Adakah boleh dijaharkan (دجهركن) (dinyaringkan) sembahyang hajat pada siang hari? Harap
menerima fatwanya.
Jawab,
Alhamdulillah,
kata al-Imam al-Khatib dalam Syarah al-Minhaj - sunat bagi imam dan yang
sembahyang bersendiri menyaringkan suara pada sembahyang Subuh dan dua raka‘at yang
dahulu pada sembahyang Maghrib dan Isya’ dan Imam pada sembahyang Juma‘at
kerana mengikut perintah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ijma‘
umat Islam pada imam dan kerana dikiaskan yang sembahyang bersendiri dengan
imam, dan kedua-duanya memperlahankan suara pada sembahyang fardhu yang lain
dari yang tersebut ini pada sembahyang fardhu tunai. Adapun pada sembahyang fardhu qadha’ maka
ia nyaringkan pada qadha’ sembahyang dalam masa dari yang kelam matahari hingga
terbitnya dan ia memperlahankan suara dari terbit matahari hingga tenggelamnya. Dan dikecualikan
sebagaimana kata al-Imam al-Asnawi pada sembahyang raya iaitu dinyaringkan pada
mengqadha’nya sebagaimana dinyaringkan pada tunainya, ini semuanya pada
laki-laki. Adapun perempuan
dan khunsa maka keduanya menyaringkan keduanya ketika tiada didengar oleh
laki-laki asing dan nyaring keduanya itu lebih rendah dari nyaring laki-laki
dan jika didengar keduanya oleh laki-laki asing maka keduanya memperlahankan
suara dan jika keduanya menyaringkan tiadalah batal sembahyang keduanya. Adapun
sembahyang sunat yang bukan muthlaq maka ia nyaringkan pada
sembahyang-sembahyang dua raya dan gerhana bulan dan minta hujan dan Terawih
dan Witir dalam bulan Ramadhan dan dua rakaat tawaf jika dua rakaat itu
disembahyangkan pada malam hari. Dan ia memperlahankan suara pada lain-lain
sembahyang sunat yang bukan muthlaq. Adapun sembahyang sunat muthlaq
maka ia memperlahankan padanya pada siang hari dan ia baca di antara nyaring
dan perlahan pada malam hari jika ia
tiada mengganggu orang tidur atau orang sembahyang atau lainnya itu dan jika
mengganggu maka sunat diperlahankan.
Katanya dalam al-Bughyah - Harus sembahyang
berjemaah pada seperti sembahyang Witir dan Tasbih maka tiadalah makruh pada
berbuat yang demikian dan tiada pula diberi pahala padanya, tetapi jika ia qasad
mengajar makmum-makmum dan menggalakkan mereka padanya maka ia dapat pahala
banyak padanya dengan niat niat baik itu sebagaimana harus dinyaringkan suara
pada tempat memperlahankan suara padahal makruh berbuat begitu kerana mengajar
makmum-makmum maka lebih utama dibuat pada perkara yang asalnya harus dan
sebagaimana diberi pahala pada berbuat perkara-perkara yang harus apabila diqasadkan
dengannya akan قربة yakni
ibadat, seperti makan dengan tujuan supaya kuat berbuat taat atau ibadat, ini
semuanya jika tiada disertai perkara-perkara yang tersebut itu dengan sesuatu
tegahan seperti menyakiti atau i‘tiqad orang ramai sunat
berjemaah padanya.
Jika
ada tegahan seperti itu maka tiadalah diberi pahala bahkan haram dan ditegah
daripadanya.
Dari
dua nash yang tersebut ini maka imam menyaringkan suara pada sembahyang hajat
itu pada siang hari atau malam hari adalah makruh tetapi jika dinyaringkan supaya
mengajar makmum akan bacaan-bacaan sembahyang maka tiada makruh.
Begitu juga
berjemaah pada sembahyang hajat itu harus tiada makruh dan tiada sunat tetapi
jika diqasadkan mengajak orang ramai bersembahyang dan mengajar bacaan-bacaan
sembahyang kepada mereka adalah kerja yang baik dan diberi pahala padanya jika
tiada disertai oleh sangkaan orang ramai berjemaah dalam sembahyang-sembahyang
hajat itu sunat.
والله
أعلم
[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL
BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti
Kerajaan,
Negara
Brunei Darussalam
|
Pejabat
Mufti, Brunei
|
Mufti
Kerajaan Brunei
|
No comments:
Post a Comment