DAHI: Salah Satu Anggota Sujud
|
بسم
الله، والحمدلله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala
puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Sujud adalah salah satu rukun fi‘li (perbuatan)
daripada rukun-rukun dalam sembahyang. Menurut sesetengah kitab seperti Mughni
al-Muhtaj dan Hasyiah I‘anah ath-Thalibin, sujud merupakan rukun yang ke tujuh
dalam sembahyang.
Sujud dalam sembahyang merupakan fardhu berdasarkan
al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hajj:
Tafsirnya: “Wahai
orang-orang yang beriman, ruku‘lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).”
(Surah
al-Hajj: ayat 77)
Manakala hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah
Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا قُمْتَ إِلَى
الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ. ثُمَّ
ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا. ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا.
ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا. ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ
جَالِسًا. وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Apabila
kamu hendak mendirikan sembahyang, maka bertakbirlah, kemudian bacalah sesuatu
yang mudah yang ada bersama kamu dari al-Qur’an. Kemudian ruku‘lah sehingga
kamu thuma’ninah dalam ruku‘. Kemudian bangunlah (dari ruku‘) sampai kamu tegak
berdiri (i‘tidal). Kemudian sujudlah sehingga kamu thuma’ninah dalam sujud.
Kemudian bangunlah (dari sujud) sampai kamu thuma’ninah dalam duduk. Dan
lakukanlah demikian itu dalam setiap sembahyangmu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Yang dimaksudkan dengan thuma’ninah
ketika sujud itu ialah hendaklah setiap satu daripada anggota sujud itu tetap
seketika pada tempatnya. Jumhur mengatakan adalah wajib thuma’ninah
ketika sujud berdasarkan hadis di atas. Menurut sebilangan ulama, kadar masa thuma’ninah
ketika sujud itu ialah kadar bacaan satu tasbih sujud iaitu:
سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى
Berdasarkan
dalil daripada al-Qur’an dan hadis, maka ulama sepakat mengatakan bahawa sujud
itu adalah fardhu dalam sembahyang.
Makna Sujud
Sujud dari segi bahasa antaranya bermaksud merendahkan
diri; menundukkan kepala; hina (merendahkan kedudukan); miring (condong) ke
suatu tempat dan meletakkan dahi ke bumi. Maka perbuatan
sujud seseorang itu ialah bilamana dia menundukkan atau merendahkan kepalanya ke
hadapan dan membongkokkan badannya ke bawah (tanah).
Sebagai tambahan, sujud yang bermaksud merendahkan
diri dan menundukkan kepala sebagaimana sujud yang diperintahkan ke atas para
malaikat kepada Nabi Adam ‘Alaihissalam. Firman Allah Ta‘ala dalam surah
al-Baqarah:
Tafsirnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman
kepada malaikat: “Tunduklah (beri penghormatan) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka
sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan
menjadilah ia dari golongan yang kafir.”
(Surah
al-Baqarah: ayat 34)
Ulama telah sepakat bahawa sujud yang diperintahkan ke
atas para malaikat kepada Nabi Adam itu bukanlah sujud ibadat. Ini kerana melakukan
sujud selain kepada Allah Ta‘ala membawa kepada kufur.
Manakala makna sujud dari segi syarak ialah menyentuh sebahagian
dahi seorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujud, samada tempat sujud itu tanah
atau selainnya. Adapun bilangan sujud dalam sembahyang itu ialah sebanyak dua
kali dalam setiap rakaat.
Anggota
Sujud
Anggota sujud itu ada tujuh sepertimana
yang telah disebutkan dalam hadis shahih yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu
‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
أُمِرْتُ
أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ
أَعْظَمٍ: عَلَى الْجِبْهَةِ-
وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ-
وَالْيَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ…
(رواه
البخاري)
Maksudnya: “Aku
diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang, iaitu: pada dahi dan Baginda
menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda, dua tangan, dua lutut dan
jari-jari dari dua telapak kaki….”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Tertib
Sujud
Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah, sunat melakukan
sujud itu dengan meletakkan kedua-dua lutut terlebih dahulu, kemudian diikuti
dengan kedua tangan, kemudian dahi dan hidung. Sekiranya dia meletakkan kedua
tangannya dahulu sebelum kedua lututnya, maka itu adalah memadai cuma dia
meninggalkan sunat hai’at. Ini berdasarkan kepada hadis Wa’il bin Hujr dia berkata:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ
إِذَا سَجَدَ وَضَعَ رُكْبَتَيْهِ قَبْلَ يَدَيْهِ. وَإِذَا نَهَضَ رَفَعَ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ
(رواه أبو داود)
Maksudnya:
“Saya melihat Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam jika Baginda sujud, Baginda meletakkan dua lutut Baginda
sebelum dua tangan Baginda. Dan jika Baginda bangun (dari sujud),
Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut Baginda.”
(Hadis riwayat Abu
Daud)
Menurut at-Tirmidzi, al-Khathabi dan al-Qadhi Abu ath-Thayyib
dalam kitab al-Majmu‘, tertib cara inilah yang disepakati oleh jumhur
ulama. Sementara itu Ibnu Mundzir juga
berpendapat demikian.
Menurut asy-Syaikh al-Baijuri, beginilah tertib sujud yang
akmal (lebih sempurna). As-Sayyid al-Bakri pula mengatakan adalah makruh
menyalahi tertib sujud yang telah disebutkan di atas.
Demikian secara ringkas dijelaskan mengenai hukum
sujud dalam sembahyang, anggota sujud dan tertibnya. Adapun penjelasan selepas
ini mengenai sujud hanya akan ditumpukan kepada salah satu daripada anggota sujud
sahaja, iaitu dahi.
Hukum Sujud Pada Dahi
Hukum sujud pada dahi ketika sembahyang adalah wajib tanpa
perselisihan ulama dan lebih awla (baik) jika seseorang itu sujud pada
keseluruhan dahi tersebut. Ini kerana yang dituntut ketika sujud itu ialah menyentuh
sebahagian dahi seorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujud. Namun jika kurang
dari
itu, maka itu adalah memadai dan
hukumnya adalah makruh (karahah tanzih). Inilah perkataan Imam asy-Syafi‘e
dalam kitab al-Umm dan juga pendapat para ulama Syafi’e. Maksud karahah
tanzih itu ialah perkara yang dituntut oleh syara‘ meninggalkannya, akan
tetapi tuntutan itu tidak sampai ke tahap wajib. Jika dilakukan juga perkara
tersebut, maka hukumnya tidak berdosa hanya khilaf al-awla (menyalahi
yang utama).
Oleh kerana
itu, jika dia sujud pada jabin, iaitu tepi dahi; atau pipi; atau pelipis, iaitu bahagian di antara mata
dengan telinga;
atau pada atas
kepala; atau pada hidungnya sahaja dan dia tidak meletakkan sebahagian apa pun
daripada dahinya pada tempat sujud, maka perbuatan sujudnya itu adalah tidak
memadai. Beginilah juga yang dinashkan dalam kitab al-Umm.
Di samping itu, tidak
memadai perbuatan sujud itu dengan hanya sekadar menyentuh atau meletakkan dahi
ke atas tempat sujud. Bahkan wajib ditetapkan seketika
dahi pada tempat sujud dan diberikan sedikit tekanan berat daripada kepala dan tengkuk pada
dahi tersebut.
Sujud Pada Dahi Yang Tertutup
Berkata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dan para ulama
Syafi‘e: “Wajib dibuka (yakni tiada ditutup) kawasan dahi supaya dahi itu
bersentuhan secara langsung dengan tempat sujud.
Kewajiban membuka kawasan dahi ini berdasarkan hadis Khabab bin
al-Art, dia berkata:
شَكَوْناَ إِلَى رَسُولِ اللهِ
شِدَّةَ الرَّمْضاَءِ فِي جِباَهِناَ وَأَكُفِّناَ، فَلَمْ يُشْكِناَ
(رواه البيهقي)
Maksudnya: “Kami mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai rasa
yang sangat panas (yang kami rasai ketika sembahyang) pada dahi dan telapak
tangan kami, namun aduan kami tidak dipedulikan.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Jika sekiranya dahi itu tidak wajib
dibuka, pasti Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam mengizinkan mereka
menutupnya. Berdasarkan itu, maka tidak sah sujud pada dahi yang tertutup
sepertimana contoh-contoh berikut:
· Sujud pada dahi yang
tertutup oleh topi atau songkok, maka tiada sah sujud.
· Sujud pada rambut yang
jatuh menutupi dahi, maka tidak sah sembahyang. Berlainan dengan rambut yang tumbuh pada
dahi, maka itu tidak mengapa kerana rambut itu umpama kulit.
· Sujud dengan
meletakkan dahi di atas tangan sendiri atau sujud pada gulungan hadapan serban juga
tidak sah sembahyang tanpa percanggahan ulama.
Sujud Pada Dahi Yang Terhalang Oleh Ha’il (Lapik)
Pada kebiasaannya, seseorang yang sembahyang itu akan
sujud dengan meletakkan dahinya pada suatu tempat sujud seperti atas sejadah
atau seumpamanya.
Namun
apabila seseorang itu sujud pada ha’il, iaitu sesuatu lapik yang
menghalang dahi dari menyentuh tempat sujud, maka perbuatan sujudnya itu tidaklah
memadai.
Adakah Sah Sujud Di Atas Ha’il (Lapik)?
Hukum sah atau tidak perbuatan sujud
di atas ha’il itu berbeza mengikut keadaan ha’il tersebut, samada
ha’il itu ditanggung, iaitu dengan cara malbus (dijadikan pakaian)
ataupun tidak ditanggung. Kemudian ha’il yang dijadikan pakaian itu, adakah
ia bergerak mengikut perbuatan mushalli (orang yang sembahyang) ataupun
tidak. Penerangannya adalah seperti berikut:
1. Ha’il Yang Dijadikan
Pakaian Oleh Mushalli
Contoh
dan hukum sujud di atas suatu lapik yang malbus, iaitu yang dijadikan pakaian, ada dua
keadaan:
a. Pakaian
Yang Turut Bergerak Dengan Perbuatan Mushalli
Misalnya hujung baju atau hujung serban
dan kedua-dua hujung baju dan serban tersebut bergerak dengan perbuatan mushalli
semasa berdiri dan duduk atau selain dari berdiri dan duduk. Maka jika dia
sujud di atas hujung baju atau serban tersebut, ulama sepakat mengatakan tidak
sah sembahyangnya. Begitu juga hujung
selendang pada bahu.
b. Pakaian Yang
Tidak Bergerak Dengan Perbuatan Mushalli
Misalnya hujung pakaian atau hujung serban yang terlalu
panjang yang tidak bergerak mengikut perbuatan mushalli,
maka itu tidak mengapa dan menurut qaul
shahih sembahyangnya adalah sah. Ini adalah kerana pakaian yang terlalu panjang
tadi dihukumkan seperti sesuatu yang munfashil (tidak bersambung) dengan
mushalli.
Menurut al-Khatib, jika seseorang itu sembahyang dalam
keadaan duduk lalu dia sujud atas pakaian yang tidak bergerak dengan perbuatannya
dalam hal keadaan dia sembahyang duduk, sedangkan jika dia sembahyang berdiri nescaya
pakaian itu bergerak, maka itu tidak mengapa. Demikianlah juga menurut Ibnu Hajar
al-Haitami: sah sembahyangnya.
Bagaimana pula perbuatan mushalli yang
menyebabkan sesuatu pakaian yang dipakai itu bergerak? Mengikut Ibnu Hajar
al-Haitami memadailah pakaian itu bergerak dengan perbuatan mushalli ketika
sembahyang dan bukannya dengan kekuatan.
Jika dia sujud di atas ha’il dengan senghaja
dan mengetahui tentang haramnya, maka batal sembahyangnya. Adapun jika dia lupa
atau lalai, maka tidak batal sembahyangnya akan tetapi wajib dia mengulangi
sujudnya tadi.
2. Ha’il Yang Munfashil
Dari Mushalli
Maksud munfashil di sini adalah sesuatu yang
tidak bersambung dengan mushalli dan tidak ditanggung olehnya. Berikut
diberikan contoh ha’il yang munfashil dan hukum sujud di atasnya:
· Sujud di atas tangan
orang lain adalah sah kerana tangan tersebut bukan mahmul (ditanggungnya).
· Sujud di atas hujung baju atau hujung serban orang lain
adalah sah, begitu juga sembahyangnya sah, jika ada ciri perbuatan sujud.
· Begitu juga sujud di
atas tongkat atau saputangan yang ada ditangannya. Akan tetapi tidak sah sujud jika saputangan
itu ada pada serban atau pada leher kerana ia adalah malbus (menjadi
pakaian) bagi mushalli.
· Jika pada tempat sujudnya itu ada
sehelai daun, kemudian dia sujud di atasnya. Ketika dia mengangkat dahi
daripada sujud, daun itu masih terus melekat pada
dahinya. Dalam keadaan ini, sujud yang pertama
adalah sah. Namun daun tersebut wajib dibuang atau ditanggalkan pada sujud yang
kedua. Jika tidak ditanggalkan, maka tidak sah sujudnya yang kedua itu.
Jelasnya,
ha’il itu jika tidak ditanggung oleh mushalli, sekalipun ia
bergerak mengikut pergerakan mushalli, maka ia tidak memberi kesan ke
atas sahnya perbuatan sujud. Sebagai contoh, seseorang sujud di atas katil yang
bergerak ketika dia sembahyang, maka ini tidak mengapa kerana katil itu bukan
ditanggungnya. Yang memberi kesan pada sah atau tidak perbuatan sujud itu ialah
kembali kepada ha’il yang ditanggungnya.
Mengangkat Dahi Ketika
Sujud
Jika
seseorang sujud di atas sesuatu (benda atau permukaan) yang kasar yang
menyakiti dahinya, lalu dia menjauhkan, memindahkan atau menggerakkan dahinya
daripada tempat sujud tadi tanpa mengangkat dahi tersebut, maka perbuatan ini tidak
mengapa.
Walau
bagaimanapun hukum berulangkali mengangkat dan meletakkan dahi ketika sujud
kerana sesuatu sebab atau keuzuran, misalnya sujud pada permukaan yang kasar
yang menyakiti dahi, dilihat dari dua keadaan, iaitu:
1.
Mengangkat Dahi Sebelum Adanya Thuma’ninah
Jika
dia terus mengangkat dahinya itu dari tempat sujud yang disebutkan di atas sebelum
ada thuma’ninah, maka perbuatannya itu tidak mengapa.
2.
Mengangkat Dahi Setelah Adanya Thuma’ninah
Adapun
jika keadaan sebaliknya, yakni sesudah thuma’ninah, maka perbuatan
mengangkat dahi dan meletakkannya berulang kali boleh membatalkan sembahyang kerana
melebih-lebihkan bilangan sujud.
Maka
dapat difahami bahawa perbuatan mengangkat dahi dan mengembalikannya semula ke
tempat sujud tanpa sebarang keuzuran atau sebab boleh membatalkan
sembahyang secara mutlak.
Meletakkan
Hidung Ke Tempat Sujud
Hukum meletakkan hidung bersama-sama
dengan dahi ketika sujud hanyalah sunat. Sunat juga meletakkan dahi dan hidung
secara serentak tanpa mana-mana anggota yang dua ini mendahului ke atas satu
yang lain.
Sebaliknya jika dia sujud dengan hanya
meletakkan hidung sahaja, tanpa sedikit pun menyentuh mana-mana bahagian
daripada dahi, maka tidaklah memadai sepertimana yang telah diterangkan
terdahulu.
Sebagai
kesimpulan sujud merupakan rukun fi‘li (perbuatan) dan fardhu dalam
sembahyang. Ulama sepakat bahawa hukum sujud pada dahi yang terbuka, yakni
tiada tertutup, adalah wajib. Maka sujud pada dahi yang tertutup oleh ha’il (halangan
atau lapik) adalah tidak sah. Contohnya tidak sah sujud di atas songkok yang
menutupi dahi dan yang seumpamanya seperti serban atau rambut. Begitu juga
tidak sah sujud dengan meletakkan dahi di atas tangan sendiri.
Hukum sujud
pada dahi yang terhalang oleh lapik yang ditanggung, iaitu yang
dijadikan pakaian, tergantung samada pakaian itu bergerak dengan perbuatan mushalli
dalam sembahyang ataupun tidak. Secara
ringkas, sujud di atas pakaian yang bergerak
dengan perbuatan mushalli adalah tidak sah. Sujud di atas pakaian yang disebutkan tadi, jika dilakukan tanpa
senghaja atau kerana lalai dan lupa, maka wajib mengulangi sujud sahaja tanpa
membatalkan sembahyang. Sebaliknya jika dilakukan dengan senghaja dan
mengetahui tentang ketidakharusannya, maka batal sembahyangnya.
Manakala
sujud di atas pakaian yang terlalu panjang yang tidak bergerak dengan perbuatan
mushalli adalah sah. Begitu juga dengan ha’il yang munfashil,
iaitu yang tidak ditanggung atau tidak dijadikan pakaian, maka sah sujud di atasnya.
No comments:
Post a Comment