Wednesday, May 13, 2015

UZUR SYARAK SEMBAHYANG JUMA'AT

MENGINGATKAN KE ATAS LAKI-LAKI, ISLAM YANG BALIGH MENINGGALKAN SEMBAHYANG JUMA’AT. UZUR-UZUR SYARAK PADA SEMBAHYANG JUMA’AT

Sukacita dimaklumkan bahawa Urusetia Penyelarasan Undang-Undang di Jabatan ini sedang menyusun, meminda dan sebagainya Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah Kadi supaya bersesuaian dan tidak bercanggah dengan kehndak-kehendak Syara’. Kerana itu, kaola pohonkan kerjasama Pehin bagi memberikan jawapan-jawapan kepada perkara-perkara dibawah ini:

1.       (i)    Hukuman ta’zir ke atas lelaki Islam yang baligh serta mukallaf yang meninggalkan sembahyang Juma’at tanpa ‘uzur syar’ie.

          (ii)  ‘Uzur syar’ie bagi sembahyang Juma’at.

Jawab:

الحمد لله رب العالمين، اللهم صل على سيد المرسلين وأله وصحبه أجمعين.

1.       (1)  Berkata Pengarang Bughyatul Mustarsyidin: Menurut qaulul ashah yang lebih sah, bahawa barangsiapa yang telah mesti bersembahyang Juma’at, maka ia dibunuh dengan meninggalkan sembahyang Juma’at itu, apabila telah sempit waktu berjuma’at dari wajib mengerjakan dua khutbah dan sembahyang Juma’at sekalipun ia berkata saya akan sembahyang dalam waktu Dzuhur.

                 Dalam Bughyatul Mustarsyidin masalah: Orang yang meninggalkan sembahyang sama sekali, dan meninggalkan sesetengah sembahyang, adalah dia orang fasiq dengan ijma’ ‘ulama Islam, hukumnya seperti hukum meninggalkan dan tiada mengeluarkan zakat, dan wajib dibunuh akan dia dengan pedang, setelah diminta ia bertaubat dan mengerjakan sembahyang, sekalipun dengan meninggalkan satu sembahyang dan ditakuti ia mati dalam su’ul khatimah (dalam kufur) والعياذ بالله  dan tiada boleh dan tiada harus, bagi orang yang mempunyai air memberi ia air dan ia bertayyamum, bahkan ia mengambil wudhu’ dengan air itu dan ia biarkan orang tiada sembahyang itu dalam kehausan (walau ia mati dengan kehausan itu) kerana ia tiada dihormati nyawanya seperti hukum anjing yang mengganas, sayugia bagi orang yang berugama jangan hadir akan majlis-majlisnya dan jangan menjadi dhaifnya dan jangan hadir jenazahnya dan jangan disembahyangkan dia dengan berterang-terang supaya orang lain insaf dan tiada membuat seperti kelakuan orang itu, bahkan sayugia, bagaimana kata al‑Qutub Said Ahmad bin Syumith dikuburkan dia di tempat yang jauh dari kubur orang Islam dan dinamakan dia kubur orang fasiq.

                 Dalam Bughyatul Mustarsyidin masalah ج: Mendirikan Juma’at adalah suatu Fardhu ‘Ain di atas tiap-tiap orang Islam lelaki mukallaf melainkan 4 orang sebagaimana dalam hadits. Maka dari sebab itu, apabila ada pada suatu kampong 40 empat puluh orang lelaki yang sempurna syarat-syarat Juma’at, maka wajiblah di atas mereka mendirikan Juma’at di Kampong itu, dan haram di atas mereka menggagalkan Juma’at itu, dan mereka pergi ke tempat lain, melainkan ada ‘uzur syarie, dan haram di atas orang-orang itu belayar, apabila gagal Juma’at dengan sebab ghaib orang-orang itu, melain ghaib dengan sebab ada suatu hajat, dan hendaklah jahat itu suatu tujuan yang betul pada syara’, dan wajib di atas siapa yang berkuasa meninggok dan menyuruh mereka mendirikan Juma’at dan menegah dari menggendalakan Juma’at, kalau tidak, maka dia bersekutu dengan mereka pada menggendalakan Juma’at.

                 Dalam Bughyatul Mustarsyidin: Masalah ج dan seumpamanya masalah ي bahawa menyuruh berbuat ma’ruf dan menegah dari mungkar, adalah tiang seri ugama, atau asal ugama, maka barangsiapa menjalankan امر بالمعروف dan نهى عن المنكر dari mana-mana orang Islam, maka wajiblah di atas orang lain membantu akannya dan menolongnya, dan tiada harus dan tiada boleh orang lain, dudk diam dengan tiada menyuruh berbuat ma’ruf dan menegah dari mungkar, dan tiada ambil tahu akannya, sekalipun ia ketahui bahawa menyuruh berbuat ma’ruf  dan menegah dari mungkar tiada berkesan dan tiada berfaedah pada sesuatu perkara itu …

                 Wajib di atas pemerintah atau raja menyuruh orang ramai mendirikan Juma’at dan sembahyang pada sembahyang-sembahyang lima waktu, kerana keduanya sebesar-besar syiar dan cogan ugama Islam, dan tiada berdosa siapa yang linggah dari berjama’ah, kiranya ada orang lain mendirikan jama’ah, melainkan dari segi menyalahi perintah pemerintah atau raja, maka ia berdosa, dan ia dihukum menurut keadaan orang itu dan dita’zirkan dia …

Maka dari kata-kata ‘ulama di atas ini bahawa menyuruh orang mengerjakan perkara-perkara yang disuruh oleh syara’ kerjakan adalah wajib dan menegah orang dari melakukan mungkar dan larangan adalah wajib bahkan kata al-Imam Ahmad bahawa tiada bangun mengajak orang berbuat perkara yang disuruh Allah dan tiada bangun menegah orang dari melakukan mungkar dan tegahan adalah kufur, dan kata setengah ‘ulama adalah ia dosa besar dan kata setengah ‘ulama kalau perkara itu dari jenis dosa besar, maka adalah ia dosa besar dan jikalau perkara itu dari jenis dosa kecil maka ia dosa kecil.

Ertinya tiada menjalankan امر بالمعروف dan tiada bangun menegah dan نهي عن المنكر  ada kalanya kufur bagaimana kata al-Imam Ahmad bin Hambal dan ada kalanya dosa besar kiranya perkara yang ditinggalkan atau dilakukan itu dari jenis dosa besar seperti meninggalkan sembahyang dan sembahyang Juma’at dan melakukan bohong dan minum arak.

          (2)  ‘Uzur sembahyang Juma’at dan ‘uzur sembahyang jama’ah itu:-

                   1.    Hujan yang membasahkan pakaian dan tiada disana ada atap lalu dibawahnya.

                   2.    Sakit yang menyusahkan seperti susah hujan itu.

                   3.    Menjaga orang sakit yang tiada siapa menjaga akannya.

                   4.    Kerabat hampir mati.

                   5.    Dengan adanya disisi kerabat yang hampir mati itu menjadi hiburan kepada yang hampir mati itu.

                   6.    Orang yang jadi hiburan itu ialah seperti isteri, ipar, hamba, kawan, guru, orang yang memerdehakakan, orang yang dimerdehakakan.

                   7.    Takutkan dirinya sendiri binasa atau namanya, atau hartanya.

                   8.    Takutkan tuan hutang mengekori akannya padahal ia orang susah tiada dapat membayar hutang.

                   9.    Berharapkan ampun dari sesuatu seksa atau denda.

                   10.  Tiada ada pakaian yang layak baginya.

                   11. Sangat mengantuk atau sangat hendak tidur.

                   12. Sangat sejuk dan sangat licak, sangat panas.

                   13. Rombongan kawan-kawan belajar, kalau ia tinggal menjadi susah kepadanya yakni dalam pelayaran yang diharuskan oleh Syara’.

                   14. Makan benda yang mentah yang membawa busuk bau mulut seperti bawang mentah, durian, patai dan jering dan lubak kiranya tiada dapat dihidangkan.

                   15. Atap bucur tempat lalu.

                   16. Gempa bumi.

Ini setengah dari ‘uzur jama’ah dan Juma’at.

والله أعلم بالصواب

YDM PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
AWANG HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ,
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.


Pejabat Mufti, Brunei

Mufti Kerajaan Brunei

No comments:

Post a Comment