Wednesday, May 13, 2015

SEMBAHYANG JUMAAT DI SURAU

Mendirikan Sembahyang Jumaat di Surau Bolkiah Garison

Soalan:

Dengan penuh hormat dan ta‘zim sukacita dipohonkan perkara di atas mengenai beberapa permasalahan abis kaola seperti yang termaktub di bawah ini:

Kementerian Pertahanan sedang membuat perancangan untuk mendirikan Surau baru di Bolkiah Garison:

Persoalannya:

Bolehkah surau* itu didirikan Sembahyang Fardhu Jumaat di dalamnya, di mana surau ini terletak berhampiran dengan Kg Perpindahan dan Burung Pingai Berakas?

*        Untuk perhatian jua bahawa orang ramai adalah dibenarkan masuk ke dalamnya. (Di luar kawsan terkawal)

Di atas penjelasan, fatwa dan seranan Pehin mengenai masalah-masalah di atas ini terlebih dahulu abis kaola mengucapkan ribuan terima kasih dan semoga Allah akan sentiasa memberikan hidayah dan rahmatNya kepada kita semua, Amin.

Jawapan:

اَلـحَمدُ للهِ رب العالمـين، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنِ اهْتَدَى بِـهَدْيِهِ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

Di antara syarat-syarat sah Sembahyang Jumaat itu ialah tidak berhimpun dua Sembahyang Jumaat pada satu tempat, di samping cukup 40 orang Islam lelaki, aqil baligh, merdeka dan mastautin (diam kekal di suatu tempat didirikan Sembahyang Jumaat itu).

Adapun kita timbulkan perkara tidak berhimpun dua jumaat pada satu tempat ialah kerana merujuk kedudukan Surau Bolkiah Garison dengan Masjid Sufri Bolkiah, Kg Perpindahan Berakas, adakah kedua-duanya itu berada di suatu tempat atau kawasan yang sama? Jika ya, maka sembahyang jumaat tidaklah boleh didirikan di Surau Bolkiah Garison itu, walaupun orang-orang di luar kawasan Surau Berakas Garison itu dibenarkan masuk untuk bersembahyang Jumaat di surau itu. Kemudian persoalan ‘mastautin’. Siapakah yang dinamakan orang-orang mustautin itu? Adakah anggota-anggota tentera, pegawai-pegawai awam dan pekerja-pekerja di Berakas Garison itu penghuni tetap dan kekal duduk atau menetap di situ? Jika inilah hakikat mereka itu, maka harus dan sah mendirikan Juma‘at. Ataukah mereka itu hanya orang-orang yang datang dan tinggal buat sementara kerana tugas atau pekerjaan, dimana setelah sampai masanya kelak mereka akan pulang juga semula kekampung asal atau ke rumah tetap masaing-masing? Jika ini pula keadaan dan hakikat mereka, maka tidaklah harus mendirikan Juma‘at, kerana di antara syarat sah sembahyang Juma‘at itu hendaklah mencukupi 40 orang lelaki aqil baligh, merdeka dan mustautin.

Walaubagaimanapun oleh kerana perkara mendirikan Sembahyang Jumaat itu ada peraturan-peraturannya yang tertentu di negara ini selain daripada syarat-syarat sah Juma‘at, maka perlulah ia dirujukkan lebih dahulu kepada Jabatan Hal Ehwal Masjid atau Majlis Ugama Islam Brunei.  

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ



[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.

No comments:

Post a Comment