Thursday, May 14, 2015

WAJIB QADHA

ADAKAH WAJIB QADHA SEMBAHYANG FARDHU YANG LIMA DAN SEMBAHYANG QADHA KETIKA MENGERJAKAN HAJI FARDHU


Soalan:

1.       Adakah sembahyang yang saya telah tinggalkan 10 tahun itu harus atau wajib saya qadha atau sebaliknya?

2.       Kalaulah sembahyang yang telah saya tinggalkan 10 tahun itu harus atau wajib saya qadha atau bayar, bagaimana?

3.       Bagaimana cara-cara saya melaksanakannya (qadha atau bayar sembahyang).

4.       Bagaimana caranya saya tahu yang sembahyang saya 10 tahun itu telah habis atau selesai saya qadha atau bayar, iaitu tidak perlu saya sembahyang qadha atau bayar lagi.

5.       Bilakah masa atau waktunya sembahyang qadha atau bayar itu boleh dilakukan (masa qadha atau membayar sembahyang).  Saya sebagai orang masih qadha atau berhutang dalam sembahyang:-

6.       Bolehkah saya menjadi imam atau mengimamkan dalam sembahyang berjemaah?

7.       Apakah jenis-jenis sembahyang yang tidak boleh saya lakukan atau sertakan baik sembahyang berseorangan atau berjemaah.  Dalam kita menunaikan sembahyang 5 waktu sehari semalam:-

8.       Bagaimanakah cara kita atau mengetahui batas-batas atau sempadan waktu-waktu sembahyang diantara satu waktu kesatu waktu umpamanya waktu Dzuhur mulai jam 12.30 hingga jam . . . . dan seterusnya.

9.       Bilakah masa atau waktunya kita ditegah bersembahyang, baik sembahyang waktu (fardhu) sunat dan sembahyang qadha.

10.     Apakah tidak menyalahi jika seseorang itu tidak bersembahyang di masjid baik sembahyang bersendirian atau berjemaah dia atau mereka bersembahyang di rumah sedangkan rumah mereka berhampiran dengan masjid, walaupun mereka atau dianya mendengar suara azan sekalipun dari masjid dia atau mereka tidak mengindahkan dia atau mereka masih tetap bersembahyang di rumah juga.

11.     Berapakah agak jarak jauh tempat atau rumah seseorang itu dengan masjid, walaupun terdengar suara azan, maka seseorang itu tidak perlu pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang berjemaah di masjid.

          Saya sebagai seorang yang masih dalam qadha sembahyang, dalam masa berada di Mekkah nanti (kira‑kira 40 hari) apakah boleh saya melakukan perkara‑perkara tersebut:-

12.     Sembahyang qadha (bayar) dan bila masanya boleh dilakukan.

13.     Sembahyang Tahyatul Masjid (sunat masjid), sunat Tawaf, sunat Ihram Umrah dan sunat Ihram Haji dan sembahyang sunat lainya.

14.     Apakah jenis-jenis amal atau ibadat atau sembahyang yang tidak boleh atau ditegah dilakukan oleh seseorang yang masih dalam qadha sembahyang (Jemaah Haji) iaitu orang yang seumpama saya.

15.     Mengikut pengelaman dari ramai jemaah-jemaah Haji yang telah pernah menunaikan ibadat Haji.  Doa qunut dalam sembahyang Subuh tidak dilakukan di Mekkah, sedangkan kita di sini melakukan doa qunut, apakah kita mengikut seperti di Mekkah dengan tidak perlu doa qunut atau kita wajib juga dengan doa qunut, apakah ini tidak merosakan sembahyang kita.

Jawapan:

الحمد لله ، اللهم صل وسلم على سيدنا محمد واله وصحبه ، اللهم هداية للصواب

1.       Ya. Wajib diatas orang mukallaf mengqadhakan sembahyang fardhu yang lima, yang telah ia tinggalkan pada hal ketika itu ia orang mukallaf dari semenjak ia baligh sama ada dengan keluar mani atau haid, atau sampai umur 15 tahun Qamariah.

2.       Wajib diqadhakan segala sembahyang yang luput daripada orang mukallaf dengan sengaja, dan tiada apa-apa uzur pada syara’, sama ada ia tahu atau tiada, kerana orang-orang mukallaf laki-laki dan perempuan wajib ia belajar hukum-hukum ugama dari jenisfardhu ‘ain, seperti dalam ibadat-ibadat, jualbeli, dalam berniaga, berusaha, nikah yang sedang berlaku diatas dirinya, dan wajib dan mesti diatas ibu bapa, dan orang-orang Islam mengajar dan menyuruh orang mukallaf belajar hukum‑hukum fardhu ‘ain dalam Islam.  Dan wajib di atas Raja, dan pegawai yang bertanggung jawab hal umat Islam mengajak dan mengarahkan umat Islam belajar hukum-hukum dari jenis fardhu ‘ain dari hukum-hukum Islam, dan mengadakan guru-guru yang mengajar hukum-hukum fardhu ‘ain.

3.       Menurut kiraan Al-A'llamah Al-Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin, dan ahli falak yang masyur dan sahabat ayahanda kita dan kita rahmatullah ta’ala ‘alaihi bahawa satu tahun hijiriyyah harinya 354 hari pada tahun Basitah, dan 355 hari pada tahun Kabisah.  Dipetik dari kitabnya Natijahtul ‘Umr.

          Maka Awang kira 355 hari x 10 tahun = berjumlah 3550 hari jadi dalam 3550 hari wajib di atas Awang mengqadhakan sembahyang lima waktu.

4.       Wajib qadha sembahyang sepanjang masa melainkan masa yang tiada dapat tiada dibuat seperti waktu kerja mencari nafkah dan sara hidup bagi diri sendiri, dan nafkah bagi orang yang wajib Awang tanggong dan sarakan hidupnya, seperti isteri, anak kecil yang fakir, dan ibu bapa yang fakir, dan melainkan waktu tidur biasa dan waktu qadha hajat, dan melainkan masa ia terpaksa membuat perkara yang wajib yang tiada boleh tidak, kalau tiada dikerjakan maka perkara wajib itu akan luput seperti sembahyang Dzuhur yang hadhir dan sembahyang Juma’at dan seumpamanya.

5.       Jawabnya seperti jawab (4).

6.       Awang boleh jadi imam dalam sembahyang berjemaah.

7.       Awang wajib qadhakan sembahyang yang luput itu dan haram di atas Awang mengerjakan sebarang sembahyang sunat.

8.       Rasullullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah mengajar umat Islam cara mengetahui waktu-waktu bagi dikerjakan sembahyang fardhu yang lima itu bagaimana disebutkan oleh ulama Islam.

          Tersebut dalam kitab Al-Minhaj karangan Al-Imam An‑Nawawi rahimahullahu ta’ala pakar dalam ilmu Islam, dan pakar dalam mazhab kita Ash-Syafi’i radhiallahu 'anhu yang diiktimadkan kitanya bagi dibuat fatwa dan diambil hukum-hukum Islam.

          Katanya:  sembahyang Dzuhur awal waktunya dengan tergelincir matahari dari langit dari timur ke barat, dan akhir waktu Dzuhur itu apabila bayang sesuatu itu sendiri dan sama kadarnya dengan sesuatu itu (seperti bayang pensil sama kadar dengan pensil itu), dan bayang yang ada waktu matahari tergelincir itu dari tengah langit itu, hendaklah dibuang dan jangan ambil kira, bayang itu dinamakan bayang Zillul Istiwa’.

          Awal waktu Asar, apabila bayang sesuatu itu seperti sama dengan sesuatu itu, dan kekal waktu Asar itu sehingga terbenam segala bulatan matahari di bawah dasar laut, dan di bawah ufuq.

          Awal waktu Isyak itu dengan hilang mambang merah dari tepi langit dan kekal waktu Isyak itu hingga terbit fajar sidek.

          Awal waktu Subuh itu terbit fajar sidek, iaitu awan putih yang melintang di arah langit, dan kekal waktu Subuh itu sehingga terbit matahari sekalipun sedikit.  Di ambil dengan ringkas.

          Awang boleh dapatkan jadual waktu sembahyang lima waktu dari Jabatan Ehwal Ugama Brunei, atau boleh didengar azan dari radio serta Awang berhati-hati membandingkan dengan jadual waktu dan jam yang betol, kerana setengah-setengah negeri juru hebah itu lalai sehingga salah menghebahkan azan itu.

9.       Orang yang meluputkan sembahyang fardhu yang lima dengan sengaja wajib ia qadha sembahyang itu sepanjang masa.

          Orang yang tiada mempunyai qadha, maka ditegah ia sembahyang sunat haram ia sembahyang sunat itu pada waktu:

          1.       Lepas sembahyang Suboh sehingga naik matahari sekadar satu galah di atas langit.

          2.       Waktu matahari betul-betul di tengah langit, melainkan pada hari Juma’at.

          3.       Lepas sembahyang Asar sehingga tenggelam matahari, melainkan sembahyang yang ada sebab yang tiada kemudian, seperti sembahyang qadha sunat, sembahyang Tahyattul Masjid, sembahyang sunat wudhuk, sembahyang gerhana dan sujud syukur, melainkan di tanah haram Mekkah, maka boleh ia sembahyang sunat pada waktu-waktu yang tersebut yang dilarang itu.

          Orang yang mempunyai qadha sembahyang yang luput dengan sebab ada uzur syara’, maka ia boleh buat qadha sembahyang itu pada waktu, yang dilarang itu, sebab sembahyang qadha itu ada mempunyai sebab terdahulu dari waktu-waktu yang dilarang itu.

10.     (i).     Mendirikan sembahyang fardhu berjemaah adalah menjadi fardhu kifayah keatas orang-orang laki-laki yang mukallaf yang bermukim pada sesuatu tempat.  Sekarang orang-orang Islam laki-laki yang bermukim, banyak yang tiada mengambil hirau mendirikan sembahyang berjemaah yang wajib di atas mereka mendirikan jemaah dan yang wajib mengajak orang-orang berjemaah.

          (ii).    Juga wajib didirikan sebuah rumah atau diadakan suatu tempat bagi mendirikan sembahyang berjemaah fardhu yang lima itu, oleh orang-orang Islam laki-laki yang bermukim itu jika ada mereka kira-kira 30 orang laki-laki Islam bermukim di situ.

          (iii).   Rumah tempat sembahyang berjemaah itu hendaklah bebas sekira-kira orang-orang yang datang sembahyang berjemaah dengan bebas tiada ada gangguan dan tiada segan datang berjemaah di situ, dan bukan rumah orang kerana tiada kebebasan memasuki rumah seperti rumah itu, melainkan rumah orang itu bebas dari segala gangguan.

          Tiadalah memadai mendirikan sebuah masjid dalam satu-satu negeri dengan tiada mendirikan tempat-tempat sembahyang berjemaah, jika besar sesuatu negeri dan kawasan itu hendaklah didirikan tempat-tempat sembahyang berjemaah atau surau, beberapa tempat‑tempat ibadat atau beberapa surau.

          Jadi dalam sesuatu negeri itu ada satu masjid dan beberapa-beberapa surau.

          Dari itu kita didapati sekarang orang-orang Islam mendirikan masjid-masjid tetapi lengah dan lalai dari mendirikan surau-surau atau tempat-tempat ibadat berjemaah di suatu tempat itu, mereka adalah berdosa tiada menjalankan fardhu kifayah.

          Sabda Rasullullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

ما من ثلاثة فى قربة أوبدولا تقام فيهم الجماعة الا استحون عليهم الشيطان ، فعليك بالحماعة ، فانما يأكل الذئب من الغنم القاصية

          Hadits ini diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud, An‑Nasa’i dan ditashihkan hadits ini Al-Imam Ibnu Hibban dan Al-Hakim.

          Ertinya:  Tiga orang laki-laki ada dalam satu kampong atau dalam satu tanah lapang, tiada mendirikan sembahyang fardhu yang lima dengan berjemaah, melainkan mereka akan dikuasai dan ditawan oleh syaitan, maka wajiblah di atas kamu ada di dalam kumpulan umat Islam yang sembahyang berjemaah kerana serigala akan makan kambing yang memencilkan diri dari kumpulan kambing-kambing itu.

          Begitulah orang Islam yang ada di satu kampong atau ada pada satu tanah lapang jika kiranya tiada mendirikan sembahyang berjemaah akan dikuasai oleh syaitan dan ajen-ajen jahat, kumpulan subasif dan ahli samsing, maka menganas, mencuri, merompak, makan dadah, merogol, lacor, berjudi, berjoget dan berdansing, berkhalwat dan sebagainya sebab tiada berjemaah, dan tiada berhimpun, dan tiada mendengar nasihat dan tiada bertemu muka diantara penduduk-penduduk kampong itu, maka syaitan pun datang mengasut dengan fikiran jahat, pelan-pelan liar, dan perbuatan ganas dan pakatan‑pakatan anti ketenteraman, dan kelakuan luar budi bahasa, dan luar lunas-lunas Islam, ini dipetik dari At-Tuhfah dan Al-Iqna’.

          Seorang sahabat saya datang mengadu, bahawa orang-orang Islam mendirikan masjid-masjid cantik-cantik, dan tiada mengambil berat pada membangunkan surau-surau dan tempat-tempat ibadat diantara masjid-masjid yang berjauhan itu, katanya itu seperti kelakuan orang-orang Kristian mendirikan gereja berjauh-jauhan denga tiada surau seperti surau umat Islam.  Ini katanya jangan kita ikut kelakuan orang-orang dimurkai Allah dan orang‑orang yang disesatkan Allah seperti dalam Al‑Fatihah

غير الماغضوب عليهم ولاالضالين امين

          (iv).   Hasil dan dapat sembahyang berjemaah itu dengan seorang imam dan seorang makmum.

          (v).    Sembahyang berjemaah di masjid lebih afdhal dari sembahyang berjemaah di rumah, kerana syara’ Islam mengambil berat pada mengamarahkan masjid, menurut pendapat Al-Imam Ibnu Hajar rahimahullahu ta’ala.

11.     (i).     Kadar jauh pergi ke tempat berjemaah dari rumah itu iaitu memadailah sekira-kira seseorang itu keluar dari rumahnya menuju ke tempat jemaah itu, dengan sekira‑kira ia tiada dapat kesusahan yang zahir dan menanggong keberatan yang nyata, pada mendapatkan sembahyang jemaah itu.

          (ii).    Berkata Al-Imam Ibnu Hajar dalam At-Tuhfah:  Sunat bagi imam itu berusaha sembahyang pada awal waktu, tetapi sesudah berlalu masa kadar orang-orang datang berhimpun, dan mereka membuat perkara-perkara sebab bagi menunaikan sembahyang sekadar masa yang adat biasa, kemudian imam sembahyang dengan orang‑orang yang ada itu, sekali pun sedikit.

          Begitulah juga seperti yang tersebut dalam Al-Mughni Lil Khatib dan An-Nihayah Lil Ramli dan lain-lain kitab Fiqh.

          Berkata Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Umar bin Yahya Al-Alwi Al-Husaini dalam kumpulan fatwanya, ketika mengulas ibarat di atas ini:

          Ketahuilah dari perkataan-perkataan yang di atas ini, bahawa sunat bagi imam itu bersegera mendirikan sembahyang pada awal waktu, dengan orang-orang yang telah hadhir itu, dan jangan menunggu makmum lebih dari kadar itu, dan menunggu yang sunat itu, ialah kadar zaman ada masa dari lepas masuk waktu itu sekira-kira sempat orang yang sederhana kelakuannya itu pergi qadha hajat, dan bersuci Taharah, dan sembahyang sunat Ratibah Qabliah sekadar masa serendah-rendah kamal sembahyang (Adnal-Kamal) dan bagi mendekatkan pada faham luas waktunya itu, iaitu sekadar masa membaca setengah juzu Al-Qur'an iaitu sekadar suku jam, melainkan pada sembahyang Maghrib, kerana Maghrib itu sempit, maka sunat diceraikan diantara azan Maghrib dan akamat sekadar masa yang sedikut jua, maka itulah kadar waktu yang sunat bagi imam melewatkan sembahyang dari lepas masuk waktu sehingga kadar itu, maka jika ia lewatkan lebih dari kadar itu, maka dia telah menyalahi sunat Rasullullah, dan jika lekaskan dari kadar itu, maka ia juga telah menyalahi sunat perjalanan Rasullullah Shallallahu 'alaihi wasallam.  Dan masuk imam itu dalam golongan imam-imam yang disabdakan Rasullullah Shallallahu 'alaihi wasallam iaitu imam‑imam yang mematikan sembahyang, bagaimana hadits-hadits yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim.

          Diambil dengan ringkas.

12.     Melakukan qadha sembahyang itu pada bila-bila masa sama ada di Mekkah Al-Mukarramah atau di Madinah Al-Munawarah, kerana qadha sembahyang yang diluputkan dengan sengaja itu wajib disegerakan, kecuali masa mengerjakan fardhu yang hadhir seperti sembahyang fardhu yang lima yang hadhir dan kecuali kerja-kerja haji yang wajib ditunaikan.

13.     Awang lakukan dan kerjakan sembahyang qadha ganti sembahyang sunat dan tawaf sunat, yang awang sebutkan itu.

14.     Buat dan selesaikan qadha sembahyang sepanjang masa Awang itu, juga sembahyang di tanah haram Mekkah adalah besar dan berganda-ganda pahalanya sekira-kira 100,000 ganda sembahyang dari sembahyang di luar tanah haram Mekkah.  Dan satu sembahyang di masjid Nabi diberi pahala 1,000 ganda.

15.     Boleh buat qunut biasa kalau sempat salam bersalam bersama-sama imam, dan boleh buat qunut ringkas seperti

اللهم اغفرلى فانك غفور رحيم

        Kemudian terus duduk ikut duduk bersama-sama imam dan bertahayat akhir.

Makmum boleh mufarakah dengan niat mufarakah meninggalkan imam dan membaca qunut dan makmum boleh tinggalkan qunut, kerana mengikut imam, dan tiadalah ia kena suhud shawi, kerana imam menanggung perbuatan meninggalkan qunut itu, sebagai ia makmum kepada imam itu, demikianlah bagaimana yang dapat difahamkan dari kitab Al-Manhaj dan At-Tuhfah. Wallahu A’alam.

والله أعلم بالصواب وهو المعين ولا معين سواه  الحمد لله رب العالمين

والله أعلم

[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam
         
Pejabat Mufti, Brunei
Mufti Kerajaan Brunei


No comments:

Post a Comment