Wednesday, May 6, 2015

QASHAR & JAMA‘



QASHAR & JAMA‘
  

بِسْمِ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللهِ، وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ وَوَالاَه


Di antara keringanan hukum atau rukhshah yang dikurniakan kepada orang yang dalam pelayaran ialah mengqashar dan menjama‘ sembahyang fardhu.

1. Sembahyang Qashar

Iaitu memendekkan sembahyang fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Maka yang boleh diqasharkan itu ialah sembahyang Zhuhur, ‘Ashar dan ‘Isya’.       
Diharuskan orang yang dalam pelayaran itu mengqasharkan sembahyang dengan syarat-syarat tertentu, seperti berikut:

i)       Hendaklah jarak perjalanan pergi belayar itu (tidak termasuk jarak balik dari pelayaran), tidak kurang dari dua marhalah iaitu 91 kilometer atau 56 batu.

ii)      Hendaklah pada permulaan perjalanan itu berniat hendak membuat pelayaran menuju ke destinasi yang diketahui serta menetapkan azam tanpa ragu-ragu untuk berjalan dalam jarak jauh tidak kurang daripada dua marhalah iaitu 91 kilometer atau 56 batu.
iii)     Perjalanan itu hendaklah atas tujuan yang diharuskan oleh syara‘ dan bukan atas tujuan untuk mengerjakan perkara-perkara yang diharamkan atau maksiat.

iv)     Jangan mengikut imam yang tidak diketahui kedudukannya, sama ada imam itu musafir, berniat sembahyang Qashar ataupun tidak. Jika seorang musafir itu mengikut imam musafir yang mengerjakan sembahyang dengan tidak mengqaharkannya, hendaklah dia juga menyempurnakan rakaat sembahyangnya yakni tidak diqasharkan.

v)      Hendaklah berniat sembahyang Qashar ketika takbîratul ihrâm.

vi)     Hendaklah dipelihara niat Qashar itu supaya jangan berubah-ubah atau ragu-ragu. Jikalau niatnya itu berubah-ubah ataupun merasa ragu-ragu maka hendaklah dikerjakan sembahyang tersebut secara sempurna yakni empat rakaat.

vii)    Hendaklah musafir itu mengetahui dengan yakin bahawa dia masih kekal dalam pelayaran ketika dia mengerjakan sembahyang Qashar itu.   

viii)   Hendaklah musafir itu mengetahui akan hukum harus baginya mengqashar sembahyang. Jika dia mengqashar sembahyang tanpa mengetahui akan ketetapan hukum tersebut maka tidak sah sembahyangnya itu, kerana dia beramal tanpa ilmu.

Contoh lafaz dan niat sembahyang Qashar itu ialah:

أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى


Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur dua rakaat qashar, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

2. Sembahyang Jama‘

Diharuskan juga bagi orang yang dalam pelayaran itu menjama‘ atau menghimpunkan dua sembahyang fardhu yang beriringan di dalam satu waktu.

Sembahyang-sembahyang fardhu yang boleh dijama‘ itu ialah sembahyang Zhuhur dengan ‘Ashar dan sembahyang Maghrib dengan ‘Isya’, dengan cara Jama‘ Taqdim ataupun Jama‘ Ta’khir. Di samping itu harus menjama‘ sembahyang fardhu Jumu‘ah dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dengan Jama‘ Taqdim sahaja.

Maka tidak harus menjama‘ sembahyang Shubuh dengan mana-mana sembahyang fardhu dan tidak harus juga menjama‘ sembahyang fardhu ‘Ashar dengan sembahyang fardhu Maghrib.

Sembahyang jama‘ itu terbahagi kepada dua bahagian; Jama‘ Taqdim dan Jama‘ Ta’khir.

Jama‘ Taqdim: Iaitu menghimpunkan sembahyang Zhuhur atau Jumaat dengan ‘Ashar dan dikerjakan di dalam waktu Zhuhur, ataupun menghimpunkan sembahyang Maghrib dengan ‘Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu Maghrib.

Syarat-syarat Jama‘ Taqdim itu ialah:

i)       Hendaklah sembahyang yang dihimpunkan itu dikerjakan mengikut tertib, iaitu dengan mendahulukan sembahyang Zhuhur dari sembahyang ‘Ashar dan mendahulukan sembahyang Maghrib dari sembahyang ‘Isya’.

ii)      Hendaklah berniat Jama‘ pada awal sembahyang yang pertama, iaitu ketika takbîratul ihrâm, bahkan harus juga berniat Jama‘ pada pertengahannya.

iii)     Hendaklah kedua-dua sembahyang itu dikerjakan berturut-turut (muwalah), tidak diselangi oleh masa yang panjang. Jika diselangi dengan masa yang panjang, walaupun kerana ada keuzuran, tertidur umpamanya, wajiblah dikerjakan sembahyang yang kedua itu pada waktunya.

iv)     Hendaklah pelayaran itu masih berkekalan sehingga sempurna mengangkat takbîratul ihrâm sembahyang yang kedua. Maka tidak disyaratkan pelayaran itu berkekalan walaupun sembahyang yang kedua belum selesai dikerjakan, asalkan sudah sempurna mengangkat takbîratul ihrâm.

Contoh lafaz dan niat sembahyang Jama‘ Taqdim itu ialah:

أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً لِلَّـهِ تَعَالَى

Ertinya:  “Sahaja   aku   sembahyang   fardhu   Zhuhur  empat rakaat, dihimpunkan kepadanya fardhu ‘Ashar, Jama‘ Taqdim, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَى الظُّهْرِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً لِلَّـهِ تَعَالَى

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar empat rakaat, dihimpunkan kepada fardhu Zhuhur, Jama‘ Taqdim, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Jama‘ Ta’khir: Iaitu menghimpunkan sembahyang Zhuhur dengan ‘Ashar dan dikerjakan di dalam waktu ‘Ashar. Ataupun menghimpunkan sembahyang Maghrib dengan ‘Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu ‘Isya’.

Syarat-syarat Jama‘ Ta’khir itu ialah:

i)       Mestilah berniat hendak menghimpunkan sembahyang pertama (Zhuhur atau Maghrib) ke dalam waktu sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’), dan hendaklah berniat itu ketika masih di dalam waktu sembahyang yang pertama.

Umpamanya, jika hendak melakukan Jama‘ Ta’khir sembahyang Zhuhur dengan sembahyang ‘Ashar, maka hendaklah berniat di dalam waktu Zhuhur untuk menghimpun dan mengerjakan kedua-dua sembahyang tersebut di dalam waktu ‘Ashar.

ii)      Hendaklah pelayaran itu berkekalan sehingga selesai dikerjakan kedua-dua sembahyang yang dihimpunkan.

Contoh lafaz dan niat Jama‘ Ta’khir itu ialah:

أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَى الْعَصْرِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ أَدَاءً لِلَّـهِ تَعَالَى

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur empat rakaat, dihimpunkan kepada fardhu ‘Ashar, Jama‘ Ta’khir, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّهْرُ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ أَدَاءً لِلَّـهِ تَعَالَى

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar empat rakaat, dihimpunkan kepadanya fardhu Zhuhur, Jama‘ Ta’khir, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

3. Qashar serta Jama‘ di dalam satu masa

Di samping diharuskan mengqashar sahaja (kecuali sembahyang Maghrib dan subuh) atau menjama‘ sahaja (kecuali sembahyang Subuh) akan sesuatu sembahyang fardhu itu, diharuskan juga bagi seorang musafir mengqashar serta menjama‘nya dalam satu masa.

Contoh lafaz dan niat sembahyang Qashar serta Jama‘ Taqdim itu ialah:

أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً لِلَّـهِ تَعَالَى


Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur dua rakaat Qashar, dihimpunkan kepadanya fardhu ‘Ashar, Jama‘ Taqdim, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَى الظُّهْرِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ أَدَاءً لِلَّـهِ تَعَالَى

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar dua rakaat Qashar, dihimpunkan kepada fardhu Zhuhur, Jama‘ Taqdim, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Contoh lafaz dan niat sembahyang Qashar serta Jama‘ Ta’khir itu ialah:

أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَى الْعَصْرِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ أَدَاءً لِلَّـهِ تَعَالَى

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur dua rakaat Qashar, dihimpunkan kepada fardhu ‘Ashar, Jama‘ Ta’khir, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّهْرُ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ أَدَاءً لِلَّـهِ تَعَالَى

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar dua rakaat Qashar, dihimpunkan kepadanya fardhu Zhuhur, Jama‘ Ta’khir, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

4. Sembahyang sunat rawâtib ketika Jama‘ dan Qashar

Bagi musafir yang ada kelapangan waktu, disunatkan juga mengerjakan sembahyang sunat ketika dalam pelayaran, di antaranya sembahyang sunat rawâtib.

Maka di samping musafir itu mengerjakan sembahyang fardhu dengan cara Jama‘ atau dengan cara Qashar, disunatkan bagi mereka mengerjakan sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardhu tersebut iaitu sembahyang sunat rawâtib, terutama yang mu’akkadah. Namun cara-cara mengerjakannya ada perbezaan sedikit daripada biasa jika sembahyang fardhu tersebut dikerjakan dengan cara Jama‘.

Sebagaimana diterangkan terdahulu bahawa di antara syarat Jama‘ Taqdim itu ialah hendaklah kedua-dua sembahyang yang dihimpunkan itu dikerjakan berturut-turut (muwâlâh), maka tidak boleh diselangi antara keduanya oleh masa yang panjang, iaitu sekira-kira sempat mengerjakan dua rakaat sembahyang.

Oleh yang demikian, jika diselangi antara dua sembahyang fardhu yang dihimpunkan (Jama‘ Taqdim) oleh sesuatu dalam tempoh masa yang panjang seperti sembahyang sunat rawâtib, maka wajib ditangguhkan dan dikerjakan sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) di dalam waktunya. Maknanya, tidak boleh dihimpunkan keduanya di dalam waktu sembahyang yang pertama (Zhuhur atau Maghrib).

Cara-cara mengerjakan sembahyang sunat rawâtib yang mengiringi dua sembahyang fardhu yang dihimpunkan (Jama‘ Taqdim), dikerjakan dahulu sembahyang sunat qabliyah bagi sembahyang fardhu yang pertama, kemudian dikerjakan kedua-dua sembahyang fardhu yang dihimpunkan, selepas itu sunat ba‘diyah bagi sembahyang fardhu yang pertama, kemudian dikerjakan pula sunat qabliyah bagi sembahyang fardhu yang kedua dan akhir sekali sunat ba‘diyah bagi sembahyang fardhu yang kedua.

Untuk lebih jelas, ketika menjama‘ sembahyang fardhu Zhuhur dengan ‘Ashar (Jama‘ Taqdim) dikerjakan terlebih dahulu sembahyang sunat Zhuhur qabliyah, kemudian dikerjakan kedua-dua sembahyang fardhu Zhuhur dan ‘Ashar, diikuti pula oleh sembahyang sunat Zhuhur ba‘diyah dan sembahyang sunat ‘Ashar qabliyah.

Ketika menjama‘ sembahyang fardhu Maghrib dengan ‘Isya’ (Jama‘ Taqdim) dikerjakan terlebih dahulu kedua-dua sembahyang fardhu tersebut, kemudian sembahyang sunat Maghrib ba‘diyah, diikuti pula oleh sembahyang sunat ‘Isya’ qabliyah, ba‘diyah dan sembahyang sunat Witir.

Di dalam Jama‘ Ta’khir pula tidak disyaratkan berturut-turut (muwâlâh) sebagaimana ianya disyaratkan di dalam Jama‘ Taqdim, bahkan disunatkan sahaja.

Oleh yang demikian, sunat jika tidak diselangi antara dua sembahyang fardhu yang dihimpunkan (Jama‘ Ta’khir) dengan sembahyang sunat rawâtib, bahkan dikerjakan sembahyang rawâtib itu sebagaimana cara-caranya ketika mengiringi sembahyang fardhu dengan Jama‘ Taqdim.

Tempoh Pelayaran Yang Dibenarkan Untuk Mengqashar Dan Menjama‘

Seorang musafir tidak boleh menqashar dan menjama‘ sembahyang melainkan setelah melewati kawasan sempadan kampung halamannya. Maka tidak boleh dikerjakan sembahyang Qashar dan Jama‘ itu di rumahnya sebelum berangkat.

Tempoh yang diharuskan bagi seorang musafir untuk mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya apabila dia sampai ke destinasi yang ditujunya ialah tidak melebihi tiga hari penuh (tidak termasuk hari sampai dan balik).

Maka jika dia berniat untuk bermukim atau menetap pada suatu tempat selama empat hari tamatlah pelayarannya sebaik saja dia sampai ke tempat itu dan tidak harus baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya (tidak dikira dari jumlah empat hari tersebut hari sampai dan hari balik).

Begitu juga jika seorang musafir yang menetap pada suatu tempat dan dia mengetahui bahawa urusan atau hajatnya itu tidak akan selesai melainkan selepas empat hari atau lebih, maka tidak diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya sebaik saja dia sampai ke destinasi yang dituju.

Manakala itu pula, jika dia menetap atau bermukim di sesuatu negeri dengan niat akan meninggalkannya sebaik saja tercapai hajat atau selesai urusan yang ditunggu-tunggunya pada setiap hari dan ketika, maka diharuskan baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya selama lapan belas hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik).



No comments:

Post a Comment