BERHUBUNG DENGAN SEMBAHYANG SUBUH
Soalan:
1. Seorang bangun dari tidur sebelah pagi
kira-kira jam 7.00 terus mengambil wudhu’. Kemudian sembahyang Subuh dengan
menyaringkan suara. Adakah sah
sembahyang Subuh itu?
2. Seorang bangun dari tidur sebelah pagi
kira-kira jam 7.00 terus mengambil wudhu’ lepas itu berdiri sembahyang qadha
Subuh. Adakah mendapat atau dianggap
sembahyang qadha Subuh itu sama juga dengan sembahyang Subuh?
Jawapan:
الحمد لله
، والصلاة والسلام على رسول الله ، اللهم هداية للصواب
1. Seorang
bangun dari tidur, pada hal waktu Subuh sudah keluar maka ia terus mengambil
wudhu’ dan sembahyang Subuh, maka sembahyang Subuh itu adalah ia sembahyang
Subuh qadha di luar waktu Subuh, dan sembahyang Subuh qadha itu sah, dan sunat
ia jangan menyaringkan suara pada tempat-tempat yang sunat dinyaringkan suara
iaitu pada bacaan Fatihah dan pada bacaan surah, jika ia sembahyang Subuh sudah
keluar matahari, dan jika ia sembahyang Subuh sebelum keluar matahari maka
sunat ia baca Fatihah dan surah dengan nyaring iaitu sekira-kira bacaan itu
didengar oleh orang lain yang ada di sisinya.
2. Melewatkan sembahyang Subuh dari
waktunya, ada kalanya kerana sebab suatu uzur pada syara‘ seperti sakit, penat
dan terlena tiada sedar, dan ada kalanya dengan tiada apa-apa sebab atau uzur. Maka
ia sembahyang Subuh dengan qadha atau sembahyang Subuh di luar waktunya, dengan
sebab ada sesuatu uzur pada syara‘, maka sembahyang Subuh qadha itu samalah
pahalanya dengan sembahyang Subuh dalam waktunya, dan jika ia lewatkan
sembahyang Subuh dari waktunya dengan tiada sesuatu uzur pada syara‘ maka
tiadalah sama pahalanya, kerana sembahyang Subuh dalam waktunya ada mempunyai
kelebihan-kelebihan dan pahala-pahala yang tertentu, dan dengan tiada
sembahyang Subuh di dalam waktunya ia telah luput akan kelebihan-kelebihan dan
pahala-pahala itu, tambahan pula ia mendapat dosa dan telah menderhaka kerana
mengeluarkan sembahyang dari waktunya dengan tiada uzur pada syara‘, dan qadha
sembahyangnya itu hanya menunaikan perintah qadha itu, dan ia diberi pahala di
atas menunaikan perintah qadha sembahyang itu, sekalipun ia mendapat dosa pada
mengeluarkan sembahyang Subuh dari waktunya, kerana tiap-tiap sembahyang atau
tiap-tiap amal atau tiap-tiap ibadat diberi pahala kepada siapa yang
mengerjakannya.
Daripada
Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha daripada Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam telah bersabda: ركعتا الفجر خير من الدنيا وما فيها diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim, Ertinya:
dua rakaat sembahyang sunat sebelum sembahyang Subuh itu, lebih baik dari
dunia dan dari segala isinya, dan pada suatu riwayat daripada Al-Imam
Al-Bukhari dan Muslim: أحب الى من الدنيا جميعا, Ertinya: Dua raka‘at sunat sembahyang Shubuh
sebelum sembahyang Shubuh itu, lebih saya suka akannya lebih dari dunia
segala-galanya.
Hadis ini menunjukkan kelebihan
sembahyang sunat Subuh dan kelebihan sembahyang Subuh.
وَاللهُ اَعْلَمْ بِالصَّوَابِ
[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL
BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti
Kerajaan,
Negara
Brunei Darussalam
Pejabat Mufti, Brunei
|
Mufti Kerajaan Brunei
|
No comments:
Post a Comment