keharusan sembahyang qashar dan jama‘
serta cara-caranya. Ini kerana jika
dia mengerjakannya sedang dia jahil mengenainya, maka tidak sah sembahyangnya
kerana dianggap bermain-main.
(Nihâyah al-Muhtaj:
2/247-271, Mughni al-Muhtâj: 1/359-369 & Hâsyiyah I‘ânah
ath-Thâlibîn: 2/155-162, al-Wasîth fî al-Madzhab: 2/243-245)
Selain syarat-syarat di atas, berikut adalah
syarat-syarat tambahan yang khusus bagi orang yang hendak menunaikan sembahyang
secara qashar iaitu:
1. Berniat untuk sembahyang qashar semasa mengangkat takbîratul
ihrâm. Contoh lafaznya ialah:
أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا أَدَاءً
لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang
fardhu Zhuhur dua rakaat qashar, tunai kerana Allah Ta‘âla.”
2. Sentiasa berwaspada dari menafikan niat sembahyang qashar sepanjang
melakukan sembahyang. Oleh itu, jika timbul
keraguan sama ada untuk mengqashar atau menyempurnakan rakaat ketika bersembahyang,
atau syak pada niat sama ada mengqashar sembahyang atau tidak, maka
hendaklah sembahyang diteruskan secara tamâm (sempurna 4 rakaat).
3. Orang yang sembahyang qashar tidak boleh menjadi ma’mum
kepada orang yang melakukan sembahyang secara tamâm atau sempurna bilangan
rakaat. Oleh itu, adalah wajib ke atas
ma’mum itu mengerjakan sembahyangnya secara tamâm.
Dalam hal ini ada beberapa contoh:
i.
Seorang musafir yang hendak sembahyang fardhu Zhuhur
secara qashar menjadi ma’mum kepada seseorang yang sembahyang Zhuhur
secara tamâm (sempurna 4 rakaat).
Maka, adalah wajib ke atas ma’mum itu mengerjakan sembahyangnya secara tamâm
(sempurna 4 rakaat) juga sebagaimana yang dilakukan oleh imam, sekalipun
dia hanya menjadi ma’mum pada sebahagian sembahyang imam, umpamanya pada dua
rakaat terakhir.
ii.
Seorang musafir yang hendak sembahyang fardhu Zhuhur
secara qashar menjadi ma’mum kepada seseorang yang mengerjakan
sembahyang yang sempurna bilangan rakaatnya; umpamanya menjadi ma’mum kepada orang
yang menqadha sembahyang fardhu Shubuh atau kepada imam sembahyang fardhu Jumu‘at,
atau fardhu Maghrib, atau kepada orang yang mengerjakan sembahyang sunat
seperti sembahyang Hari Raya atau rawatib, maka menurut pendapat ashah,
ma’mum itu hendaklah mengerjakan sembahyang Zhuhurnya secara tamâm (sempurna
4 rakaat), kerana sembahyang-sembahyang tersebut merupakan sembahyang-sembahyang
yang sempurna bilangan rakaatnya bagi imam berkenaan.
Oleh itu, jika ma’mum yang
musafir tidak jelas sama ada imam berniat untuk sembahyang secara qashar atau
tamâm, maka wajib ke atasnya sembahyang secara tamâm sebagai
langkah berhati-hati. Namun,
adalah harus musafir yang ingin sembahyang secara qashar untuk menjadi
ma’mum kepada imam yang sembahyang secara qashar.
4. Berkekalan safarnya sehingga selesai sembahyang. Sekiranya kapal yang dinaikinya telah sampai
ke pelabuhan tempat tinggalnya ketika dia sedang sembahyang, maka wajib dia
melaksanakan sembahyang itu secara tamâm.
(Nihâyah
al-Muhtaj: 2/265-270, Hâsyiyatân: Qalyûbi – ‘Umairah: 1/302 &
Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/161-2)
Walau bagaimanapun, menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah, sesiapa yang sentiasa atau
terus-menerus melakukan safar seperti seseorang yang bertugas sebagai
utusan, maka adalah afdhal baginya sembahyang secara tamâm berbanding qashar. (Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn:
2/154)
Manakala syarat-syarat tambahan
yang khusus bagi orang yang hendak menunaikan sembahyang secara jama‘ ialah:
Syarat-syarat tambahan bagi
sembahyang Jama‘ Taqdîm:
1.
Berniat untuk sembahyang jama‘ dalam sembahyang
yang pertama. Niat jama‘ itu
boleh diqashadkan sejak mula mengangkat takbîratul ihrâm
sehingga sebelum memberi salam sembahyang yang pertama.
Sebagai contoh: Berniat untuk menjama‘
(menghimpunkan) sembahyang ‘Ashar kepada sembahyang Zhuhur ketika masih melakukan
sembahyang Zhuhur, atau menjama‘ sembahyang ‘Ashar kepada sembahyang Jumu‘at
ketika masih melakukan sembahyang Jumu‘at, atau menjama‘ sembahyang ‘Isya’
kepada sembahyang Maghrib ketika masih melakukan sembahyang Maghrib.
2.
Sembahyang mengikut tertib yang empunya waktu iaitu dimulai
dengan sembahyang yang empunya waktu seperti hendaklah mendahulukan sembahyang
Zhuhur, kemudian sembahyang ‘Ashar, dan mendahulukan sembahyang Maghrib,
kemudian sembahyang ‘Isya’. Jika
sembahyang ‘Ashar dan ‘Isya’ didahulukan maka tidak sah.
3.
Muwâlât iaitu berturut-turut antara sembahyang yang pertama
dengan sembahyang yang kedua. Oleh itu,
hendaklah tidak diselangi masa yang panjang, sekira-kira sempat sembahyang dua
rakaat. Jika berlaku sedemikian, maka
wajib ditunaikan sembahyang yang kedua itu pada waktunya. Walau bagaimanapun, jika diselangi masa yang
pendek, sekira-kira kurang dari sembahyang dua rakaat, atau untuk mengambil air
sembahyang atau melakukan azan ataupun iqamat, maka tidak mengapa.
4.
Berkekalan safarnya sehingga selesai mengangkat takbîratul
ihrâm sembahyang yang kedua.
Tidak pula disyaratkan sehingga selesai sembahyangnya yang kedua.
Lafaz Niat Sembahyang Jama‘
Taqdîm
Contoh lafaz niat jama‘ taqdîm bagi
sembahyang fardhu Zhuhur dan ‘Ashar:
أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ
رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً لِلَّـهِ
تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
Zhuhur empat rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu ‘Ashar, jama‘ taqdîm, tunai
kerana Allah Ta‘âla.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ
رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَى الظُّهْرِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً لِلَّـهِ
تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar empat
rakaat, dijama‘kan kepada fardhu Zhuhur, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah
Ta‘âla.”
Contoh lafaz
niat jama‘ taqdîm bagi sembahyang fardhu Jumu‘at dan ‘Ashar:
أُصَلِّى فَرْضَ الْجُمُعَةِ
رَكْعَتَيْنِ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ مَأْمُوْمًا ِللهِ
تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Jumu‘at dua
rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu ‘Ashar, jama‘ taqdim, menjadi ma’mum kerana
Allah Ta‘ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ
رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَى الْجُمُعَةِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً للهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar empat
rakaat, dijama‘kan kepada fardhu Jumu‘at , jama‘ taqdim, tunai kerana Allah
Ta‘ala.”
Contoh lafaz niat jama‘ taqdîm bagi
sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’:
أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلاَثَ
رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الْعِشَاءُ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً لِلَّهِ
تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
Maghrib tiga rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu ‘Isya’, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah
Ta‘âla.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ
رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَى الْمَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja
aku sembahyang fardhu ‘Isya’ empat rakaat, dijama‘kan kepada fardhu Maghrib,
jama‘ taqdîm, tunai
kerana Allah Ta‘âla.”
Lafaz Niat Jama‘
Taqdîm Secara Qashar
Contoh lafaz niat jama‘ taqdîm bagi
sembahyang fardhu Zhuhur dan ‘Ashar yang dilakukan secara qashar:
أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ
رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً
لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
Zhuhur dua rakaat qashar, dijama‘kan kepadanya fardhu ‘Ashar, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah
Ta‘âla.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ
رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَى الظُهْرِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً
لِلَّهِ تَعَالىَ.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
‘Ashar dua rakaat qashar, dijama‘kan kepada fardhu Zhuhur, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah
Ta‘âla.”
Contoh lafaz niat jama‘ taqdîm bagi
sembahyang fardhu Jumu‘at dan ‘Ashar, dengan ‘Ashar dilakukan secara qashar:
أُصَلِّى فَرْضَ الْجُمُعَةِ
رَكْعَتَيْنِ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ مَأْمُوْمًا ِللهِ
تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Jumu‘at dua
rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu ‘Ashar, jama‘ taqdim, menjadi ma’mum kerana
Allah Ta‘ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ
رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَى الْجُمُعَةِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً ِللهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar dua
rakaat qashar, dijama‘kan kepada fardhu Jumu‘at, jama‘ taqdim, tunai kerana
Allah Ta‘ala.”
Contoh lafaz niat jama‘ taqdîm bagi
sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’, dengan ‘Isya’ dilakukan secara qashar:
أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلاَثَ
رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الْعِشَاءُ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً لِلَّهِ
تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
Maghrib tiga rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu ‘Isya’, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah
Ta‘âla.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ
رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَى الْمَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً
لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja
aku sembahyang fardhu ‘Isya’ dua rakaat qashar, dijama‘kan kepada fardhu
Maghrib, jama‘ taqdîm, tunai
kerana Allah Ta‘âla.”
Syarat-syarat tambahan
bagi sembahyang Jama‘ Ta’khîr:
1. Berniat untuk menunaikan sembahyang pertama secara jama‘
ta’khîr pada waktu sembahyang kedua.
Niat jama‘ ta’khîr itu
pula hendaklah dilakukan dalam waktu sembahyang pertama, iaitu pada waktunya
yang luas, sekira-kira sempat sembahyang secara tunai keseluruhan
rakaatnya. Jika niat dilakukan pada
waktunya yang sempit sekira-kira pada kadar hanya sempat menunaikan satu rakaat
sembahyang dan baki rakaat di luar waktu, maka tetap sah niat jama‘ ta’khîr itu
tetapi berdosa kerana melewat-lewatkannya.
Jika niat untuk menunaikan sembahyang pertama secara jama‘ ta’khîr itu
tidak dilakukan pada waktu sembahyang pertama, maka sembahyang pertama yang dilakukan
pada waktu sembahyang kedua itu tidak lagi dikira sebagai adâ’ (tunai)
tetapi qadha.
Contoh lafaz niat jama‘
ta’khîr fardhu Zhuhur kepada ‘Ashar:
“Aku berniat menunaikan sembahyang fardhu Zhuhur secara jama‘ ta’khîr
pada waktu sembahyang ‘Ashar.”
Contoh lafaz niat jama‘
ta’khîr fardhu Maghrib kepada ‘Isya’:
“Aku berniat menunaikan sembahyang fardhu Maghrib secara jama‘
ta’khîr pada waktu sembahyang ‘Isya’.”
2. Berkekalan safarnya sehingga selesai kedua-dua
sembahyang.
Tertib dan muwâlât tidak disyaratkan dalam
sembahyang jama‘ ta’khîr sebagaimana ia disyaratkan dalam sembahyang jama‘
taqdîm. Oleh itu, seseorang yang
melakukan jama‘ ta’khîr boleh mendahulukan sembahyang yang empunya waktu
ataupun tidak, dan boleh menunaikan kedua-dua sembahyang itu secara
berturut-turut ataupun tidak.
(Nihâyah al- Muhtâj: 2/274-9 & Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/162-3)
Lafaz Niat Sembahyang Jama‘
Ta’khîr
Contoh lafaz niat jama‘ ta’khîr bagi
sembahyang fardhu Zhuhur dan ‘Ashar:
أُصَلِّى فَرْضَ
الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَى الْعَصْرِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ
أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
Zhuhur empat rakaat, dijama‘kan kepada fardhu ‘Ashar, jama‘ ta’khîr, tunai
kerana Allah Ta‘âla.”
أُصَلِّى فَرْضَ
الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّهْرُ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ
أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar empat rakaat,
dijama‘kan kepadanya fardhu Zhuhur, jama‘ ta’khîr, tunai kerana Allah Ta‘âla.”
Contoh lafaz niat jama‘ ta’khîr bagi
sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’:
أُصَلِّى فَرْضَ
الْمَغْرِبِ ثَلاَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَى الْعِشَاءِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ
أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
Maghrib tiga rakaat, dijama‘kan kepada fardhu ‘Isya’, jama‘ ta’khîr, tunai
kerana Allah Ta‘âla.”
أُصَلِّى فَرْضَ
الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الْمَغْرِبُ جَمْعَ
تَأْخِيْرٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
‘Isya’ empat rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu Maghrib, jama‘ ta’khîr, tunai
kerana Allah Ta‘âla.”
Lafaz Niat Jama‘
Ta’khîr Secara Qashar
Contoh lafaz niat jama‘ ta’khîr bagi
sembahyang fardhu Zhuhur dan ‘Ashar yang dilakukan secara qashar:
أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَى الْعَصْرِ
جَمْعَ تَأْخِيْرٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
Zhuhur dua rakaat qashar, dijama‘kan kepada fardhu ‘Ashar, jama‘ ta’khîr, tunai
kerana Allah Ta‘âla.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْـهِ
الظُّهْرُ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu
‘Ashar dua rakaat qashar, dijama‘kan kepadanya fardhu Zhuhur, jama‘ ta’khîr,
tunai kerana Allah Ta‘âla.”
Contoh lafaz niat jama‘ ta’khîr bagi
sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’, dengan ‘Isya’ dilakukan secara qashar:
أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلاَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَى الْعِشَاءِ
جَمْعَ تَأْخِيْرٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib
tiga rakaat, dijama‘kan kepada fardhu ‘Isya’, jama‘ ta’khîr, tunai kerana Allah
Ta‘âla.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ
الْمَغْرِبُ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja
aku sembahyang fardhu ‘Isya’ dua rakaat qashar, dijama‘kan kepadanya fardhu
Maghrib, jama‘ ta’khîr, tunai kerana Allah Ta‘âla.”
Perkara-Perkara Yang
Menghentikan Rukhshah Safar
Safar dikira terhenti (tidak lagi
diharuskan rukhshah safar seperti sembahyang qashar dan jama‘)
apabila orang musafir itu melakukan salah satu daripada perkara-perkara
berikut:
1.
Safar terhenti apabila dia sampai di perbatasan tempatnya
memulakan safar (tempat yang dikira safar bermula). Ini berlaku apabila:
i. Dia pulang ke tempatnya menetap dari
suatu tempat yang jaraknya dua marhalah atau lebih, sama ada tujuannya untuk
semata-mata pulang atau melintasinya sahaja.
Contohnya: Seorang penduduk Pekan Bangar telah memulakan safar
dari tempatnya menetap; iaitu Pekan Bangar, ke suatu tempat yang jaraknya
dua marhalah atau lebih; umpamanya ke Pekan Seria. Kemudian dia pulang dari Pekan Seria ke Pekan
Bangar, maka safarnya dikira terhenti dan dia tidak lagi
diharuskan sembahyang qashar dan jama‘ apabila sahaja dia sampai
di perbatasan Pekan Bangar.
ii. Dia pulang dari suatu tempat yang
jaraknya dua marhalah atau lebih ke bukan tempatnya menetap, dengan
syarat dia berniat untuk tinggal di sana selama empat siang empat malam atau
lebih (tidak termasuk siang atau malam dia datang dan pulang).
Contohnya: Seorang penduduk Pekan Bangar telah memulakan
safar bukan dari tempatnya menetap; umpamanya dari Pekan Seria, ke
suatu tempat yang jaraknya dua marhalah atau lebih; umpamanya ke Pekan
Muara. Kemudian dia pulang dari Pekan
Muara ke Pekan Seria, dengan niat untuk tinggal di Pekan Seria selama empat siang
empat malam atau lebih (tidak termasuk siang atau malam dia datang dan
pulang). Maka safarnya dikira
terhenti dan dia tidak lagi diharuskan sembahyang qashar dan jama‘
apabila sahaja dia sampai di perbatasan Pekan Seria.
2.
Safar terhenti sebaik sahaja dia memulakan perjalanannya untuk berpatah
balik ke tempatnya memulakan safar.
Ini berlaku apabila:
i. Dia berpatah balik ke tempatnya menetap
sebelum jarak perjalanannya mencapai dua marhalah.
Contohnya: Seorang penduduk Pekan Bangar, telah
memulakan safar dari tempatnya menetap; iaitu Pekan Bangar, untuk menuju
ke suatu tempat yang jaraknya melebihi dua marhalah; umpamanya ke Pekan
Seria. Akan tetapi, sebelum jarak
perjalanannya mencapai dua marhalah; umpamanya di Kuala Lurah, dia berpatah
balik ke Pekan Bangar, maka safarnya dikira terhenti dan
dia tidak lagi diharuskan sembahyang qashar dan jama‘ sebaik
sahaja dia memulakan perjalanan untuk berpatah balik ke Pekan Bangar itu.
ii. Dia berpatah balik bukan ke
tempatnya menetap sebelum jarak perjalanannya mencapai dua marhalah, dengan
syarat dia berniat untuk tinggal di sana selama empat siang empat malam atau
lebih (tidak termasuk siang atau malam dia datang dan pulang).
Contohnya: Seorang penduduk Pekan Bangar telah memulakan safar
bukan dari tempatnya menetap; umpamanya dari Pekan Seria, untuk
menuju ke suatu tempat yang jaraknya melebihi dua marhalah; umpamanya ke
Pekan Muara. Akan tetapi, sebelum jarak
perjalanannya mencapai dua marhalah; umpamanya di Pekan Tutong, dia berpatah
balik ke Pekan Seria, dengan niat untuk tinggal di sana selama empat siang
empat malam atau lebih (tidak termasuk siang atau malam dia datang dan pulang),
maka safarnya dikira terhenti dan dia tidak lagi
diharuskan sembahyang qashar dan jama‘ sebaik sahaja dia
memulakan perjalanan untuk berpatah balik ke Pekan Seria itu.
3.
Safar terhenti semata-mata dengan niatnya untuk berpatah balik,
sekalipun dia belum berpatah balik. Manakala
niat ragu-ragu untuk berpatah balik adalah sama kedudukannya seperti berniat
untuk berpatah balik. Jika dia ingin
memulakan safar lagi dari tempatnya berniat untuk berpatah balik itu,
maka ia dikira safar baru. Ini
berlaku apabila:
i. Dia berniat untuk berpatah balik ke
tempatnya menetap, sama ada dari perjalanan jauh (dua marhalah atau lebih) atau
kurang, dengan syarat niatnya untuk berpatah balik itu berlaku sebelum
dia sampai ke tempat tujuan, serta dia sedang mendiami atau menduduki sesuatu
tempat (bukan diniatkannya ketika masih di dalam perjalanan).
Contohnya: Seorang penduduk Pekan Bangar telah memulakan
safar dari tempatnya menetap; iaitu Pekan Bangar, menuju ke Pekan
Seria. Sebelum dia sampai ke tempat
tujuan, dia singgah di Pekan Tutong, dan mendiaminya. Lalu dia berniat untuk berpatah balik ke Pekan
Bangar, maka safarnya dikira terhenti dengan niatnya untuk berpatah
balik itu, dan dia tidak lagi diharuskan sembahyang qashar dan jama‘ di
tempatnya berniat; iaitu Pekan Tutong, selama mana dia masih berada di situ (Pekan
Tutong), sehinggalah dia hendak memulakan safar lagi dari Pekan Tutong,
maka ia dikira safar yang baru dan harus dia sembahyang qashar dan
jama‘ jika safar baru itu dua marhalah atau lebih.
ii. Dia berniat untuk berpatah balik bukan
ke tempatnya menetap, dengan syarat dia berniat untuk tinggal di sana
selama empat siang empat malam atau lebih (tidak termasuk siang atau malam dia datang
dan pulang) dan juga dengan syarat, niatnya untuk berpatah balik itu berlaku
sebelum dia sampai ke tempat tujuan, dan dia sedang mendiami atau menduduki
sesuatu tempat (bukan diniatkannya ketika masih di dalam perjalanan).
Contohnya: Seorang penduduk Pekan Bangar telah memulakan
safar bukan dari tempatnya menetap; umpamanya dari Pekan Seria, menuju
ke Pekan Muara. Sebelum dia sampai ke
tempat tujuan, dia singgah di Pekan Tutong dan mendiaminya. Lalu dia berniat untuk berpatah balik ke
Pekan Seria, dengan niat untuk tinggal di sana selama empat siang empat malam atau
lebih (tidak termasuk siang atau malam dia datang dan pulang), maka safarnya
dikira terhenti dengan niatnya untuk berpatah balik ke Pekan Seria itu, dan dia
tidak lagi diharuskan sembahyang qashar dan jama‘ di tempatnya
berniat; iaitu Pekan Tutong, selama mana dia masih berada di situ (Pekan Tutong),
sehinggalah dia hendak memulakan safar lagi dari Pekan Tutong itu, maka
ia dikira safar yang baru dan harus dia sembahyang qashar dan jama‘
jika safar baru itu dua marhalah atau lebih.
4.
Safar terhenti apabila dia berniat untuk tinggal selama empat siang
empat malam atau lebih (tidak termasuk siang atau malam dia datang dan pulang)
di suatu tempat yang bukan tempatnya memulakan safar. Ini berlaku apabila:
i. Dia berniat untuk tinggal di suatu
tempat selama empat siang empat malam atau lebih (tidak termasuk siang atau malam
dia datang dan pulang) sebelum dia sampai di tempat tersebut, maka safarnya
terhenti apabila sahaja sampai di tempat itu.
Contohnya: Seorang penduduk Pekan Bangar melakukan safar
ke Pekan Seria, dan berniat sebelum sampai ke Pekan Seria untuk tinggal di
sana selama empat siang empat malam atau lebih (tidak termasuk siang atau malam
dia datang dan pulang). Maka safarnya
dikira terhenti apabila sahaja sampai di Pekan Seria, dan dia tidak lagi
diharuskan sembahyang qashar dan jama‘ di sana.
ii.
Dia berniat untuk tinggal di suatu tempat selama empat siang
empat malam atau lebih (tidak termasuk siang atau malam dia datang dan pulang) ketika
atau setelah dia sampai di tempat tersebut, maka safarnya terhenti
dengan niatnya itu, dengan syarat niatnya itu diniatkannya ketika dia
mendiami atau menduduki tempat itu (bukan diniatkannya ketika masih di dalam
perjalanan).
Contohnya: Seorang penduduk Pekan Bangar telah melakukan
safar ke Pekan Seria, dan telah mendiaminya. Kemudian berniat untuk tinggal di sana selama
empat siang empat malam atau lebih (tidak termasuk siang atau malam dia datang
dan pulang). Maka safarnya dikira
terhenti dengan niatnya itu, dan dia tidak lagi diharuskan sembahyang qashar
dan jama‘ sejak dia berniat itu.
5.
Safar terhenti dengan semata-mata tinggal di suatu tempat
apabila sampai tempoh yang menghentikan safar. Ini berlaku apabila:
i. Dia tinggal di suatu tempat cukup
empat siang empat malam (tidak termasuk siang atau malam dia datang dan
pulang) tanpa niat (umpamanya kerana ribut).
Contohnya: Seorang penduduk Pekan Bangar melakukan safar
ke Pekan Seria, dan berniat untuk tinggal di sana selama tiga siang tiga
malam atau kurang, tetapi dia masih tinggal di sana pada hari keempat tanpa
niat (umpamanya kerana ribut), maka dia masih diberikan rukhshah safar sehingga
cukup empat siang empat malam dia tinggal di Pekan Seria.
ii. Dia tinggal di suatu tempat cukup lapan
belas siang lapan belas malam (tidak termasuk siang atau malam dia datang
dan pulang). Ini adalah bagi orang yang menjangka
urusannya di tempat tersebut boleh selesai sebelum berlalu tempoh empat siang
empat malam (iaitu dalam tempoh yang tidak memutuskan safar). Kemudian dia menjangka lagi urusannya
akan selesai sebelum berlalu tempoh empat siang empat malam seterusnya. Demikianlah jangkaannya berterusan sehingga cukup
dia tinggal di tempat tersebut lapan belas siang dan lapan belas malam.
Sebagai contoh: Seorang penduduk Pekan Bangar melakukan safar
ke Pekan Seria, kerana suatu urusan yang dijangkakannya boleh selesai
sebelum berlalunya tempoh empat siang empat malam. Tetapi urusannya itu belum juga selesai dalam
tempoh tersebut. Kemudian dia menjangka
lagi urusannya akan selesai sebelum berlalu tempoh empat siang empat malam
seterusnya. Maka dia berterusan diberikan
rukhshah safar sehingga cukup berlalu siang kelapan belas dan malamnya
dia tinggal di Pekan Seria.
(Nihâyah al-Muhtaj: 2/253-5, Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn:
2/159-161, Fath al-‘Allâm: 3/136-8
& Bughyah al-Mustarsyidîn: 97)
Oleh yang demikian, anggota Angkatan Bersenjata
Diraja Brunei yang mengikuti latihan dalam hutan dan tugas-tugas rondaan
sempadan negara adalah diharuskan untuk menunaikan sembahyang fardhu secara qashar
atau jama‘ sekiranya jarak perjalanan mencapai dua marhalah
(89.04km) dan memenuhi syarat-syarat lain yang telah disebutkan.
Perlu juga diambil perhatian, tempoh penempatan yang
diniatkan atau dirancang selama empat siang empat malam atau lebih (tidak
termasuk siang atau malam datang dan pulang) di satu tempat, adalah tidak
tergolong di dalam orang yang masih diberikan rukhshah safar apabila
sudah sampai ke tempat tersebut, sebagaimana yang telah diterangkan.
Oleh itu, sebagai langkah untuk mendapatkan
keharusan menunaikan sembahyang secara qashar atau jama‘, adalah
disarankan kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei juga mengambil kira tentang
tempoh penempatan anggotanya menjalankan latihan dalam hutan dan tugas-tugas
rondaan sempadan yang melebihi jarak perjalanan dua marhalah (89.04km) itu,
agar kurang daripada empat siang empat malam (tidak termasuk siang atau malam datang
dan pulang).
Berikut diterangkan cara pengiraan yang kurang
daripada empat siang empat malam (tidak
termasuk siang atau malam datang dan pulang) dalam bentuk jadual.
1. Contoh pengiraan tempoh yang kurang daripada empat siang empat
malam jika datang di tempat pelayaran pada waktu malam:
|
Siang / Malam
|
Keterangan
|
|
Malam Isnin
|
Tiba pada waktu malam –
Tidak termasuk dalam pengiraan
|
|
Siang Isnin
|
Dikira satu (1) siang
|
|
Malam Selasa
|
Dikira satu (1) malam
|
|
Siang Selasa
|
Dikira dua (2) siang
|
|
Malam Rabu
|
Dikira dua (2) malam
|
|
Siang Rabu
|
Dikira tiga (3) siang
|
|
Malam Khamis
|
Dikira tiga (3) malam
|
|
Siang Khamis
|
Dikira empat (4) siang
|
|
Malam Jumu‘at
|
Pulang - Tidak termasuk
dalam pengiraan
|
Dalam contoh bilangan
(1), orang yang musafir itu diharuskan mengerjakan sembahyang jama‘ dan qashar
di sepanjang tempohnya berada di tempat itu kerana tempohnya kurang daripada
empat siang empat malam. Tetapi jika
orang yang musafir itu merancang untuk tidak pulang pada Malam Jumu‘at
bererti dia akan berada di tempat pelayarannya selama empat siang empat
malam, maka dia tidak harus sembahyang jama‘ dan qashar sebagaimana
mengikut keadaan-keadaan yang telah diterangkan dalam ‘Perkara-perkara yang
menghentikan rukhshah safar’.
2. Contoh pengiraan tempoh yang kurang daripada empat siang empat
malam jika datang di tempat pelayaran pada waktu siang:
|
Siang / Malam
|
Keterangan
|
|
Siang Isnin
|
Tiba pada waktu siang –
Tidak termasuk dalam pengiraan
|
|
Malam Selasa
|
Dikira satu (1) malam
|
|
Siang Selasa
|
Dikira satu (1) siang
|
|
Malam Rabu
|
Dikira dua (2) malam
|
|
Siang Rabu
|
Dikira dua (2) siang
|
|
Malam Khamis
|
Dikira tiga (3) malam
|
|
Siang Khamis
|
Dikira tiga (3) siang
|
|
Malam Jumu‘at
|
Dikira empat (4) malam
|
|
Siang Jumu‘at
|
Pulang - Tidak termasuk
dalam pengiraan
|
Dalam contoh bilangan (2), orang yang musafir itu
diharuskan mengerjakan sembahyang jama‘ dan qashar di sepanjang
tempohnya berada di tempat itu kerana tempohnya kurang daripada empat siang
empat malam. Tetapi jika orang yang
musafir itu merancang untuk tidak pulang pada Siang Jumu‘at bererti dia
akan berada di tempat pelayarannya selama empat malam empat siang, maka
dia tidak harus sembahyang jama‘ dan qashar sebagaimana mengikut
keadaan-keadaan yang telah diterangkan dalam ‘Perkara-perkara yang menghentikan
rukhshah safar’.
وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
[PEHIN
DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
DR. USTAZ HAJI AWANG ABDUL
AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.
Bagaimana dengan perkapalan berlabuh di perairan Brunei? Contohnya kapal Brunei baru sampai dari luar negara dan berlabuh di Lumut C'Anchorage.
ReplyDeleteBrapa lama kah musafir boleh jamak qasar?
Apa pula hal nya dengan keadaan anak kapal melalui air yang dalam perjalanan keluar negeri dimana didalam kapal kami tidak ada melakukan solat jumaat, bolehkan kami jamak dengan jamak takhir waktu zohor?
ReplyDelete